Friday, September 29, 2006

JAWATAN KOSONG

SUB-EDITOR
(Berpejabat di Pengkalan Chepa, Kelantan)

Tugas: Menyemak dan memperbaiki berita dan rencana dari wakil-wakil di seluruh negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Menulis semula bahan-bahan dari pemberita dan penulis sambilan di daerah dan jajahan.

Kelayakan: Ijazah atau diploma dalam bidang kewartawanan. Berpengalaman dalam kerja-kerja penyuntingan surat khabar. Berkemahiran tinggi dalam menulis dan bertutur dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dengan baik. Sihat tubuh badan, sanggup bekerja di luar waktu pejabat dan akur arahan `deadline'.

WARTAWAN
(Bertugas di Terengganu dan Pahang.
Kelahiran Terengganu dan Pahang diutamakan.)

Tugas: Mendapatkan fakta sama ada atas usaha sendiri atau berpandukan tugasan yang diberi dan menulis fakta-fakta terebut dalam bentuk berita atau rencana. Mengambil gambar-gambar untuk memperkuatkan tulisan.

Kelayakan:
Ijazah atau diploma dalam bidang kewartawanan. Berpengalaman dalam kerja-kerja penyuntingan surat khabar. Berkemahiran tinggi dalam menulis dan bertutur Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dengan baik. Sihat tubuh badan, sanggup bekerja di luar waktu pejabat termasuk pada hari cuti umum dan akur arahan `deadline'. Berupaya bekerja di kawasan yang diarahkan. Calon-calon yang baru menamatkan pengajian digalak memohon. Mereka yang berpengalaman akan diberi keutamaan.

Hantar permohonan kepada:
PUAN SRI DIAH
Akhbar Cabaran Sdn. Bhd.
PT 1310, Jalan 6/44,
Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa 2
16100 Kota Bharu, Kelantan
* Tarikh tutup: 15 November 2006.

Tuesday, September 26, 2006

RAMADAN & MAHLIGAI CINTA:
Page 46
Semalam suatu yang aneh terjadi. Aku dikejutkan untuk bangun sahur bukan dengan dering jam loceng tetapi dengan riuh bunyi sudip, sudu, garpu, pinggan dan mangkuk. "Eh sorry kalau I ganggu tidur you," katanya tersengih apabila aku berdiri melopong di tepi meja makan. Cepat-cepat tangan kutadah dan membaca doa makan. Anak-anak tidak ada dalam hatiku saat itu.Yang kupandang hanyalah wajahnya seorang, yang kutatap hanya senyumnya seorang.

Page 51
Aku teringatkan Ramadan pertamaku di Leeds beberapa tahun lalu. Ramadan di negara bekas penjajah ini tidak kurang meriahnya. Sememangnya tiada bazar Ramadan. Maka tidak bertemulah dengan akok, nekbat, puteri mandi atau lompat tikam. Namun pelbagai juadah manisan dari Pakistan dan Bangladesh banyak terjual di supermarket Al-Halal. Bertarawih di sana cukup menyeronokkan dengan jerik pekik kanak-kanak berlarian di masjid dan surau. Biasanya kami sembahyang terawih di Grand Mosque di Woodsley Road yang berimamkan Pak Arab. Kadang-kadang singgah juga di Shah Jalal Mosque dekat Ellers Road. Morey di sini ialah pelbagai jenis roti dengan teh panas dan buah epal, suatu yang lain dari di tanah air.

Page 71
"Along, cepat bangkit. Sahur ni walaupun sunat tapi sunat muaakat, besar pahalanya kalau kita bersahur..." Suara emak sayup-sayup mengejutkan lenaku.

Page 90
"Abah lupa nak bagi tahu... mak berbuka puasa di luar... abah pun lupa nak beli makanan." Suara abah menusuk ke telinga.
"Tak apa, kita makan apa yang ada... roti dengan kaya pun okey. Mak balik nanti, tentu dia bawa balik makanan..." Aku memujuk adik-adik dan diriku juga.

Page 100
16 Ramadan - Semalam aku terpaksa melanggar janji pada diri sendiri. Tetapi tidak dapat tidak, dalam banyak-banyak jemputan, aku tak boleh mengabaikan jemputan berbuka puasa yang ini. Apa istimewanya?

Page 105
Aku pulang awal hari itu dengan harapan dapat bertemu suami sebelum dia ke masjid untuk berterawih. Along, angan dah acik pun sudah tiada di rumah. Along menelefon dan mengatakan mereka dalam perjalanan ke masjid dan kunci rumah ada `di tempat biasa'. Tak dapat kubayangkan hidupku tanpa suami dan anak-anak. Cepat-cepat aku bersiap membuntuti mereka ke masjid. Dari celah-celah tabir kuintai mencari dia. Ada. Along, angah dan acik pun ada. Aku mengurut dada.

p/s - di samping cerita lain, inilah antaranya...

Friday, September 22, 2006

SELAMAT DATANG RAMADAN
Kadang-kadang mata ini salah melihat
Sesekali mulut ini silap terucap
Hati pula kadang-kadang ragu menduga
Maafkan segala kekhilafan yang ada...
dan salam Ramadan al Mubarak untuk semua.

Tuesday, September 19, 2006

ULANGTAHUN KE 3

- Batu Buruk Beach Resort

pasir memutih
malam menafi mimpi
hari berlari

Saturday, September 9, 2006



Terimakasih kepada Nina Suria (tuan punya si mata belalang) di Brunei Darul Salam yang sudahpun membaca Mahligai Cinta dan memberikan pandangan jujurnya terhadap novel ini.

Thursday, September 7, 2006

* Petikan daripada MAHLIGAI CINTA
Agaknya dia terlalu sibuk di pejabat siang tadi. Jadi kubiarkan dia berehat seketika, masih dalam pakaian kerja, dengan name tag dan tali leher yang belum terungkaikan dari tubuh.

Tanpa berlengah kubancuh kopi kosong yang digemarinya dengan penuh rasa tanggungjawab. Sudu dan gula yang kukacau, kukacau dengan penuh kasih dan sayang... lalu kubawa secawan kopi itu ke sofa depan dengan penuh rasa cinta.

Rupanya dia sudah tertidur!

Nampak gayanya kopi yang telah kusediakan akhirnya akan terbiar sejuk di atas meja. Nampak gayanya kasih dan sayang yang kubancuh tadi akan terbiar membazir begitu sahaja...

Perlahan-lahan kuamati dengus nafasnya, turun perlahan dan naik semula dengan perlahan-lahan, begitu asyik aku memerhati. Dia bagaikan seorang bayi, terlena dengan pulas. Wajahnya menggambarkan kepenatan, memang aku tak tergamak mengejut lenanya.

Dalam diam kulontarkan egoku jauh-jauh.

Wednesday, September 6, 2006

KESEDIHAN ANAS

SAYA dapat bayangkan kesedihan anak kedua saya Anas Iqbal apabila mendapat tahu berita kematian Steve Irwin yang amat digilainya itu. Irwin meninggal dunia semalam akibat tertusuk duri ikan pari di jantungnya ketika sedang membuat pengambaran dokumentari di Batt Reef, berhampiran Low Isles, 32 batu nautika dari Port Douglas di utara Queensland, Australia.

Memang Steve idolanya. Rancangan Crocodile Hunter memang tatapannya berulang kali walaupun siri itu sudah dilihat sebelum-sebelumnya. Malah dia juga penah menyebut hendak menjadi zoologist kerana tertarik sesangat dengan kepetahan Steve dan isterinya, Teri bercakap segalanya tentang tabiat binatang. Anas juga mempunyai rancangan untuk melawat ke Zoo Australia di Beerwah, Quensland kepunyaan Steve.

1. Irwin tidak akan mati dengan tenang di atas katil.
2. Bisa Ikan Pari.

Tuesday, September 5, 2006

AMANAH
SAYA
kini di Pengkalan Chepa, Kelantan. Ada banyak perkara yang perlu dilakukan di sini. Pelbagai tugas terletak di pundak. Bermacam perancangan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan di sini. Di masa yang sama saya juga ada tanggungjawab besar di Terengganu dan juga di Pahang. Ini amat mencabar minda, kreatviti dan juga fizikal. Hanya pada Allah swt saya sandarkan harapan atas segala kepercayaan yang diberikan oleh majikan.

* Petikan daripada MAHLIGAI CINTA

PERJALANAN memandu bersendiri balik dari Kuantan ke Kuala Lumpur terasa amat jauh sekali. Entah berapa ribu kilometer aku tak tahu. Ia adalah suatu perjalanan yang penuh dengan onak dan duri. Kurasakan aku menempuh badai yang hebat. Habis calar-calar tubuhku…darah kecewa menitik tidak tertampung-tampung.

Di Paya Bungor aku hampir melanggar seorang penunggang motosikal. Lelaki muda itu menunggang bagaikan pelumba motor kapchai. Sekejap motornya dipandu ke tengah dan sekejap kemudian ke tepi pula. Kusumpah dia. Kumaki dia. Rupanya telefon bimbit melekap dibawah topi keledarnya!

Mujur aku berjaya mengelaknya. Jika tidak dia pasti terperosok ke bawah kereta. Atau jangan-jangan aku dan Angah sudah terbaring di tepi lebuhraya! Ketika di Bentong pula, kereta yang kupandu entah berapa kilometer sejam hampir-hampir terbabas. Telah pun terbabas sebenarnya. Mujur dapat kukawal dan tidak melanggar pembahagi jalan.

Dan tatkala menghampiri Karak, aku memang berhenti rapat betul-betul di belakang sebuah Perdana V6 berwarna krim yang dipandu oleh seorang anak muda. Anak daraku di tempat duduk sebelah, berkali-kali mengucap di sepanjang lima jam perjalanan itu. Dia tak putus-putus bercakap apa sahaja yang termampu olehnya. Dia menasihatiku macam-macam tetapi semuanya mengikut fikiran usia 17 tahunnya.

"Mak... kita tinggalkan saja abah... Kita memang boleh hidup tanpa abah..."

Saturday, September 2, 2006

HERO HAMPEH!
BACA
lead depan akhbar Harian Metro hari ini? Entri saya bertahun lalu adalah berkaitan. Berikut saya perturunkan sepenuhnya:

Wednesday, September 15 2004

ALAHAI...!
SEDIH! HAMPEH! (itulah kata-kata zaman sekarang) untuk menerangkan betapa saya sedih dengan berita terbaru yang diterima semalam. Berita yang dibawa oleh wartawan saya itu sahih. Sah. Betul. Tepat. Sebabnya si polan itu sudah mengaku sendiri. Si polan itu siap dengan menangis. Air matanya menitik. Huh! Dia hero saya. Dia juga hero kebanyakan anda semua. Dia ramai peminat. Dia seorang yang terkenal. Dia lelaki. Dia seorang suami. Dia seorang ayah kepada dua cahayamata! Susahlah nak cerita. Anda semua bacalah dalam akhbar sehari dua nanti, atau seminggu dua nanti. Dengan wartawan saya dia dah buat pengakuan... tapi wartawan itu tak sampai hati nak siarkan (saya lebihlah lagi). Si polan pun kata tunggu dulu. Dia nak tenteramkan keadaan dulu. Bila dia bagi greenlight baru boleh siarkan.