Thursday, March 31, 2005

4 HARI BERLALU
INILAH diari empat hari di minggu terakhir Mac dan dijadikan satu entri. Banyak yang ingin ditulis tapi tak sempat. Kononnya cakap dengan diri, ah kejap lagilah tulis, kejap lagilah... lama-lama lupa ataupun memang tak sempat. Terima kasih dengan panggilan telefon, sms dan email yang bertanya khabar (antaranya Rudy Bluehikari, Mak Andeh, Hazel, PNut, Zt dan ramai lagi). Kot-kot saya tak sihat. Alhamdulillah, setakat ini masih bernyawa hehehe, boleh meneruskan kehidupan dan tanggungjawab. Thanks atas keperihatinan anda semua. Muahhhh...!

ISNIN: Adik-adik dari Kolej Tunku Khursiah dan empat sekolah lain datang bertugas `olok-olok' di Karangkraf sehari suntuk. 40 orang dipecahkan kepada 10 grup. Mereka ada tugasan masing-masing dari mewawancara, merakam gambar, membuat design layout dan mempersembahkan kepada 10 mentor dikalangan editor majalah-majalah di Karangkraf. Kesian pulak pada adik-adik belasan tahun yang kena `bohong'. Sebabnya mereka nak sangat shoot gambar di studio kalau ada artis. Mentor kata hari ini tak ada artis! (Sedangkan di Garden Cafe sana, tengah gamat dengan acara ulangtahun Media Hiburan. Lebih 60 artis tengah sakan dengan games dll.) Sorry dik...!

SELASA: Agak sibuk menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan iklan muat-turun di majalah-majalah. Surat cinta dari Kementerian Dalam Negeri (Bahagian Penerbitan dan Teks Al Quran) ditatap penuh teliti, buat panggilan telefon, membuat penjelasan dan sebagainya. Banyak majalah di Karangkraf yang ada iklan ini. Semuanya kena dibelek satu persatu. - Hari ini saya ponteng (tunda) kursus!

RABU: Masih lagi uruskan hal-hal Kementerian Dalam Negeri. Hari ini juga mengagihkan surat-surat HRD kepada semua staf, bagi sikit lecture pasal semakan gaji, tahap prestasi, disiplin dsbnya. - Saya ponteng (tunda) kursus lagi!

KHAMIS: Hari ini urusan dengan Kementerian Dalam Negeri masih lagi belum selesai. Sekejap tadi melayan lawatan dari Bintulu, Sarawak dan Puspanita Negeri Selangor. Petang nanti... ada tugas yang menanti.

Sunday, March 27, 2005

TIADA DENGUNG MOTOR MAT REMPIT. TIADA HANGIT ASAP EKZOS
SAYA menghantar entri ini dari Bukit Beruntung diiringi angin dari bukit yang sejuk dan nyaman. Hujan turun agak lebat malam tadi. Cuaca sejuk, dingin mencengkam. Dari pintu belakang yang terbuka luas, angin sepoi-sepoi menerbangkan bau lalang yang baru disabit petang semalam. Sementara dari tingkap di sebelah meja menaip ini angin bukit menampar ke muka, membuatkan saya hampir mengantuk.

Malam tadi bunyi katak dan cengkerik menemani lena. Perbukitan ini mengimbau kenangan di Genting Highlands apabila kilau kemilau kota keriangan ini boleh dilihat sayup-sayup mata memandang di sebelah timur rumah kami. Di sini aman. Damainya mententeramkan. Jauh dari hiruk pikuk Kuala Lumpur sana... Kalaulah hari-hari boleh berada di sini, rasanya saya mesti awet muda!

Monday, March 14, 2005

PULAI MENANGIS SIAPA YANG TAHU...
PELIK bin ajaib difikiran apabila membaca kisah mengenai pokok Pulai atau nama saintifiknya Alstonia Species (SPP) yang mengeluarkan air pada dahan dan daunnya. Saya membuat pelbagai telahan mengenai kejadian di Kampung Bukit Bidang, Selising, Pasir Puteh, Kelantan itu.

Fenomena itu dipercayai berlaku menerusi proses pemeluapan terutama pada musim kemarau kerana air mungkin diserap berlebihan menerusi akar pokok Pokok itu khabarnya sudah berusia lebih 50 tahun dengan ketinggian 15 meter dan ukur lilitnya sepanjang 150 sentimeter (sm) serta bergaris pusat 50 sentimeter.

Sesuai juga dengan usianya mungkin pokok itu mengeluarkan air kerana `menangis' sebab sakit. Daunnya berbintik hitam. Pokok itu sakit tua agaknya... Atau lebih haru lagi mungkin pokok itu menangis sebab terasa kehidupan zaman sekarang ini semakin `kalut' dengan macam-macam perkara berlaku. Atau pokok itu juga mungkin menangis sebab sampai ke tua tak berjodoh...

Tak kiralah pokok itu spesis jantan atau betina. Apakata cuba kahwinkan (tut) pokok tu. Oklah ia agaknya, tidak menangis lagi... Demikianlah adanya tanggapan di luar kotak fikiran saya di tengahari ini.

Thursday, March 10, 2005

GO MUAZ GO...!

Keluarga kakak sulung - Muaz berdiri segak di barisan belakang.
Gambar di Aidilfitri 2004 lalu di rumah Nek Jah & Tok Din.


CUCU sulung Nek Jah (mak saya) dan Tok Din (bapa saya) iaitu Muaz bin Nurdin meneruskan kecemerlangannya apabila berjaya mendapat 11 A dalam peperiksaan SPM yang diumumkan hari ini. Dia belajar di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib, Kuantan Pahang.

Dan hari ini menurut kakak saya, Muaz naik ke pentas di dewan sekolahnya dengan bangganya. Muaz memang target biasiswa Petronas untuk melanjutkan pelajarannya. Mintak-mintak dia berjaya. Khamis depan dia akan mula menyertai PLKN 2005 musim kedua di Kem Cherating. Tentulah keluarga Kak Long kelam-kabut nak uruskan hal sambung belajar Muaz diketika dia pulak sibuk dengan program latihan PLKN.

Tahun 2005. ini menyaksikan beberapa lagi cucu Tok Din dan Nek Jah menghadapi peperiksaan.

Peperiksaan SPM:
1. Nabila (adik Muaz)

Peperiksaan PMR:
1. Anis (anak saya)
2. Hakimi (anak abang, di Johor)

Peperiksaan UPSR:
1. Anas Iqbal (anak saya)
2. Khalidah (anak abang, di Johor)
3. Muzammil (anak Kak Long di Kuantan)

Apa yang dapat kami sebagai emak bapa lakukan ialah memberikan dorongan kepada anak-anak semoga mereka terus gigih menunaikan tanggungjawab sebagai pelajar. Sebagaimana permintaan, minggu lepas Anas gembira mengikuti progam/bengkel UPSR di Muzium Negara dan minggu ini pula Anis akan mengikuti program yang sama untuk PMR. Hendaknya letih lelah mak bapa pastinya akan berbalas dengan kejayaan anak-anak. InsyaAllah.

Wednesday, March 9, 2005

TEMAN DI MALAM YANG PANJANG
SIKAP - "kita beri apa yang orang tu nak. Bukan kita beri apa yang kita suka nak bagi kat orang tu. Sebabnya belum tentu orang tu nak" (rasanya ayat ni betul).

Sikap ini selalu syarikat kami amalkan. Maknanya jika permintaan tentang sesuatu perkara itu ada (dan banyak, terutama daripada pengiklan) kita akan fikirkan dan realisasikan. Ah... sorry, intro ayat agak berbelit sikit dlm entri kali ni.

Ini berbalik pada komen Sis Yan dan Mal dalam entri semalam yang mahukan majalah tentang `wanita yang tidak lagi muda'. Yes, kami sudahpun submit permit ini ke Kementerian Dalam Negeri dan sudahpun diluluskan tahun lalu. Awal bulan lalu saya pun sudah submit mockupnya dan sudah diterima oleh KDN. Jadi sekarang kami sudahpun melangkah jauh dalam proses menyediakan bahan berkenaan. So Sis Yan dan Mal, sebelum disuarakan hasrat hati tu, saya dah tau apa yang berdetak dalam hati you berdua dan kebanyakan wanita. Covernya mungkin jugak Sis Yan tapi itupun selepas lulus ujian test shoot. Ada sesiapa lagi yang nak masuk dalam list?

Nama majalah tu pun dah ada. Tapi masih rahsia ya. Harapnya majalah ini nanti akan menjadi teman pada malam-malam yang panjang. Siapa kata macam tu? Eh ramai wanita yang cakap macam tu... Ada yang cakap terus terang ada yang merahsiakannya. Orang lelaki yang tak tau tu, silalah ambil tahu.

Monday, March 7, 2005

PROMOSI DUA MAJALAH BARU


Gambar di atas adalah satu lagi produk baru keluaran Kumpulan Karangkraf. Dengan lahirnya majalah ini, kini Karangkraf sudah mempunyai dua majalah yang berbahasa Inggeris selain Traverama. Silalah baca promo tentang majalah RADIANCE HEALTH & BEAUTY ini.

Sementara itu ini adalah promo untuk Majalah JOM yang seratus peratus untuk komik, info hiburan dan dunia games yang ekstrim. Selain JOM, adik beradiknya yang lain ialah KLIK dan G3 yang akan `beranak' tak lama lagi.

Sekarang di pejabat ni, anak saya sudah ada 35 orang. Dan akan beranak lagi... Di rumah, anak saya ada tiga orang tapi yang pastinya tak akan beranak lagi. Muaahhh...!

Friday, March 4, 2005

JANJI MANIS NAN PAHIT
MATA ini macam tau-tau sahaja kena berjaga hingga lewat malam hari ini. Sebabnya banyak sungguh yang tertangguh. Yang paling tertangguh ialah bab novel... Memang saya berhutang dengan janji. Janji nak siapkan novel untuk Alaf 21 seberapa segera memang tak berapa menjadi. Janji nak menyiapkan enovel Jangan Ada Dendam pun masih terhutang.

Maafkan mak...! Harap Abah, Along, Angah, Acik, Eyes, Irwan dan pelaku-pelaku enovel Jangan Ada Dendam tidak berdendam dengan Mak! Begitu juga kepada pembaca Jangan Ada Dendam - janganlah hendaknya ada yang berdendam.

Wednesday, March 2, 2005

KELANGSUNGAN PERJUANGAN
TERIMA KASIH atas kata-kata TAHNIAH yang diucapkan atau yang tak terucapkan. Saya terima segalanya dengan penuh rasa tanggungjawab. Sesungguhnya perjalanan yang sudah lama bermula insyaAllah akan saya teruskan. Saya akan terus gigih melangkah. Saya akan terus nekad membimbing tunas-tunas muda. Saya akan terus berjuang dengan masa. Akan terus bergelut dengan mental dan fizikal serta usia.

1985 - 2005 : 20 tahun di Karangkraf bukan suatu masa yang singkat. Memegang jawatan sekarang sebagai Ketua Bahagian Majalah bukan pula penamat perjuangan. Komitment kini menjadi lebih jitu. Demand terhadap kerja semakin tinggi dan tanggungjawab juga semakin bertambah. Majalah yang tahun lalu berjumlah 27 judul kini akan menjadi 35 judul menjelang Mei nanti. Dan menjelang Disember beberapa judul lagi akan diterbitkan.

Paling menggembirakan Karangkraf juga sudah mendapat permit untuk menerbitkan dua akhbar harian. (Sampai sekarang saya masih menyimpan sms kiriman tauke yang dihantar pada 14 Januari jam 3.38 ptg dalam perjalanan beliau balik dari Kementerian Dalam Negeri). "Our Harian W**i*a permit approved. Letter of approval collected. Alhamdulillah." Ketika sms itu dibacakan pada rakan-rakan di pejabat. Kami serentak menjerit gembira dan terharu...

Dan ibu pejabat di Shah Alam juga akan bertambah satu lagi cawangan di Kelantan (untuk Harian S**a*). Di masa yang sama pejabat yang ada sekarang akan turut membesar ke bangunan sebelah... ya padang bola akan dikorbankan. Hasrat membeli bangunan sebelah kini dalam proses perbincangan.

Semua itu semakin membakar semangat saya bekerja. InsyaAllah dengan sokongan semua pihak, dengan doa keluarga dan harapan seluruh pekerja tidak kira kolar biru atau kolar putih, syarikat akan terus berkembang. Di masa yang sama semua pihak akan mendapat hasilnya, terutama para pekerja yang selama ini begitu gigih memikul amanah.

Kepada anda semua, terima kasih atas segala dorongan dan teruslah memberi sokongan pada kami di Kumpulan Karangkraf.