Tuesday, July 20, 2004

DEMAM HAIKU
HAIKU
ialah puisi Jepun yang terdiri daripada 17 sukukata dan biasanya ditulis 3 baris dalam bentuk 5-7-5 sukukata. Haiku tradisional akan menceritakan tentang musim dan alam sekitar. Haiku moden telah ditulis dalam pelbagai bahasa dan masih menggunakan paten 5-7-5. Sungguhpun haiku ditulis dalam 3 baris, perlu diingat yang haiku mempunyai 2 bahagian memancarkan sedikit kaitan dan menambah makna kepada bahagian yang lain. Bahagian kedua haiku biasanya ialah pada baris terakhirnya. Namun begitu, garis pemisah antara bahagian pertama dan kedua tidak begitu jelas dan tidak terhad kepada akhir baris kedua.

Bagimanapun haiku moden telah ditulis melampaui sempadan musim dan alam sekitar dan menceritakan tentang hubungan kita dalam dunia moden. Sepertimana pantun yang boleh dikelaskan kepada pantun kanak-kanak, pantun nasihat, pantun jenaka dan sebagainya, haiku juga boleh dikelaskan begitu.

Selain HAIKU, antara puisi Jepun lain ialah SENYRU dan RENSAKU (5/7/5) serta TANKA (5/7/5/7/7/. Sementara HAIGA ialah haiku dalam gambar. HAIJIN ialah gelaran kepada si penulis haiku.

* Okey, saya bayangkan ramai bloggers sedang dok terketik-ketik tangan mengira 5/7/5. Didahului oleh MBA, diikuti oleh EP, Halela dan lain-lain. Suami saya pernah tegur, "Kenapa tangan tu? Kira apa? Berzikir ya?" Saya tersengih dan kemudian ketawa panjang!

* Saya memang meminati Haiku sejak akhir 80-an apabila membaca Haiku tulisan Kak Azah Aziz, isteri Prof. Diraja Ungku Aziz tentang kebunnya di Morib. Waktu itu haikunya tersiar setiap minggu di akhbar Berita Minggu. Minat itu kembali subur apabila mengenali MBA.

No comments: