Friday, May 23, 2008


BABAI BATU PUTEH, WELCOME MIDDLE ROCKS
MENTERI
Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura dan Terumbu Karang Tengah milik Malaysia, sebagai satu kemenangan bersama.
Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah di The Hague, Belanda, Rais berkata, walaupun kedaulatan Pulau Batu Puteh berpihak kepada republik itu, namun penting juga dilihat bahawa kedaulatan Terumbu Karang Tengah, yang dikenali sebagai 'Middle Rocks', diberi kepada Malaysia.
“Keputusan pada pagi semalam (waktu Belanda) adalah memberi kemenangan kepada kedua-dua pihak. Pada satu peringkat, mahkamah ICJ memutus mengikut fakta sejarah dan perundangan antarabangsa serta menimbulkan kesan-kesan pentadbiran dan lain-lain hal berkaitan tuntutan (Pulau) Batu Puteh.
“Mahkamah memutuskan untuk memberi kedaulatan kepada republik Singapura, tapi pada masa yang sama, ini penting. Pulau Middle Rocks adalah diberi milik kedaulatan kepada Malaysia. Dan ini merupakan satu kemenangan kepada Malaysia jua,” katanya.

Monday, May 19, 2008


KELUAR UMNO
Tun Mahathir gila babi bencikan Pak Lah
daripada sayangkan UMNO. Berani komen?

Thursday, May 15, 2008

GEMULAH (ARWAH) NENEK DALAM INGATAN
SEMALAM saya kehilangan nenek tercinta yang usianya tinggal lagi empat bulan akan genap 100 tahun. Apabila meneliti myKad miliknya yang disimpan elok di dalam dompet duitnya, saya menggeleng sendiri. Kelahirannya pada tahun 1908. Kematiannya pada 2008. Semalam, menjelang Maghrib dia meninggal secara aman dalam tidurnya.

Jarak masa seratus tahun itu begitu lama tetapi saya masih tidak puas bersama-sama dengannya. Apalagi dalam tempoh tujuh tahun belakangan ini, dia sudah tidak mampu berjalan sendiri, hanya menggunakan kerusi roda sahaja ke sana sini mengutip hutang-hutang bisnesnya. Malah tiga hari sebelum kematiannya dia masih mampu berkerusi rodanya, ke pasar mencari makanan kegemarannya. Petang itu juga dia masih mampu bersiar-siar di laman, masih di atas kerusi rodanya.

Selama tujuh tahun belakangan ini emak saya menjaganya dan menguruskan makan minumnya. Urusan pakaian, kebersihan diri, arwah mampu uruskan sendiri untuk dirinya. Cuma dalam enam bulan ini, emak saya terpaksa pula membahagikan perhatiannya pada nenek saya dan dirinya sendiri apabila emak saya terpaksa keluar masuk hospital kerana penyakit buah pinggangnya. Dan sebualan dua ini juga emak saya sudah mula sibuk pula dengan proses dialisisnya. Kami adik beradik pula bergilir-gilir menjaga kedua-dua mereka mengikut giliran masing-masing.

Jika anda pembaca setia Sinar Harian, pasti ingat lagi mengenai arwah datuk saya yang mati ditikam di pasar pagi, ketiga tiga hari selepas Syawal yang saya tulis awal tahun ini. Kini isterinya pula menurutinya di alam barzakh. Saya doakan kedua-duanya ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

Anak saya bertanya macam mana moyang mereka boleh hidup lama, hampir seratus tahun umurnya dan sihat pula. Ingatannya kuat. Percakapannya jelas, cuma sesekali pendengarannya agak terganggu. Moyang mereka itu juga masih ingat waktu solat dan tidak pernah tinggal solat, yang dilakukan secara duduk. Apabila agak lama saya tidak datang melawatnya, dia akan bertanya, "eh dah dua minggu kau tak datang tengok aku kan?" Ya, betul. Waktu itu hampir dua minggu saya tidak melawatnya.

Apa yang saya pasti, faktor makanan amat menyumbang kepada panjang pendeknya usia kita. Menjaga pemakanan dengan nilai kalori dan zatnya, bukan sahaja suatu teori tetapi menjadi satu kenyataan. Arwah nenek saya kurang makan makanan berlemak. Dia tidak suka makanan manis. Dia juga tidak suka makanan segera. Kopi amat dibencinya. Yang pastinya dia suka minum susu lembu yang segar. Untuk itu kami selalu mendapat bekalan susu lembu segar daripada seorang India yang menaiki motor dan menghantarnya selang dua hari ke rumah.

Kurangkan nasi - itu adalah nasihat klise hari ini daripada Perdana Menteri. Sepatutnya dulu lagi sudah diingatkan dan kita mesti praktikkan, supaya kurang makan nasi. Nasi itu akan menjadi kanji dan kanji itu akan menghasilkan gula dalam badan. Memanglah nasi makanan ruji kita tetapi apabila ada pilihan, makanan ruji kita itu bolehlah beralih kepada yang lain.

Sekarang itu saya ambil keputusan, bahwa anak-anak tidak boleh menyeduk sendiri nasi. Biar saya yang cedukkan. Saya berikan sesenduk dulu, habiskan nasi yang itu terlebih dahulu. Kemudian jika masih kurang kenyang dan ingin menambah nasi, barulah ambil lagi. Terkenang juga dulu-dulu apabila melihat banyaknya nasi yang terbuang apabila selera makan terputus dan rasa kenyang ketika sedang makan. Nasi-nasi itu semestinya ke bakul sampah akhirnya. Jika di kampung boleh jugalah diberikan kepada ayam dan itik.

Di bandar ini macam mana hendak membela ayam dan itik? Sekalipun saya ada memelihara dua belas ekor kucing Parsi, tetapi kucing-kucing saya itu hanya makan pallet. Kucing-kucing itu tidak diberi makan nasi dengan ramuan isi ikan atau kepala ikan goreng. Akhirnya nasi-nasi itu akan terbuang begitu sahaja. Alangkah ruginya...

Sehari dua ini terkenang wajah-wajah kelaparan di Myanmar, menadah tangan memohon makanan dan minuman. Semoga negara kita tidak ditimpa becana seburuk itu. Untuk itu eloklah kita panjatkan doa kepadaNya supaya hidup kita terus dirahmati dan tidak menyusahkan orang lain.

Sunday, May 11, 2008


SALAM HARI IBU
Teristimewa untuk ibu saya yang amat dikasihi, Hajah Halijah Ibrahim semoga beliau tabah menghadapi segala dugaan. Mak, demi Tuhan yang menjadikan kami adik beradik, percayalah anak-anakmu akan sentiasa di sisimu.... Kami selalu bertanya, "sakit tak mak bila buat dialisis tu?" Mak tak pernah kata sakit. Dia hanya kata, sakit nak beranak lagilah perit. Semoga Allah selalu melindungimu, mak. Tapi saya tahu mak bohong...