Tuesday, July 20, 2004

IJAZAH KEHORMAT Universiti Blogger:-

The University of Blogging

Presents to
Sri Diah

An Honorary
Bachelor of
Anonymous Commenting

Majoring in
Comment Spam
Signed
Dr. GoQuiz.com
®

Username:


Blogging Degree
From Go-Quiz.com

DEMAM HAIKU
HAIKU
ialah puisi Jepun yang terdiri daripada 17 sukukata dan biasanya ditulis 3 baris dalam bentuk 5-7-5 sukukata. Haiku tradisional akan menceritakan tentang musim dan alam sekitar. Haiku moden telah ditulis dalam pelbagai bahasa dan masih menggunakan paten 5-7-5. Sungguhpun haiku ditulis dalam 3 baris, perlu diingat yang haiku mempunyai 2 bahagian memancarkan sedikit kaitan dan menambah makna kepada bahagian yang lain. Bahagian kedua haiku biasanya ialah pada baris terakhirnya. Namun begitu, garis pemisah antara bahagian pertama dan kedua tidak begitu jelas dan tidak terhad kepada akhir baris kedua.

Bagimanapun haiku moden telah ditulis melampaui sempadan musim dan alam sekitar dan menceritakan tentang hubungan kita dalam dunia moden. Sepertimana pantun yang boleh dikelaskan kepada pantun kanak-kanak, pantun nasihat, pantun jenaka dan sebagainya, haiku juga boleh dikelaskan begitu.

Selain HAIKU, antara puisi Jepun lain ialah SENYRU dan RENSAKU (5/7/5) serta TANKA (5/7/5/7/7/. Sementara HAIGA ialah haiku dalam gambar. HAIJIN ialah gelaran kepada si penulis haiku.

* Okey, saya bayangkan ramai bloggers sedang dok terketik-ketik tangan mengira 5/7/5. Didahului oleh MBA, diikuti oleh EP, Halela dan lain-lain. Suami saya pernah tegur, "Kenapa tangan tu? Kira apa? Berzikir ya?" Saya tersengih dan kemudian ketawa panjang!

* Saya memang meminati Haiku sejak akhir 80-an apabila membaca Haiku tulisan Kak Azah Aziz, isteri Prof. Diraja Ungku Aziz tentang kebunnya di Morib. Waktu itu haikunya tersiar setiap minggu di akhbar Berita Minggu. Minat itu kembali subur apabila mengenali MBA.

Saturday, July 17, 2004

SOALAN CEPUMAS!
SOALAN
No.8. Khabarnya saudara berkawan rapat dengan Sri Diah yang juga salah seorang ahli esastera dan peminat Haiku. Boleh saudara ceritakan sedikit mengenai dirinya?. Ikutilah apa jawapan MBA mengenai soalan ini.

Friday, July 16, 2004

ANDAIAN
KITA
selalu membuat interpretasi yang kurang tepat mengenai seseorang. Andaian kita selalunya tak sama dengan kenyataannya. Pernahkah anda menghadapi situasi begini:

- eh, saya ingatkan you tinggi, rupanya rendah
- saya ingatkan awak suka berborak, rupanya pendiam
- you lebih cerah, tak macam dalam gambar, gelap
- suara you keanakkan, tapi air muka nampak dewasa
- gempal rupanya, ingatkan you kurus tinggi
- ingatkan suka, ok lain kali saya tak belikan you bunga
- payahnya berurusan dengan you, ingatkan mudah
- dan banyak lagi.

Haruskah kita berkecil hati?

Thursday, July 15, 2004

DALAM PROSES
AGAK
payah untuk menerangkan kepada Kak Zati tentang sikap emak sejak akhir-akhir ini. Walaupun Kak Zati turut berasa kecewa dengan sikap emak, namun aku terlebih lagi berasa duka kerana segala kecurangan emak berlaku dihadapan mataku.

Ini kerana yang melihat emak bergaya muda ialah mataku sendiri. Yang menghidu bau minyak wangi emak ialah hidung aku sendiri. Yang mengambilkan majalah-majalah fesyen dan pop pesanan emak ialah tanganku sendiri.

Selain daripada itu, yang kerap menerima panggilan telefon dari entah mana-mana lelaki adalah telingaku sendiri. Dan yang kerap mengemaskan meja sarapan emak adalah aku sendiri bila dia selalu tak punya waktu nak mengemas rumah, hatta bilik tidurnya sendiri!

Akulah yang paling derita sekali.
Ini yang Kak Zati tak tahu.
Ini juga yang Abang Zainol dan Adik Amri tak tahu.

Kami masih menanti kepulangan emak. Sehingga jam besar yang tersangkut di dinding ruang tamu berdenting tiga kali, emak belum juga balik. Memandangkan jarak antara Melaka dengan Kuala Lumpur bukanlah jauh sangat, kami menjangkakan tentu emak akan kembali ke rumah menjelang pagi itu.

Tetapi sehingga ke pagi, emak tidak juga muncul-muncul. Dan dia juga langsung tidak menelefon ke rumah memberitahu sama ada akan balik ke Kuala Lumpur ataupun tidak. Kami berasa bosan menunggu. Kak Zati sudah lebih sepuluh kali menguap. Aku pun sudah sakit-sakit kepala menanti kepulangan emak.

* Fragmen novel baru... belum ada judul.

Wednesday, July 14, 2004

KERJA BARU
KITA
selalu berasa sedih apabila hendak berpisah dengan rakan-rakan sekerja yang ditakdirkan berjaya mendapat pekerjaan lain. Selepas ini tak akan lagi makan bersama, berbual bersama, berbincang, berhujah bersama. Pergilah, kalau sudah rezeki di tempat lain. Mungkin juga ada kenaikan gaji dan kenaikan pangkat, memang itu dah rezeki baik namanya, tak harus ditolak.

Bagaimanapun setelah beralih angin, sesekali tolehlah ke tempat lama. Ingat semula bahawa kalau tak kerana prestasi bagus di tempat lama, kita tidak akan dilamar oleh pejabat lain. Maka oleh kerana prestasi bagus di tempat lama itu, jadi pinggan mangkuk yang selama ini diisi dengan makanan lazat berzat, tak usahlah dilempar dengan pasir.

Pergilah secara baik.
Kita bersaing dengan sihat.

Tuesday, July 13, 2004

KECEPAK KECEPUK
ALHAMDULILAH
syukur kepadaNYA atas rasa gembira ini tatkala membaca komen rakan-rakan bloggers dari serata dunia tentang hari lahir saya. Semoga ALLAH memberkati kita semua. Thanks. Hari kelahiran ini mengingatkan saya pada hari mati. Sehari usia berganjak, selangkah kita dekat padaNYA.

Oh ya, semalam saya tak sempat nak updated akibat keletihan setelah Ahadnya seharian di Wet World Shah Alam. Kumpulan Karangkraf mengadakan Hari Keluarga dengan tema KECEPAK KECEPUK di sana, disertai semua pekerja dan keluarga mereka. Banyak acara diatur. Saya jeling-jeling melihat reaksi tauke. Ternyata dia happy. Wajahnya ceria melihat pekerja dan keluarga semua bergembira.



Anak-anak saya memang pantang jumpa air. Rasanya anak-anak orang lain macam anak-anak saya jugak. Ataupun mungkin kebetulan ketiga-tiganya dilahirkan (di'operate') ketika hujan lebat di luar klinik! Si bongsu Amie yang baru baik demam kerana tonsil di tekak pun terjun sama, kecepak kecepuk tak payah disuruh-suruh. Semua dicuba. Paling seronok di gelungsur air katanya.

Cerita sedih - semalam waktu nak ke sekolah muka Amie monyok semacam. Saya agak mungkin tektik mengantuk dan letih kes sakan bermain air di Wet World. Keras jugalah suara saya menyuruh dia dan si abang segera masuk ke kereta untuk ke sekolah. Setiap hari memang saya menghantar mereka bertiga ke sekolah dulu sebelum saya ke pejabat. Kak Long pulak tak ke sekolah hari ini kerana hari Sabtu lepas ada Larian Tasik Permaisuri, jadi dia dapat cuti sehari.

Dalam pukul 10.30 pagi sedang saya leka membuat kerja h/p berdering dan terdengar suara Amie di telefon. "Mama... Amie demam, Mak Su (adik saya yang mengajar di sekolah itu) suruh mama ambik Amie balik, berehat..." Suaranya perlahan.

"Hah? Demam? Habis Amie kat mana ni? Kat public phone depan sekolah tu ke?"

"Tak. Amie kat bilik guru. Tadi Amie dah telefon abah, kejap lagi abah datang ambik," katanya perlahan.

Selepas bercakap sepatah dua lagi dengan Amie kami letak telefon. Saya cepat-cepat menelefon suami. Memang dia dalam perjalanan ke sekolah mengambil si bongsu. Saya tak sedap hati kalau anak sakit, jadi saya pun memohon pada bos untuk balik awal, membawa si Amie ke klinik semula.

* Gambar-gambar lain Kecepak Kecepuk di Koleksi Foto.


Saturday, July 10, 2004

DETIK KELAHIRAN
PAGI
tadi batuk emak semakin menjadi-jadi. Dia tak berani makan ubat batuk. Dia pun dah tak larat untuk bangun mengemas rumah. Dia dah tak larat memasak. Dia dah tak larat hendak menyiram bunga. Dia cuma ke hulu ke hilir berjalan-jalan dalam rumah. Dia menahan-nahan dada yang perit dan pinggang yang sakit. Perutnya memulas-mulas selang sepuluh minit.

Abah tiada di rumah ketika kemuncak batuk emak melantun dari kerongkongnya. Seperti selalu perlahan-lahan emak ke longkang batu di beranda rumah. Setelah puas berdiri, dia duduk mencangkung pula sambil terus melayan batuk-batuk kasarnya. Hampir lima minit dia begitu. Kemudian kata mak, tiba-tiba dia terasa ada sesuatu keluar di celah kelengkangnya. Tiba-tiba kain batiknya basah dengan darah. MasyaAllah, mak terberanak di tepi longkang di beranda!

Dan yang lahir itu adalah SAYA!
Ya, hari ini adalah hari lahir saya.

* Di sini saya nak meminta berbanyak maaf pada semua yang membaca entri saya dalam dua hari ini. Maafkan Saya... Sebenarnya saya cuba melontarkan imbasan atas apa yang emak ceritakan pada saya mengenai detik-detik kelahiran saya. Ya, saya dilahirkan di tepi longkang di kuaters pekerja kilang air batu (Atlas Ice Limited) di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur. Selang dua puluh minit kemudian ambulan datang dan membawa kami ke Hospital Besar Kuala Lumpur.

Saya lahir tak cukup bulan. Saya bayi prematur. Usia saya dalam kandungan mak hanyalah 26 minggu. Mungkin sebab emak menghidap batuk yang teruk, rahimnya mudah ke bawah dan membuatkan dia bersalin lebih awal. Selama 3 bulan saya berada dalam inkubator dan diberi rawatan secukupnya. Begitulah ceritanya. Cuma hari, bulan dan tahunnya saja yang berbeza. Waktunya lebih kurang beginilah...

Kepada Ros, Angah, EP, Sis Yan, Semut, Lan, Mely, Wawa, Nadahas, Rajiah, Iansuryani dan Dr. Shah, maafkan saya kerana mempengaruhi anda semua memberi komen. Jauh di sudut hati sifat prihatin anda semua amat saya hargai. Thanks juga kepada semua pembaca.

Friday, July 9, 2004

ABAH
SEBELUM
solat Jumaat abah ke hujung kampung, menunaikan fardu kifayahnya. Ada kematian. Berat juga hatinya hendak tinggalkan emak. Abah pun risau dengan batuk-batuk emak yang makin kasar, kokolnya bertali arus. Penyakit semput emak macam berulang semula.

Selepas berjemaah Maghrib, abah di rumah saja. Dia Isyak di rumah. Memang dia tak berani nak tinggalkan emak. Tapi emak macam tak faham dia sakit... Siang tadi dia masih bangun berkemas rumah, memasak, membasuh pakaian dan menyiram bunga.

Biasanya bila batuk, ke longkang di tepi rumah itulah ditujunya. Dia batuk dan buang kahak di situ.

EMAK
DIA
kata perutnya memulas hari ini.
Pinggang dia agak kebas. Tak selesa.
Batuknya makin menjadi-jadi
Kadang-kadang tengah tidur
Kadang-kadang tengah makan
Apabila nak sembahyang, dia terpaksa menukar kain batik...

Thursday, July 8, 2004

HARI INI, SAAT INI
SAYA
tidak ke pejabat hari ini. Sakit. Gusi sakit. Gigi pun sakit. Jadi bengkaklah pipi sebelah kanan. Doktor yang dikunjungi pagi tadi bagi mc. Kebetulan juga si bongsu saya demam sejak malam tadi, tekaknya perit. Malam tadi pelan-pelan saya tanya demam apa agaknya ya? Dia jawab, "Ami dah demam, mama... demam Akademi Fantasia!" Pagi tadi doktor tengok tekaknya ada tonsil, biji-biji putih. Wah sukalah dia, cuti sekolah hari ini dan esok. Jadi hari ini menu kami anak beranak ialah bubur nasi. Lauknya telur masin, ikan masak kicap dan sayur campur. Semoga cepat surut bengkak ni, sebab esok banyak urusan di pejabat.

Tuesday, July 6, 2004

KL OH KL
BARU-BARU
ini saya telah menerima lapan keping gambar yang betul-betul mengembalikan nostalgia. Saya telah print gambar ini dan menunjukkan kepada emak dan bapa yang memang orang Kuala Lumpur. Di wajah mereka tergambar pelbagai rasa, ada suka dan duka. Masing-masing mengangguk perlahan, mengesahkan kesahihan sebahagian daripada gambar-gambar berkenaan. Ya, mereka mengakui betul itu gambar General Hospital, Bangunan Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek dan Muzium Negara (jangan-jangan mereka pernah dating kat situ?). Yang lain-lain mereka tak pasti.



Sebagai anak jati Kuala Lumpur, dulu lagi saya sudahpun tanamkan dalam hati, sini tanah tumpah darah saya, kepunyaan saya, kampong saya dan hak saya. Hari ini saya berbangga dengan pencapaian dan kepesatan pembangunan Kuala Lumpur. Semua itu tidak diperolehi dengan mudah. Rasa sensitiviti, perkauman, rasa kepunyaan, sikap bahawa tanah Melayu, Melayulah yang punya - banyak yang perlu dikorbankan. Oleh itu apabila berlaku kebejatan, keruntuhan moral, korupsi, maksiat dan segala yang tidak baik di Kuala Lumpur ini, saya amat tersentuh hati.



Bagaimanapun orang Kuala Lumpur bukan semuanya jenis baik-baik - dalam sekampit beras mesti ada sebutir dua padi. Orang luar pun bukan semuanya jahat - dalam sekampit tepung mesti ada seekor dua kutu. Sebenarnya adunan kejahatan dan kebaikan inilah yang telah mewarnai tanah tumpah darah saya. Eh, emosi pula saya tengahari Selasa ini. oklah kita nyanyi lagu Biduanita Saloma; Kuala Lumpur... ibu negri...

Sila tengok gambar selebihnya DI SINI.

Monday, July 5, 2004


bola ditendang
sorak bergema lagi
kenangan manis

LEMPENG KELAPA & SAMBAL SARDIN
SEWAKTU
entri ini ditulis, perlawanan akhir Portugal - Greece untuk menentukan juara bola sepak Euro 2004 belum lagi bermula. Di televisyen tengah hangat dengan iklan dan tayangan semula gol-gol yang disumbat dan yang tak tersumbat sepanjang Euro 2004 ini di Lisbon (teringat sejarah Pelabuhan Lisbon dalam subjek Sejarah). Sorry, agaknya memang betullah saya tak berapa minat bola, sikit pun tak hairan dengan keghairahan cik abang, mengadaplah dia depan televisyen sendirian.

Bagaimanapun untuk bekal cik abang menonton bola saya sudah siapkan lima keping lempeng kelapa (lemak-lemak masin dan garing tepinya) dan juga sambal sardin untuk pencicahnya. Ada air kopi dalam flask. Ada air kosong satu botol. Ada jam loceng tepi tilam.

Sebenarnya first date saya dengan cik abang ialah di Stadium Merdeka iaitu ketika final Piala Malaysia sekitar tahun 1988 lalu. Waktu itu perlawanan antara Kedah dan Kuala Lumpur (jangan lupa, saya orang Kuala Lumpur!). Punyalah nak jaga hati dia, saya ikut dia tengok bola. Kami pergi bercouple 5 pasang. Antaranya Intan Zabidin (kini Editor Dara.com), Huzz (wartawan Hiburan di Utusan Malaysia), Emma Hussin (kini di Berita Publishing, Azmi (kini di Beijing, China). Jadi semuanya sepuluh orang. Untuk memastikan sokongan pada Kedah padu, cik abang siap belanja tiket untuk kami semua supaya sokong Kedah.

Okey, sebab kena belanja kami pun duduk di kawasan penyokong Kedah. Siap dengan topi, mafla dan bendera Kedah, hijau kuning. Huzz dan Azmi (kedua-duanya orang Kedah) menjerit "Mat Sobri! Mat Sobri! Hang gelecek baguih...!" (penjaga gol Kedah). Saya tergoda juga nak menjerit "Rashid Hasan! Rashid Hassan!" Tapi sebab nak jaga hati cik abang, saya cool saja. Tetapi apabila Kuala Lumpur mendahului Kedah 1 - 0 dan game Kedah pun tak tentu arah, kami mula belot. Habis semua sokong Kuala Lumpur. Cik abang masam memoncong - malam tu Kedah kalah. Kuala Lumpur menang 2 - 1.

Saturday, July 3, 2004

SABTU YANG BUKAN CUTI
KALAU
bukan kerana minggu pertama atau kedua, atau ketiga atau keempat pun, hari ini adalah hari cuti bagi kami, pekerja di Kumpulan Karangkraf Sdnb. Bhd. Nama sahaja hari cuti tetapi sebenarnya banyak aktiviti luar pejabat diadakan kebiasaannya pada Sabtu atau Ahad. Contohnya bengkel-bengkel, seminar, forum, pertandingan dan sebagainya diadakan pada hari ini.

Seperti minggu-minggu lalu ada Bengkel Santai Bersama Fadzley anjuran Majalah Fokus SPM, ada bengkel Gubahan Pengantin anjuran Majalah Pengantin, ada Bengkel Kerjatangan anjuran Mingguan Wanita, ada seminar tentang Islam anjuran Majalah I dan Dewan Agama & Falsafah, ada Bengekal Memasak anjuran Majalah Rasa, Anugerah Ibu Anggun Majalah Nona, ada Anugerah Pesona Ibu dan Anak anjuran Majalah Keluarga dan macam-macam lagi. Semuanya dilakukan di hujung minggu, mengikut giliran. Hampir setiap minggu.

Minggu ini free! Tapi tidak juga.

- Ada pertandingan Futsal anjuran Kelab Kebajikan dan Rekreasi Pekerja KKSB!
- Tengahari tadi ke Kompleks Campbell - Cik Abang ambil baju tempahannya.
- Selepas itu ke Leisure Mall, beli buku untuk kami anak beranak.
- Malam ada Akademi Fantasia. Siapa yang akan terkeluar?

Friday, July 2, 2004

MOOD TAK BEST!
MEMANG
saya dah agak... Memang betul apa yang saya dan suami jangkakan. Malam sebelum 30hb itu kami memikir-mikir apakah yang akan berlaku sepanjang laluan saya ke pejabat nanti. Jadi semalam, 1 hb Julai, semuanya betul seperti yang kami fikirkan.

`Kefrusatan bersangatan!' Kata-kata ini menggambarkan kecewanya saya dengan syarikat konsensi lebuhraya yang diarah supaya menghentikan semua jenis kutipan tol melainkan Touch & Go dan laluan tunai sahaja. Dan kesudahannya semalam, jalan sesak teruk menuju ke pintu tol. Kita yang dah ada kad Touch & Go (setelah mengucapkan selamat jalan pada kad Fastrak) tetap tersenguk-senguk menuju ke pintu tol. Padahal kita dah bayar in advance! Mana dia laluan Smart Tag yang dijanjikan? Takkanlah jangka masa setahun yang diberi masih tak cukup untuk pihak lebuhraya menyediakan kemudahan untuk pengguna?

Saya pandang kiri dan kanan. Pemandu-pemandu lain pun buat muka moncong juga. Mengomel jugak macam saya. Menggeleng kepala jugak seperti saya. Habis nak kata apa lagi?

Thursday, July 1, 2004

KERJA KOSONG
BINA KERJAYA ANDA BERSAMA KUMPULAN KARANGKRAF
1. PENOLONG AKAUNTAN / AKAUNTAN
2. EKSEKUTIF PEMASARAN
3. EKSEKUTIF JUALAN IKLAN
4. PEMBANTU KAWALAN MUTU
5. PEMANDU PERIBADI
6. JURUFOTO
7. PEREKA GRAFIK

Calon yang berminat dikehendaki menghantar permohonan berserta resume lengkap, gaji sekarang dan gaji dipohon, nombor telefon, gambar berukuran passport (tidak dikembalikan) dan salinan sijil-sijil akademik ke alamat seperti di bawah sebelum 13 Ogos 2004.


PENGURUS BESAR JABATAN SUMBER MANUSIA
KUMPULAN KARANGKRAF SDN BHD (Co No:54179-V)
Lot 2, Jalan Sepana 15/3, Off Persiaran Selangor,
Seksyen 15, 40200 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan


Sila tulis jawatan dipohon di sebelah kiri atas sampul surat. Calon yang disenaraipendek sahaja akan dihubungi. Mereka yang tidak dihubungi 3 bulan dari tarikh tutup iklan dianggap tidak berjaya.

Wednesday, June 30, 2004

URUT MENGURUT
SAYA
tertarik membaca artikel mengenai Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia, Prof Dr. Zulkifli Ismail yang mengesahkan mengurut dengan teknik tertentu banyak kelebihannya dalam proses pembesaran si comel.

Dengan minatnya yang mendalam tentang hal ini dan keberkesanan urutan, beliau meneliti dan mentelaah pelbagai bahan bacaan dan kajian berkaitan teknik mengurut yang dilakukan di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Filipina. Dalam persidangan khusus tentang kardilogi di Miami beliau mendalami ilmu urutan ini dengan Dr. Tiffany Field, pakar psikologi dari Touch Research Institute. Tidak keterlaluan jika beliau dinobatkan sebagai pelopor teknik urutan bayi dan kanak-kanak di Malaysia.

Sebenarnya bukan kanak-kanak sahaja, kita yang dewasa ini juga akan mendapat nikmat dan kepuasan apabila diurut perlahan dengan teknik yang betul dan disertai dengan sapuan minyak yang sesuai. Jangan anggap lain ya, urut untuk seksual (cakar harimau) tu lain... ini urutan untuk santai, menikmati wanginya aroma minyak serai wangi contohnya, sambil relak, tenangkan fikiran...

Tuesday, June 29, 2004

KECAPLAH NIKMAT BAHAGIA

angan kini sah
Rudy jadi suami
isteri cantik


PERKAHWINAN
adalah peta masalah. Saya suka kata-kata itu. Dah banyak kali saya guna ayat keramat itu samada dalam sajak, dalam cerpen dan juga dalam novel-novel saya. Ada orang yang peta perkahwinannya elok terjaga rapi, di simpan baik-baik. Sedikitpun tidak mahu dibiarkan tercalar. Mereka juga tidak segan silu menunjukkan peta perkahwinan itu kepada orang lain, mahu berkongsi bahagia. Bagaimanapun ada juga yang terpaksa mengoyak peta perkahwinan mereka apabila peta berkenaan itu, tidak membawa mereka ke destinasi bahagia. Balada hilang arah tujuan ini membuatkan mereka mencari peta yang lain dan mencari haluan baru. Ya, perkahwinan sememangnya satu perjudian.

Monday, June 28, 2004

JADIKAN DIA IDOLA
SABTU
lalu telah diadakan Bengkel Motivasi Santai Bersama Fazley di Dewan Kuliah 2 Fakulti Teknologi Maklumat, Universiti Malaya yang dihadiri lebih kurang 200 orang pelajar. Apa yang hendak dikatakan di sini ialah mengenai penceramah hari berkenaan iaitu si kacak penyanyi dan pelakon Fazley.

kacaknya dia
Fazley jadi idola
gadis tersenyum

Saya hadir mewakili syarikat kerana dekan fakulti berkenaan turut hadir. Majlis anjuran Majalah Fokus SPM ini membawakan Fazley berdasarkan latar belakang berikut:
* Memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Master Of Business Administration, MBA), International Irish University, United Kingdom.
* Memiliki Sarjana Muda Perdagangan dan Pentadbiran, Pengkhususan dalam Pengurusan dan Perakaunan,(Bachelor Of Commerce and Administration, majoring in Management and Accounting)University of Wellington, New Zealand.
* Cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM): 8A1, Pelajar Terbaik SMK St. John 1995.
* Berpengalaman mengadakan hampir 50 program motivasi untuk pelajar sekolah, kolej dan universiti.
* Menggunakan majalah Fokus SPM dalam proses pembelajaran.

Saya nak tambah lagi - beliau seorang anak muda yang sopan, yang hormat pada mereka yang lebih dewasa, suka tersenyum, merendah diri dan merupakan `anak mak' yang apa-apa pun mesti rujuk mak dulu.

Sunday, June 27, 2004

SSquare
RResponsible
IIdeal
DDainty
IInsane
AAltruistic
HHuge

Name / Username:

Kenali diri daripada blog Cikgu Midad

Friday, June 25, 2004

ISO 9001:2000
ESOK,
Pengarah Urusan KKSB, Haji Hishamuddin Haji Yaacub akan melancarkan program 'Ke arah Pensijilan ISO 9001:2000 -Standard Piawaian Kualiti Antarabangsa Menjelang Januari 2005' bagi Ultimate Print Sdn Bhd. Pengiktirafan ini amat penting kerana selain melonjak imej syarikat ke tahap dunia, ia diharap dapat meningkatkan produktiviti pekerja dan kualiti produk yang dihasilkan.

Antara sebab mengapa ISO diperlukan ialah:
- menjadikan syarikat lebih berdaya saing
- membantu pemasaran dan jualan
- meningkatkan imej korporat
- meningkat kualilti produk dan perkhidmatan
- membantu operasi dalaman
- pengiktirafan antarabangsa
- memenuhi keperluan undang-undang.

ISO 9001:2000 bertunjang pada lapan prinsip:
- fokus terhadap pelanggan
- kepimpinan
- penglibatan semua peringkat pekerja
- pendekatan melalui proses
- pendekatan melalui sistem
- peningkatan yang berterusan
- pendekatan secara fakta untuk membuat keputusan
- berteraskan hubungan baik dengan pembekal

Semoga KKSB berjaya mencapai standard yang diharapkan dan kemungkinan besar untuk disenaraikan di Bursa Saham Malaysia semakin cerah. InsyaAllah.

Thursday, June 24, 2004

KELMARIN terdengar kata-kata ini di studio KKSB:

Rosyam Nor kata:
Aku yakin filem ni meletup. (Berlari ke Langit)
Mak Nani kata:
Penonton tak adil pada saya. (Bicara Hati)
Peguam Azean kata:
Lakonan adalah mata pencarian anak guam saya (Kes RM360,000)
Shuhaimi Baba kata:
Saya tak buat filem kosong. (Puntianak Harum Sundal Malam)
Penjual VCD kata:
Belum ada. Minggu depan sampai...
Kita kata: ?

Wednesday, June 23, 2004

STRES... BERAMBUSLAH
SEMALAM
berbicara tentang pengurusan masa. Stres juga banyak kaitannya. Sebenarnya ia rangsangan. Jika pandai mengurusnya kita akan cemerlang. Pati pada pengurusan stres ialah kesimbangan antara kerja dan rehat. Antara pergaulan dan bersendirian. Antara sibuk dan lapang dan antara jasmani dan rohani.

Pagi ni teringat kata-kata ini:
Dia adalah dia yang semalam
Aku adalah aku yang hari ini
Kecintaan bukan satu kebetulan.
Di mulutnya tiada hati, lelaki
Hatinya di mulut, perempuan...

Tuesday, June 22, 2004

MENGURUS MASA
JIKA
ada persamaan dikalangan penyelia, persamaan itu ialah kekurangan masa. Kita merasakan jika ada lebih masa tentunya kita akan melakukan banyak perkara dengan lebih baik. Pokok, pangkal, (daunnya?)ialah:
- Adakah saya telah menggunakan masa yang secukupnya untuk melakukan segala kerja-kerja yang penting?
- Bolehkah saya kurangkan masa yang diperlukan bagi membuat segala kerja-kerja yang kurang penting?
- Bolehkah saya menyerahkan sesetengah daripada kerja saya yang tidak penting kepada orang lain?
-Adakah semua kerja saya ini relevan atau bolehkah kerja-kerja saya ini diketepikan saja?
- Masihkah ada masa untuk saya "tidak membuat apa-apa"?
Pembahagian masa - Ada kerja yang perlu dibuat hari-hari (deadline?), ada yang perlu dibereskan secara mingguan (tulis novel?), secara bulanan (claim mileage?) dan tahunan (borang 360 darjah?).
- Notes for Managers, terbitan The Industrial Society, London. Dibeli semasa Pesta Buku KL 2004.

Monday, June 21, 2004

SELAMAT HARI BAPA & ULTAH
Semalam -
anak-anak mengucapkan Abah, Selamat Hari Bapa. Saya pun mengucapkan hal yang sama dengan ucapan; terima kasih kerana menjadi seorang bapa yang baik, pengasih dan bertanggungjawab pada anak-anak.

Hari ini - Anak-anak mengucapkan Abah, Selamat Hari Lahir. Saya pun mengucapkan hal yang sama dengan ucapan; tahniah, umur makin bertambah, semoga sihat, semoga sukses dan terus bertanggungjawab pada kami semua.

Dia anak bongsu dalam keluarga. Dia anak bongsu yang tipikal. Dibesarkan dengan sungai dan lumpur bendang. Dia yang sudah kematian ibu dan bapa. Anak yatim piatu ini amat sensitif. Bayangkan... dia bertemu dengan saya anak ketiga yang sarat kasih sayang. Saya yang mewah tawa emak bapa. Saya yang dibesarkan di kota yang kurang ajar.

Sunday, June 20, 2004

Thursday, June 17, 2004

MARI MAIN KUTU

"MAMA
main kutu? Kutu atas kepala tu?"
Semasa anak sulung masih kecil, saya sudah beritahu dia pasal permainan kutu. Itulah soalan pertama dia. Tetapi setelah diterangkan barulah dia faham dan sekarang mereka pun main kutu sesama adik beradik, iaitu RM2 seminggu, hasil daripada lebihan wang saku sekolah. Di sekolah pun si sulung selalu jadi ibu kutu sesama rakan sekolahnya.

Tak perlulah diterang lebih lanjut pasal main kutu kerana saya anggap semua dah tahu konsepnya bagaimana. Saya memang sudah mengetahui permainan kutu ini sejak kecil kerana mak saya selalu jadi `ibu/induk kutu. Kelakar! Bilal dah ada pendapatan sendiri saya terikut, turut join emak dan kawan-kawannya main kutu, sampai sekarang. Antara permainan kutu kami ialah kutu untuk emas, kain batik, barang elektrik, peralatan dapur, barang kemas, untuk pergi melancong dan umrah.

Tapi awas; jangan mudah percaya bila nak cari geng main kutu. Bagitu juga bagi ibu kutu/induk, kepercayaan dan tanggungjawab terletak di bahunya apabila mahu menerima orang baru dalam list. Saya sedang mencari dalil tentang sistem kutu ini dalam Islam. Siapa boleh bantu?

Ini kerana dalam permainan kutu; konsep saling percaya mempercayai, berpegang pada janji, hormat menghormati, bersikap mendahulukan yang dulu, bantu membantu (kalau ada yang nak giliran kita) amat diambil kira kerana urusan kutu ni tak ada black white melainkan buku tiga lima (555) dan seumpamanya yang dipegang oleh ibu kutu.

Antara risiko main kutu:
- lesap bila si polan dah dapat habuannya.
- ibu kutu hilangkan diri

SORRY, BARU NAK SUSUN KERUSI

* Saya memang datang awal hari ini kerana hendak menyiapkan kerja-kerja tertangguh sebelum ke tempat kursus. Antara lain nak posting entri untuk hari ini. Tapi niat nak buka kedai awal pagi tak tercapai, internet line tak restu.... sorry! Datang lepas lunch ya, nikmati hidangan minum petang.

Wednesday, June 16, 2004

KERUT DAHI

SEMAKIN
sesuatu perkara itu dapat difahami, semakin mudahlah ia disimpan dalam ingatan dan sebaliknya semakin sesuatu perkara itu kurang difahami, semakin mudahlah kita melupakannya.
- Benedict Spinoza

DAYA ingatan sentiasa ada; bersedia dan ingin sekali membantu - kalaulah kita meminta ia berbuat begitu dengan lebih kerap.
- Roger Broille

INGATAN seseorang ialah harta baginya, tidak kita dia kaya atau miskin. Ramai teman wanita saya merungut dan mengakui daya ingatan mereka agak berkurangan seiring dengan peningkatan usia. Saya ambil masa agak lama juga sama ada hendak angguk mengiyakan atau pun hanya diam, mungkin betul mungkin silap kenyataan itu.

Datuk Dr. Fadzilah Kamsah pernah mengatakan jika kita suka memakan kepala ikan, daya ingatan kita akan lebih cepat berkurangan - kita akan jadi pelupa. (Saya tengah kerut dahi nih sambil membayangkan enaknya kari kepala ikan makan dengan papadom dan nasi putih atas daun pisang di Restoran Amal!)

Seorang lagi teman wanita mengatakan; sejak dia bersalin secara pembedahan (4 kali) daya ingatannya menjadi agak lemah. Payah untuk flashback, susah untuk menggerakkan daya ingatan. Katanya mungkin kerana kesan bius yang lama semasa pembedahan dan dirinya sudah banyak kali dibius (4 kali). Kali ini pun saya masih lagi kerut dahi!

Tuesday, June 15, 2004

SETAJAM MANA PEMERHATIAN KITA?

LAMPU
apakah yang terletak di atas sekali pada lampu isyarat? Merah atau hijau? Mungkin kita menganggap pertanyaan ini mudah. Tapi bayangkan kita sedang menyertai satu kuiz dan soalan ini tiba-tiba menerpa? Tergagap juga hendak menjawabnya. Okey saya tanya lagi, lampu warna apakah yang terletak di atas sekali pada lampu isyarat? Jawab dalam masa tiga saat!

Kalau anda pasti jawapannya merah, anda merupakan sebilangan kecil orang yang telah memerhatikan apa-apa yang kebanyakan orang hanya melihat. Melihat dan memerhati jauh bezanya. Apabila saya ajukan soalan ini kepada kebanyakan orang, sama ada mereka memberi jawapan yang salah, lambat untuk menjawabnya atau tidak pasti walaupun mereka melihat lampu isyarat beberapa kali setiap hari. Sebenarnya ada banyak lagi ujian-ujian yang boleh digunakan untuk mengukur ketajaman daya ingatan seseorang.

- Saya sedang mentelaah buku berjudul Cara Membina Daya Ingatan Yang Tajam - Cepat dan Mudah tulisan Harry Lorayne terbitan Golden Books Centre yang dibeli semasa Pesta Buku KL baru-baru ini.

Monday, June 14, 2004

SOALAN & JAWAPAN YANG SELAMBA

PENGGAL
persekolahan sudahpun bermula. Wanita-wanita yang bersatus emak bekerjaya mulalah kembali sibuk. Sejak Jumaat lagi semuanya sudah diuruskan, gunting rambut anak, repair kuku, periksa kasut sekolah, beg sekolah, pakaian sekolah kebangsaan dan agama dan macam-macam lagilah. Bagi kami sekeluarga, waktu ini timbullah pelbagai cerita jenaka antara kami anak beranak. Antara lawak popular kami;

Anak sulung; mama, baju sekolah kak long yang ada tanda biru tu kat mana?
Mama; ntahlah, dalam peti sejuk kot.
Anak kedua; mama, abang punya tali kasut adidas yang baru beli tu kat mana ya?
Mama; agaknya dalam almari pinggan mangkuk kot abang...
Anak bongsu; mama, Ami punya pencil box yang gambar power rangers kat mana ya?
Mama; ntahlah Ami, agaknya kat dalam almari baju...

- semua sengih! -

Memang semua dah tahu apa jawapan saya kalau mereka bertanya soalan-soalan selamba macam tu sebabnya saya pun akan menjawab dengan selamba. Mereka bukan tak tau, tapi sengaja nak menguji tahap kesabaran emak mereka ni!

Anak-anak, merekalah penawar hidup kita. Mereka amat diperlukan dalam meniti hidup ini. Sekiranya mereka sakit, kita juga turut sama sakit, ketika mereka ketawa ria, kita pun turut sama menumpang bahagianya. Semoga mereka tidak menjadi racun dalam hidup kita.

Friday, June 11, 2004

JANGAN TU JANGAN NI...

PAGI
semalam saya dan seorang rakan bersarapan di warung. Setiap seorang daripada kami makan sekeping roti canai dan secawan nescafe panas. Rakan sarapan saya, slim dan cantik bodynya. Saya pun risik-risik rahsia dia mengekalkan bentuk badannya. Banyaklah juga tips yang dia berikan. Antaranya;
- Selesai makan, jangan terus minum air. Biar dulu dalam setengah jam baru minum.
- Jangan suka sangat makan mi, nanti lengan jadi besar
- Jangan makan berdiri nanti perut buncit
- Makan buah dulu baru makan nasi
- Jangan minum air banyak sangat nanti perut boroi
- jangan tu jangan ni... banyaklah pantang...
- (tapi tak aci jugak sebab dia masih solo, berbeza dengan saya yang dah ada anak tiga dan tiga-tiga anak tu keluar kot `tingkap'! Lagipun dia baru awal 30-an sedangkan saya dah 40 karat!) Oh ya, lihatlah gambar kami bercuti di Langkawi di sini. Nampaknya saya dan anak-anak tak boleh makan mi dan minum air dengan banyak. Suami okey saja. Sob sob sob :-(

Thursday, June 10, 2004

PERISTIWA 26 APRIL & 9 JUN

RAMAI bloggers yang komen tentang six sence atau telepati yang saya paparkan semalam. Terima kasih. Tapi telepati saya tidaklah sampai kepada melihat benda-benda halus, perkara ghaib, hanya setakat biasa-biasa saja. Terima kasih atas nasihat EP. Sebenarnya beliau juga seperti sudah dapat mengagak apa yang saya rasa pada suatu hari bertarikh 26 April 2004 yang lalu. Sorry EP. InsyaAllah saya tak akan jadi riak, saya takut. Pokoknya ALLAH memberi, kita sama sama merasainya.

SEMALAM 9 Jun merupakan Hari Weblog Antarabangsa. Semua bloggers menyambutnya dengan pengertian tersendiri. Saya juga. Namun, saya baru sahaja mengenali dunia weblog - rasa masih canggung. Berbeza dengan menulis di media cetak yang sudah saya ceburi berpuluh tahun - dah rasa manis, pahit dan maungnya. Berapa peratus manis, pahit dan maung? Kira-kiranya 70% manis, 20% maung dan 10% pahit. Gitulah lebih kurangnya.

Wednesday, June 9, 2004

NALURI

MAHA SUCI ALLAH,
saya berkali-kali mengucap panjang ketika ini. Waktu sekarang hampir 1.40 dinihari, mata saya sudah mahu lena. Namun hati saya kuat mengatakan jangan tidur dulu, ada sesuatu akan berlaku...

Lalu setelah selesai membuat tambahan plot untuk novel terbaru (Hitam Putih Cinta - Judul Sementara) saya kembali melihat blog ini. Dan apa yang saya jangka terjadi... Khatijah Shukor, kawan semasa kami berusia 17 tahun muncul di tagboard! (Kami bertemu semula di Langkawi masa musim cuti lalu. Dulu kami solo dan kini masing-masing sudah beranak tiga).

Yes. Inilah antara telepati yang pernah saya tulis pada blog Pak Wattan dan saya berhutang topik ini dengan beliau, baru kali ini ditunaikan (harap-harap Pak Wattan selamat bertemu supervisor di Belgium).

Bukan kali ini saja. Sudah banyak kali seusia hidup saya perkara sebegini terjadi. Contohnya kalau saya kehilangan barang seperti kerongsang, beg duit, subang, jam tangan, kunci kereta dan sebagainya, saya jarang menggelabah tak tentu hala kerana naluri saya mengatakan barang tu ada, nanti akan jumpa juga akhirnya. Dan tak lama selepas itu saya dapat semula barang yang hilang itu.

Atau jika dijalanraya, sambil memandu hati saya berbisik sendiri seperti ada yang tak kena. Lalu saya memperlahankan kenderaan, masuk ke laluan perlahan dan tup tup di depan sana ada road block! Contoh kejadian lain; bila suami outstation saya jarang menelefon, cukup sekadar menyebut perlahan nama dia dan tak lama selepas itu dia mesti menelefon saya.

Berbalik pada kisah Khatijah, semasa menurunkan barang-barang dari kereta sewa di airport saya dan suami membahagi tugas. Saya menghantar kereta ke tempat kereta sewa dan dia menguruskan bagasi. Tetapi hati saya tergerak untuk bertukar tugas kerana mula terasa sesuatu bakal berlaku. Kami kompromi semula, biar saya yang bereskan urusan tiket dan bagasi, dia yang menghantar kereta sewa. Dan tatkala urusan bagasi itulah saya bertemu semula dengan Khatijah!

Saya berterima kasih dengan naluri yang ALLAH beri ini dan saya sama sekali tak menyalah-gunakannya. Ramai rakan yang tahu `kelebihan' telepati saya dan banyak kali mahu menggunakan `khidmat ini' tapi sebenarnya ia tak boleh dipaksa, tak boleh disuruh-suruh. Dalam apa jua keadaan ia akan hadir dengan sendiri.

Rasanya bukan saya seorang mendapat anugerah ini. Saya tahu ramai lagi yang lain, marilah kita kongsi pengalaman menarik ini.

Tuesday, June 8, 2004

MASALAH DATANG... JANGAN LARI!

MASIH
lagi tentang Langkawi, kali ini saya nak berikan beberapa senarai RM yang diperlukan sepanjang di sana seperti yang ditanya Nadahas. Antaranya:
- Tambang Air Asia sehala, dewasa RM160
- Executive Room City Bayview RM120 semalam
- Kereta sewa RM110 sehari (Wira/Iswara/Nissan Sentra)
- Ke Pulau Payar RM100 dewasa RM80 kanak-kanak termasuk lunch
- Underwater World RM18 dewasa RM10 kanak-kanak
- Galeria Perdana RM3 dewasa kanak-kanak free
- Taman Burung RM15 dewasa RM8 kanak-kanak
- Makam Mahsuri - free
- Beras Terbakar - free
- Dataran Lang - free
- Cable Car Mat Chincang (tak tau, tak pergi pun ke sana)
- ... RM lagi untuk shopping, duit minyak dan makan-makan.

SAYA dah tengok dah gambar persandingan Rudy dan Insyirah di blog Nadahas. Sungguh segak si raja sehari dan ratu sehari pun apa kurangnya, come lote. Agaknya ramai ke yang nak ke Banting hujung bulan ni bagi majlis sambut menantu?



rindu bak hujan

kasih angin selatan

cinta berkahwin

Memang ralit tengok gambar orang bersanding, teringat zaman kita bersanding dulu. Ya, bak kata ahli falsafah; perkahwinan adalah peta masalah, hanya mereka yang bijak, yang sabar dan yang berperasaan sahaja yang akan menikmati manisnya berumah tangga. Segala masalah ada jalan keluarnya. Pokoknya jika orang lain boleh bahagia mengapa kita memilih untuk bersengketa? Jika orang lain berhak ketawa ria kenapa kita hendak bermuram durja?

Inilah sebahagian daripada berjuta falsafah tentang perkahwinan. Semoga JANGAN ADA DUSTA dan tiada masalah hendak menyampaikan surat dari Mahkamah Rendah Syariah seperti judul KUALA LUMPUR DI MANA SUAMIKU. Saya ke blog Kak G tadi. Rasa seram sejuk membacanya. Hari ini bergaduh sakan, esok lusa laki bini boleh berpeluk mesra...

Monday, June 7, 2004

KENAPA LANGKAWI?

15 TAHUN
dulu tanpa anak... 15 tahun kemudian datang bawak anak-anak. Kawan-kawan ketawa besar apabila saya kata mahu honeymoon ke Langkawi dengan anak-anak. Ya dulu first honeymoon ke sana kami berdua tanpa zuriat dan Rabu lepas anak-anak pertama kali menjejak kaki ke Langkawi.

Sebenarnya bila Cuti Cuti Malaysia bersama anak-anak, kemesraan semakin rapat. Anak-anak pulak dah besar, mereka tidak mengganggu. Masing-masing dah pandai bawak diri dan jaga diri. Ini bukan bermakna kami lepas tangan tapi seronok melihat anak-anak lepas bebas bertindak dan berfikir (dengan pegawasan dari jauh). Membimbing mereka melihat peta, membantu kita tunjuk arah, belajar tentang sejarah, tentang pemuliharaan kesan silam dan memikirkan apa yang best dan tak best tentang Langkawi.

Bagi saya banyak tempat lawatan yang dah tak sebagus dulu. Kebanyakannya dah usang, dah tak dijaga. Mana silapnya? Kerajaan Negeri Kedah atau Kementerian Pelancongan? Banyak resort kecil terbengkalai tak dijaga. Makam Mahsuri nampak macam dah tak real, Beras Terbakar dah tak semeriah dulu, Galeria Perdana agak sunyi, Kampung Buku cuma tinggal kenangan. Kalau yang best sikit hanyalah Cabel Car, Underwater World dan Pulau Payar selain membeli belah sakan di Pekan Kuah. Itu saja.

Bila disuruh undi, anak-anak memberi markah lebih pada Pulau Payar. Memang pun, kami seronok gila di sana. Tambang feri dan pakej makan RM100 untuk dewasa dan RM80 untuk kanak-kanak. Feri luas dan boleh memuatkan hampir 100 orang. Set snorkling dipinjamkan untuk setiap orang. Seharian berkawan dengan tiger fish, berenang bersama anak paus, mengacah anak nemo, memberi mereka makan serta menunjal-nunjal perut buncit si gamat amat melekakan. Ya, kami sunburn di pulau ini.

Selain itu mengunyah coklat import, pistashio nuts dan hazel nuts dah jadi rutin selama 4 hari di Langkawi (ah... jerawat saya muncul kembali!) Laksa Penara di Dataran Lang diulang setiap hari. Best. Sedap. Hanya berjalan kaki dari City Bayview Hotel ke deretan kedai membeli belah yang dipenuhi ramai pelancong, saya sibuk membelek pinggan mangkuk dan kain batik Jawa. Tapi bila fikir balik... semua tu dah ada, tak beli pun tak apa. Jadi dengan insaf diri saya letak balik semuanya. Akhirnya saya hanya membeli satu set memanggang dan mengukus ikan! Suami pula sibuk mencuba pelbagai tembakau import untuk paipnya. Minyak gamat RM10 untuk 12 botol. Saya borong dua dozen saja sebab emak memesannya.

Rasanya cukup setakat ni dulu. Nanti saya tambah lagi.
(Sorry tak sempat nak masukkan gambar-gambar...)

Wednesday, June 2, 2004

Tarikh: 2 - 6 Jun 2004
Flight: AK 500 KLIA
Time: 11.am
Destinasi: Langkawi
Lokasi: City Bayview, Pekan Kuah
Tema: Honeymoon
Konsep: Free & Easy (Cuti Cuti Malaysia)


Tuesday, June 1, 2004

TEKANAN ATAU TERTEKAN

MUSIM
sekolah datang lagi. Bagi yang bekerja, mood di pejabat ada masam ada manis - staf bercuti bersilih ganti ikut giliran. A ambik cuti tiga hari, lepas tu giliran B pulak. Memang ramai yang memanfaatkan musim Cuti-cuti Malaysia ini. Bagaimanapun tension tetap ada pada yang tak dapat cuti. Kerja menimbun nak dibereskan. Nak buka fail, tutup fail, buka fail lagi. Sini saya berikan sikit tips;

- Apabila kita berada dalam keadaan tertekan, kita cenderung bernafas dengan cepat. Hal ini akan meningkatkan tekanan darah kita. Jesteru itu, apabila kita berasa tertekan cuba tarik nafas dalam-dalam, perlahan-lahan dan lepaskan selama 6 saat. Lakukan aktiviti ini selama lebih kurang 5 minit. Sambil tu mengucaplah dalam hati. Cubalah...

Monday, May 31, 2004

SEMOGA BUKAN PERTEMUAN AKHIR...

ALHAMDULILLAH
tamatlah sudah Pesta Buku Kuala Lumpur 2004 yang berlangsung dari 21 - 30 Jun lalu. Letih, lenguh & puas rasanya. Acara besar ini yang menghimpunkan ulat-ulat buku juga menjadi medan pertemuan rakan sekolah, rakan kolej, bekas rakan kerja dan kawan-kawan baru. Saya sempat jugak berbual dengan Datuk Dr. Mashitah Ibrahim & anak-anak. Di sini saya listkan geju yang saya jumpa sepanjang pesta buku. Thanks semua, saya gembira amat sangat!

1. Seri Adriani (mana Azlan?)
2. Walilnongsari (tak pakai baju silat)
3. Idham (teringat miss saki)
4. Liza (awok! & Aishah)
5. Baiti (thanks for the notes)
6. Zar (sure dtg dgn kereta baru!)
7. EP (thanks for coffee, sandwich & sweet muffin)
8. OP & Mulan (cerita ttg apartment tepi kesas highway!)
9. Wkdin (win-win situations)
10. MBA (dari semejid terus ke pwtc)
11. Sayangzzzz & hubby (rushing nak balik KT)
12. Mushroomcute & bodyguard
13. Riz (berapa RM habis?)
14. Mely & geng (gila sakan dgn zed zaidi)
15. Abrar (kecik molek orangnya)
16. Nida (first time jumpa)
17. Basrie & wife (ingatkan anak dia lelaki!)
18. Cnma & Shuth (darah manis woii...)
19. Donna Jollie(with JR, anak-anak dan adik Jollie)
20. Azah (Hanya Sayang)
21. Zino & mem (mem dia leka belek buku masak)
22. ... nama siapa lagi yang tertinggal?

Tak sempat jumpa:
1. Nazmi & Zaid Akhtar (suara Nazmi di hujung telefon. nanti jumpa ya!)
2. Tipah Vouge (dtg masa rehat la pulak...)

Booth Alaf 21 sakan dengan penulis novel manakala booth Karangkraf sesak dengan peminat Roshyam, Maya Karin, Zed Zaidi, Amy Mastura dan ramai lagi. Thanks semua, juga kepada yang beli novel saya. Saya amat hargai susah payah kalian utk ke PWTC walaupun keadaan amat kelam-kabut di luar PWTC dgn hujan selebatnya dan banjir kilat melanda Kuala Lumpur. Luv you all :-)

Friday, May 28, 2004

KERANA KITA
___________________________________________________

Kerana dia telah kupanggil suami;
Masa lalu tenggelam bersama bulan bersama matahari
Masa depan adalah hidangan kasih nan luas tak terperi
Entah hiba, entah ceria, entah tak ada, ia misteri

Kerana aku telah dipanggil isteri;
Nescaya kusongsong hari dengan erti
Kentalnya semangat, mimpi bukan ilusi
Mercu cinta ini tidak lunyai menemani hari

Perkahwinan adalah kota maaf gerbangnya setia
Simpanlah aib kerana ia adalah rahsia
Sanggulkan wangi jujur pada hati
Kutiplah bunga damai di sisi hari

Dalam belentara cinta yang menyala
Perkahwinan ini anugerah dari tepukan bahagia
Kita terus melangkah tanpa curiga malah siaga
Menyandang restuMu Illahi, Rabbul Izzati

Kerana kita;
Suami adalah nafas hidup
Isteri adalah nadi jiwa

Sri Diah
Kuala Lumpur
28 Mei 2004
* Sempena 15 tahun bersuami isteri


Thursday, May 27, 2004

BERCERITALAH, JANGAN MEMBEBEL

BERCERITA
dengan baik mememerlukan skil. Namun di antara kita, tidak ramai yang boleh menjadi seorang pencerita yang baik kerana kebanyakan kita hanya menjadi pendengar yang baik. (Kebetulan masih dalam musim Pesta Buku Kuala Lumpur, jadi entri ini masih lagi menyentuh tentang dunia buku dan pembacaan.)

Sejak kita masih kecil emak atau bapa selalu bercerita sebelum kita tidur. Jika mereka boleh membaca dan ada buku yang hendak dibaca biasanya mereka akan merujuk pada buku-buku. Sambil tangan kanan memegang buku, tangan kirinya mengusap kepala kita perlahan-lahan. Kalau tak faham emak akan cerita semula, hinggalah kita terlena sendiri. (Alhamdulillah saya dapat merasai nikmat itu semasa masih kecil.) Sebenarnya teori kebersamaan sebelum anak tidur itulah yang ingin ditekankan. Cerita sambil nasihat.

Tetapi itu dulu, suasana amat berbeza dengan masakini. Sekarang anak-anak dah lebih awal boleh membaca, anak-anak juga sudah menerima bermacam bentuk cerita (sin shan, doremon, komik dll) tidak lagi cerita tentang Anak Raja dan Harta Tergantung, Si Kancil yang Cerdik, Sang Ular dan Sang Arnab. Ini menjadikan mak bapa dah tak enjoy nak bercerita. Ditambah dengan keletihan kerana seharian bekerja.

Kata seorang ahli psikologi, masa yang berkualiti itu amat penting (masa sebelum anak tidur). Beliau cadangkan, selain daripada emak bapa bercerita, mereka juga mesti menyoal anak. Ada situasi interaktif. Ada soal jawab. Ada pro dan kontra untuk menguji mereka. Contoh:

Emak: ... Setelah penat berjalan, Salmi berhenti di bawah pokok. Dahan pokok itu besar, panjang dan mempunyai daun yang panjang serta lurus. Agaknya pokok apa tu?
Anak: Pokok kelapa
Emak: Ok betul. Apa guna daun pokok kelapa?
Anak: Buat lidi penyapu.
Emak: Lagi?
Anak: Cucuk sate!
Emak: Lagi?
Anak: Buat penunjuk mengaji
Emak: Lagi? Tempurungnya pulak? Batangnya?

So teknik bercerita tadi telah menjadi satu sesi soal jawab. Di masa yang sama kita telah mengerah si anak berfikir dan tidak hanya menerima saja apa yang kita beri. Sekianlah pendapat saya. Mohon mencadangkan....

Wednesday, May 26, 2004

DULU LAIN SEKARANG LAIN - DULU MALAS SEKARANG RAJIN

SAYA
amat tak bersetuju dengan statment yang kononnya masyarakat Malaysia malas membaca. Orang kita juga dikatakan hanya membaca beberapa baris ayat dalam setahun. Rasanya itu dulu... dulu pun rasanya kurang tepat sangat. Kita lihat sekeliling dan mendapati aktiviti membaca sudah menjadi satu budaya kini. Jika dulu payah nak lihat orang kita membaca sambil tunggu bas, sekarang dah ada. Dalam teksi, dalam lrt, komuter, dalam kereta (bukan si pemandulah) pun kita boleh lihat keadaan ini. Bahkan anak-anak muda, sambil tunggu seseorang, pun dah mula suka membaca.

Kebetulan musim Pesta Buku, saya suka nak menyentuh hal ini dan membawa anda ke booth Karangkraf. Tahun ini Karangkraf mengambil 30 lot. Tauke meluluskan pertambahan lot ini berbanding tahun lalu demi menyedari peri pentingnya kami memenuhi kehendak pembeli. Semua 29 penerbitan boleh diperolehi di sini. Antara yang turut menjadi tumpuan ialah majalah-majalah francais Dewan Bahasa & Pustaka. Mungkin selama ini pasaran tidak sampai ke tangan pembeli, mereka datang ke booth Karangkraf dan mencari yang backdated issue.Ada.

Mengenai novel Alaf 21 lagilah membanggakan. Naskah ulang cetak memang dinanti-nantikan. Ada judul yang sudah lima kali ulang cetak dan mencapai jualan keseluruhan sebanyak 50 ribu naskhah. Bukankah ini menunjukkan peratus orang membaca sudah makin bertambah? Strategi membawa penulis bertemu peminat juga amat bermakna. Banyak yang positif boleh dikutip hasil pertemuan itu. Percayalah, sudah ramai yang kembali membaca... terima kasih!

Tuesday, May 25, 2004

TROLI PASAR DI PESTA BUKU

DI KARANGKRAF,
sesiapa yang terbabit mengikuti kursus pada hari Ahad berhak mendapat cuti gantian. So saya pun mengambil cuti gantian yang diperuntukkan itu semalam. Boleh tahan jugalah sibuknya sebelah pagi maklum tiada di rumah dua hari. Menjelang petang pula saya angkut anak-anak ke PWTC (mereka juga bercuti kerana Sabtu ada mesyuarat PIBG sekolah). Taktik saya, supaya mereka tidak kacau saya Sabtu dan Ahad ini sebab saya nak jumpa ramai GEJU.

Tadi saya sempat melihat satu perubahan ketara dalam senario membeli belah buku di Kuala Lumpur. Oleh kerana hari ini hari bekerja, maka suasana tak begitu sibuk di PWTC. Saya perhati ramai yang membeli-belah sakan (orang gomen dah gaji!. Mereka membeli buku-buku serius (akademik) di booth lain dan singgah di Alaf 21 membelek-belek, membeli novel untuk relak minda kata mereka.

Ya, saya bangga melihat mereka menyorong TROLI! Troli tu macam troli yang biasa di usung ke pasar. Kalau dulu kita melihat pengunjung menjinjit beg plastik dari satu booth ke satu booth, tapi sekarang tak lagi. Dalam troli tu penuh dengan buku-buku. Bukan pembeli berusia saja, yang muda-muda pun begitu jugak. Ya, trend positif tu membanggakan.

Satu lagi saya lihat ramai orang lelaki beli buku resipi. "Nak belajar memasak ke?" Soal saya. "Tak lah... nak bagi isteri." Eloklah tu... jangan asyik nak komplen saja isteri tak pandai masak atau isteri masak tak sedap. Eloklah beli buku resipi dan suruh isteri belajar masak supaya dapat memasak yang sedap-sedap untuk suami.

* Lihat jadual bertugas penulis Alaf 21 di laman CIK ADIK NI

Monday, May 24, 2004

BELANG SIAPA LEBIH HEBAT?

A'kum;
I'm back! Dari hutan banat di Broga, Semenyih, Negeri Sembilan, kini saya sudah kembali ke Kuala Lumpur. Dua hari satu malam tanpa suratkhabar, tanpa telefon/h.phone, tanpa elektrik, sure tanpa televisyen, radio dan tanpa aircond, kami bersungguh-sungguh menetapkan hati bahawa yes we can survive! Bukan sahaja harimau malah kalau ular datang menggigit kami akan menggigit ular itu semula kerana kami lebih ular daripada ular itu!

Sebut tentang ular dan harimau (haiwan)saya teringat tentang pelbagai bidalan tentang haiwan. Begitu jugalah ramai yang mengatakan - Ada banyak haiwan dalam kelompok manusia tetapi tidak ada manusia dalam kelompok haiwan. Sampai ada bidalan haiwan yang merujuk pada manusia. Contohnya; mati katak; haruan makan anak; macam kerbau dicucuk hidungnya dan banyak lagi. Semua itu menunjukkan betapa hebatnya manusia dibandingkan dengan haiwan!

Cuba perhati pepatah ini pula : HARIMAU MATI MENINGGALKAN BELANG, BILA MANUSIA MATI, BARULAH NAMPAK BELANGNYA! Silalah rujuk pepatah ini dengan beberapa laporan akhbar akhir-akhir ini dan silalah buat intrepetasi sendiri. (Bagi saya sepatutnya dibicarakan di mahkamah tertutup saja)

Friday, May 21, 2004

8 JAM DALAM PERANG

HARI
ini saya ingin menulis sedikit tentang minat dan tanggungjawab. Analogi paling ringkas begini; saya minat menulis tapi saya ada tanggungjawab kerja. Macamlah seorang tukang masak, dia minat memasak tapi dia diberi tanggungjawab mengira jumlah kalori setiap masakan dengan detail. Ataupun seorang tukang cat yang minat mengecat tetapi dia hanya dibolehkan mengecat hanya satu kerusi saja sehari. Padahal kalau diikutkan dia boleh mengecat 50 kerusi sehari.

Apa yang saya alami kini samalah dengan apa yang telah dilalui oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said lebih 12 tahun lalu apabila diarahkan menjadi seorang pentadbir di NST. Awal-awal lagi beliau sedar tanggungjawabnya sehariannya itu nanti akan mematikan minatnya pada sastera. Lalu beliau nekad resign. Beliau enggan jadi pentadbir. Beliau tidak mahu masanya dihabiskan dengan kerja-kerja rutin - meeting, deadline, printing, promotions, circulations, advertising, karenah staf, karenah bos, soal out-station, headline, caption, blurb, cover, fokus magazine, konsep foto dan sebagainya.

Keputusan meletak jawatan adalah kekuatan luar biasa Pak Samad. Setahun selepas itu, kami berjumpa. Saya tanya soalan yang dijawabnya dengan ketawa panjang. "Tak mengapalah Sri, saya sudah terlalu tua untuk kerja pejabat. Saya rindukan bas mini, driver teksi, Pasar Seni, Petaling Street, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan masa senggang membaca puisi di DBP."

Ya, saya juga selalu rindukan HITAM PUTIH CINTA (judul sementara) apabila setiap masa diburu kesibukan pejabat. Uuuhhh...!

Thursday, May 20, 2004







 PESTA BUKU KUALA LUMPUR

Tarikh: 21 - 30 Mei 2004

Masa: 10 pagi - 9 malam

Tempat: Dewan Tun Razak 3, Aras 3, Pusat Dagangan Dunia Putra

Lokasi Alaf 21 & Kump. Karangkraf No: 3220 - 3251 (30 lot)

Tarikh saya bertugas: 28hb - 30hb Mei 2004 (11 pagi - 6 petang)

JUMPA DI SANA....!

 


Wednesday, May 19, 2004

TERUNA EMAS VS WANITA EMAS

FAKTA
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan bilangan lelaki yang tidak berkahwin melebihi bilangan wanita yang tidak berkahwin. Sudah semestinya perangkaan itu diberi setelah piha LPPKN menjalankan pelbagai kajiselidik.

Saya ingin anda merujuk fakta ini pula:
1. Wanita terpelajar antara faktor kenapa mereka lambat kahwin. Betulkah?
2. Wanita lambat kahwin kerana lelaki kolot. Betulkah?
3. Wanita malas berkahwin kerana lebih percayakan kaum sejenis. Betulkah?
4. Semakin ramai lelaki lembut antara punca statistik lelaki lambat kahwin meningkat. Betulkah?
5. Bertambahnya lelaki homoseksual menyumbang kepada statistik lelaki lambat kahwin. Betulkah?
6. Seks bebas semakin berleluasa menjadi faktor lelaki enggan berkahwin.

Cuba-cubalah anda renungkan pendapat rambang ini.

Sunday, May 16, 2004

GURU BERKUALITI PEMANGKIN KEGEMILANGAN

SAYA
ingin mengucapkan Happy Teacher's Day kepada semua guru di seluruh Malaysia. Tidak kira guru tadika, guru sekolah rendah, sekolah menengah, tutor, pensyarah, ustazah, tok guru, tok imam, guru bersara, ibu bapa yang tak kering idea mendidik anak-anak dan anda semua yang menjadi guru dalam hidup masing-masing.

Kepada semua guru-guru yang mendidik anak-anak saya, kepada semua bekas guru, saya ingat anda semua. Terima kasih kerana mendidik kami. Saya sayang anda! Kepada rakan blog; Cikgu Yazmeen , Cikgu Nectar, Cikgu Midad, Cikgu Rajiah di UK yang tengah bercuti mengajar, Angah di UK - bekas guru, Muring, Crimsonsky dan ramai lagi, Selamat Hari Guru saya ucapkan. Keikhlasan guru-guru dalam menunaikan tanggungjawab amat disanjung tinggi!

Friday, May 14, 2004

ENJOY... JANGAN TAK ENJOY

SAYA
dapat merasakan kegembiraan dan semangat tak sabar-sabar sebahagian ahli GEJU yang hendak berkumpul di lokasi kepunyaan Kak G dan famili di KLD. Apa nak kata... saya tak boleh turut serta kali ini kerana ada beberapa perkara yang perlukan komitmen saya. Memang hati nak pergi tapi kaki tak boleh melangkah pergi. Ewah, indahnya bahasa Melayu kita kan!

Kepada semua saya ucapkan selamat bergembira dan selamat mengenali alam yang penuh dengan rahsia, mengenal bahasa pokok, memesrai indahnya mentari pagi dan redup petang. Melihat indahnya awam gemawan yang akan berkahwin di tengah tasik jika hari terang. Melihat bulan mengundur diri kala syuruk. Mendengar bunyi unggas. Melihat nikmatnya pacat menyedut darah. Melihat kepak beburung yang bangga dapat terbang bebas. Segala-galanya....

Sebelum pergi pastikan semua yang penting dibawa bersama. Kepada yang sakit jangan lupa ubat-ubatan. Yang tak sakit pun kena ready jugak. Jangan tertinggal cermin mata, pakaian sukan, h/p, rm, baju, kasut, stokin dan asam boi...(visa tak payah!) Ok happy holiday, semoga selamat pergi dan selamat balik. Sampaikan salam saya untuk semua.

Thursday, May 13, 2004

DARIHAL BULAN MEI

MAAF,
hari ini lambat sedikit menulis entri. Sorrylah bila datang tak ada apa yang saya hidangkan. Oh ya, terima kasih dengan ucapan anniversary in advance. InsyaAllah, semoga semua yang mendoakan kebahagiaan untuk saya akan mendapat juga kebahagiaan bersama.

Memang Mei atau bulan 5 merupakan bulan istimewa bagi saya dan keluarga. Cuba perhatikan - Tarikh 2 Mei 1985 merupakan hari pertama saya melapor diri bertugas di Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. kerana 1 Mei adalah cuti umum yang dipanggil Hari Buruh waktu itu. Tarikh 2 Mei 1987 pula saya dilantik ke jawatan Editor Bacaria. Manakala bermula 2002, 1 Mei telah diisytiharkan sebagai malam ulangtahun Karangkraf serentak dengan jamuan makan malam untuk semua staf dan spouse. Kami akan meraikannya setiap tahun pada tarikh ini.

13 Mei 1969 telah mencatat tragedi berdarah di negara kita dengan persengketaan antara kaum hingga berlakunya huru-hara. Tetapi 13 Mei 2004 (hari ini) merupakan hari gembira kepada suami saya. Pukul 9 - 12 tengah hari ini dia bersama beberapa orang rakannya mengadap Kebawah Duli Sultan dan Sultanah Kedah di Istana Anak Bukit dalam satu upacara penuh istiadat. (Okay dear, you deserve it!).

Eh, cerita tentang Mei tak habis lagi - pada 13 Mei 2003 (2+3=5!), 5 novel saya bersama Alaf 21 telah dilancarkan di Hotel Singgahsana Petaling Jaya oleh Datuk Azalina Othman Said. Dan tak lama lagi 28 Mei akan tiba. Bilangannya pun ada nombor 5 - 15 tahun! Oh, semua ini hanya kebetulan bagi saya.

Wednesday, May 12, 2004

ANTARA KITA

Kerana sumpah telah kita lafazkan
Perkahwinan yang berdiri dengan cinta
Bukan alasan tiada curiga menerpa

Mari bersama kita bunuh prejudis
Kerana anganan bahagia adalah serapuh awan
Dan sengketa akan merebak bagaikan kudis
Menaburkan marah dan rasa pesimis

Ini dunia lama yang masih baru
Jika malam ini datang wahyu
Bangkitlah, jangan tak tahu
Aku adalah cermin yang tak pandai menipu

Menyandang kesabaran dengan tali kesetiaan
ia menduga rasa gundah, bagai menadah
bilakah dunia akan sempurna
hilang ego lelaki, hilang segala
dan wanita bangkit dengan kecapinya
menerobos sekawan bimbang dan secangkir rendah diri
bahawa ini adalah dunia, bukan ilusi

Diriku adalah api uji
Dirimu ada setia dalam diri

Bandar Tun Razak
28 Mei 2003


Sajak ini saya sumbangkan kepada pasangan bakal pengantin - Rudy dan Insyirah sempena perkahwinan mereka tidak lama lagi. Sajak ini pertama kali tersiar di laman penyair di communityzero pada tahun lalu. Mengapa tahun lalu? Sebenarnya sajak ini adalah sajak sempena ulangtahun perkahwinan saya dan suami yang ke 14 tahun pada tahun lalu. Dan tahun ini 28 Mei akan tiba tak lama saja lagi...

Monday, May 10, 2004

ADA KERJA ADA GAJI

SEBAGAI
seorang isteri, ibu kepada tiga anak, anak kepada seorang emak, pekerja dan komuniti dalam masyarakat, cuti dua hari pada Sabtu dan Ahad lepas bukanlah rehat sepenuhnya. Kebetulan dua hari itu jatuh pada sambutan hari ibu yang diraikan oleh kebanyakan orang. Jadi antara membereskan hal dalam rumah, hal luar rumah pun kena dibereskan juga. Antara jemputan kenduri kahwin, jemputan jiran dan kenalan kerana mendoakan kesejahteraan ibu dan sambutan hari ibu majalah Seri Dewi dan Keluarga di PJ Hilton, saya terpaksa memenuhi semuanya.

Mujur juga dua hari itu saya tak naik `hangin' bila tagboard blogspot buat hal. Mulanya saya repair sendiri dan akhirnya mentor datang hulurkan tangan, bolehlah bernyawa sikit tagboard tu. Thanks. Tapi tak lengkap lagi... kena letak mekap lagi!

Seperti pekerja biasa, awal bulan agak memenatkan. Banyak urusan pejabat antaranya urusan claim mileage, claim luar daerah dan urusan deadline majalah bulanan serta pemantauan disiplin bulan lalu.

Pokoknya KERJA. KERJA. KERJA. Boleh tak kalau kita tak pergi kerja tapi RM masuk saja? Kata kawan saya boleh kalau jadi isteri Pengiran Sufri Bolkiah. Tapi... kita ni sekadar di pinggiran saja!


Friday, May 7, 2004

DEMI RASA KASIH DAN KASIHAN

DIA bukan anak kita. Tapi dia saudara kita. Sebanyak RM260 ribu masih diperlukan bagi membolehkan penghidap penyakit bengkak hati (biliary atresia), Safiyyah Khadijah Iskandar, 26 bulan, menjalani pembedahan pemindahan hati yang dijangka pada akhir bulan depan. Ibunya, Nurulhaida Rabu, 27 sesuai untuk menderma sebahagian hatinya untuk menyelamatkan Safiyyah Khadijah.

Antara idea untuk menambah tabung kewangan:
- Pertandingan golf amal
- Kutipan derma di surau dan masjid
- Kempen `Nesa Team Charity'
- Kutipan derma pintu ke pintu

Lebih mengharukan ialah apabila Mohd. Ezani Yaakob iaitu bapa Allahyarham Nur Nesa Uzma, kanak-kanak bengkak hati yang meninggal dunia setelah menjalani pemindahan hati, menawarkan bantuan untuk menyebarkan risalah `Rayuan Tabung Misi RM300,000 Safiyyah Khadijah' di plaza tol. Beliau dan rakan-rakan dalam `Nesa Team Charity' yang menjayakan misi kutipan itu dahulu, kembali untuk membantu Safiyyah pula walaupun anaknya sendiri telah meninggal dunia.

Hulurkan sumbangan kepada Adik Safiyyah Khadijah melalui akaun: EON Bank 0539-11-000161-9 atau hubungi Bilik Gerakan 03-61575592


Thursday, May 6, 2004

SAYA YANG BUKAN SAYA... SEMALAM

TENGAH
hari semalam saya `angin'! Sebenarnya saya jarang naik angin. Kawan-kawan rapat tau sikap saya ni. Kalau boleh saya cuba elak daripada naik angin dengan orang lain tak tentu pasal. Tapi semalam dah terover sikit. Ceritanya macam ni... bukankah kita cuti panjang bertindan-tindan seminggu lepas, jadi banyaklah bil yang tertunggak. Mana yang boleh online dengan Maybank2u dah dibereskan. Tapi bil rumah dengan kereta, kenalah selesaikan cara manual. Bank pulak kalau setakat bawah RM3 ribu kena urus sendiri pengeluarannya dengan ATM (teringat entri mba pasal ni).

So saya pun beraturlah di ATM. Depan saya ada empat orang. Belakang saya ada seorang perempuan dan di belakang dia ada lagi lima orang. Masing-masing dengan wajah `dahagakan' RM. Macam saya jugak. Tiba gilliran saya, saya pun teruslah tukar menu untuk pengeluaran melebih RM1 ribu. Kakak belakang saya dah berdecit. Saya teruskan hajat saya dan RM1 ribu sudah ada dalam tangan. Kemudian saya masukkan kad lagi untuk pengeluaran RM1 ribu lagi. Dia berdecit lagi... (sure dia bukan cencorot!). Saya teruskan lagi aktiviti untuk pengeluaran akhir RM1 ribu lagi. Kali ni dia kata `ya Allah....!'

Hati saya berdesup. Eh apa pasal pulak dia macam tu? Saya dah buat dosa ke? Bagi saya berat sungguh ucapan dia tu... tak kena mengena dengan aktiviti saya yang sedang mengeluarkan duit. Sebaik saja habis proses pengeluaran dan duit dah ada dalam tangan, saya menoleh memandang tepat ke mata dia.

"Hey...! Saya keluarkan duit saya tau!"
"Ini duit saya! Bukan duit awak!"
"Saya ambik duit saya! Kenapa awak nak marah saya hah?"
"Saya beratur depan awak. Sayalah dulu. Awak tunggu saja giliran awak!"

Lepas tu saya terus blah...! Ketika saya menoleh semula, dua tiga orang di belakang kakak tadi tersengih pada saya. Bila sampai dalam kereta saya terfikir balik. Eh, gilanya aku hari ni. Tak pernah aku macam ni... Ya Allah, maafkan aku kalau tadi aku `angin' sikit. Mungkin kakak tu urgent dan mustahak perlukan duit. Tapi aku pun urgent dan perlukan duit.

Tuesday, May 4, 2004

SIBUK SAKAN - KARANGKRAF 24 TAHUN!

SAYA
di pejabat hari ini memandangkan hari ini adalah hari bekerja di Karangkraf. Kami bekerja pada tarikh ini kerana tiada staf yang menyambut perayaan Wesak. Tapi bekerja di saat orang lain cuti, tak banyak yang boleh kami `kerjakan'. Telefon ke pejabat-pejabat tidak berangkat, segala urusan jadi tergendala. Bagaimanapun seperti yang sudah dirancang dan kebiasaan, banyak aktviti dalam pejabat seperti shooting, temubual di pejabat, mesyuarat, perbincangan jabatan dan sesi kursus sahaja yang boleh dilakukan.

Sebenarnya minggu lalu saya benar-benar sibuk. Sebab itulah entri pun tersangkut lama di hari Khamis. Sorry semua... Saya terbabit dalam komiti Annual Dinner Karangkraf dengan temanya Hot & Spicy Nite di Perdana Ballroom Balai Felda pada malam 1 Mei. Saya menjaga bahagian Anugerah Pekerja. Semuanya ada 11 kategori membabitkan pekerja Ultimate Print Sdn Bhd dan Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. Jenuh jugalah untuk membuat pemilihan yang dilakukan secara manual (untuk pekerja kolar biru) dan online (untuk pekerja kolar putih). Malam itu bab anugerah dimeriahkan dengan multimedia presentation dengan bantuan unit IT.

Malam dinner itu masing-masing bergaya sakan. Semua datang awal untuk lucky draw. Tapi nasib tak menyebelahi... saya ni dah banyak kali tak ada luck. Grand prizes malam itu ada lima;

Grand Lucky Prize - Barang kemas Poh Kong bernilai RM30 ribu
Kedua- Barang kemas Poh Kong bernilai RM10 ribu
Ketiga - Barang kemas Poh Kong bernilai RM10 ribu
Keempat - Barang kemas Poh Kong bernilai RM10 ribu
Kelima - Barang kemas Habib Jewel bernilai RM4,500
Keenam - Barang kemas Habib Jewel bernilai RM3,500
... dan lebih 300 barangan berharga lagi seperti TV 29 inci, peti sejuk, vacum, microwave, vcd player dll.

Tak mengapalah, bukan rezeki saya dan komiti (komiti lain pun tak dapat hadiah - sabar je lah!) Tapi kami dah berusaha bersungguh agar majlis berjalan lancar. Nampak gayanya semua pekerja dan suami puas hati termasuk soal makanan, show, pertandingan, artis jemputan, hadiah dan lain-lain.

Yang pastinya komiti semua dah berusaha melipat-ganda kerja. Di masa sama kerja pejabat semua beres, tak ada majalah atau akhbar yang tersangkut, semua on time. Deadline okey. Disiplin pun saya puas hati, okey. Senyum jugaklah dalam sibuk-sibuk dengan meeting Annual Dinner... Nak tengok gambar-gambar? Tengoklah....

Thursday, April 29, 2004

CERITA YANG TERTANGGUH (ii)

SAYA
tergamam apabila diberitahu oleh Mba bahawa nama saya naik. Naik? Naik apa? "Tahniah, awak dilantik jadi AJK Geju." Hah? Saya terperanjat dan terus ke Forum Geju. Saya tak sangka dengan sokongan pengundi. Bila dikenang kembali, siapalah saya? Apa kriteria ahli memilih saya yang baru setahun jagung ni? Saya baru saja beberapa bulan, belum pun masuk bertahun-tahun macam orang lain ada blog. Saya kurang mahir dengan dunia siber. Masih terkial-kial. Saya pun tak kenal ramai Geju. Saya baru sekali joint majlis Geju (itupun kena paksa datang). Tapi bila tengok, undian untuk saya boleh tahan jugaK...

Bangun pagi saya terfikir hendak tarik diri, rasanya orang lain lebih layak (boleh ke?). Mereka pun tentu ada kemahiran tertentu yang boleh di explore berbanding saya. Orang lain yang dah lama dalam Geju mungkin dah nampak dengan jelas visi dan matlamat penubuhan Geju. Bila petang, saya fikirkan lagi, sebenarnya saya takut dengan `cengkaman Tok Rimau' sebagai Presiden dan berkuasa penuh. Saya tak kenal dia... naiya saya kena terkam!


Wednesday, April 28, 2004

... TAK AKAN MENOLEH LAG!

AGAK
payah hendak meneruskan minat sendiri diselang seli dengan amanah pejabat. Tapi saya tak boleh membohongi diri... Alhamdulillah saya panjatkan dengan berita ini; Salam untuk Tasya & Baharin

Tuesday, April 27, 2004

CERITA YANG TERTANGGUH

19 April 2004, Isnin yang cerah dan rancangan sudah siap diatur. Kami berlima dengan dua kereta bergerak dari Shah Alam menuju Putrajaya. Tujuan kami hari itu ialah memenuhi jemputan minum petang bersama Datin Seri Hendon di Dewan Makan Kediaman Perdana Menteri. Saya mengembalikan ingatan terhadap ruang makan Sri Perdana di Jalan Damansara dan cuba membayangkan dewan makan yang bakal kami kunjungi.

Putrajaya amat asing bagi kami. Laluan yang kebanyakannya sehala membuatkan jalan yang dekat jadi jauh. Dua kali berpusing mencari Kediaman Perdana Menteri membuatkan kami give-up. Ada lebih tiga papan tanda mengarah ke kediaman Timbalan Perdana Menteri tetapi tidak ada satu tanda arah pun ke kediaman Perdana Menteri. Kenapa boleh jadi macam ni? Takkan nak pusing lagi?

Tak boleh jadi. Akhirnya kami mendapat akal - Jom kita singgah bertanya pada pak guard di rumah Timbalan Perdana Menteri dan minta polis di situ hantarkan kita ke tempat sebenar. Lalu kami pun berkata begini pada pak guard bertiga tu; "Assalamualaikum... apa habaq semua? Sori nu nak ganggu sat... Kami ni mai nun dari Pala Bateh... lagu nilah, kami nak tau tang mana ghumah Pak Lah, jenuh dah chari tapi tak jumpha."

Pak guard tu gelak; "Laa awat chek tak tau... Betui dah ni. Inilah ghumah Pak Lah. Tapi tak buleh guna pintu ni. Pi pusing sana, ghuna pintu utama. List nomboq kegheta hampa ada tang sana." Ha ha haa kami gelak sakan! Rupanya beliau belum berpindah ke Kediaman Rasmi Perdana Menteri walaupun rumah itu telah lama dikosongkan oleh Tun Mahathir.

Pukul tiga petang perut saya dah lapar kerana skip lunch tadi. Atas meja ada kuih koci, karipap, seri muka, pulut udang, talam keladi bersos, kuih bakar dan mi kari. Tunggu... tak boleh makan lagi! Rakan-rakan wartawan lebih 30 orang sudah ramai yang datang. Masing-masing dok leka melihat manik Sarawak pada frame dan hiasan bunga-bunga kampung di meja. Ada bunga tiga bulan, bunga siantan, bunga kembang cina, bunga lili yang ada juga yang orang panggil sundal malam dan macam-macam lagi.

Ramai bloggers tentu dah tau tentang isi pertemuan itu di akhbar-akhbar. Wah, gambar kami pun keluar dalam banyak paper. Glamor le kejap. Tapi yang tak keluar di akhbar ialah cerita-cerita yang kami dok borak bila Datin Seri Hendon tiba di meja kami. Antara lain:

i. Datin Seri berwajah serius. Jarang nak tersenyum di majlis-majlis. Ramai yang kata Datin Seri sombong, tak macam Siti Hasmah. Apa komen Datin Seri?
ii. Benarkan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan diwujudkan atas desakan Datin Seri sendiri memandangkan minat Datin Seri terhadap budaya dan warisan seperti batik contohnya?
iii. Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat telah disatukan menjadi Kementerian Wanita, Keluarga dan Komuniti. Kami melihat kedudukan Jabatan Kebajikan Masyarakat amat terpinggir dalam hal ini.
iv. Kenapa belum berpindah ke Sri Perdana setelah lama Tun Mahathir kosongkan? Kenapa kena umum tarikh pilihanraya setelah Kak Hendon balik dari over sea?
v. ... ada banyak lagi. Nanti bacalah dalam majalah terbitan Karangkraf. Antaranya majalah Nona dan Rasa.

Jadi pertanyaan Mely, Kekbatik, Wkdin, Ayaka, Angah, Sis Yan, Inai, Ateh dan lain-lain tentang keseriusan tu, ya memang serius. Tapi tak cakap tentang cincin pun duhai Manmoncang. Santai sikit bila bab laki bini. Kak Hendon kata Pak Lah panggil dia 'Yang' (sayang) kadang-kadang 'Ling' (darling) atau 'awak'. Pak Lah tak ingat tarikh-tarikh peribadi seperti hari jadi, aniversari dll. Anak-anak yang akan ingatkan dia. Pak Lah selalu komplen Kak Hendon suka beli 'sampah' tapi bila sampah tu dah siap frame dan cantik tak malu-malu dia akan puji. Halela, tak tergamaklah nak tanya fasal tudung tu...!

Monday, April 26, 2004

BERKONGSI KESEDIHAN & KETABAHAN

SABTU lalu telah diadakan pertemuan penulis-penulis novel Alaf 21 Sdn Bhd di Hotel UITM, Shah Alam. Majlis bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang. Bagaimanapun saya akan bercerita tentang hal ini di lain ketika. Entri hari ini saya akan bercerita mengenai EP, rakan bloggers yang amat saya hormati.

Sejak awal pagi lagi saya sudah berniat akan menziarah isteri beliau di HUKM sebaik sahaja majlis pertemuan penulis tamat. Ini kerana saya tidak dapat turut serta ke majlis doa selamat pada hari Ahad yang diatur oleh Geng Jurnal di Masjid As-Ashakirin di KLCC kerana sudah berjanji dengan emak untuk ke majlis perkahwinan anak kenalannya.

Dalam perjalanan ke HUKM saya menelefon bertanya di mana dia ketika itu. EP menjawab bahawa dia dalam perjalanan ke hospital dan akan sampai tidak lama lagi. Empat puluh minit perjalanan dari Shah Alam ke hospital hati mula rasa tak menentu. Untuk mententeramkan hati, saya singgah membeli dua biji pau berinti sambal ikan bilis dan sebotol air mineral untuk EP.

Saya sampai lebih awal, terus mencuci tangan dan masuk ke bilik RICU. Saya menyapa di telinganya... kak , saya Sri ni, kawan EP datang menziarah... Air mata sudah tak terbendung apabila melihat matanya yang merah membengkak bergerak-gerak memberi respon. Saya tak boleh menipu diri, lantas mengalih pandang memerhati pada dua jenis mesen di tepi katil. Satu mesen untuk bacaan jantung, tekanan darah dan segalanya mengenai kondisi tubuh dan satu lagi mesen khas untuk keperluan ubatan. (maaf, saya tak tau detail tentang mesen-mesen ini).

Saya bertanya pada nurse kenapa hidung pesakit ni berdarah?
- Nurse berkata bahawa sudah berlaku bleeding dalam badan.
Kerana platelets dalam darah sudah terlalu rendah?
- Nurse angguk.

Tidak lama kemudian pasangan suami isteri jiran EP datang. Saya keluar memberi peluang mereka pula masuk ke bilik RICU itu. (Pelawat hanya dibenar dua orang sahaja pada satu-satu ketika). Apabila mereka keluar, saya masuk semula dan bertanya beberapa perkara lagi pada nurse.

Dua orang anak EP, Anisah dan Faiz sampai. Setelah mencuci tangan Anisah masuk, merapati katil dan berkata perlahan... ma... ma... Anisah datang ni... katanya sambil menepuk perlahan tangan mamanya yang dibaringkan mengereng. Sekali lagi air mata saya mengalir dan lebih hebat daripada tadi. Saya gagal mengawal kesedihan. Mata Anisah pun mula bergenang air jernih.

Dia pun hairan dengan darah yang mulai keluar pada hidung mamanya. Dia juga bertanya pada nurse yang sama dan mendapat jawapan yang serupa. Saya melihat air mata Anisah menitik. Saya cepat-cepat melangkah keluar dari bilik itu untuk Faiz pula masuk. Saya bertemu EP ketika melangkah perlahan menuju ke sofa yang tersedia. Kami duduk dan bercakap tentang segala hal mengenai isterinya.

Sorry to say, saya tengok keadaan makin kritikal, apakah EP sudah redha dengan segala kemungkinan?
- Doktor dah beritahu... saya berserah saja pada ALLAH.
Terseksa sangat saya melihatnya.
- Semalam doktor dah masukkan dua pain darah tapi plateletsnya masih rendah. Semalam platelets 27 kini kiraan platelets telah menurun ke angka 19. Ini menunjukkan badannya sudah kurang berkemampuan untuk membina kekuatan diri

Tidak lama kemudian Zar dan suaminya tiba. EP menyuruh mereka melihat dulu keadaan isterinya dan Zar serta Nasir terus melangkah ke bilik RICU itu. Lebih kurang lima minit kemudian terdengar bunyi tut... tut... tut... nyaring dan berhenti. Kemudian berbunyi lagi... nyaring dan berhenti. Kemudian berbunyi lagi tut... tut... tut... Zar dan suami diarahkan keluar dari bilik. Medical Officer segera dipanggil. Mesen di sisi katil isteri EP berbunyi. Nurse kata ada masalah, kata Zar.

Mata kami bertentang dan ada air jenih yang bergenang. Hampir serentak kami menyapu air yang mula menitis di pipi masing-masing. Saya tau, Zar ingin mengatakan sesuatu. Saya juga. Tapi semua itu tak terlafazkan...

Saya dan Zar berpisah di tempat letak kereta tatkala azan Maghrib berkumandang dari Masjid Saidina Osman, di kariah kediaman saya. Pesanan keep in touch antara saya dan Zar akhirnya mengejutkan lena saya pada tengah malam itu... SMS daripada Mushroomcute menyampaikan berita duka.

Inna lillah wa inna ilaihi rajiun.. Dari Allah kita datang dan kepada Allah jualah kita kembali. Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Puan Norhasiah.
EP, ketabahan you menghadapi segalanya akan selalu saya semat dalam ingatan. Izinkan saya mewarisi kecekalan itu.

Friday, April 23, 2004

SATU PERTEMUAN DUA WANITA



Banyak perkara yang kami bualkan...

Wednesday, April 21, 2004

PINDAH

MINGGU ini
adalah minggu `pindah'. Saya sudah berpindah bilik. Kepada bloggers yang pernah datang ke Karangkraf, lain kali kalau datang, jangan tuju ke bilik dulu... mesti tak jumpa saya di situ lagi. Alhamdulillah, di bilik sekarang saya dapat melihat matahari secara direct. Memang sengaja saya menyelak bidai luas-luas. Saya suka suasana terang benderang. Biar cahaya masuk, biar ilham datang...

Agaknya kerana penangan pindah ini, saya diserang flu yang teruk. Ada batuk yang aduhai... sakit tekak. Kering dan pedih. Hingus pulak asyik meleleh. Habis tissue paper berkotak. Kepala pun rasa bengang. Mata pedih. Kelopaknya rasa berat nak diangkat, berair. Suara pun mengalahkan Ella...

Petang tadi saya menjadi tetamu First Lady. Macam-macam yang dibualkan, semuanya secara santai, tidak formal. Penuh gelak tawa dan nasihat menasihati. Eh, empat setengah jam di Putrajaya elok pulak, tak selesema! Tapi sekarang ni hidung kembali sebu sendat semula... tak ada bau apa pun!


Tuesday, April 20, 2004

Haiku: MENUNGGU
* Dipetik daripada Communityzero/Haiku


Denyutan Jantung

Terbaring Atas Katil

Menanti Khabar


- EP

* Jenis Penyakit Puan Norhasiah


Monday, April 19, 2004

HANYA LEBIH 1.5 PERATUS SAJA...

PERBUALAN
ini saya ikuti di sebuah kafe antara seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan pertengahan 20-an. Mereka bukan pasangan kekasih dan bukan suami isteri.

Suria: Ngeri aku baca surat khabar dua hari lalu. Menurut laporan Kementerian Kesihatan, wanita berisiko tinggi hidap sakit jiwa.

Saiful: Huh! Nasib baik wanita, bukan lelaki!

Suria: Tapi kau jangan ingat lelaki tak kena sakit jiwa. Jangan-jangan lebih parah.

Saiful: Tapi kenyataan tetap kenyataan . Dah sah wanita lebih ramai sakit jiwa. Sebabnya selalu nak berleter. Selalu jadikan hal kecil jadi panjang berjela. Selalu prejudis. Selalu nak tunjuk terror.

Suria: Memang semua yang kau cakap itu ada betulnya, tapi semuanya berpunca daripada pasangan lain, mereka tak berleter tanpa sebab. Mungkin juga wanita sakit jiwa berpunca kerana lelaki.

Saiful: Dahlah, jom balik. Nanti kita yang sakit jiwa.

Sampai di pejabat, saya mencari kenyataan akhbar itu. Setelah meneliti saya tersenyum sinis. Laporan itu menyatakan wanita penghidap sakit jiwa lebih tinggi hanya 1.5 peratus sahaja berbanding lelaki! Dengan kadar itu lelaki hendaknya jangan nak tersenyum lebar...

Friday, April 16, 2004

BERMINAT dalam bidang penulisan? Ingin menjadi penulis? Jangan lepaskan peluang untuk menyertai bengkel penulisan yang akan diadakan pada masa dan tarikh berikut:

Tarikh : 8 Mei 2004 (Sabtu)
Masa : 8.30 pagi hingga 3 petang
Lokasi : Hotel Dynasty, Kuala Lumpur
Bayaran: RM35 seorang

Untuk keterangan lanjut hubungi: 03 - 51013766
Atau untuk keterangan lanjut dapatkan majalah Dara.com Mei dipasaran. Info di hujung jari sila klik sini

Thursday, April 15, 2004

KALAU UNTUNG SABUT....

SAYA
kerap didatangi agen-agen insurans, saham konvensional, saham amanah, saham pendidikan dan pelbagai skim. Semuanya untuk 'meniagakan wang' agar beranak-anak dalam diam. "You tak perlu buat apa, biar agen yang uruskan. Jika tidak diniagakan, you hanya dapat dividen yang normal, sama macam orang lain... jadi lebih elok diniagakan, sudah tentu dividennya lebih daripada kebiasaan yang you dapat. "

Itulah kata-kata klise yang dikatakan. Mendengar itu serba sediikit hati tercuit jugak. Banyak contoh di sekeliling mengiyakan kenyataan ini. Ramai rakan-rakan telah berjaya `menggandakan' wang mereka dalam diam. Semuanya agen yang uruskan.

Tetapi bercakap tentang agen ini, saya agak fobia. Susah saya nak aturkan temujanji. Selalunya kesibukan menjadi alasan. Tapi tak kanlah saya sibuk sepanjang bulan, sampai tak ada masa setengah jam pun untuk seorang kenalan....

Kenyataan yang kerap saya dengar begini: Agen hanya bermanis mulut ketika menawarkan servis. Apabila kita sudah menandatangani kebenaran untuk pelaburan, dia mula hilang perlahan-lahan. Ada ketikanya dia resign dalam diam. Tiba-tiba kita dibiar mengurus sendiri segala pelaburan. Itu bagi yang bijak mengendalikan, bagi yang tak tahu bagaimana?

Entahlah, saya belum beri kata putus pada satu tawaran pelaburan... ada sesiapa boleh bagi pandangan tentang hal ini?

Tuesday, April 13, 2004

CELEBRITY RACE & LAWATAN MB SELANGOR

UNTUK
melihat gambar-gambar dua aktiviti ini silalah ke sini

Monday, April 12, 2004

PROGRAM SEMALAM & HARI INI

SEMALAM
ada acara penuh gemilang anjuran bersama Berjaya Times Square dan majalah Media Hiburan - Celebirity Race. Maka bersesaklah artis-artis dan peminat-peminat di pusat beli belah baru itu. Majlis berjalan lancara dan mendapat liputan krew televisyen dan akhbar. Melodi pun buat lintas langsung sekejap tengahari semalam.

Tahun lalu acara berlangsung di Plaza Alam Sentral dan di sekitar Shah Alam. Maklumlah masa tu baru berpindah ke Shah Alam dan nak bermesra dengan penduduk Shah Alam. Tahun lalu para peserta menggungkan kereta untuk mencari barang-barang. Semalam mereka menggunakan LRT dan Monorail pula. Acara ni lebih kurang macam Explore Race.

Petang ini pula kami akan dikunjungi tetamu untuk program Sesi Cakap Cakap. Orang yang dimaksudkan ialah Menteri Besar Selangor Datuk Khir Toyo. Beliau telah bersetuju untuk membuat lawatan kerja ke Karangkraf. Sambutan biasa saja, agak informal. Bos pun tak suka yang formal-formal. Dia suka acara santai tetapi mesra.

Sesi Cakap-Cakap ini baru dimulakan semula setelah terhenti hampir setahun kerana proses pindah pejabat. Antara yang pernah mengisi program ini ialah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Rafidah Aziz, Tan Seri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shahrizat, Cik Azalina Otman dan beberapa menteri kanan yang lain.

Saya teringat lawak bersama Datuk Seri Shahrizat dulu bila bos kenalkan... ini Puan Sri Diah... Shahrizat kerut kening dan jawab; "oh... Mad dah dapat Tan Sri ya?" Ha hahaha....

Thursday, April 8, 2004

CUBA, TRY, TEST

HARI
ini kita beralih topiklah pula. Bukan saya tak mahu menulis lagi tentang dunia belajar dan dunia pekerjaan tapi bimbang pula anda akan berasa bosan. So kita sentuh hal berkenaan di lain masa pulalah ya...

Seorang rakan kerja di Karangkraf ini mempunyai minat yang lain daripada orang lain. Minatnya ialah memasuki peraduan dan pertandingan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Sudah pasti dia enjoy dengan minat itu dan dia akan mencuba dan terus mencuba.

Terbaru dia memasuki pertandingan teh tarik yang dianjurkan oleh sebuah stesen televisyen. Sebelum itu dia memasuki satu peraduan dan berjaya memperoleh sebuah motorsikal. Sudah banyak kali dia menang dan kalau kalau pun dia tidak berputus asa, pantang ada sahaja pertandingan dia pasti turut serta.

Saya teringat pada Rudy - wang gede wang gede! Dalam pertandingan Roda Impian dia berjaya mengumpul RM ribu-ribu jugalah jumlahnya. Adik kepada rakan saya pula berjaya memenangi percutian seminggu ke Afrika Selatan. Saya? Adalah menang beberapa pertandingan menulis cerpen dan puisi.

Dalam majalah-majalah di Karangkraf, ada banyak pertandingan dianjurkan. Sambutannya aduhai... berguni-guni. Walaupun sudah melepasi tarikh tutup, kadang-kadang, masih ada lagi sampul surat yang diterima. Purata, seorang peserta akan menghantar lima penyertaan. Bayangkan kalau 10 ribu orang...

Apa yang ingin saya katakan mengenai topik ini ialah tentang semangat mahu mencuba dan yakin berjaya. Jika kita tak cuba mana kita tahu kemampuan kita! Betulkah andaian saya ini?

Wednesday, April 7, 2004

ANTARA TEORI DAN PRAKTIKAL

KERAPKALI
berlaku, apa yang kita pelajari semasa di pusat pengajian tinggi, tidak sama dengan realiti setelah kita menempuh bidang pekerjaan. Semasa di peringkat pengajian kita diberitahu bahawa dunia pekerjaan begitu dan begini... tetapi setelah kita dialam pekerjaan apakah ia tepat seperti yang dikatakan itu?

Ramai menjawab iya tetapi lebih ramai akan menjawab tidak. Berdasarkan pengalaman saya melatih dan memantau prestasi wartawan baru, perkara ini adalah antara yang kerap saya hadapi. Paling nyata sekiranya pekerja berkenaan masih `fresh' dan baru memulakan dunia pekerjaan.

Akan timbul soal jawab begini: oooo tak taulah pulak - masa belajar dulu lecturer tak cakap pun - mesti buat macam tu ya? - kalau tak pergi macamana? - saya takutlah - saya memang tak tau tempat tu kat mana - pro tak ada - saya kena marah, sepatutnya kena buat surat - kena minta izin proof dulukah? - pegawai tak nak cakap, saya tak boleh tulis apa-apa - dia kata no komen - dan banyak lagi bla bla bla...

Ini adalah tannggungjawab senior. Melatih perkerja tidak sama dengan melatih pelajar. Maksud saya melatih - bukan mendera. Malah di tempat saya ada beberapa majalah yang memang menjadi unit latihan sebelum seseorang wartawan itu boleh disahkan jawatan. Tidak semua berjaya melalui skill ini dan ada ketika tempoh latihan itu terpaksa dilanjutkan.

Kami melatih apa yang mereka tidak dapat semasa belajar dulu. Kami memberi apa yang tidak dapat diberi oleh pensyarah. Kami menyediakan realiti, itulah yang mesti mereka hadapi. Kami membimbing mereka, mempersiapkan diri mereka dari segi mental dan fizikal.

* Nanti saya sambung lagi :-)

Tuesday, April 6, 2004

KE DEPAN, BERHENTI ATAU UNDUR DIRI?

PERNAHKAH
mengalami situasi di mana kita benci dengan peristiwa itu tetapi setelah beberapa lama, kita kembali terfikir bahawa kebencian kita itu sebenarnya adalah suatu rahmat. Jika tidak kerana kebencian itu kita tidak mendapat sesuatu, tidak mendapat pengajaran dan pengalaman daripadanya.

Itulah perasaan yang dialami oleh kebanyakan wartawan. Malah ada yang sudah dinaikkan pangkat menjadi Penolong Editor dan ada yang berbangga sudah mencapai cita-cita untuk menjadi Editor.

Situasi sebagai Kadet Reporter merupakan titik mula pihak pengurusan melihat apakah seseorang itu layak untuk meneruskan tugas dan disahkan ke dalam jawatan tetap ataupun sebaliknya (meneruskan tempoh percubaan). Pihak HRD akan memanggil beliau untuk perbincangan dan diminta memikir semula apakah beliau wajar menceburi profesion ini atau tidak.

Pada pendapat saya apa yang ditulis semalam bukan 'buli'. Ia adalah satu tempoh untuk melihat kecekapan seseorang. Itu juga untuk memantau jatidiri, menilai kesungguhan, minat dan tanggungjawab seseorang. Memandangkan tugas ini bukan 100 peratus di pejabat malah boleh dikatakan kebayakan masa dihabiskan di luar pejabat, mereka mestilah tangkas, peka persekitaran, cepat bertindak, mahir mengendali kemungkinan, boleh membuat keputusan dan jangan abaikan etika.

* Cukup dululah, nanti saya akan sambung lagi :-)

Monday, April 5, 2004

BULI

KEBETULAN
ramai rakan bloggers menulis tentang kes buli di sebuah sekolah agama di Negeri Sembilan baru-baru ini - kali ini saya pun ingin bercakap tentang isu buli dalam kerjaya saya ini.

Kenyataannya ialah wartawan senior memang membuli yang junior. Ya ada! Tapi tidaklahlah sampai dibawa ke hospital kerana luka parah, melainkan rasa tension dan sakit hati saja! Biasanya ini berlaku sebelum wartawan berkenaan disahkan dalam jawatan (kebiasaannya 3 - 6 bulan). Lama tu, jenuh jugalah menahan hati, menangis dan ada yang rela letak jawatan.

Antara cara wartawan senior membuli; disuruh pergi tugasan wartawan senior - menaip tugasan wartawan senior - diminta stay back hampir setiap malam - dipaksa belikan roti canai dan air tiap hari - kalau baru datang KL dan tak mahir dengan laluan di KL, disuruh keluar ke tempat assignment (yang sebenarnya dekat sahaja) tetapi dengan arahan perjalanan yang jauhnya hampir 30 km - disuruh mencari gambar yang bukan-bukan (contohnya gambar peninju Muhammad Ali pakai serban) - bekerja sabtu/ahad tiap-tiap minggu - jika outstation, wartawan senior tidur saja dalam kereta, wartawan junior memandu dan keluar masuk kereta bertanya arah jalan - kalau tidur di hotel pula, tak boleh tidur sekatil, wartawan junior kena tidur di carpet. Sebenarnya da banyak lagi...

Cara pengarang membuli pula ialah dengan tidak memberi byline!

Thursday, April 1, 2004

SAYA JADI SPY HARI TU ...

MAAFLAH
kerana tak sempat nak tulis apa-apa dalam entri semalam. Busy sangat dengan tuntutan kerja. Oklah, hari ini saya ingin berkongsi sedikit pengalaman bersama Anita. Oleh kerana saya duduk hampir sangat dengan beliau, saya pun ambil kesempatan itu untuk membelek-belek dirinya. Ya, dari hujung rambutnya hingga ke hujung kakinya. Tinggi kasutnya lebih kurang 3 inci - warna hitam, sepadan dengan inner.

Seperti kata Sis Yan yang suka melihat barangan kemas Anita, saya pun terkelip-kelip memandang. Jangan marah, ini lumrah wanita. Mula-mula saya perhatikan gelang tangan (bukan rantai tangan) yang digabungkan sekali dengan jam. Talinya berwarna solid black. Ia dikemaskan dengan hiasan butir-butir permata. Dia memakai satu kerongsang besar bertatah jed. Sebentuk cincin dari batu kristal di jari manis kanan. Sebentuk cincin yang sama dengan jenis dan rekaan jam di jari manis kiri. So simple.

Kuku jarinya kontot, rapat ke kulit. Begitu juga kuku kakinya. Tidak memakai mekap. Hanya gincu dan celak. Tiada pembayang mata. Tiada bedak asas. Tiada pemerah pipi. Tiada bulu mata palsu. Bibirnya tebal, agak lebar. Hidungnya tidak mancung. Dagunya normal macam wanita lain.

Tetapi kenapakan hasil fotografi dan dalam shownya Anita kelihatan lain? Sahlah... semuanya kerana teknik mekap yang membuatkan hidungnya mancung, pipinya gebu dan dagunya bagai dibentuk. Oh ya, sepanjang perbualan tangan kanannya digenggam erat oleh abang Mahathir - naik lebam birat saya tengok.

Sebenarnya dia bukanlah idola saya. Cuma saya respect kerja kerasnya. Saya respect cara dia menjaga disiplin hidupnya. Saya kagum kegigihannya. Saya cedok sifat positifnya. Satu jawapannya yang saya suka bila wartawan tanya - macamana Kak Nita jaga kesihatan? Jawabnya, makan makanan yang berkhasiat, buat senaman, jangan abaikan vitamin C dan kurangkan tidur. Katanya dah dewasa (ganti istilah tua) tak payahlah `wajib' tidur lapan jam. Empat jam dah memadai... saya suka statment tu!