Thursday, December 14, 2006

JIKA TIDAK KERANA TERPIKAT PADA...
PAGI
tadi saat melangkah ke Tingkat 2, Menara DBP, saya sudah meninggalkan rasa terkilan terhadap ulamak-ulamak sastera dan tanggapan mereka mengenai novel popular. Jadi kedatangan saya pagi tadi ialah dengan hati yang terbuka dan niat yang positif. Oleh kerana jadual sudah berubah, MAHLIGAI CINTA jatuh nombor satu untuk dibentangkan oleh Prof Madya Dr. Hashim Ismail dari Universiti Malaya.

Inilah kali pertama kami bersua muka walau tulisan beliau sudah kerap saya temui dalam beberapa penerbitan. Apa komen beliau terhadap MAHLIGAI CINTA? Kertas kerja 20 mukasurat ini membuktikan beliau membaca novel berkenaan kerana banyak perkara yang disentuh cumanya pagi tadi semua itu tidak sempat disampaikan sepenuhnya kerana masa yang diberi amat suntuk.

Berikut antara isi kertas kerja:
* Proses awal membaca MAHLIGAI CINTA menerbitkan bibit kebosanan. Mengapa? Sebabnya saya prejudis dan tidak memandang serius terhadap novel popular.

* Proses seterusnya saya membaca sehingga ke bab 50 barulah saya mula tersedar bahawa ada halaman yang saya lipatkan sebagai penanda dan ada sesuatu yang menarik untuk dikemukakan sebagai kekuatan novel ini.

* Saya dapati ada gaya penceritaan yang kuat dan ada kesan penggunaan kolaj yang bertindih-tindih yang mula digunakan oleh pengarang. Dan setiap bab memilih untuk bertukar-tukar sudut pandangan, ada kalanya menyerap ke perspektif isteri dan ada kalanya menyerap ke perspektif suami.

* Saya juga mempertimbangkan kemungkinan untuk mengkaji novel ini dari sudut psikoanalisis yang sudah jarang dikaji oleh sarjana kita. Dan dalam proses penghayatan seterusnya saya tidak nafikan bahawa banyak kesan penggunaan teknik tersebut digunakan oleh pegarang. Suatu pengalaman menarik untuk mendedahkan watak dari sudut sedemikian dan saya memikirkan khalayak pembaca sudah didedahkan dengan satu teknik penggarapan watak yang menarik. Kesannya positif dari segi pengalaman kesusasteraan.

* Saya mengesan beberapa ciri perwatakan yang menggunakan teknik halusinasi, mimpi, monolog dalaman dan konflik ego dan super ego watak.

* Pembacaan saya seterusnya mendapati banyak informasi dalam novel ini yang bermaklumat dan membantu meningkatkan kualiti pengetahuan pembaca. Saya terpikat dengan maklumat tentang gambaran pengajian di Universiti Ryukyus, Okinawa, Jepun. Selain itu banyak maklumat tentang kebudayaan Jepun dipaparkan. Begitu juga pengalaman belajar di Leeds, England. Semua ini merupakan satu imaginasi maklumat yang menyeronokkan sebagai satu pemerolehan ilmu kepada pembaca.

* Kepelbagaian `warna' dalam novel ini:
i. Teknik Penyusunan Bab, Suspen dan Teka-teki.
ii. Imaginasi yang Dihidupkan dan Perasaan yang Dilangsungkan.
iii. Kepelbagaian Lukisan Watak
iv. Dunia Pengembaraan
v. Realiti Massa

* Membaca novel popular menyebabkan kita menceburkan fikiran ke dalam satu pergerakan ruang yang sudah diidentitikan oleh ciri teks dan realiti massanya. Novel popular membawa satu bentuk penjelajahan massa yang hanya mungkin dapat dialami oleh pembacanya sahaja.

* Pengarang novel popular serta syarikat yang menerbitkan novel popular merupakan satu komuniti massa yang telah sedia kukuh dibentuk. Mereka ada ikatan kommunal. Jkka kita di luar massa tersebut, sukar bagi kita untuk memahaminya, sehinggalah kita sendiri ikut bersama mereka.

* Kita boleh melihat dari pelbagai perspektif terhadap keupayaan novel popular. Namun demikian keupayaan novel popular mempengaruhi khalayaknya adalah kerana ia ada kelebihan tersendiri, dan kekuatannya dalah terletak di tangan komuniti massa yang sentiasa bergandingan bersamanya.

Ini adalah sebahagian daripada kertas kerja dan saya mencatat petikan-petikan sahaja. InsyaAllah saya akan siarkan kesemua isi kandung kertas kerja ini jika kelapangan. Terima kasih kepada Prof Madya Dr. Hashim Ismail yang telah memberi nilai tersendiri terhadap MAHLIGAI CINTA. Sesungguhnya terima kasih daun keladi.

3 comments:

Leeza said...

Salam..
novel Mahligai Cinta ada;ah novel serius yang memaparkan konflik rumahtangga. Mungkin mewakili jutaan pasangan di luar sana...bagaimana suami isteri yang berusia menjalani kehidupan yang hambar. Namun jika diselami sedalamnya keinsafan timbul dengan pengorbanan isteri dan suami yang hampir tersasar akhirnya tersedar kesilapan dari terus melukakan hati isteri. hahaha...:) fantastik.

Sri Diah said...

Leeza sayang, novel-novel akak agak berat pada pembacaan anak-anak muda yang lebih suka novel santai, novel ringan dan cintan cintun :)

Arsy said...

Gud day all....

Novel KL Dimana Suamiku... merupakan salah satu novel yg meninggalkan impak yg mendalam bagi diri ni. Apa yg sedang saya lalui sekarang hampir sama dengan karakter Natasya. Novel yg menceritakan bagaimana seorg perempuan meneruskan kehidupannya walaupun setelah bergelar istri kepada seorg lelaki yg namanya hanya suami di sisi undang2. Segala suka dan duka si istri ni dibendung sendiri sehingga seorg insan yg baik hati dtg menghulurkan bantuan dan juga hatinya. Banyak memberi pengajaran dan tips bg yg memerlukannya. Walaupun ia hanya cerita yg sedap untuk dibaca,namun bagi saya ia merupakan satu petunjuk.....
Novel yg akan sentiasa berada dlm ingatan... great job,Kak Sri :-)