Wednesday, May 12, 2004

ANTARA KITA

Kerana sumpah telah kita lafazkan
Perkahwinan yang berdiri dengan cinta
Bukan alasan tiada curiga menerpa

Mari bersama kita bunuh prejudis
Kerana anganan bahagia adalah serapuh awan
Dan sengketa akan merebak bagaikan kudis
Menaburkan marah dan rasa pesimis

Ini dunia lama yang masih baru
Jika malam ini datang wahyu
Bangkitlah, jangan tak tahu
Aku adalah cermin yang tak pandai menipu

Menyandang kesabaran dengan tali kesetiaan
ia menduga rasa gundah, bagai menadah
bilakah dunia akan sempurna
hilang ego lelaki, hilang segala
dan wanita bangkit dengan kecapinya
menerobos sekawan bimbang dan secangkir rendah diri
bahawa ini adalah dunia, bukan ilusi

Diriku adalah api uji
Dirimu ada setia dalam diri

Bandar Tun Razak
28 Mei 2003


Sajak ini saya sumbangkan kepada pasangan bakal pengantin - Rudy dan Insyirah sempena perkahwinan mereka tidak lama lagi. Sajak ini pertama kali tersiar di laman penyair di communityzero pada tahun lalu. Mengapa tahun lalu? Sebenarnya sajak ini adalah sajak sempena ulangtahun perkahwinan saya dan suami yang ke 14 tahun pada tahun lalu. Dan tahun ini 28 Mei akan tiba tak lama saja lagi...

No comments: