Sunday, March 2, 2014

KARANGKRAF FAMILI DAY

TAHUN ini merupakan tahun ke 29 saya berkhidmat di Kumpulan Media Karangkraf. Bermula sebagai penyunting di Akhbar Bacaria, kemudian menjadi Editor Majalah Nona dan lan-lain majalah. Selepas itu menjaga semua bahagian majalah yang ketika itu mempunyai 28 majalah. Ada majalah dua minggu sekali, sebulan sekali dan majalah sebulan dua kali.


Bekerja di Karangkraf dengan segala suka dukanya, tiba ke kemuncaknya apabila dilantik mengendalikan akhbar harian - Akhbar Sinar Harian dari Kelantan hinggalah sekarang sudah beredar di lapan negeri dalam Semenanjung.


Dari bahagian majalah ke bahagian akhbar, kini saya mengendalikan pula tiga syarikat besar dunia buku. Syarikat-syarikat itu ialah Alaf 21, Buku Prima dan Karya Bestari (Jabatan Al Quran, yang terkini). Bila mahu pencen? Saya susah nak jawab... bos masih mahu khidmat saya. Katanya selagi tidak nyanyuk. kerja. Kerja. Kerja :)


Untuk kesekian kalinya, hari ini diadakan Hari Keluarga Karangkraf di Sunway Lagoon. Antara lokasi yang pernah diadakan hari keluarga ialah di Port Dickson, di Lost World Tambun dan beberapa tempat lain. Tujuannya hanya satu... ingin merapatkan silaturrahim dalam kalangan pekerja dan keluarga mereka.



Saya rumah merah! Dan hari ini Rumah Merah Juara!

Saturday, March 1, 2014

MENJADI NOVELIS?

BUKANLAH mudah untuk menjadi seorang novelis. Saya sendiri bermula dengan menulis puisi pada usia 16 tahun. Karya-karya waktu itu banyak tersiar di akhbar-akhbar untuk pelajar, di akhbar hujung minggu dan juga di buletin-buleti belia. Kemudian barulah beralih menulis novel dan dianugerahkan bakat yang saya pupuk hingga lahir pula novel pertama. Ketika itu usia saya 17 tahun, ketika menanti keputusan SPM diumumkan. 




Novel pertama saya berjudul TRAGEDI MALAM MINGGU - kisah anak-anak sekolah menengah yang advencer - seperti novel remaja Inggeris yang amat mempengaruhi saya.

Selepas itu satu demi satu cerpen mula tersiar di akhbar perdana dan di majalah-majalah sastera. Semua detik merangkak-rangkak mencari nama dan pengaruh itu adalah momen manis bagi saya, sukar untuk dilupakan hinggalah kini sudah melahirkan beratus judul puisi, cerpen-cerpen dan juga 14 judul novel.




Allah jualah yang berkuasa menarik ingin saya supaya menciintai dunia penulisan. Kemudian diberinya saya kekuatan dalam berkarya, diberi disiplin dan dikurniakan pelbagai idea untuk dikebangkan.




Melahirkan novel bukan mudah... novel yang baik adalah sebuah karya yang membawa pembacanya berfikiran positif, menjaga adab dan membimbing kepada kebaikan... setelah novel terbit kerja mempromos pula mengambil perananan. Dalam masa sama penuls erus menjaga martabat karya dan personalitinya.

Ini bukan kerja main-main.

* Gambaryang tersiar adalah salah satu sesi saya bersama Novelis Buku Prima pada 1 Mac 2014 lalu.