Saturday, August 30, 2008

SALAM KEMERDEKAAN KE 51


Kenangan Hari Kebangsaan 2003


RAMADAN, TETAMU YANG DIRINDUI...


Tuesday, August 26, 2008

MAK, ABAH, AIMAN, MILO & RACUN RUMPAI
SEHARI dua ini saya amat hiba melihat iklan Petronas hasil sentuhan Afdlin Shauki si Selamba Kodok itu. Anak-anak pun suka, sambil saya terapkan intipati cerita itu kepada mereka. Terngiang-ngiang di telinga, terbayang di mata;

AIMAN: Abah... boleh tak abah belikan Aiman jala ikan?

ABAH: Aiman, kalau abah ada duit bukan setakat jala ikan... ikan jaws pun abah boleh belikan untuk Aiman. (Kemudian si Aiman terdiam terkulat-kulat.)

AIMAN:
Abah, boleh tak abah belikan Aiman kereta kayuh... Sebab esok hari jadi Aiman.

ABAH: Aiman... kalaulah daun cempedak abah tu boleh jadi emas, bukan setakat kereta kayuh, kereta kebal pun abah boleh belikan. (Lagilah si Aiman terpinga-pinga.)

Huwaaa... saya sebak dalam hati. Kali pertama ditayangkan, tanpa sedar air mata menitis. Saya teringat semasa kecil, ketika duduk di rumah setinggan dan menumpang menonton televisyen hitam putih di rumah jiran. Kisahnya begini:

Iklan sejenis minuman sedang ditayangkan di televisyen. Saya tergoda ... air tu nampak sedap dicurah masuk dalam cawan. Kemudian saya menelan liur apabila budak dalam iklan itu meneguk air itu penuh nikmat. Nampak berdegup-degup mengalir dalam tekaknya. Seusia itu saya belum pernah minum air tu!

SAYA: Mak... nanti buatkan Odie air macam tu ya...

MAK: Baiklah, nanti mak buatkan kalau abah beli benda dalam tin tu (Benda itu ialah Milo. Waktu tu Milo dalam tin.)

Selepas iklan Milo, satu lagi iklan ditayangkan. Saya nampak air yang dicurah ke dalam bekas itu pun seperti sedap. Tak tahu warna apa, sebab tv itu hitam putih. Dan waktu itu saya belum pandai membaca.

SAYA: Mak... nanti Odie pun nak jugak air macam tu ya...

MAK: Eh, mana boleh! Air tu tak boleh minum. Nanti mati.

SAYA: Kenapa mak?

MAK:
Itu racun rumput...! (Tak lama selepas itu baru saya tahu itu ialah iklan racun Round Up.)

Moral ceritanya: Alhamdulillah berkat susah payah mak dan abah berjimat cermat zaman dulu, mereka berjaya menghantar kami adik beradik ke sekolah dan ke peringkat universiti. Terima kasih mak, abah. Kini kami pula yang belikan mak dan abah apa sahaja yang mereka mahu. Termasuk Milo itu! Racun rumpai tidaklah kami belikan sebab tak ada rumput yang nak diracun di keliling rumah...

Monday, August 25, 2008

PULANGKAN...



MACAM
tajuk lagu berhantu nyanyian Misha Omar. Pulangkan... ya pulangkan suamiku kepadaku dan anak-anak....! Sejak penamaan calon 16 Ogos hingga esok 26 Ogos kami telah terpisah zahir dan batin. Huwaaa, cuma tinggal sehari sahaja lagi segalanya akan berlalu dan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pun berakhir. Fullstop!




APAKAH:
- MENANTI HARI ESOK
- ESOK MILIK SIAPA
- ESOK MASIH ADA

(Ah dah tak ingat, tajuk-tajuk filem arahan Jins Shamsuddin...)

Cuma pesan saya, ESOK BALIK YA! JANGAN TAK BALIK...!
Kalau lewat balik, SIAP KAU...!

Wednesday, August 20, 2008

DOA UNTUKNYA
SAYA
sayu membaca news dalam Berita Harian mengenai keadaan pencipta lirik terkenal, Abang Haron Abdulmajid yang kisahnya pernah saya paparkan di sini minggu lalu. Dia seorang penulis yang hebat. Liriknya banyak makna, tidak seperti lirik lagu hari ini yang maknanya selapis sahaja.

Kisah ketumbuhan di otaknya memang mengejutkan, ada tujuh! Dia tidak pernah mengadu sakit apa-apa apabila kerap menelefon saya akhir-akhir ini dari Singapura. Rupanya dia tipu saya... semoga beliau cepat sembuh, atau kalau Tuhan mahu ambil nyawanya, janganlah biarkan dia menderita terlalu lama... kasihan juga pada anak- anak dan isterinya yang masih di Jogjakarta. Amin.

* Klik sini untuk membaca kisah beliau.


- Gambar dari Berita Harian

Sebenarnya sebelum S Amin Shahab dan arwah Loloq (sekitar 80-an, Haron Abdulmajid lebih dulu popular (sekitar 70-an. Bukanlah nak kata saya sudah kenal dia sejak 70-an (kalau begitu sudah tua sangatlah akak ni!). Perkenalan dengannya bermula apabila dia gemar membaca novel-novel saya. Katanya semua judul novel saya ada dalam simpanannya yang kebanyakan dibeli di Johor Bahru. Paling dia suka novel KUALA LUMPUR DI MANA SUAMIKU. Dia kata dia akan buat novel seperti itu dengan judul; JOGJAKARTA, DI MANA ISTERIKU. Saya alu-alukan.

Dia adalah pelajar saya yang lulus sampai boleh hasilkan novel - Ombak Jadi Saksi terbitan Buku Prima. Selepas itu saya cabar dia terus menulis dan menurut Encik Ali, Editor Buku Prima, novel terbaru beliau sedang dalam suntingan mereka. Oh sempatkah...?

Lagu Khayalan (Black Dog Bone), lagu-lagu Broery Marantika, Sharifah Aini, Sudirman Hj Arshad, Jamal Abdillah dan ramai lagi menggunakan khidmat Haron sebagai penulis lirik.

Mana mungkin kita lupa lagu raya Sudirman seperti Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Tulis Nama atas Batu, Apa Khabar Orang Kampung... itu semua adalah lirik ciptaan Haron.

p/s saya copy paste di sini antara lirik ciptaan beliau.
Khayalan
Khayalan menjelma
Ketika fikiran melayang menjauh mengenangkanmu
Suaramu yang mesra mengalunkan lagu
Irama hatimu yang sepi
Aku dapat merasa engkau dalam derita
Kerna kasihmu tinggalkan pergi

Ku masih terdengar senandung duka mu
Yang engkau curahkan di malam itu
Wajahmu terbayang
Mengukir senyuman yang penuh kepahitan
Aku sungguh simpati
Akan nasib dirimu
Tapi apakan dayaku ini

Diriku sudah pun berpunya kekasih hati
Tak mungkin kutukar ganti
Pada mu yang datang dalam khayalan

Kau carilah pengganti
Agar kau gembira lagi
Usahlah kau mengganggu
Wajah muncul dalam khayalan


Ku Utuskan Doa
Setelah lama tak berjumpa
Ku dengar berita pilu
Jarimu telah bersarung cincin
Ikatan emas permata

Hasratku untuk menyuntingmu
Hancur lebur bagai debu
Kuutuskan doa yang ikhlas
Hingga ke jenjang pelamin

Kini engkau datang padaku
Bersama tangisanmu
Kau enggan bersanding dengannya
Pemuda tunanganmu

Kau rayu aku melamarmu
Sebagai suri hidupku
Tak rela aku kecewakan
Dia insan sejenisku

(Lagu : S Atan - Lirik : Haron Abdulmajid )


Si Gadis Ayu

Hey sigadis yang manis
Senyum di bibir terlukis
Hey si gadis yang ayu
Sebentar lagi kita bertemu

Wow Wow... gadis ayu
Lesung pipit di pipi
(Ayu) Senyummu menawan
Gadis ayu
Ku jangan dihampakan
(Ayu) Sungguh ayu

Hey si gadis nan manja
Aku telah jatuh cinta
Hey si gadis yang ayu
Kau kan jadi milikku

Wow Wow... gadis ayu
Lesung pipit di pipi
(Ayu) Senyummu menawan
Gadis ayu
Ku jangan dihampakan
(Ayu) Sungguh ayu

Gayamu lembut bila engkau menari
Kepintaranmu itu menarik hati

Hey si gadis yang manis
Senyum di bibir terlukis
Hey si gadis yang ayu
Sebentar lagi kita bertemu

Wow Wow... gadis ayu
Lesung pipit di pipi
(Ayu) Senyum mu menawan
Gadis ayu
Ku jangan dihampakan
(Ayu) Sungguh ayu

Monday, August 18, 2008

SINAR HARIAN DUA TAHUN
ALHAMDULILLAH.
Kek tajaan Astro dan kenduri buah-buahan yang terbaik dari ladang terpilih hari itu ditaja oleh FAMA Negeri Selangor. Pengarah FAMA Selangor Che Ghani, belakang (bermisai itu) dan wakil Astro, Anis Adura, kiri sekali. Eh, siapa yang terendah antara yang tinggi itu...



Friday, August 15, 2008

JUMAAT: 15 Ogos 2008

DI KUALA LUMPUR: Ada orang bersumpah.

DI PERMATANG PAUH: Ada orang menyumpah.

Tuesday, August 12, 2008

MELAYU DAN ISLAM, DARAH DAGING SAYA
HARI
ini saya ingin menyentuh bab politik sedikit (sebanyak). Maaflah kepada yang tidak minat dengan politik (tak maafkan saya pun tak mengapa).

Statment saya: Apa Peranan Zaid Ibrahim Sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri?

Apakah beliau telah berhenti menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang? Di mana beliau kini? Kenapa dia senyap sahaja semenjak dua menjak ini? Kenapa dia tidak memberi sebarang ulasan berhubung kontroversi ekoran tindakan Majlis Peguam?

Bila Ahmad Zahid Hamidi bersuara isu ini, kita tahu itu kuasa dia. Sepatutnya menteri yang ditugaskan menjaga undang-undang (Zaid) harus melakukan sesuatu. Sepatutnya beliau harus bangkit memberi pandangan mengenai hal itu dari sudut kepentingan negara dan bangsa.

Betullah, apabila Abdullah Ahmad Badawi lantik bekas ahli Parlimen Kota Bharu itu jadi menteri ramai yang mempertikai. Zaid dilihat liberal dan anti Islam dikira akan menimbulkan masalah (kata ramai orang). Mulanya memang saya anggap Pak Lah bergurau melantik Zaid. Rupanya gurauan itu juga amat menjengkelkan.

Kata saya: Sebagai menteri Zaid mesti mendokong semangat perlembagaan negara dan bukannya menjalankan jarum pemikiran dan fahamannya.

Saya agak: Tindak tanduk Majlis Peguam itu mungkin sebahagian rancangan Zaid. Agaknya dia memang hendak buat reform terhadap sistem kehakiman. Dia terus berdiam, dia seperti bersetuju dan memberi restu secara senyap kepada Majlis Perguam.


Kata anda?

Sunday, August 10, 2008


Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan ke 51 MALAYSIAKU...!

DEMI cinta pada negara tanah tumpah darah moyang, mak bapa, adik beradik sanak saudara dan anak beranak saya, saya tidak tergamak hendak mengibar Jalur Gemilang dengan gaya terbalik seperti disaran oleh banyak pihak terutama di laman-laman web.

Saya anggap cadangan itu daripada seorang yang buta sejarah, yang tidak ada perasaan, yang sudah hilang akal dan sebagainya yang negatif. Gila apa... kalau dah tak sukakan Malaysia, kononnya negara ini sudah tidak aman sudah tidak selamat sebab tidak mengikut kehendak mereka... buatlah cara lain atau kalau ikhlas, fikir-fikirlah untuk keluar dari Malaysia macam yang dah ramai buat. Kalau nak nyata pendirian pun jangan buat cyber-strike macam itu dan pengaruhi orang lain.

Sekian sahaja angin saya petang Ahad ini.

Friday, August 8, 2008

080808 - AZIZUL BANGGA JADI PEMBAWA JALUR GEMILANG


BEIJING
- Azizul Hasni Awang bangga diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada perasmian temasya Sukan Olimpik Beijing hari ini, namun perasaan gemuruh tidak dapat dielakkan oleh Juara Asia itu.

Jaguh pecut trek negara berusia 20 tahun itu teruja apabila bakal mengetuai perarakan kontinjen negara seramai 33 atlet dan 29 pegawai masuk ke Stadium Nasional `Sarang Burung'.

"Saya berbohong jika saya mengatakan tiada tekanan tetapi saya harap perasaan takut ini tidak akan menjejaskan prestasi dalam acara saya," katanya setiba di sini dari Sepanyol semalam bersama rakan sepasukan lain.

Azizul Hasni, atlet dari Terengganu itu akan menyertai tiga acara iaitu pecut 200 individu, keirin bersama Josiah Ng dan acara berpasukan bersama Josiah dan Mohd Rizal Tisin mulai 15 Ogos ini.

Pelumba muda itu pernah menduduki tempat kelapan acara pecut pada Kejohanan Trek Sedunia di Manchester, England, dengan catatan 10.16 saat dan sekaligus memecahkan rekod Asia.

Beliau, yang merangkul juara 200m pecut dan keirin di kejohanan Asia di Jepun tahun ini, berkata beliau tidak memikirkan soal merangkul sebutir pingat di sini tetapi hanya mampu berusaha sebaik mungkin.

Katanya, latihan di Valencia berjalan lancar dan beliau juga mengambil kesempatan menonton rakaman video perlumbaan antarabangsa bagi mendalami taktik pasukan lawan.

Pada temasya Sukan Olimpik, Malaysia tidak pernah meraih pingat dalam acara berbasikal dan pencapaian terbaik ialah pelumba M Kumaresan dan Josiah yang melayakkan diri ke peringkat akhir acara perlumbaan mata dan keirin masing-masing pada 1992 dan 2004.

Wednesday, August 6, 2008

KEKASIH GELAPKU
ALHAMDULILLAH
sudah pulih daripada batuk. Ya... akan kubalas dendam kesumat yang tersimpan sejak dua minggu lalu. Nampaknya musim durian pun belum habis lagi, tengah klimaks, kata kawan pejabat. Harapnya niat terpendam ini tidak mengakibatkan sakit tekak sekali lagi. Kalau sakit jugak, memang haru...

Kadang-kadang perkara yang tak boleh itulah yang kita nak buat. Mengapa? Kalau dikata jangan, itulah yang kita suka nak buat. Kalau kata tak boleh, mesti kita nak bolehkan juga... lantaklah nak jadi apa. Macamlah, si polan kata jangan tulis pasal tu, kita tetap nak tulis juga. Nanti kami saman... ha bab tu tersentaplah sekejap. Sekejap saja, mesti cari jalan, nak `kornar' asal story published juga. Ya `kornar' baring, tak pun buat U turn. Sebenarnya ini adalah bab degil saya.

Petang ini akan kucari kekasih gelapku itu.
Biarpun en abang kata jangan... jangan.

Tuesday, August 5, 2008



DOA UNTUK BRO RONN
BACA
nota saya di Blog Bro Ronn sahabat saya seorang penulis lirik yang amat kreatif dan akhirnya berkat kesungguhan berjaya menjadi penulis novel Buku Prima - Ombak Jadi Saksi:

Assalamualaikum kpd semua pengunjung Serantau;
Saya baru sahaja menerima panggilan dari Singapura. Pemanggilnya Encik Nasir (tel 016 - 2249099), sahabat Bro Ronn.

Menurutnya, Bro Ronn kini berada di Hospital Singapura (Wad 41 katil No 22). Beliau dalam keadaan kritikal (tidak sedarkan diri) kerana brain tumor dan akan menjalani pembedahan pada Jumaat ini 8 Ogos 2008.

Saya menolong menyampaikan. Untuk keterangan lanjut silalah hubungi En Nasir menerusi no telefon yang diberi. Marilah kita sama-sama mendoakan semoga Bro Ronn selamat menempuh dugaan perit itu. Salam.

Atau anda boleh baca link ini Laporan Akhbar Singapura.

Sunday, August 3, 2008

RAJA BUAH MENGIRIM BATUKNYA
MEMANG
saya makan hanya beberapa ulas sahaja durian musim ini. Meski memang hantu durian seperti musim-musim sudah, tetapi demi kolesterol, saya kuatkan semangat - boleh jamah tapi seulas dua sahaja. Tetapi tak pernah-pernah batuk, sakit tekak dan selesema sebelum ini, kali ini dengan beberapa ulas itu, ia betul-betul menyerang.

Dua klinik dituju, ubat habis dimakan tapi sakit tekak tak hilang. Rakan belikan ubat sinseh. Tapi tekak tetap perit. Orang di rumah sibuklah beli durian. Hari pertama buat bubur kacang hijau dengan durian. Hari kedua serawa durian dengan pulut. Hati ketiga durian semata - saya pandang sahaja terkulat-kulat.

Semasa minum petang dengan YB Tan Sri di tepi tasik Shah Alam, rakan media sakan menikmati durian, langsat, mata kucing... saya terkulat-kulat jugak.

Teringat teguran mak masa kecil-kecil dulu bila kita jatuh dari pokok: Haa... esok panjatlah lagi... panjat tinggi-tinggi lagi!

Oh ya, agaknya sebab saya makan sikit sangat kot dua minggu lepas... Okeylah baik sahaja nanti saya akan melantak sehabis gila menikmati durian musim kali ini. Padan muka aku.