Sunday, June 18, 2006

GULA TAK ADA?
PAYOH...! Gula tak ada di kedai. Kami dah dua hari minum teh o kosong saja. Kalau nak manis kena tambah susu saja. Begitulah kata kawan pejabat, orang Kelantan. Saya sengih saja. Telefon mak dan mak pun bagi jawapan yang serupa. Kasihan pulak, saya tak sampai hati nak berahsia. Jadi saya kata saya boleh bagi pinjam sekilo dua. Hah? Mereka terkejut.

Awal-awal lagi saya sudah ambil langkah berjaga-jaga. Di rumah sekarang adalah lebih kurang 10 kilo untuk kegunaan semasa. Bila nampak dah susut saya cepat-cepat beli untuk tambah semula. Sekarang ini saya pantang jumpa kedai runcit, mesti beli sekilo gula. Jadi dalam sehari bolehlah kumpul 3 kilo gula. Hahaha.... Memang ini kes sorok gula.

Memang pun kita kena kurangkan penggunaan gula sekarang ini. Betullah, kita dah terlebih ambil makanan manis dalam keperluan sehari-hari. Tak percaya? (Klik Sini) Jadi kurangkan gula, maniskan senyuman.

Wednesday, June 7, 2006

BUAT SEMENTARA, SIMPANLAH DULU DUIT


TINGGAL lagi beberapa hari sahaja saya di sini dan akan segera pulang ke Kuala Lumpur. (Dah rindu rumah, suami dan anak-anak!). Tempoh hampir dua minggu di sini amat bermakna bagi saya. Banyak perkara yang dapat dilakukan dan ada banyak perkara juga yang tak sempat nak dihabiskan. Setiap hari padat dengan pelbagai misi, terutama apabila rombongan dari KL tiba pada Ahad dan Isnin. Pelbagai modus operandi dirancang. Plan A, B dan C saling didebatkan. Malamnya pula, berangkat ke Tok Bali, belok ke kiri selepas `ghetok' besar dan singgah di chelet kepunyaan bos. (BBQ ikan, sotong, ketam segar meningkatkan lagi tahap kolesterol!)

Dalam akhir Jun hingga pertengahan Julai mungkin akan ke sini lagi dengan misi sebenar terhadap SINAR HARIAN. Waktu ini ramai dari KL akan ke sini untuk membantu mempromosi akhbar `sinar banar' ini. Kami yakin. Kami optimis, semuanya akan menjadi hype di Kelantan Darul Naim, negeri Serambi Mekah ini.

Shopping di KB? Uhhh... meletihkan. Lemas dalam kesibukan. Maklum cuti sekolah. Jangan haraplah dapat masuk dengan selesa ke Wakaf Che Yeh. Khabarnya di Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang juga serupa. Kami cubalah nak membeli belah di Bangunan MPKB, di Pasar Siti Khatijah atau di Bazar Buluh Kubu... mak datuk mengalahkan Jalan Masjid India menjelang Ramadan & Syawal. Orang luar berpusu datang, plet kereta luar berderet atas jalan. Adik saya yang duduk di Kedai Mulong angkat tangan bila saya ajak shopping. Datang waktu lainlah, katanya.

Ya, cuti sekolah semakin membuatkan bandar KB lebih sesak berbanding Kuala Lumpur.

Thursday, June 1, 2006

PASAR CABANG TIGA

SAYA seronok benar memasak pelbagai jenis masakan di sini. Di banglo Sinar Inn (nama sementara) kepunyaan syarikat, kami tinggal tiga keluarga. Kediaman ini empat bilik, furnished. Paling saya suka ialah bahagian dapurnya. Lengkap dengan kabinet dapur. Lokasi set dapur dengan sinkinya pun bagus, tidak memenatkan untuk mencuci tangan sambil menumis. Ada tiga tingkap yang open air dan satu pintu besar. Sungguh selesa.

Ini membuatkan saya dan rakan-rakan rajin memasak. Kami iaitu Sharifah Abu Salem, yang juga seorang novelis dan Sarimah Mokhtar, rakan bahagian grafik akan memasak apa sahaja yang teringin. Hari pertama kami memasak kari kepala ikan nyoknyok dengan bendi. Hari kedua masak lemak cili padi udang dan nanas. Hari ketiga istimewanya ialah serawa durian yang dicicah dengan roti kosong.

Apa penyebabnya? Sebabnya ialah setiap hari selepas balik kerja kami akan singgah di Pasar Cabang Tiga, Pengkalan Chepa. Di situ semuanya murah-murah belaka. Harganya jauh tiga kali ganda lebih murah berbanding di Kuala Lumpur. Contohnya udang besar(RM7.00 sekilo), kepala nyoknyok yang besar dengan sejengkal isi (RM5.00 sekilo), ikan kembung besar (RM5.00) sekilo), sebiji nenas besar lebih kurang 2 kilo (RM1.00). Yang bestnya apabila beli sayur kubis, saya dapat free lima biji cili merah. Terkejut jugak sebab saya tak beli cili tu... "tak po deh... saja buwie percumo ko mek...). Kemudian bila beli rambutan sekilo (RM2.00), dapat free lagi lebih kurang sepuluh biji.

Sarapan kami ialah nasi dagang (ikan aya - tongkol/ayam bakar). Tak pun nasi `tumpang' - beli nasi satu bekas (macam bekas kertas kacang putih), ada lauk udang dengan kari ayam dan serunding daging sama-sama menumpang dalam punjut tu. Alamak nampak gayanya badan naiklah lepas ni.

Sekian dulu, salam dari Pengkalan Chepa.

p/s - Halela, hari ni cerita makan saja ya, lain kali cerita hal kerja pula.