Monday, September 14, 2009

MAKNA LEBARAN INI...
SUDAH
tiga tahun berhari raya saya tidak balik ke kampung suami di sebuah kampung yang dikelilingi sawah padi berhampiran pekan Alor Setar, Kedah. Apabila suami tidak beriya-iya hendak balik berhari raya di kampung, saya pun diamkan sahaja dan kami berhari raya di Kuala Lumpur sahaja.

Tahun ini saya sendiri meminta untuk balik ke kampung suami berhari raya. Setelah emak saya meninggal dunia awal Januari lalu, detik berhari raya tahun ini terasa tidak meriah langsung dan saya tidak mahu tenggelam dalam nostalgia. Terutama apabila mengingati nasi himpit dan sambal kuah kacang yang emak buat...

Adik beradik lain, mereka akan pulang ke `kampung' mereka di Kuala Lumpur ini. Saya biarlah membawa hati ke kampung suami, nun jauh di utara. Abah pula, dia cukup kuat. Tiada seorang anak ini... dia masih ada enam anak yang lain yang pasti akan menggembirakan dia.

Anak-anak saya tidak kisah, mereka setuju balik kampung abah mereka tapi dengan syarat tidak lama. Saya tahu mereka tentu seronok sakan naik basikal/naik motor keliling kampung, main sawah bendang, cari belalang, mengail dan menjala sepat di tali air, dapat main layang-layang atas batas padi dan macam-macam lagi permainan kampung.

Kepada semua, saya ucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri semoga kita semua sentiasa dilindungi Allah walau di mana sahaja kita berada. Ampun maaf saya pinta jika ada salah dan silap.