080808 - AZIZUL BANGGA JADI PEMBAWA JALUR GEMILANG
BEIJING - Azizul Hasni Awang bangga diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada perasmian temasya Sukan Olimpik Beijing hari ini, namun perasaan gemuruh tidak dapat dielakkan oleh Juara Asia itu.
Jaguh pecut trek negara berusia 20 tahun itu teruja apabila bakal mengetuai perarakan kontinjen negara seramai 33 atlet dan 29 pegawai masuk ke Stadium Nasional `Sarang Burung'.
"Saya berbohong jika saya mengatakan tiada tekanan tetapi saya harap perasaan takut ini tidak akan menjejaskan prestasi dalam acara saya," katanya setiba di sini dari Sepanyol semalam bersama rakan sepasukan lain.
Azizul Hasni, atlet dari Terengganu itu akan menyertai tiga acara iaitu pecut 200 individu, keirin bersama Josiah Ng dan acara berpasukan bersama Josiah dan Mohd Rizal Tisin mulai 15 Ogos ini.
Pelumba muda itu pernah menduduki tempat kelapan acara pecut pada Kejohanan Trek Sedunia di Manchester, England, dengan catatan 10.16 saat dan sekaligus memecahkan rekod Asia.
Beliau, yang merangkul juara 200m pecut dan keirin di kejohanan Asia di Jepun tahun ini, berkata beliau tidak memikirkan soal merangkul sebutir pingat di sini tetapi hanya mampu berusaha sebaik mungkin.
Katanya, latihan di Valencia berjalan lancar dan beliau juga mengambil kesempatan menonton rakaman video perlumbaan antarabangsa bagi mendalami taktik pasukan lawan.
Pada temasya Sukan Olimpik, Malaysia tidak pernah meraih pingat dalam acara berbasikal dan pencapaian terbaik ialah pelumba M Kumaresan dan Josiah yang melayakkan diri ke peringkat akhir acara perlumbaan mata dan keirin masing-masing pada 1992 dan 2004.
No comments:
Post a Comment