RABUN JAUH RABUN DEKAT
SAMPAI ke usia ini saya akhirnya terpaksa mengalah dengan takdir. Amoi di klinik mata itu kata, "kakak sudah tua, tengok umur sudah berapa... memang kena pakai cermin mata. Sudah labun (rabun)..." Itulah kata-kata yang amat menghiris hati saya. (Tapi sekurangnya bangga juga kerana berjaya mempertahan kekuatan mata hingga ke usia ini.)
Selama berberapa bulan kebelakangan ini kemusykilan kenapa saya selalu pening-pening, rasa macam loya-loya (tak mungkin hamil lagi kot?), sesekali mata rasa macam nyut-nyut dan mudah mengantuk akhirnya telah disahkan - mata saya dah tak ada power!
"Kakak, lu pakai yang inilah cantik! Sesuai dengan muka lu," kata amoi kedai cermin mata. Saya belek-belek bingkai cermin mata itu dan acu beberapa kali ke muka. Alamak... peliknya nanti. Tentu hidup dah kena ada extra care lepas ni, nak jaga takut hilang, takut silap letak, takut terpijak!
"Berapa harga ni? Ini cap (brand) apa?"
"Kakak, lu jangan fikir harga, fikir sesuai dengan muka. Muka cantik, hati sukalah. Ini ada offer raya China," kata amoi tu lagi. Iya ke? Saya tengok brand TA*He*er. Tapi apa pulak kena mengena mata saya dengan raya China?
Saya belek-belek apa yang berderet-deret di ruang perhiasan itu, tergeleng-geleng antara realiti dan andaian. Memang pun saya dah tak boleh melawan takdir. Saya bercita-cita kalau boleh tak mahu menggunakan cermin mata tapi rupanya gagal juga akhirnya. Iyalah, kerja pun sehari-hari dok mengadap komputer sahaja!
"Mama kan dah tua..." Kata si bongsu, bila diceritakan kepadanya apa yang doktor kata. "Iyalah mama dah tua. Tapi Nabila (sepupu dia) baru 17 tahun dah kena guna cermin mata sedangkan dia belum pun tua. Macamana tu?" Si bongsu sengih.
No comments:
Post a Comment