Saturday, February 26, 2005

Wednesday, February 23, 2005

MEMBUNUH DENDAM
SEPERTI tulisan saya pada komen Kembarahati di tag board iaitu; orang tua selalu menasihati kita bahawa jika hendak memuji orang mesti ada batasnya. Begitu juga jika hendak mengeji orang, mesti ada batasnya. Pokoknya sifat santun tetap ada - dimudahkan kata beginilah, pujian yang tidak terlalu melampau dan kejian pula tidak sampai peringkat terlampau. Jika segalanya melampau-lampau serba sedikit rasa sakit hati akan jadi dendam. Gitulah ringkasan ceritanya.

Tuesday, February 22, 2005

DENDAM
Kononnya dendam lama punca dua cikgu wanita bertumbuk.
Kononnya dendam punca seorang wanita pekerja kilang dibunuh.
Kononnya dendam jadi penyebab isteri derhaka.
Kononnya dendam jadi alasan suami cederakan isteri.
Kononnya dendam mengakibatkan seorang jiran diserang.

Rasa amarah yang sekecil tali air akan melaut jadinya kalau tidak dikawal dengan bijak. Marah pun membukit menjadi dendam. Malangnya bukan semua manusia berkuasa mengawal emosi. Apabila emosi menguasai, semuanya jadi terbalik. Yang sopan akan menjadi celupar. Yang santun akan menjadi ganas. Tapi ada sejenis manusia yang memang dari golongan terpilih. Apa kau nak cakap dia tak kisah, tak ambil peduli. Dia fikir diri dia... buruk pun diri apatah baik pun, diri dia... mudah sungguh hidupnya! Tak ada istilah dendam baginya. Tapi manusia seperti ini susah nak dibilang walaupun dengan jari sebelah kanan sahaja. Hendaknya kita termasuk satu daripadanya!

* Terkenang Jangan Ada Dendam yang sungguh lama tak berusik.

Saturday, February 19, 2005

YOU KISS YOU PAY
SUDAH agak lama saya tidak menaiki LRT pada waktu puncak. Khamis lalu oleh kerana hendak menyahut arahan car pool, saya menanti Editor Nur, Lailatun yang datang dari Wangsa Maju di LRT Bandar Tasik Selatan untuk ke Seremban. Jam 7.30 pagi, memang waktu puncak. Keluar saja dari kereta atau turun saja dari motor, masing-masing sibuk menuju ke pintu tren. Saya suka nak tulis entri ini kerana gembira, campur bangga, campur syok dengan apa yang dilihat. Dalam mereka semua kalut turun dari kereta atau turun dari motor; inilah yang dapat saya catat:

1. Isteri salam, cium tangan suami dan suami cium dahi/pipi isteri.
2. Isteri salam tangan suami dan suami buat `dono'.
3. Suami kiss pipi isteri dan isteri buat `dono'
4. Suami hulur tangan, isteri bersalam dan blah
5. Isteri/suami keluar dari tempat pemandu dan isteri/suami ambil alih memandu kereta/motor.

* Tapi tak taulah saya kalau yang melakukan itu bukan oleh suami isteri. Apa komen anda? Namun perkara ini hanya dilakukan oleh yang Melayu/Islam. Tidak terlihat pun bangsa lain melakukan hal ini. Ada satu couple tu berbangsa Cina. Suami turun dari tempat pemandu, isteri ambil alih memandu dan sebelum bergerak, suami hulur duit pada isteri. Duit pasarlah tu kot...

Thursday, February 17, 2005

SEHARI DI TKC

senyum si dara
intai sebalik langsir
malu menegur

Wednesday, February 16, 2005

MAHU JADI WARTAWAN?
HARI ini agak sibuk sedikit (sibuk banyak!). Oleh kerana akan meninggalkan pejabat selama dua hari, jadi beberapa tugasan penting yang memerlukan perhatian segera mesti dibereskan dahulu. Sambil itu tangan asyik dok view satu demi satu page powerpoint untuk presentation nanti.

Ceritanya ini - Kumpulan Karangkraf dan Kolej Tunku Kurshiah kini menjalin usaha sama bagi melahirkan lebih ramai wartawan muda sebagai pelapis. Jadi misi esok ke kolej berkenaan adalah sebagai langkah awal bagi merealisasikan impian ini. Agenda ini juga bertepatan dengan beberapa amanah yang akan dipikul oleh kolej berkenaan.

Pada tahun ini Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan telah diamanahkan menjadi tuan rumah Pelancaran Sambutan Haru Guru Peringkat Kebangsaan. Kolej Tunku Kurshiah pula dipertanggungjawabkan untuk menerajui Jawatankuasa Buletin dan Dokumentasi. Jadi dengan perlantikan ini Kolej Tunku Kurshiah mengambil kesempatan atas kepakaran pihak Kumpulan Karangkraf bagi membantu dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan itu. (Heehee, sungguh skima ayat ini!)

Maaflah tak sempat hendak menjawab komen-komen panas dan pedas pasal si brother penjual bunga dalam entri semalam. Teringat pulak lagu Gadis dan Bunga nyanyian Rahimah Rahim. Nih tengah nyanyi dalam hati ;-)

Maaflah, stop sini dulu ya, banyak sungguh yang perlu diselesaikan.
So esok akan berangkatlah saya ke Seremban...

Tuesday, February 15, 2005

KASIH SAYANG TIADA NILAINYA


mawar sekuntum
cinta mahal di hati
pisahnya mati

SEMALAM adalah hari Valentine yang memang tak patut disambut oleh umat Islam. Hari berkasih sayang itu lebih kepada golongan bukan Islam. Sebab dalam Islam hari-hari adalah hari kasih sayang, tak ada hari khas untuk hari kasih sayang dan hari lain benci membenci pula.
Semalam apabila mahu ke bank ternampaklah seorang brother yang sahnya berperawakan Melayu duduk menebeng di tepi bank dengan berbaldi-baldi bunga ros. Saya buat do no sahaja, terus masuk bank.
Keluar dari bank cepat-cepat si brother tu usha saya suruh beli bunganya - RM5.50 sekuntum! Ada daun sehelai, balut dengan pembalut plastik dan reben. Mak datuk mahalnya...
"Hari ni saja kak, istimewa."
"Kenapa hari ni?" Saya tanya soalan bodoh!
"Hari kasih sayang, hari valentine. Belilah untuk si dia."
"Eh, murahnya harga kasih sayang saya... cuma RM5.50!" Saya menyindir.
"Keluar ratus-ratus tak kan RM5.50 tak boleh hulur. Janganlah kedekut.." Katanya.
Saya hangin! Duit saya suka sayalah nak buat apa, apalagi nak beli bunga dia atau tidak. Memang dia target orang keluar bank, sebab masa saya masuk bank tadi haram tak ditegurnya!
"Tak payahlah brother... saya Islam, tak patut sambut Valentine."
"Ah orang lain tu..."
"Orang lain saya tak masuk campur. Itu hal dia."
"Tolonglah kak... belilah. Saya dah nak balik. Saya tak tahan, panas sangat hari ni..."
"Iya panas sunguh hari ni. Saya pun nak cepat balik," kata saya dan terus blah!
Memang pun saya tengok bunga dalam baldi tu dah layu, dah tak segar dan masih banyak lagi belum terjual. Dengan keadaan itu saya harap tahun depan brother itu tak akan meneruskan aktiviti menjual bunga sempena Valentine lagi. Sebab kini kesedaran orang ramai semakin tinggi. Dulu memang ramai umat Islam sambut Valentine tapi akhir-akhir ini nampaknya semakin berkurangan. Alhamdulillah...

Thursday, February 10, 2005

BOLEH BELI STAMINA TAK?
WAKTU catatan ini ditulis kami sekeluarga baru sahaja balik dari USJ kerana kenduri perkahwinan sahabat suami. Wah ramainya yang datang. Lorong rumah tu sibuk betul dengan kenduri kahwin dan kenduri besar orang Cina sempena Gong Xi Fa Chai. Berjumpalah dengan kawan-kawan, berbual-bual. Ada ramai mak datin, datuk-datuk... so apa yang diperbualkan tu agak skima le jugak.

Balik dari Subang Jaya, singgah di kedai tepi jalan, teringin nak beli sekotak limau mandarin. Punyalah pilih kotak (sebab tak boleh rasa) kerana mahu yang manis. Kata tauke yang jual limau tu kalau kita terbeli limau yang manis maknanya hidup akan berkat sepanjang tahun. Kalau terbeli yang masam, maknanya sepanjang tahunlah tak ada `ong'. Eh boleh percaya ke? Kata suami, kalau kita terbeli yang masam, kita belilah lagi kotak lain sampai dapat yang manis... Kah kah kah! Sampai sakit perutlah makan limau kalau macam tu!

Anak-anak pun tanya pasal pengertian tahun ayam. Kata mereka apa yang dibaca dan didengar tahun ni semuanya tak best - tak boleh mulakan perniagaan baru, tak boleh mulakan hidup baru (kahwin). Pokoknya tak boleh buat sesuatu yang baru. Ish budak-budak, mereka mudah percaya. Jenuhlah si bapa terangkan, semua tu karut marut! Itu hanya bagi orang Cina. Kita orang Islam ni tak ada hari atau bulan atau tahun yang tak baik. Sepanjang tahun baik sahaja... barulah dia orang sengih.

Esok kami akan `berpindah' ke BB. Ya bagus tarikh yang dipilih, Jumaat pertama di tahun Hijrah. Mintak sangat-sangat supaya dapat berhijrah ke arah kebaikan. Jadi esok nak mengangkut sikit barang-barang di rumah sini untuk dihantar ke BB. Bagi lengang sikit rumah sini. Sekarang ni tengah bersepah gila rumah sini. Mujur cuti panjang, adalah masa nak lepak sikit. Maklumlah stamina dah kureng... kena minum jus kacip fatimah nampaknya saya nih!

Thursday, February 3, 2005

RABUN JAUH RABUN DEKAT
SAMPAI ke usia ini saya akhirnya terpaksa mengalah dengan takdir. Amoi di klinik mata itu kata, "kakak sudah tua, tengok umur sudah berapa... memang kena pakai cermin mata. Sudah labun (rabun)..." Itulah kata-kata yang amat menghiris hati saya. (Tapi sekurangnya bangga juga kerana berjaya mempertahan kekuatan mata hingga ke usia ini.)

Selama berberapa bulan kebelakangan ini kemusykilan kenapa saya selalu pening-pening, rasa macam loya-loya (tak mungkin hamil lagi kot?), sesekali mata rasa macam nyut-nyut dan mudah mengantuk akhirnya telah disahkan - mata saya dah tak ada power!

"Kakak, lu pakai yang inilah cantik! Sesuai dengan muka lu," kata amoi kedai cermin mata. Saya belek-belek bingkai cermin mata itu dan acu beberapa kali ke muka. Alamak... peliknya nanti. Tentu hidup dah kena ada extra care lepas ni, nak jaga takut hilang, takut silap letak, takut terpijak!

"Berapa harga ni? Ini cap (brand) apa?"

"Kakak, lu jangan fikir harga, fikir sesuai dengan muka. Muka cantik, hati sukalah. Ini ada offer raya China," kata amoi tu lagi. Iya ke? Saya tengok brand TA*He*er. Tapi apa pulak kena mengena mata saya dengan raya China?

Saya belek-belek apa yang berderet-deret di ruang perhiasan itu, tergeleng-geleng antara realiti dan andaian. Memang pun saya dah tak boleh melawan takdir. Saya bercita-cita kalau boleh tak mahu menggunakan cermin mata tapi rupanya gagal juga akhirnya. Iyalah, kerja pun sehari-hari dok mengadap komputer sahaja!

"Mama kan dah tua..." Kata si bongsu, bila diceritakan kepadanya apa yang doktor kata. "Iyalah mama dah tua. Tapi Nabila (sepupu dia) baru 17 tahun dah kena guna cermin mata sedangkan dia belum pun tua. Macamana tu?" Si bongsu sengih.

Wednesday, February 2, 2005

ENGKAU BUKAN LAGI AKU
ADA suami suka buat isteri susah. Ada juga isteri yang suka menyusahkan suami. Frasa ini bukan (belum?) kena batang hidung sendiri tetapi sudah banyak kali kena batang hidung kawan. Kawan lelaki dan juga kawan perempuan. Bak kata orang, kita sudah lali dengan cerita persekitaran. Seperti kita lali mendengar bunyi ketukan keyboard.

Makin lama cerita ini memang tidak berkesudahan. Malah makin meleret-leret. Kemudian timmbul pula kisah `fed-up & give-up'. Ini dah kes naiya. Pada laki bini itu biarlah kerana mereka sudah dewasa untuk menempuh segala onak. Bagaimana pula dengan anak-anak?

Macam drama di televisyen, anak-anak membawa diri. Mak bapa pun bawa diri. Engkau, engkau. Aku, aku. Lama kemudiannya insaf tapi sudah terlambat. Di ketika usia dah lanjut, semua dah tak bermakna... haruskah ditamatkan hidup dengan jalan mudah?
* Elok juga ini dijadikan plot novel.