Friday, July 30, 2004

MUDA LAGI?
SAYA
masih lagi ingin menyentuh mengenai entri 27hb Julai lalu mengenai anak-anak yang menjadi buah cinta kita. Kawan-kawan bertanya mengapa digelar buah cinta? Jawapannya biasa saja, kalau masa bercinta kita selitkan dengan bunga-bunga cinta, lalu hasilnya setelah berkahwin sudah pasti - buah cinta. Dari buah cinta inilah nanti akan lahir lagi benih cinta, akan membesar dan membiak hingga generasi seterusnya.

Kak Mah, kakak ipar saya di kampung mempunyai 14 orang anak. Mereka hanya bekerja bendang. Sewaktu mula berkahwin dan mulai mengenali keluarga belah suami, saya selalu terlupa nama anak-anaknya. Ini juga membuatkan saya terlupa susunan adik beradik itu. Yang mana Ateh, yang mana Angah, yang mana Alang, Acik dan banyak lagi gelaran lain. Bak kata suami, `meremut' anak Kak Mah dengan Abang Sahak tu...

Apa yang ingin dikemukakan di sini ialah sedikit pun mereka tidak pernah merungut tentang RM. Semua anak-anak mereka bersekolah. Malah cerdik-cerdik pulak tu. Kata abang ipar, setiap anak adalah rezekinya... Kita pulak? Anak tiga pun rasanya macam nyawa-nyawa ikan bila tiba bab RM. Di sekolah bandar, macam-macam nak difikirkan - Yuran Kelab Komputer, yuran Kelab Silat & Tae Kwan Do, yuran Sekolah Agama, yuran Ko Korikulum dengan uniformnya, yuran Tuisyen, insurans pendidikan & hayat, tambang bas sekolah biasa, tambang bas sekolah agama, bayaran dinner PIBG, macam-macam kategori derma, duit lawatan musim cuti sekolah, kasut baru & uniform baru (setelah setengah tahun berlalu) dan macam-macamlah lagi...

Itulah yang membuatkan ramai orang bandar berfikir banyak kali apabila ada orang bertanya, "eh, mana cukup tu, awak masih muda... boleh beranak lagi!"

No comments: