Tuesday, February 12, 2008

RAHSIAKU RAHSIAKU JUA
KEMPEN pilihanraya umum semakin rancak di sana sini. Media cetak kini bersaing dengan media internet untuk menyampaikan maksud masing-masing. Ada berita yang betul. Ada berita kurang betul dan ada berita yang langsung menipu. Ada juga berita atas pagar sahaja. Jolok kiri, akan masuk ke kanan. Jolok kanan, masuk ke kiri.

Saya baru sahaja melepasi kesesakan jalanraya dari pejabat untuk pulang ke rumah. Perjalanan agak terhalang dengan ketibaan konvoi Datuk Menteri Besar Selangor ke majlis Penerangan Gerak Kerja Pilihan raya Parlimen Shah Alam yang dilakukan di Seksyen 16 Shah Alam selepas Maghrib tadi.

Semenjak dua hari lalu saya terdetik soalan ini: Menteri-menteri Besar sedang menilai calon untuk diserahkan kepada Perdana Menteri. Malam tadi sewaktu bertugas untuk Sinar Harian saya membaca pruf mengenai MB Selangor yang sudah menyerah 200 nama kepada pihak Badan Pencegah Rasuah untuk dikaji latar belakang calon. Menurutnya ramai yang tak lepas, ada yang bermasalah.

Selepas ini katanya nama-nama itu akan diserah pula ke pihak PDRM untuk dinilai sama ada terdapat kesalahan jalanraya atau tidak. Mungkin ada yang tidak bayar saman. Tentu ada yang sangkut lagi. Saya kata dalam hati patut juga diserah kepada Mahkamah Syariah, mana tahu ada yang tak layak tapi sudah berpoligami dalam diam. Entahlah Labu...

Soalan cepumas ialah: Calon dinilai oleh MB. MB pula akan dinilai oleh PM. Siapa nilai PM? Oh ya, itu tugas kita. Marilah sama-sama kita buat penilaian pada PRU ke 12 nanti dengan ingatan klise - Undi anda rahsia!

No comments: