Tuesday, October 30, 2007


Dua hari lepas saya mencari semula buku ini yang dihadiahkan oleh suami.

LIM GOH TONG
GENTING HIGHLANDS, 29 Oktober - Raja Kasino dan ikon perniagaan Tan Sri Lim Goh Tong disemadikan di Taman Peringatan Gohtong Jaya dekat bandar Gohtong Jaya di sini hari ini.

Pengasas dan presiden seumur hidup Kumpulan Genting itu dikebumikan pada pukul 1.18 petang mengikut masa terbaik kaum Cina. Majlis pengebumian itu hanya dihadiri oleh anggota keluarga dan saudara mara. Mengikut pantang larang orang Cina, pihak media tidak dibenar membuat rakaman majlis pengembumian tersebut.

Lim, 90, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) di Subang Jaya pada 23 Okt lepas kerana sakit tua.

Pada pukul 9.45 pagi tadi, perarakan jenazah meninggalkan rumah kediamannya di Gohtong Villa untuk "perjalanan akhir" ke Genting Highlands sebelum dibawa kembali ke taman peringatan itu, yang terletak kira-kira 600m dari bandar Gohtong Jaya.

Sebelum perarakan bermula, upacara sembahyang mengikut fahaman Taoist diadakan selama dua jam mulai 7.30 pagi di kediaman mendiang yang dihadiri oleh anggota keluarga, saudara mara, tetamu terpilih, persatuan dan badan pertubuhan.

Pihak media hanya dibenarkan berada di Gohtong Villa, Gohtong Jaya, Tokong Chin Swee, Hotel Genting Highlands dan pintu masuk ke Taman Peringatan Gohtong Jaya untuk membuat liputan perarakan itu dan dinasihatkan supaya tidak berada di hadapan perarakan.

Pada pukul 10 pagi, perarakan berjalan kaki bermula dari Hotel Gohtong Jaya, menuju pintu utama ke Gohtong Villa dan kemudian ke Taman Peringatan Gohtong Jaya. Kemudian perarakan itu disambung dengan menaiki kenderaan dari taman peringatan itu menuju ke Genting Hinglands.

Jalan dari Gohtong Jaya ke Genting Highlands Resort ditutup mulai 9 pagi hingga 12 tengah hari untuk upacara perarakan itu yang disifatkan sebagai salah satu perarakan paling hebat di negara.

Di sepanjang laluan perarakan ke puncak Genting Highlands, perarakan itu berhenti di Tokong Chin Swee pada pukul 11.50 pagi di mana setiausaha jawatankuasa tokong berkenaan Lim Thang Soon melakukan upacara sembahyang Taoist selama 15 minit.
Perarakan itu diteruskan ke Hotel Genting Highlands bagi membolehkan kakitangan memberi penghormatan terakhir.

Mengikut kisah riwayat hidupnya, Lim mengasaskan tapak tokong itu pada 1966 selepas menerima ilham daripada Patung Chin Swee untuk memulakan pembangunan Genting Highlands Resort.

Fasa pertama tokong tersebut yang menempatkan altar utama hanya disiapkan selepas 18 tahun kemudian ekoran masalah awal menghantar peralatan dan jentera berat di bukit curam itu. Tokong itu akhirnya dirasmikan pada 28 Mac, 1994.

Sebuah patung granit mendiang Lim setinggi 2.74 meter didirikan di dataran tokong itu dan dipamerkan pada sambutan harijadi Raja Kasino itu yang ke-90 pada 16 April lepas mengikut kiraan kalendar Cina.

Sementara itu, ratusan orang kenamaan, ahli perniagaan, ahli politik dan pelbagai lapisan masyarakat berhimpun di bandar Gohtong Jaya untuk mengikuti perarakan itu dan pada masa yang sama kalungan bunga dan ucapan takziah terus diterima dari seluruh dunia termasuk dari kerajaan wilayah Fuji di China, negeri kelahiran hartawan itu.

Antara yang menghantar ucapan takziah ialah hartawan Hong Kong Li Ka Shing, Raja Kasino Macau Stanley Ho dan pihak pengurusan kasino Ceasar Palace di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Beberapa eksekutif kanan bank-bank utama dunia juga turut hadir untuk memberi penghormatan terakhir termasuk pengerusi Hongkong dan Shanghai Bank Ltd Vincent Cheng.

Pada Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Lim di Gohtong Villa di sini manakala bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan takziah menerusi kiriman faks.

Sementara itu, seorang anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
Sekolah Lelaki Methodist Kuala Lumpur, Puan Lim Siew Hong, yang turut mengikut perarakan itu menyifatkan mendiang Lim sebagai seorang yang sangat pemurah.

"Tanpa kemurahan hatinya, kami mungkin tidak dapat mendirikan sebuah dewan. Dewan itu dinamakan sempena isteri mendiang Puan Sri Lee Kim Hua, sebagai tanda ucapan terima kasih daripada kami," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini. Katanya 100 pelajar sekolah rendah dan menengah dari sekolah itu menghadiri ucapara pengebumian itu.

Di samping itu, beberapa buah sekolah juga menghantar rombongan untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang termasuk Chung Hwe Independent School, Monfort Boys Town, SRJK Tamil Bentong, SRJK Tamil Karak dan SRJK (C) Bukit Tinggi.

Dalam pada itu, wakil Kesatuan Pekerja-Pekerja Resort World, pula membawa sepanduk dengan perkataan: "Seorang yang baik yang sentiasa menjaga kepentingan dan kebajikan pekerjanya. Kami, para pekerja amat menghargai anda."
-- BERNAMA

* Berita ini tidak tersiar dalam akhbar hari ini. Diharap anda membacanya tanpa rasa prejudis. Bak kata orang, seketul batu, jika dicampak ke laut akan menjadi pulau.
* Rakan blogger kita, Suhaimy ada menulis tentang buku ini.

Monday, October 29, 2007

Wednesday, October 24, 2007


Datuk Haji Hussamuddin Haji Yaacub

HERO KAMI TERIMA ANUGERAH DATUK
SHAH ALAM:
Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd., Hussamuddin Yaacub dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) Peringkat Kedua yang membawa gelaran Datuk sempena Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah yang ke 77.

Beliau merupakan penerbit 28 judul majalah-majalah terkemuka di pasaran Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia adalah juga penerbit akhbar Sinar Harian yang kini telah memasuki pasaran di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur dan Selangor. Sinar Harian Melaka dan Negeri Sembilan kini sedang dalam proses untuk diterbitkan. Sumber:
Sinar Harian

Tuesday, October 23, 2007



JIKA BUKAN MEREKA, SANGGUPKAH KITA?
PASUKAN
Malcon 2 UNIFILL yang terdiri daripada 24 pegawai serta 56 anggota dari semua perkhidmatan Darat, Laut, Udara dan Kor Kesihatan Diraja telah berlepas ke Lubnan dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini, malam tadi.

Upacara pelepasan anggota Malcon 2 UNIFILL tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Muhammad Ismail Jamaluddin. Mereka akan berkhidmat selama sembilan bulan di sana.

Saya sebak melihat gambar-gambar ini. Terdetik di hati betapa kuatnya semangat mereka, jika kita... mungkin berfikir lebih lima kali memandangkan lokasi yang akan mereka pergi adalah negara yang sedang bergolak berbanding dengan kita di Malaysia - selesa sakan. Inilah yang dinamakan perjuangan dan pengrobanan. Tabik untuk mereka.

Monday, October 22, 2007


Gambar dari Agendadaily
OUR NATIONAL HEROS
SELEPAS
berlepas dengan roket Soyuz TMA-10 pada 10 Oktober lalu Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan dua rakan angkasawan mengambil masa dua hari untuk bercantum dengan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Semalam sewaktu kembali ke bumi perjalanannya hanya mengambil masa 3 jam 23 minit. Segala debaran berakhir bila kapsul Soyuz TMA-10 yang membawa beliau bersama dua lagi krew, Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov mendarat di Arkylk, Kazakhstan pada jam 6.37 petang waktu Malaysia.

Tahniah kepada kerajaan Malaysia, Dr. Sheikh, Mejar Faiz, seluruh saintis terbabit, dan rakyat Malaysia amnya.

Monday, October 15, 2007

INILAH YANG KELAKARNYA!
SEORANG
di Shah Alam. Seorang lagi di Cheras. Bukannya jauh sangat! Boleh dikatakan tiap minggu berjumpa. Malah pada bulan puasa, kami lebih kerap berjumpa dan saling bercakap mengenai persiapan hari raya.



Di pagi hari saya, kami semua saling tergelak sakan. Padan muka!
Rupanya baju kami sedondon. Saya dan adik bongsu saya, Cikgu Fadilah serta anak sulungnya tak sudah-sudah jadi bahan gelak ke mana sahaja kami berjalan beraya.

Dia sudah menempahnya hampir dua bulan. Saya pula membeli baju itu di malam raya di Plaza PKNS. Saya main sambar sahaja baju tu asalkan senada dengan warna baju suami. Tak sangka pulak - macam kembar saja saya dengan adik bongsu!

Sunday, October 14, 2007


Nek Jah dan Tok Din - Emak dan abah saya.

BERKUMPUL, BERMAAFAN
HARI
Raya Aidilfitri tahun ini amat bermakna bagi mak dan abah. Juga moyang saya. Kesemua anak beranaknya, menantu-menantu dan cucu-cucu berhari raya di rumahnya. Kecuali cucu sulung mak, Muazz yang baru sahaja berangkat ke Oklahoma University di Texas awal Ramadan lalu. Selain itu mereka, adik saya dari Kota Bharu, Kelantan. Kak Long dari Kuantan, Pahang. Abang dari Kota Tinggi Johor. Dan tiga orang adik di bawah saya yang tinggal di sekitar Cheras juga pulang beraya ke rumah mak dan abah. Bak kata orang, riuh rendah - macam kapal nak karam.

* Hari ni satu feri terbakar dan karam di perairan Pulau Tioman. Saya teringat kenangan percutian kami anak beranak di salah sebuah pulau di situ - Kampung Salang Pusaka. Memorinya saya abadikan dalam novel Mahligai Cinta. Alhamdulillah mujur kami selamat pergi dan balik...


Yang terbaring itu nenek saya yang berusia hampir 100 tahun. Moyang anak-anak saya. Dalam gambar, adik saya Dr. Bakiah yang bertugas di Kota Bharu.

Saturday, October 13, 2007

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI,
AMPUN MAAF SETULUS HATI.

Friday, October 12, 2007

PERSIAPAN RAYA
KAMI
tidak mengalami masalah langsung dalam membuat persiapan hari raya. Keadaan bandar Shah Alam yang serba terancang ini membuatkan kehidupan segalanya tersusun. Untuk mendapatkan daun palas dan segala keperluan esok untuk hari raya saya ke Pasar Besar di Seksyen 16. Di situ segalanya ada. Saya beli daun palas, beras pulut susu, santan, kerisik, hati, daging, limpa, paru untuk rendang istimewa orang Kedah kegemaran suami. Saya juga beli pisang awak dan daun pisangnya untuk buat pulut dakap.

Semuanya dimasak sendiri. Maid telah dihantar pulang samalam. Menjelang waktu berbuka semuanya siap.

Malam raya kami anak beranak lepak di Jaya Jusco Bukit Raja, Klang. Kemudian ke Plaza PKNS. Jenguk-jenguk SACC MAll. Beli sehelai baju kurung siap untuk saya pakai esok (memang tak boleh ubah last minute punya perangai!) - Tentang baju ni ada cerita kelakar!

Thursday, October 11, 2007

JOM CUTI PRA RAYA
HARI ini saya bekerja separuh hari sahaja. Separuh lagi ambil cuti tahunan. Balik kampung? Tidak. Kami berhari raya di Shah Alam sahaja. Pagi hari raya akan ke rumah mak dan abah di Bandar Tun Razak, petangnya ke rumah sanak saudara di Klang, Jeram, Sungai Pinang dan lain-lain sekitar Selangor sahaja.

Pejabat di bahagian majalah sudah mula lenggang. Di bahagian akhbar masih lagi kalut dengan tugasan harian yang rutin. Akhbar hanya akan bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu. Ahad sudah bekerja semula untuk akhbar hari Isnin.

Beberapa tugasan untuk bahagian majalah telah saya selesaikan. Sebenarnya kerja akan bertambah banyak selepas hari raya. Segala peracangan sudah tersusun, menanti hari bekerja sahaja untuk memulakan segalanya.

Wednesday, October 10, 2007

LANGKAH PERTAMA
JAM
9.21 malam ini rakyat Malaysia yang pertama akan berlepas ke angkasa lepas. Perhatian seluruh negara akan bertumpu ke pusat pelancaran Soyuz TMA-11 di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan. Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 35 atau jika berhalangan akan diganti oleh Dr. Faiz Khaleed akan berada di International Space Station (ISS, kira-kira 333 kilomiter dari bumi selama sembilan hari.

Soal istilah samaada mereka terbang sebagai 'angkasawan' atau ‘peserta penerbangan angkasa lepas’ seperti yang cuba ditonjolkan oleh Agensi Angkasa Lepas Nasional Amerika (NASA) sudah selesai. Pihak Rusia mengitiraf mereka sebagai seorang angkasawan atau Cosmonaut. Apa sekalipun pandangan tentang pemergian angkasawan Malaysia ini. Ini adalah langkah pertama. Setiap usaha mesti bermula dengan langkah itu.

Antara misi mereka ialah:
1. Kajian Sel di Angkasa Lepas

Eksperimen ini akan mengkaji kesan mikrograviti dan radiasi angkasa ke atas sel normal dan sel kanser. Ia bertujuan melihat kesan ke atas pembentukan sel kansr dan proseso yang boleh dimanfaat untuk menghasilkan teknik pengesanan dan rawatan lebih berkesan.

2. Kajian Mikrobiologi di Angkasa Lepas
Eksperimen yang membabitkan penghantaran bakteria ke angkasa lepas bertujuan mengkaji kesan ke atas mikrobigraviti dan radiasi di angkasa serta makanisma dan kadar perkembangan bakteria serta tahap kerintangan dan mekanisma kawalan genetik. Dua jenis bakteria dipilih iaitu Helicobacter pylori yang bertindak balas ke atas penyakit ulser perut dan Acinetobactor baumanni yang biasa terdapat di hospital. Kajian ke atas bakteria itu akan dapapt memberi lebih pemahaman dalam pembentukan bakteria dan membantu menghasilkan protein atau enzim baru yang dapat merencatkan aktiviti antibiotik.

3. Kajian Protein di Angkasa Lepas
Penghasilan kristal dariapda protein sangat penting kepadpa kimia dalam organisma hidup dan mempunyai tiga aplikasi utama iaitu struktur biologi dan pembuatan ubatan, pemisahan kimia dan pengawalan dalam ubatan. Eksperimen itu akan menyediakan saintis dengan maklumat dan pengetahuan dalam meningkatkan penghasilan kristal di bumi dan sekali gus meningkatkan penggunaan dalam bidang industri pada masa akan datang.

Sketsa di rumah saya semasa sahur jam 4.30 pagi tadi:
En. Abang:
Hari apa kita nak pergi beli barang pasar - ayMm/daging/kerisik/daun palas dll?
Saya: Ikut kiraan falak, kita raya Sabtu jadi Jumaatlah ke pasar.
Anak-anak: Diam saja sambil makan.
En. Abang: Buatnya jadi kes masa Almarhum Sultan Idris? Beraya sehari lebih awal...
Kak Long: Janganlah, biar kita raya Sabtu (mama belum jahit baju raya kak long!)
Anas: Apa kata macam ni - angkasawan kita ada di orbit masa tu. Sekali dia tengok luar tingkap kapal angkasa tu ada anak bulan. Dia terus bagi tau orang Malaysia. Dia call Pak Lah dan kata dia dah nampak anak bulan dah. Kita raya awal!
Amie: Okey... jadi esok kita last bangun sahur.

p/s:
- Mengikut ritual angkasawan, mereka dikehendaki buang air kecil di sisi Soyuz TMA-11. Agaknya angkasawan kita akan kencing berdiri atau duduk? Khabarnya ada beberapa ritual lagi... apa ya?
DERITA NURIN BERPANJANGAN
AWAL
minggu lalu saya menerima gambar-gambar bedah siasat adik Nurin menerusi internet. MasyaAllah, saya tidak sangka ada manusia yang sanggup menyebarkan gambar-gambar berkenaan ke pihak umum. Malam tadi TV3 telah siarkan dalam Buletin Utama dengan mengkaburkan bahagian tertentu.

Gambar-gambar itu memaparkan kecederaan teruk yang dialami Nurin. Gambar bedah siasat pada anggota tubuh termasuk pada bahagian perut dan alat sulitnya serta gambar tubuhnya kerekot dalam beg sukan berkenaan. Sungguh tragis.

Uncle Nurin, Encik Jasni yang mengendalikan blog In Memory of Nurin kecewa dengan kejadian itu. Siapa yang mula-mula mengedarkan gambar-gambar itu? Ia ternyata gambar-gambar bukti yang hanya pihak doktor dan anggota polis sahaja yang boleh mendapatkannya. Kenapa perkara macam ini boleh berlaku? Di mana kewarasan? Di mana tanggungjawab? Mengapakah tidak ada privacy bagi mayat Nurin?

Monday, October 8, 2007

DR MAHATHIR DIPINDAHKAN KE WAD BUNGA RAYA HARI INI


Untuk lebih cerita mengenai Tun sila klik blog Marina Mahathir di sini

Thursday, October 4, 2007

SYAWAL KIAN HAMPIR

BULAN separuh penuh yang dirakam fotoBERNAMA awal pagi semalam, menandakan umat Islam di seluruh negara telah menjalani ibadah berpuasa selama 22 hari. Pada minggu-minggu terakhir Ramadan ini, terdapatnya satu malam yang dipanggil Lailatul Qadar.

Penentuan tarikh sebenar berlakunya Lailatul Qadar tidak dapat dipastikan tetapi pendapat yang kuat menyatakan Lailatul Qadar berlaku pada malam-malam ganjil sepuluh terakhir Ramadan iaitu malam ke 21, 23, 25, 27 dan 29.

Kebesaran Lailatul Qadar adalah berdasarkan dua perkara pertamanya, kerana pada malam tersebut diturunkan Al-Quran dan kedua akan turun para malaikat dalam suatu angkatan yang besar untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang-orang berpuasa dengan ikhlas.

Sunday, September 30, 2007

JANGAN ZALIM
SEMALAM
En. Abg belanja kami anak beranak berbuka puasa di luar. Anak-anak memilih untuk makan nasi ayam Linda Onn - My Mum Chicken Rice di Seksyen 7, Shah Alam. Sebenarnya anak-anak pakat nak tengok lokasi di mana suspek pembunuhan Nurin diberkas. Memang tak jauh mana, selang satu lorong sahaja daripada kedai nasi ayam Linda Onn itu.

Si kakak geram. Anas pun sama. Amie pula kata, "tak sangka mama, ini kan kedai mama beli kerongsang dengan tudung hari tu?" Saya angguk, sedih. Sedih dengan kematian Nurin, sedih dengan sikap manusia... Kalau benarlah mereka didapati bersalah semoga kejadian ini menyedarkan ramai pihak. Kanak-kanak tidak ada dosa... mereka perlu dilindungi, bukan dikasari apalagi dizalimi.

Friday, September 28, 2007

NURIN - `OPS SUNTI'
SAYA
terkejut besar membaca berita ini. Macam percaya dengan tidak, cuba KLIK SINI.
- Mereka ditahan di Sekysen 7, Shah Alam - Eh, itu dekat rumah saya!
- Salah seorang daripadanya berasal dari Bukit Kuda, Klang - Eh, itu kampung saya!

Tuesday, September 25, 2007

BAYANGKAN DIA KENYIT MATA
BANYAK
sungguh khabar angin didengar mengenai tahap kesihatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang kini sedang menjalani rawatan lanjut di wad rawatan rapi di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. (Akhbar hari ini melaporkan Tun sudah boleh kenyit mata! Saya bayangkan kenyitannya itu...)

Pembedahan kedua untuk membersihkan jangkitan kuman selepas pembedahan pertama dua minggu yang lalu memang sudah dijangkakan oleh doktor. Apalagi jika dibandingkan dengan usia beliau sekarang. Namun semua itu sentiasa dalam kawalan pihak IJN.

Jangan percaya khabar angin yang berlegar di internet atau dari mulut mereka yang tidak bertanggungjawab. Kami di pejabat penerbitan ini menerima pelbagai andaian negatif, pelbagai status kedudukan kesihatan Tun yang membimbangkan. Namun pecayalah, itu hanya khabar angin.

Kini jika anda ingin mengetahui perkembangan sehari-hari Tun, silalah lawati blog anak beliau,Datin Paduka Marina Mahathir yang berjanji akan sentiasa memberikan khabar terkini tentang bapa beliau.

Saturday, September 22, 2007

JANJI DEMI JANJI
KITA
tidak mahu pihak polis hanya berjanji sahaja. Janji akan perketat rondaan. Janji akan cari penjenayah/pembunuh/perogol/peliwat/perikebinatangan. Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat pun jangan hanya mahu mengkaji dan mengkaji akta/usul/meeting demi meeting/. Bertindaklah berterusan.

Pokoknya kanak-kanak zaman kini terus dihantui ketakutan, terkongkong, memandang orang lain dengan pandangan penuh dendam. Mereka sudah mulai sukar percaya persekeliling hatta kepada guru sendiri.

Seminggu ini kita masih bercakap tentang Nurin. Saya yakin lima enam bulan lagi isu ini sudah hilang perlahan-lahan. Ia akan muncul lagi jika berlaku lagi kejadian sesadis yang diterima Nurin. Percayalah!

Bacalah blog kerinduan pakcik Nurin ini di (In Memory of Nurin)

Friday, September 21, 2007

NURIN SELAMAT DISEMADI
DENGAN
linangan air mata, Jazimin Abdul Jalil, pagi ini menuntut mayat anaknya Nurin Jazlin, 8, dari Hospital Kuala Lumpur untuk dikebumikan selepas solat Jumaat.

Jazimin, 33, yang sebelum ini menafikan mayat itu adalah anaknya yang hilang diculik sejak 20 Ogos lepas walaupun ujian asid deoksiribonukleik (DNA) membuktikan sebaliknya, dilihat sebak dan berterusan mengalir air mata sepanjang proses menuntut mayat Nurin Jazlin, mangsa bunuh dan penderaan seksual.

Jazimin, yang berbaju Melayu merah jambu dan berseluar hitam dengan ditemani keluarga dan sanak saudaranya, dibenarkan membawa keluar mayat anak gadisnya itu pada pukul 11.15 pagi ini, dan selepas bacaan doa lalu beredar keluar dengan sebuah van, sambil disaksikan sayu oleh orang ramai dan kakitangan hospital.

Di Seksyen Satu, Wangsa Maju di kediaman keluarga itu, ibu kanak-kanak itu, Norazian Bistaman, 35, menunggu suaminya untuk membawa pulang buat kali terakhir Nurin Jazlin yang lebih mesra dengan panggilan "Kak Ngah" dalam kalangan keluarga dan jirannya.

Jenazah Nurin jazlin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Gombak, selepas solat Jumaat. (Sumber: SINAR HARIAN)

Thursday, September 20, 2007

TERKINI:
1.00 tgh
- Sumber memberitahu mayat yang ditemui di dalam beg pakaian yang diletakkan di hadapan sebuah premis perniagaan adalah Nurin Jazlan. Tunggu berita seterusnya...

Wednesday, September 19, 2007

TAHNIAH UNTUK KEDUA-DUANYA
NASA
telahpun mengumumkan bahawa Dr Sheih Muszaphar telah terpilih untuk bersama-sama dengan dua lagi angkasawan negara lain untuk ke bulan. Dr Sheih akan mengikut jejak Yuri Gagarin or Neil Armstrong. NASA sudah umumkan minggu lalu dan Malaysia pula baru minggu ini mahu umumkan - Pak Lah akan umumkan. Apakah pengumuman yang sama? Atau jangan-jangan ada pertukaran saat akhir? Sama-sama kita nantikan.


Gambar ini dan cetusan ini saya kongsi daripada blog Rudy. Tapi saya rasa tahniah juga patut diucapkan kepada Capt Dr Faiz Khaleed's. Sila lihat aktiviti mereka di Blog Angkasawsan Kita.

Friday, September 14, 2007

PINDAH BILIK (LAGI)
1. SAYA
segan nak bagi tahu, saya sudah berpindah bilik (lagi). Bilik itu ialah bilik saya yang dulu. Kini saya dipertanggungjawab untuk menjaga semula konten (content), kualiti dan projek inovasi majalah-majalah terbitan KKSB. Dalam masa yang sama saya turut terlibat dengan konten dan beberapa misi/operasi akhbar Sinar Harian. Fuhhh...!

Terima kasih kepada mereka yang support Sinar Harian Edisi Selangor dan Kuala Lumpur yang nampak sudah sinarnya. Suksesnya Sinar Harian ini terletak kepada pembeli dan pembacanya, terutama di kawasan luar bandar. Menurut rekod bahagian jualan dan promosi, ada di beberapa tempat jualan harian akhbar ini telah mengatasi jualan akhbar arus perdana. Fenomena ini sama seperti yang telah kami alami di Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum ini.

2. KINI saya dan team sudahpun memulakan misi Sinar Harian yang seterusnya selepas berjaya menakluk Selangor dan KL. Dikesempatan ini saya ingin menghulurkan salam untuk orang Negeri Sembilan dan Melaka pula... salam Sinar Harian!

3. KAMI sekeluarga baru sahaja balik dari majlis berbuka puasa di rumah kawan En. Abang, seorang Datuk dan Datin di Sri Andalas, Klang. Berbuka dengan kurma, buah-buahan dan kuih muih (kuih koci pulut hitamnya sedap) kemudian solat Maghrib berjemaah dan makan time. Gulai kampung - masak lemak nanas dan ikan masin, tenggiri masak asam pedas, sayur campur, tempe masak lodeh kering dan ayam perap goreng. Jumpa ramai kenalan baru. Anak-anak pun enjoy. Alhamdulillah. Kami tidak tunggu Isyak dan Tarawih sebab saya kena balik semula ke pejabat.

Thursday, September 13, 2007

KITA BAGAIMANA?

Going Out
Abe to quit as Japan PM.


Going `in'
Philippine ex-president
Estrada jailed fo life



8.4 quake -
Gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter di 155 kilometer barat daya Bengkulu, selatan Sumatera dan 718 kilometer baratdaya Johor Bharu mencemaskan semua pihak.

Wednesday, September 12, 2007


PUTRAJAYA, 11 September - Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali yang juga ahli jawatankuasa induk melihat anak bulan Wilayah Persekutuan dengan menggunakan tropong khas dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa pada Khamis,13 Sept.
Majlis Raja-raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab. -foto BERNAMA

SALAM RAMADAN AL-MUBARAK
SELAMAT
berpuasa kepada seluruh Muslimin dan Muslimat.
Semoga puasa kita tahun ini lebih afdal berbanding puasa-puasa yang lalu.

Monday, September 10, 2007

TAK LAMA LAGI... TAK LAMA LAGI TU BILA?
SUDAH
banyak alasan saya berikan kenapa karya terbaru belum juga siap-siap. Alasan sibuk sudah tidak relevan. Hinggakan si Azilah (tertuduh pertama pembunuhan Altantuya) pun tak malu-malu berkata watak utama novel Kuala Lumpur di Mana Suamiku itu dirinya. Sebabnya dia sudah khatam tiga kali selama disumbat dalam sel. Mana novel baru akak? Soalnya minggu lepas.

Saya keluar dari kamar Mahkamah Tinggi hari itu perlahan-lahan ketika tuan hakim sedang sibuk mencatat nota keterangan mengenai tertuduh kedua, Sirul Azahar.

Oklah semoga mood kembali semula selepas menuruni bukit mahkamah di Seksyen 4, Shah Alam itu...

Sunday, September 9, 2007

SIBUK SANGATKAH KITA?
SAYA
mendapat soalan ini daripada seorang rakan:
Anda stress? Sila jawab Ya atau Tidak kepada soalan di bawah ini:

1) Adakah anda merasa gembira apabila anda terlalu sibuk?
2) Adakah diari anda penuh hujung minggu ini?
3) Adakah anda terdesak untuk bekerja sekalipun anda sedang sakit?
4) Adakah anda berpeluang menonton rancangan TV kesukaan anda dalam satu atau dua minggu ini?
5) Adakah anda berasa berbaloi apabila menyelesaikan sesuatu tugasan?
6) Adakah anda dapat mengisi masa bersama keluarga, rakan taulan atau dengan orang tersayang?
7) Adakah anda cukup tidur, teratur makan minum anda dan ibadat?

Apabila anda menjawab lebih banyak (Ya) pada soalan di atas, anda disarankan agar muhasabah dan periksa semula jadual hidup anda. Apabila anda menjawab lebih banyak (tidak), anda memang punya gaya hidup yang berkualiti dan teratur.

Jawapan saya banyak YA!
Akak memang stres tahap `cipan' sekarang ni. Huwaaa....

M.A. Kusyairi
www.myzewriter.com

Friday, September 7, 2007


Sinar Harian Edisi 7 Sept 07


Sinar Harian Edisi 6 Sept 07

UNTUK
memberi lebih peluang orang ramai mengetahui konsep akhbar ini, team web telah menolong saya uploadkan versi PDF untuk edisi pengenalan. Akak tak tahu nak upload PDF... Untuk itu terima kasih kepada CATBORG kerana sudi menolong. Bukan selalu akak mintak tolong kan? Kepada pembaca di luar Malaysia, tataplah versi pdf ini untuk lebih mengetahui berita di tanahair - ada berita Gombak, Sabak Bernam, Hulu Langat, Hulu Selangor, Kuala Langat- pendek kata (panjang kata) berita dari seluruh pelosok Selangor dan KL ada dalam Sinar Harian ini. (Maaf ya nak kempen sikit...)

Thursday, September 6, 2007


Sinar Harian Edisi 5 Sept. 07

ANAK KEEMPAT SINAR HARIAN
INI
adalah Edisi Pengenalan Akhbar Sinar Harian (its a daily paper!) yang bermula semalam, 5hb Sept. Inilah juga jawapan pada kesibukan dan kehilangan saya selama ini. (Maaf bos, dah dua hari bos suruh saya promo di blog saya, baru hari ini saya sempat upload...) Ini adalah anak saya yang keempat selepas Sinar Harian Edisi Kelantan, Sinar Harian Edisi Terengganu dan Sinar Harian Edisi Pahang. Untuk lebih detail mengenai konsep Sinar Harian, rasanya eloklah baca statment saya di bawah ini;

Salam daripada warga Sinar Harian;
Bermula 5hb September 2007, Warga Selangor dan Kuala Lumpur sudah ada akhbar mereka sendiri. Akhbar berkonsep lokal ini memberi 40 halaman warna warni untuk kesemua daerah dalam Selangor dan Kuala Lumpur. Wartawan kami yang dipanggil Skuad Cakna Sinar Harian bersedia untuk melaporkan apa sahaja kehendak dan keperluan setempat. Mereka melaporkan berita-berita komuniti terus dari lokasi kejadian.

Sifat kami lokal, iaitu membuat liputan untuk kawasan anda. Prinsip kami neutral iaitu tanpa mengira kaum, agama dan pegangan politik. Semangat kami nasional iaitu ingin membawa anda untuk sama-sama menjayakan wawasan negara. Fikiran kami global iaitu kami ingin mendampingi anda untuk menyesuaikan mental dan fizikal menghadapi dunia tanpa sempadan.

Jika anda sudah menatap Akhbar Sinar Harian secara percuma selama lima hari bermula 5hb hingga 9hb September 2007 dan berpuas hati dengan pengisian kami, silalah forwardkan info ini kepada teman-teman walau di mana mereka berada. Namun sekiranya anda masih belum berkesempatan untuk mendapat Sinar Harian, esok pagi segeralah ke kiosk akhbar berhampiran.

Edisi Sinar Harian bermula pada 10 September 2007 akan dijual dengan harga RM1. Sekian, salam Cakna daripada kami.

Wednesday, September 5, 2007

SALAM MERDEKA
MASIH
belum terlambat untuk saya mengucapkan salam merdeka untuk seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan kemerdekaan ke-50 baru-baru ini. Gembira juga saya mendengar suara garau parau anak saudara saya Roy, mengalunkan lagu Malaysiaku Gemilang di radio dan televisyen.

Maaf juga saya hulurkan kerana sudah lama tidak upload entri. Ada banyak sungguh alasan untuk disenaraikan, tetapi biarlah semua itu saya simpan sebagai satu rasa tanggungjawab.

Budak hilang lagi! Wahai emak-emak dan bapa-bapa sekelian... kisah kehilangan dan penemuan semula Yin masih belum luput daripada ingatan, kini kehilangan si comel Nurin pula menghantui. Tepuk dada dan tanya hati. Mahukah kita kehilangan anak kita pula? Jadi walau sibuk macamana, selalu bertanya, di mana anak-anak kita.


Still missing: Eight-year-old Nurin
had gone to the pasar malam
in Wangsa Maju, Kuala Lumpur, alone.

Sebagai komuniti yang cakna, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan Nurin Jazlin Jazilan, segeralah hubungi talian 03-61882545 atau faks kepada 03-61889545.

Thursday, August 9, 2007

SETELAH SETAHUN BERLALU

Terima kasih kepada:
Mba, The Japan International Cooperation Agency (JICA), Alumni Society of Malaysia (myJICA); http://www.myjica.net

Tuesday, July 10, 2007

TERIMA KASIH
Sesungguhnya hidup ini suatu perjalanan yang panjang. Kita jadi jenuh, jadi letih mengharunginya... sisa hidup tidak tahu entah di mana dan bagaimana. Banyak sungguh yang sempat kita kutip di perjalanan dan lebih banyak juga yang tertinggal, tercicir, tidak sempat dikutip. MasyaAllah...

Ingatan terhadap semua amat besar maknanya. Kerana itulah saya seronok untuk meneruskan hidup ini hingga bertemu titik noktah.

Friday, June 29, 2007

SELAMAT HARI PERSAHABATAN SEDUNIA
Persahabatan itu seperti tangan dengan mata.
Saat tangan terluka, mata menangis.
saat mata menangis, tangan pula menyapu air mata...

Saturday, June 23, 2007

GAMBAR YANG TIDAK TERLIHAT DI AKHBAR KITA

Monday, June 11, 2007

SELEPAS BERNIKAH - PAKLAH HARI SABTU



SELEPAS SMART - KOTAKU HARI AHAD

Wednesday, June 6, 2007



PERDANA MENTERI KAHWINI JEANNE ABDULLAH SABTU INI
PUTRAJAYA, 6 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan melangsungkan perkahwinan dengan Jeanne Abdullah, 53, pada Sabtu ini, demikian diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Majlis akad nikah pada hari itu akan dilangsungkan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di sini dan akan dihadiri oleh keluarga terdekat sahaja, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.
Jeanne dilahirkan di Kuala Lumpur pada 29 Julai 1953 dan merupakan anak sulung daripada empat adik beradik. Beliau mempunyai dua orang anak perempuan, Nadiah dan Nadene.
Beliau menerima pendidikan di Sekolah Menengah Assunta dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan penghotelan, serta pernah bertugas sebagai pengelola kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri dan pengurus Kompleks Seri Perdana.

Saturday, May 26, 2007

CANTIK GAMBAR NI

OSAKA - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (mana Pak LAH?) bergambar bersama sebahagian daripada pelajar Malaysia selepas majlis perjumpaan dan makan malam bersama pelajar Malaysia sebelum berlepas ke Kuala Lumpur di sebuah hotel di sini.

Para pelabur Jepun terus melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan penting dan kini menunjukkan minat terhadap Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Selatan Johor. fotoBERNAMA.

Friday, May 25, 2007

DEMAM TAK AKAN KEBAH
BANYAK
perkara yang terjadi selama seminggu belakangan ini.
1. Kakitangan awam dan yang telah pencen mendapat kenaikan gaji. Ada kakitangan KTMB yang nak reverse masuk gomen balik.
2. Harga tepung pun ikut naik. Sebenarnya bukan tepung saja. Semalam beli ikan kembung dan cili merah pun dah naik harga. Nampaknya roti canai di kedai Kak Ros semalam dah kecil sikit daripada saiz biasa. Sebab itu saya minta dua keping.
3. Kata Mursyidul Am PAS, Nik Aziz - Pilihanraya is around the corner. Sebab itulah Kelantan pun ikut pusat - naikkan gaji kakitangan.
4. Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa kuat berpegang kepada ramalan pilihanraya umum akan diadakan sebelum sambutan ulangtahun ke-50 kemerdekaan 31 Ogos ini.
5. Presiden PAS Haji Hadi pun berpendapat yang sama.
6. Datuk Nalakaruppan `hangin' dengan Anwar Ibrahim yang telah bersahabat dengannya lebih 30 tahun lalu. Datin Seri Azizah akan ditentang oleh Anwar dan seorang lagi calon presiden, Abdul Rahman Othman. Kalut tu...
7. Bocor. Bocor. Bocor. Siling kementerian bocor, siling mahkamah bocor. YB mintak maaf pasal bocor dan saya pun dah bocor bulan ni.
8. Pak LAH pi Tokyo. Jangan singgah ke Mt Fuji. Sekarang tak boleh, Ogos baru bukak. Pak LAH balik LAH...
9. Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun berkata sekarang ini ramai lelaki beli isteri dari negara asing. Ada diskaun agaknya.
10. Oh, kami di Shah Alam sudah pun berjaya memindahkan keseluruhan proses penting membuat/memproses/mengedit/mendesign/masukkan iklan/membuat PDF sepenuhnya Sinar Harian Edisi Terengganu dan Edisi Kelantan. Kemudian hantar PDF ke Pengkalan Chepa untuk dicetak. Minta maaf ya orang Kemaman, dah dua hari delay order.
11. Edisi Pahang tengah sibuk buat promosi/buat event/prepare kempen/bunting/flyers/design iklan bas/kereta skuad/design mock up/kendalikan skuad/sistem anak angkat ke Kelantan dan Terengganu/arrange kancil/pda/kamera/dll. Opis Kuantan dah ready. Akan terbit soooonnnnnn........
12. ... cuba tambah.

Sunday, May 20, 2007

TWINKLE TWINKLE LITTLE STAR
SAYA
tersentuh melihat transformasi seorang anak kampung, menjadi seorang star malam tadi. Itu bermakna kalau kita tercorot, bukan bererti kita akan kalah. Bukan saja dalam dunia seni, dalam segala perkara kita kena cepat bangkit, cepat belajar dan ikut cakap cikgu. Mila so natural dan buat clear winner malam tadi! Ya malam untuk Mila bukan untuk MU. Tahniah utk Chelsea.



Seperkara lagi anda boleh berjaya menawan puncak Gunung Fuji dan sambut Ambang Merdeka ke 50 tahun di Puncak Fuji. Sila klik: Blog MBA untuk ke Fujisan. Saya anggap saya tercorot tahun lalu, mungkinkah akan menjadi star tahun ini?

Thursday, May 17, 2007

Bantal serage bulat mendakap ampuh
Labu sayong bersadur emas melengkap simpuh
Senyum pengantin di peterana berbaldu
Warna kuning menambah syahdu

Tuesday, May 15, 2007

KATA-KATA PREJUDIS TERHADAP WANITA

KEMENTERIAN
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memandang serius kata-kata prejudis terhadap wanita yang diutarakan ketika sesi sidang Dewan Rakyat minggu lepas.

Setiausaha Parlimen Kementerian berkenaan, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, isu itu mendapat perhatian menteri berkenaan, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan telah membincangkannya di peringkat kementerian.

"Kementerian merasa kecewa terhadap peristiwa itu dan tindakan yang sewajarnya akan diambil bagi mewujudkan suasana yang kondusif kepada semua wanita," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Yip Kum Fook pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Insiden itu berlaku ketika Dewan Rakyat membincangkan kebocoran siling bangunan Parlimen apabila Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dan Datuk Mohd Said Yusuf dilapor mengeluarkan perkataan prejudis dengan mengaitkan isu kebocoran terhadap Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah).

(Lebih kurang beginilah kata YB Bung Moktar; "Mana ada bocor... Btu Gajah pun tiap-tiap bulan bocor juga..." Ketika Fong sedang membantah keputusan Tim. Yang Dipertua Dewan Rakyat.)

Sunday, May 13, 2007

AIR MATA UNTUK ABAH
SUBUH
tadi kami dikejutkan dengan berita kematian Pak Uda di Klang. Setelah berpakat dengan adik bongsu dia akan membawa abah dan emak dari Cheras ke Klang manakala saya terus sahaja dari Shah Alam ke Klang.

Sepanjang perjalanan ke sana saya asyik terfikir apakah perasaan abah... Dengan kematian Pak Uda itu, nampaknya kini hanya tinggal abah seorang sahaja dalam keluarganya. Sebagai anak bongsu dua belas beradik, kesemua enam abang-abangnya sudah meninggal dunia satu demi satu, paling akhir dua tahun lalu. Lima adik beradik perempuannya meninggal dunia ketika masih kecil, tidak sempat pun berusia lima tahun.

Kami sampai di rumah Pak Uda ketika abah sedang memandikan jenazah abangnya itu. Kemudian jenazah itu dia kapankan dengan bantuan anak-anak dan menantu arwah. Saya nampak kekuatan di wajah abah... hatinya cekal sama cekalnya ketika dia memandikan jenazah kesemua abang-abangnya dulu. Sekejap sahaja urusan selesai dan selepas disembahyangkan dia ke kubur pula untuk membacakan talkin untuk abangnya itu.

Renyai petang ini turut mengirim rindu saya pada arwah. Dan sayang yang tak terucapkan untuk abah dan mak...

Saturday, May 12, 2007

JIKA TIDAK, KAMI LAPAN BERADIK
Melihat huruf-huruf berlari
Teringat Muslim yang pergi
Salam Hari Ibu
Mak... Untukmu!

Friday, May 4, 2007

KAIN BASAHAN DILIPAT TIGA
RINDU DI HATI TIDAK TERKIRA


PESTA BUKU KUALA LUMPUR 2007 sudah pun bermula dan akan berakhir dalam tiga hari lagi. Saya masih belum sempat untuk ke Pavilion Karangkraf bertemu dengan semua yang menelefon, mahu berjumpa, menanti di sana. InsyaAllah akan pergi tetapi tidak pasti bila.

Kalaulah boleh berkompromi
Blog ini tidak akan selama ini dibiar sepi.

Thursday, April 12, 2007

JIKA INI BERLAKU PADA KITA...


* "Apabila nak menyuap nasi, saya teringat sama ada anak saya dah makan ke belum... "
* "Bila hendak memejamkan mata, saya terkenang di mana Yin tidur..."
* "Sejak Yin yang berusia lima tahun hilang dan gagal dikesan, saya dan suami Shamsul Ghazali Shamsuddin yang menetap di Chemor, Perak, kini menumpang di rumah ibu saudara di Kuala Lumpur menghabiskan masa mencari Yin di merata bandar raya."
* Nur Amizah yakin anaknya Yin masih hidup. Allah sajalah yang tahu di mana dia. Saya tidak putus berdoa agar dipertemukan semula dengan Nazrin.
* Nur Amizah berkata, Yin akan menyanyi lagu `Twinkle Twinkle Little Star' setiap kali dia balik dari tadika.
* "Kini saya dah tiada air mata mengenangkan Yin. Saya lahirkan dia, saya jaga dia dan berharap dapat tengok dia dewasa..."
* Sejak berita kehilangan Yin dipaparkan media massa, mereka suami isteri menerima beratus-ratus panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Kebanyakan maklumat itu datang dari mereka yang mengaku bomoh.

DI MANA YIN SEKARANG...


* Ada yang kata Yin di Rembau, di Selayang dan pelbagai tempat lagi termasuk di sempadan Malaysia - Thai. Ada juga berita menyebut dia akan dibawa ke Myanmar. Keluarga ini jadi serba salah sebab tidak mampu hendak ke sana apatah lagi tidak pasti kebenaran maklumat begitu.
* Sebelum ini Yin pernah hilang di Tesco Ipoh. Tapi kehilangan itu hanya beberapa minit. Selepas kejadian di Tesco, Yin selalu diingatkan jangan main jauh-jauh, nanti hilang.
* 700 risalah telah diedarkan kepada orang ramai di sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman bermula dari kompleks beli-belah Campbell, Chow Kit, Kampung Baru serta kepada pemandu bas untuk diletakkan di dalam bas sebagai usaha mencari Yin.

- Sebenarnya saya boleh menulis teks ini untuk menjadi lebih menyentuh hati tapi lebih baik jangan...

Friday, March 30, 2007

GADING TIDAK BERTUAH
HARI
ini saya marah-marah pada seorang staf perempuan (ini di luar bidang tugas). Dia sudah benci pasangannya padahal baru kahwin. Jika dulu dia berdoa semoga mendapat suami yang soleh - ya dia dapat. Namun kini dia benci si soleh itu kerana menyuruhnya mengaji, mengejutnya waktu malam untuk sembahyang tahajud, berjemaah dan menutup aurat bila keluar rumah.

Bukankah dulu dia berdoa mahu suami soleh? Sekarang peluklah dia!

* UNTUK HALELA
dan penggemar kucing. Klik sini,
ada sedikit cerita tentang kawan-kawan Tora (tanpa Cotton).

Wednesday, March 28, 2007

TAHUKAH ANDA
HARI
ini saya berpindah bilik lagi. Penat juga mengemas walau dibantu dua Abang Ane (India mari).Kepada sesiapa yang pernah berkunjung ke bilik saya, kali ini janganlah serik. Saya bukan lagi di bilik yang dulu dan dulu dan dulu. Lagi-lagi pindah, saya kata dalam hati melainkan pindah ke Bilik Pengarah Urusan saja saya belum... Tapi tidak mengapa, pindah lokasi untuk memantapkan produktiviti (pujuk hati). Lokasi sekarang? Saya kira langkah saya apabila hendak balik tadi, hanya tiga langkah saya sudah ke pintu keluar. Eh... bezanya dulu di bahagian bawah, sekarang di tingkat atas.

Thursday, March 22, 2007

BUKAN EMBARGO
MALAM
ini bukankah malam Jumaat? Jadi akan berlangsung majlis pernikahan penting kepada seorang yang penting. Orang penting dan pasangannya akan mengadakan majlis kenduri pada Ahad ini.

BUKAN RAHSIA
SEMALAM
apabila saya mahu `shoot' satu berita online untuk mukasurat 6, satu arahan baru dikeluarkan kepada Editor: Sila abaikan berita bernombor ####. Jadi saya tidak jadi `assign' page itu ke SH lalu saya `assign' arahan itu ke sini: T*N M sedia kerjasama menjadi orang tengah antara K -N- K.

Saturday, March 17, 2007

EMBARGO
SETIAP
berita yang akan diumumkan oleh pihak menteri atau sesiapa sahaja semestinya mempunyai waktu embargo - waktu dimana pihak media tidak boleh menyiarkannya sehingga pada tarikh sebenar yang ditetapkan bagi penyiaran. Laporan akhbar mestilah disiarkan selepas masa embargo.

Namun pada 4 Mac lalu, negara dikejutkan dengan pengumuman 'Nadiah Amirah peroleh 19 1A SPM 2006' oleh salah sebuah akhbar yang disifatkan mendahului laporan rasmi Kementerian Pelajaran (mendahului statment Menteri).

Keputusan telah disiarkan lima hari lebih awal. Keputusan telah bocor dan ini tidak pernah terjadi sebelum ini apatah lagi laporannya pula salah. Adakah ini agenda orang berkepentingan?

Pihak-pihak yang terbabit khususnya Lembaga Peperiksaan Malaysia mesti tampil untuk memberi penjelasan tentang perkara ini dan pihak media memohon maaf kerana melaporkan berita yang tidak tepat.

Bagi saya pelajar paling cemerlang ialah pelajar Sekolah Agama Maahad Muhammadi Perempuan,Kelantan, Siti Fatimah Mukhtar, 17, yang memperoleh 17 1A dan satu 2A; manakala seorang pelajar berusia 15 tahun Melisa Sia Yin Ying mencatat sejarah apabila menjadi calon termuda memperoleh 17 1A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

* Hal embargo ini kalau Karangkraf lakukan mesti dah kena warning. Orang tu macamana?

Monday, March 12, 2007

KEHILANGAN
MASA
senggang amat terbatas kerana perkara ini Klik Sini

Monday, March 5, 2007

MENTAFSIR MIMPI... sambungan
KATA
orang mimpi itu menyeronokkan, ia melekakan. Mimpi juga dikatakan mainan tidur. Tetapi jika ia mainan tidur...bukankah mainan itu menghiburkan dan mengembirakan? Sebaliknya saya tidak rasa terhibur langsung. Saya rasa amat terdera. Tidur saya terganggu. Saya rasa amat terddraTidur saya tidak puas. Saya akan berasa letih selepas megnalami mimpi. Apalagi jika mimpi itu adalah mimpi buruk, yang menakutkan, yang menggerikan.

Salah satu mimpi buruk yang dialami ialah apabila saya dicampak dari atas bukit ke jurang yang dalam (tidak nampak jelas siapa yang mencampak). Di dalam jurang itu ada sekumpulan buaya ganas. Ada juga ular-ular berbisa. Kemudian dicurah pula dengan air panas menggelegak... mimpi itu membuatkan saya betul-betul sesak nafas. Rasa penat sungguh saya berlari menyelamatkan diri. Sebaik terjaga, badan saya berpeluh-peluh dibuatnya.

Saya juga pernah bermimpi tersesat di dalam hutan hingga berhari-hari lamanya. Langsung tidak mendapat makanan dan minuman. Saya jadi teramat letih dengan kulit yang kering menggelupas. Apabila hujan turun, ia disertai dengan kilat, petir dan guruh sahut menyahut. Semua bayangan mimpi merupakan objek yang jahat. Buas. Sakit. Pedih. Tidak ada ketawa, tidak ada senyuman.

Emak puas menyuruh saya membaca doa-doa sebelum tidur. Saya baca. Emak menyuruh saya mencuci kaki sebelum tidur. Saya buat. Ustazah suruh saya mengaji sebelum tidur. Saya buat. Tetapi semuanya gagal.

Bagaimana untuk mengelak daripada tidak bermimpi? Sebab itulah waktu kecil dulu saya selalunya tidak mahu tidur. Saya tak berani hendak memejamkan mata. Saya takut. Hal ini berlarutan agak lama juga hinggalah mencecah usia remaja.

Apabila masuk ke usia remaja semua mimpi jarang datang. Saya boleh tidur dengan lena. Esoknya saya bangun pagi dengan puas. Bagaimana mimpi-mimpi itu hilang?

Saya tak tahu! Saya juga tidak mahu mengingat semula kisah silam.

Thursday, March 1, 2007

TAHNIAH
UCAPAN
tahniah kepada Datuk Azman Ujang sebagai GM Bernama dan wartawan vateran, Sdr Yong soo Heong sebagai Editor-in-chief Bernama.

Hari ini juga Mesyuarat Agung Tahunan ke 31 Institut Akhbar Malaysia (IAM). Wakil semua pertubuhan media dijemput hadir. Tiap pertubuhan boleh menghantar seorang wakil dengan satu undi. Kini Datuk Azman Ujang adalah Pengerusi IAM. Memorandum and Articles of Association (Agenda 8) sudahpun diedarkan sejak 5 Februari lalu.

Satu lagi ucapan tahniah untuk Bro Tiger yang sudah mulai mengaum di dunia blog pula menyertai rakan-rakan lain. Sorry Bro.... Silalah ke blog beliau di DUNIATIGER

Wednesday, February 28, 2007

MENTAFSIR MIMPI
SEMASA
kecil saya takut pada mimpi. Ini kerana, saya selalu mengalami mimpi yang pelbagai cerita. Ada cerita sedih, ada cerita gembira. Ada juga cerita yang membuatkan saya hampir jatuh dari katil. Boleh dikatakan hampir setiap malam saya akan bermimpi. Mimpi-mimpi itu pula kadang-kadang adalah tentang hal yang serupa, hampir berhari-hari lamanya. Ada jug yang mempunyai paparan yang berbeza.

Contohnya jika saya bermimpi dimarahi guru pada malam Isnin, malam Selasa cikgu itu akan muncul lagi. Memarahi saya lagi. Malam Rabu cikgu yang serupa juga hadir, kali ini mungkin saya di kampungnya sedanghadir kenduri pula... malam esoknya cikgu itu akan muncul lagi...

Saya selalu bertanya pada diri sendiri hampir pada setiap pagi... apakah orang lain juga mengalami hal yang serupa, sama seperti saya? Satu lagi soalan saya waktu itu... apakah mimpi ini wajib hadir dalam tidur? Atau, apakah mimpi saya sama seperti mimpi orang lain? Satu lagi soalan yang penting, betulkah mimpi boleh dipercayai?

Soalan demi soalan terus hadir setiap pagi setelah terjaga daripada mimpi. Ini memmbuatkan saya selalu berasa takut. Saya bimbang untuk tidur. Saya tak mahu mimpi datang mengganggu tidur. Setiap saat, saya cuba melupakan semua mimpi-mimpi yang pernah saya alami - bersambung.

P/S Sepatutnya saya ke Penjara Wanita Kajang hari ini. Tapi..

Monday, February 19, 2007

WANITA KENA PAKAI CAWAT BESI

DATUK Abu Hassan Din Al-Hafiz, seorang tokoh agama membuat syor berkenaan di Hulu Terengganu baru-baru ini. Beliau menyatakan cawat yang pernah dipakai sekitar tahun 1920-an hingga 1960-an dapat membanteras gejala rogol yang berleluasa di kalangan perempuan termasuk kanak-kanak dan warga tua. Pelik – lelaki seronok merogol, perempuan yang kena pakai cawat besi.

Sunday, February 18, 2007

REHAT
HARI
ini saya cuti. Ya cuti. Saya katakan ini dua kali kerana walaupun hari ini Ahad dan hari ini Tahun Baru Cina, tapi sepatutnya saya bekerja. Sebenarnya sudah hampir tiga minggu saya bekerja di pejabat hingga jam 12 tengah malam.

p/s - Gara-gara menerjah dunia suratkhabar harian, dunia majalah yang santai sudah lama saya tinggalkan.

Sunday, February 4, 2007

TAHNIAH
Dr M
pernah berkata bahawa seorang pemimpin bukan sahaja bersih tetapi mesti dilihat bersih. Saya pula ingin menambah, seorang pemimpin bukan sahaja berkuasa tetapi mestilah berani. Berani bertindak, berani bertanggungjawan atas segala tindakannya. dia juga harus berani mendahului zamannya.

Hari ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada Newly-appointed Perak Anti-Corruption Agency director Samsiah Abu Bakar. Semoga 21 kes yang masih belum selesai disiasat sejak tahun 2001 berjaya ditangani segera. Good luck & take care!

Thursday, February 1, 2007

KERJALAH...
HARI
ini di negeri Selangor adalah cuti sambutan Thaipusam. Di negeri Kuala Lumpur pula ialah cuti Hari Jadi Wilayah Persekutuan. Di negeri Kumpulan Karangkraf di Shah Alam hari ini tiada cuti. Kerja. Kerja. Kerja.

Friday, January 26, 2007

WISMA DENMARK (LAGI...)
SABAN hari saya mengikuti penulisan di blog Bro Rocky, Bro Sheih, Datuk Kadir, Datuk Ahmad Talib, Nuraina, Kak Teh, Jeff dan ramai lagi wartawan online yang lain. Saya selalu ingatkan diri bahawa gaya dan ideologi tulisan mereka di online dan printed tidak boleh dianggap serupa - menulis untuk mendapat gaji bulanan tidak sama dengan menulis utnuk mendapat kepuasan menulis.

Dan semalam bermulalah perjalanan Bro Rocky dan Jeff di Mahkamah Tinggi Sivil di Wisma Denmark. Bukankah saya juga sudah banyak kali ke sana atas urusan pejabat?

Perjalanan Semalam:
1. Tiada injunksi (sekatan) seperti yang diminta oleh plaintif dan empat pekerjanya dikeluarkan oleh Mahkamah. Maknanya setakat ini tiada injunction against Rocky.

2. Mahkamah akan bersidang lagi pada 22 Februari bagi menimbangkan permohonan Rocky agar Mahkamah menolak (strike off) saman plaintif terhadapnya.

3. 29hb Januari 2007 - Isnin ini – semua pihak terbabit akan berjumpa dalam kamar hakim bagi mendengar “penjelasan” Rocky mengenai ulasan-ulasan di dalam blognya yang dibuat selepas pengemukaan saman oleh plaintif pada 11 Januari 2007.

Good luck utk Bro Rocky dan Jeff. Memang perjalanan ini akan jadi panjang. Semoga Bro Rocky dan Jeff kuat semangat terutama dengan sokongan rakan bloggers yang lain.

Wednesday, January 24, 2007

MENDUNG, APAKAH HUJAN AKAN TURUN?
SEKSYEN 15
Shah Alam mendung hari ini, sama seperti di Pengkalan Chepa beberapa hari lalu. Rasanya di Kota tinggi, di Batu Pahat, di Raub, di Rompin dan di Kuantan juga serupa. Langit makin mendung, di laut pula ombak kian bergelora.

Tapi, mendung di hati... siapa yang tahu?

Saturday, January 20, 2007

MAAL HIJRAH
SEMINGGU lamanya tinggalkan blog, maaflah. Sesekali menjengah, tapi tak sempat hendak menyapa semua... Sekarang ini di Pengkalan Chepa Kelantan, nanti apabila selamat balik Kuala Lumpur saya akan jawab.

Salam tahun baru untuk semua semoga kita berhijrah ke dunia yang lebih indah. Cuma ingatlah selalu, setahun usia bertambah, setahun juga usia berkurang. Salam.

p/s: NONA, dah baca dan faham, tq.

Saturday, January 6, 2007

SALAM TAHUN BARU
BELUM
terlewat mengucapkan salam tahun baru untuk semua. Salam Masihi dan Salam Hijrah sekaligus, tak lama sahaja lagi tahun hijrah akan muncul. Hendaknya tahun mendatang memberi kita lebih keselesaan, kemakmuran, kesejahteraan dan kesihatan yang lebih bagus daripada tahun sebelum ini. Ya, lebih produktif jugak.

Alhamdulillah proses mengasingkan penerbitan Akhbar Sinar Harian Kelantan dan Akhbar Sinar Harian Terengganu telah mencatat sejarah pada 1hb Januari 2007 lalu. Tidak sampai lima bulan bermula dengan edisi pertama Akhbar Sinar Harian pada 31hb Julai 2006 lalu kini masing-masing rakyat Kelantan dan Terengganu ada akhbar tersendiri. Maknanya akhbar negeri ini mempunyai liputan khusus setempat. Ini adalah satu sejarah dunia penerbitan!

Dan kini kesibukan demi kesibukan terus menerjah 2007.

Friday, January 5, 2007

LEMBU SELEBRITI
OH
ya, Rabu lalu iaitu hari ke 13 Zulhijjah telah diadakan majlis korban di pejabat. Selain sumbangan daripada bos KKSB, turut menyumbang bahagian dalam korban tiga ekor lembu itu ialah semua anggota Rudfedge, Erra Fazira, Umi Aida, Zahid dan seorang dua yang lain. Azan dari Rudfedge turut menyembelih seekor kambing sebagai akikah anaknya yang baru lahir. Eloklah, buat sumbangan tanpa publisiti. Siapa kata mereka liar? Mereka seimbangkan antara dunia dan akhirat, yang memandang serong itu biarlah...

Terima kasih juga kepada anggota Bomba dan anggota Polis yang menjadi jiran-jiran kami di Seksyen 15 Shah Alam ini. Walau baru berpindah ke sini, kami sudah menjadi jiran yang baik. Mereka banyak membantu ke arah kejayaan KKSB dulu dan sekarang juga masa depan. Hari itu, semua staf sibuk bekerja, segala urusan penyembelihan dan melapah mereka yang lakukan dibantu oleh staf dari bahagian kebajikan KKSB.

Malam itu menu sup tulang dan esoknya beraya sakan dengan menu istimewa daripada daging-daging sumbangan para artis yang dimaksudkan di atas. Terima kasih daun keladi.

Sunday, December 31, 2006

Saturday, December 30, 2006


SANG SADDAM
UNTUK
rekod - Walau apa pun tanggapan kita terhadapnya, hari ini tamatlah riwayat hidup Sang Saddam Hussein di tali gantung - pukul 10 pagi waktu Malaysia.

Sunday, December 24, 2006

Pak, Terima kasih LAH

ALHAMDULILLAH
akhirnya Pak balik...!
Terima kasih banyak-banyak Pak kerana faham kesusahan anak negeri. Banjir kali ini bukan calang-calang Pak. Inilah masanya semua bangsa, tanpa beza usia dan agama saling membantu. Dalam kesusahan ini alangkah eloknya jika orang lain yang tidak terlibat turut menghulur tangan. Antara caranya ialah menghantar selimut, pakaian, makanan dan bahan keperluan asas yang lain ke:

1. Kontena Nasional office di Petaling Jaya
2. Parliament's dewan serbaguna
3. Puteri Umno headquarters at PWTC

Pak, jangan pergi dulu walaupun Pak sudah ada rancangan menghabiskan cuti pada Christmas dan year-end holidays. Kerana Pak mesti sedar tanpa anak negeri siapalah Pak. Bagaimanapun Pak, alangkah eloknya kalau Mak ada sama...

Friday, December 22, 2006

Pak, Balik LAH

Kepada Pak,
Selepas beberapa hari di Caracas, Venenzuela kerana urusan bisnes sepatutnya Pak janganlah teruskan niat untuk pergi bercuti. Pak, baliklah. Dua minggu di luar negara itu bukan satu masa yang singkat. Sebabnya di tanahair sekarang, ramai saudara mara kita di selatan terutama di Johor, Melaka dan kini di Pahang sudah hilang tempat tinggal. Rumah mereka musnah, ada yang ranap dan hanyut dibawa air.

Pak, hampir 60,000 orang telah dipindahkan. Ini satu angka yang besar. Manakala jumlah kematian setakat ini sudah lima orang dan mungkin akan bertambah. Sememangnya Pak, banjir kali ini adalah yang amat dahsyat! Abang Musa di Kota Tinggi sudah berhari-hari terputus hubungan. Hakimi, anak saudara di Bandar Penawar sudah tiga hari tidak dapat balik ke rumah mak bapanya di Kota Tinggi sebaik habis khemah ibadah. Manakala besan emak di Johor Bharu juga semakin menderita terputusnya bekalan keperluan harian... dan hujan di luar rumah terus mencurah.

Tidak lama lagi sekolah akan dibuka tapi ramai anak-anak sudah hilang arah. Ramai isteri dan suami tidak menentu hala tuju. Semua pegawai polis, bomba dan tentera telah dikerah bekerja siang malam. Kereta dan trak sudah tidak bermakna lagi. Setidaknya mesti gunankan bot berkuasa besar. Malah helikopterlah yang paling berkuasa kini.

Pak, kiriman pesan Pak pada wakil kita di BERNAMA
itu tidak cukup. Yang baiknya Pak, Balik LAH

Sekian daripada anakanda.

Wednesday, December 20, 2006

LAPORAN WARTAWAN WEB ALAF 21
KEPADA
yang tidak berkesempatan hadir ke Dewan Bahasa dan Pustaka pada 14 & 15 Disember yang lalu, ulasan mengenai novel-novel Alaf 21 telah disiar online. Sila Klik di sini untuk Bahagian Pertama laporann dan untuk Bahagian Kedua laporan mengenainya sila Klik di sini. Terima kasih.

Tuesday, December 19, 2006

SILAKAN BERTANYA
BEBERAPA
minggu lalu adalah giliran saya untuk memberi sedikit jawapan kepada beberapa soalan mudah daripada pembaca-pembaca karya saya. Berikut ini adalah soalan yang ditanya dan jawapan ringkas yang saya beri. Sila Klik di sini untuk sedikit info.

Monday, December 18, 2006

BILIK SEROJA, KGPA
BERSAMA
Mufti Kerajaan Negeri Perlis, YBhg Dr. Mohd Asri Zainul Abidin saya mempunyai senarai projek yang amat besar. Saya jangkakan projek ini akan mengambil masa hampir setahun dan akan disiapkan secara berperingkat-peringkat. InsyaAllah.

Salah sebuah buku terbaru beliau berjudul Membela Islam telah diterbitkan baru-baru ini dan telah dilancarkan oleh YBhg Datin Seri Shamsiah, isteri Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim. Majlis ini dan jualan buku berkenaan telah mendapat sambutan hebat daripada pelajar-pelajar IPTA dan IPTS yang terdiri daripada kalangan anak-anak muda. Sila klik di sini.

Thursday, December 14, 2006

JIKA TIDAK KERANA TERPIKAT PADA...
PAGI
tadi saat melangkah ke Tingkat 2, Menara DBP, saya sudah meninggalkan rasa terkilan terhadap ulamak-ulamak sastera dan tanggapan mereka mengenai novel popular. Jadi kedatangan saya pagi tadi ialah dengan hati yang terbuka dan niat yang positif. Oleh kerana jadual sudah berubah, MAHLIGAI CINTA jatuh nombor satu untuk dibentangkan oleh Prof Madya Dr. Hashim Ismail dari Universiti Malaya.

Inilah kali pertama kami bersua muka walau tulisan beliau sudah kerap saya temui dalam beberapa penerbitan. Apa komen beliau terhadap MAHLIGAI CINTA? Kertas kerja 20 mukasurat ini membuktikan beliau membaca novel berkenaan kerana banyak perkara yang disentuh cumanya pagi tadi semua itu tidak sempat disampaikan sepenuhnya kerana masa yang diberi amat suntuk.

Berikut antara isi kertas kerja:
* Proses awal membaca MAHLIGAI CINTA menerbitkan bibit kebosanan. Mengapa? Sebabnya saya prejudis dan tidak memandang serius terhadap novel popular.

* Proses seterusnya saya membaca sehingga ke bab 50 barulah saya mula tersedar bahawa ada halaman yang saya lipatkan sebagai penanda dan ada sesuatu yang menarik untuk dikemukakan sebagai kekuatan novel ini.

* Saya dapati ada gaya penceritaan yang kuat dan ada kesan penggunaan kolaj yang bertindih-tindih yang mula digunakan oleh pengarang. Dan setiap bab memilih untuk bertukar-tukar sudut pandangan, ada kalanya menyerap ke perspektif isteri dan ada kalanya menyerap ke perspektif suami.

* Saya juga mempertimbangkan kemungkinan untuk mengkaji novel ini dari sudut psikoanalisis yang sudah jarang dikaji oleh sarjana kita. Dan dalam proses penghayatan seterusnya saya tidak nafikan bahawa banyak kesan penggunaan teknik tersebut digunakan oleh pegarang. Suatu pengalaman menarik untuk mendedahkan watak dari sudut sedemikian dan saya memikirkan khalayak pembaca sudah didedahkan dengan satu teknik penggarapan watak yang menarik. Kesannya positif dari segi pengalaman kesusasteraan.

* Saya mengesan beberapa ciri perwatakan yang menggunakan teknik halusinasi, mimpi, monolog dalaman dan konflik ego dan super ego watak.

* Pembacaan saya seterusnya mendapati banyak informasi dalam novel ini yang bermaklumat dan membantu meningkatkan kualiti pengetahuan pembaca. Saya terpikat dengan maklumat tentang gambaran pengajian di Universiti Ryukyus, Okinawa, Jepun. Selain itu banyak maklumat tentang kebudayaan Jepun dipaparkan. Begitu juga pengalaman belajar di Leeds, England. Semua ini merupakan satu imaginasi maklumat yang menyeronokkan sebagai satu pemerolehan ilmu kepada pembaca.

* Kepelbagaian `warna' dalam novel ini:
i. Teknik Penyusunan Bab, Suspen dan Teka-teki.
ii. Imaginasi yang Dihidupkan dan Perasaan yang Dilangsungkan.
iii. Kepelbagaian Lukisan Watak
iv. Dunia Pengembaraan
v. Realiti Massa

* Membaca novel popular menyebabkan kita menceburkan fikiran ke dalam satu pergerakan ruang yang sudah diidentitikan oleh ciri teks dan realiti massanya. Novel popular membawa satu bentuk penjelajahan massa yang hanya mungkin dapat dialami oleh pembacanya sahaja.

* Pengarang novel popular serta syarikat yang menerbitkan novel popular merupakan satu komuniti massa yang telah sedia kukuh dibentuk. Mereka ada ikatan kommunal. Jkka kita di luar massa tersebut, sukar bagi kita untuk memahaminya, sehinggalah kita sendiri ikut bersama mereka.

* Kita boleh melihat dari pelbagai perspektif terhadap keupayaan novel popular. Namun demikian keupayaan novel popular mempengaruhi khalayaknya adalah kerana ia ada kelebihan tersendiri, dan kekuatannya dalah terletak di tangan komuniti massa yang sentiasa bergandingan bersamanya.

Ini adalah sebahagian daripada kertas kerja dan saya mencatat petikan-petikan sahaja. InsyaAllah saya akan siarkan kesemua isi kandung kertas kerja ini jika kelapangan. Terima kasih kepada Prof Madya Dr. Hashim Ismail yang telah memberi nilai tersendiri terhadap MAHLIGAI CINTA. Sesungguhnya terima kasih daun keladi.

Tuesday, December 12, 2006

JIKA KELAPANGAN, SILALAH HADIR
Tema : Novel Popular - Antara Komersialisme dengan Intelektualisme
Tarikh : 14 Disember 2006 (Khamis) & 15 Disember 2006 (Jumaat)
Masa : 8.00 pagi - 5.00 petang (Khamis); 8.00 pagi - 12.30 tengah hari (Jumaat)
Tempat : Dewan Seminar, Tingkat 2, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur.

Novel yang akan diperkatakan adalah:
* Bagaikan Puteri (Ramlee Awang Murshid)
* Gemersik Kalbu (Anis Ayuni)
* Original (H.M. Tuah Iskandar)
* Getaran Rindu (Norzailina Nordin)
* Jendela Hati (Aisya Sofea)
* Mahligai Cinta (Sri Diah) - Hari Khamis jam 2.00 ptg.
* Pasrah Kasih (Mazia Harris)
* Bukan Puteri Lindungan Bulan (Liana Afiera Malik)
* Cemburu seorang Perempuan (Siti Hasneza Abdul Hamid)
* Maafkanlah Aku (Zaharah Muhammad)
* Mencintaimu (Nass Alina Noah)
* Nyanyian Tanjung Sepi (Noor Suraya)
* Secebis Kasih (Syamimi Aminolah)
* Lagenda Budak Setan (Ahadiat Akashah)
* Tak Seindah Mimpi (Sharifah Abu Salem)
* Tunjukkan Aku Satu Bintang (John Norafizan)

Manakala panel pembentang ialah:
* Prof. Madya Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan (UM)
* Prof. Madya Dr. Hashim Ismail (UM)
* Mohamad Saleeh Rahamad (UM)
* Dr. Hajah Amida @ Hamidah Abdulhamid (UM)
* Prof. Dr. Sahlan Mohd Saman (UKM)
* Prof. Madya Dr. Rosnah Baharudin (UKM)
* Dr. Misran Rokimin (UKM)
* Prof. Madya Dr. Ruzy Suliza Hashim (UKM)
* Dr. Kamariah Kamaruddin (UPM)
* Dr. Haji Talib Samat (UPSI)
* Haji A. Rahim Abdullah (ASWARA)
* Hajah Zalila Sharif (DBP)
* Haji Hamzah Hamdani (GAPENA)

Oh ya. jumpa di sana ya!

Wednesday, December 6, 2006

SECEBIS BICARA - NIAT DBP DIRAGUI
PERTENGAHAN
Disember, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan seminar khusus mengenai penulisan novel popular yang akan disertai oleh beberapa orang sarjana dalam disiplin sastera masing-masing. Saya menarik nafas panjang dan bersyukur, bahawa ini suatu niat yang baik.

Di majlis itu nanti lebih sepuluh buah novel akan diperkatakan membabitkan lebih sepuluh orang penulis daripada tiga syarikat percetakan. Salah satu daripadanya ialah Alaf 21 Sdn. Bhd, anak syarikat Kumpulan Karangkraf yang juga syarikat induk kepada Akhbar Cabaran Sdn Bhd yang menerbitkan akhbar Sinar Harian.

Khabarnya pembentang kertas kerja telah diberi masa yang cukup untuk membuat kajian mengenai teks. Novel saya MAHLIGAI CINTA telah dipilih untuk dibicarakan dan saya diberitahu bahawa ianya akan diperkatakan oleh seorang sarjana dari Universiti Malaya.

Sebenarnya inilah julung kali DBP menganjurkan majlis ini. Ramai yang pelik. Ramai yang ragu-ragu dengan niat DBP ini. Oleh itu ekoran daripada keinginan menganjurkan seminar dengan tajuk ini dan sama juga dengan pendirian DBP dalam salah satu kegiatan sastera di Indonesia baru-baru ini, pihak penganjur telah ditempelak oleh sebahagian pengamal sastera serius.

Mereka kesal. Mereka amat kecewa. Mereka melenting, mempertikaikan wibawa penganjur dalam mendaulatkan sastera tanahair. Apa sudah jadi dengan penganjur? Malah cadangan pengiktirafan terhadap novel popular yang bertujuan memperakukannya untuk diberi hadiah sastera khusus terus dipersoal.

Curiga demi curiga. Komen demi komen... semestinya Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaffar yang terkena tempiasnya. Namun beliau tetap berpendapat penerbitan novel popular perlu dilihat dalam konteks yang luas. Ya, saya hargai pemikiran rasional beliau dalam hal ini.

Sudah ramai rakan-rakan memberi respon tentang komen-komen sinis mengenai novel popular yang ditulis oleh penulis novel serius. Tulisan mereka yang tidak dibalas langsung oleh penulis novel popular semakin menjadikan senario ini berat sebelah. Komen-komen mereka ada yang positif dan ada juga yang negatif jika dilihat pada konteks memperkasakan dunia pembacaan di Malaysia.

Rata-rata berpendapat dan mengarah pada sumbangan negatif novel popular terhadap minda masyarakat. Namun nilai tambah kepada pemikiran pembaca bagi saya bukanlah boleh dilihat sekali lalu. Ia adalah penilaian yang berperingkat, kesan pada jangka masa panjang dan kita tidak boleh berpuas hati dengan satu teori sahaja kerana kesusasteraan membabitkan penyatuan jiwa dan pelbagai ekspresi.

Tidak dinafikan kewujudan penulis novel popular memberi bentuk dinamik yang baru kepada gerakan penulisan dan penerbitan buku bahasa Melayu di negara ini. Contohnya cuba bandingkan keadaan penerbitan, pembacaan dan pemasaran novel hari ini dengan beberapa tahun lalu.

Trend ini nampak jelas. Sambutannya luar biasa. Senario terhadap dunia penulisan sudah berubah. Tanggapan terhadap sastera lebih terbuka. Novel kembali diterima oleh audien. Mungkinkah kerana sambutan yang agak mendadak ini yang kurang disenangi dan dianggap mengugat oleh pendokong sastera serius?

Trend ini mestilah dilihat pada sudut positif dengan menafikan bahawa isi kandung dalam novel popular bukanlah cinta semata. Adalah dinafikan tidak semuanya mengandungi khayalan dan syok semata. Tidak juga mengundang dosa dan kemungkaran atau laknat semata.

Secara positifnya jauhilah tuduhan yang tidak berasas. Apalagi dengan mengambil hanya satu judul novel sebagai mewakili penghasilan kesemua novel popular. Itu adalah penghinaan. Malah boleh juga dianggap anti intelektual dan prejudis.

Mengapakah kejujuran dan niat baik melahirkan novel dilihat sebagai agenda untuk merosakkan minda pembaca? * Tulisan ini saya salin leper-leper daripada kolum saya di Sinar Harian.

Saturday, December 2, 2006

AKTIVITI CUTI SEKOLAH
DIA
bangun agak lewat. Menyelongkar tudung saji, menjamah nasi goreng dengan ikan pekasam yang terhidang. Belum mandi pun! Mengunyah nasi goreng, minum kopi o sambil tangan menekan punat televisyen, siri kartun. Saya perhatikan saja. Bukan dia seorang, ketiga-tiganya! Begitulah mereka saban hari kebelakangan ini.

Kenapa bangun lewat? Malamnya letih bermain ps3, sebelum itu berjumpa kawan di Australia, kata seorang daripada mereka. Seorang lagi kata tangan juga letih menekan punat game boy. Seorang lagi memberi alasan tidur lewat kerana membuat `bintang-bintang' yang kemudiannya disusun cantik dalam botol berkaca jernih. Ya memang cantik berwarna warni!

Ini adalah penelitian sepanjang hari ini. Eh, tak boleh jadi! Jika beginilah sehingga sekolah dibuka, mereka akan `mua'.

Tuesday, November 28, 2006

LAST COME, FIRST GO?
HAMPIR
tiga suku hari saya hari ini dihabiskan di Kuala Lumpur. Sekejap tadi terburu-buru balik ke Shah Alam, bimbang tersangkut dalam kesesakan Federal Highway sementelahan pula hujan turun dengan lebatnya di sepanjang perjalanan. Alhamdulillah sekarang ini sudah selamat tiba ke pejabat.

Malam esok di Hotel Istana Kuala Lumpur akan diadakan Majlis Makan Malam Institut Akhbar Malaysia (IAM). Ramai yang sudah tahu dan saya tetap ingin beritahu, bahawa baru-baru ini Institut Akhbar Malaysia telah mendapat dana/geran daripada kerajaan Malaysia sebanyak RM5 juta untuk menjalankan pelbagai projek dan kursus bagi faedah pengamal media.

Tetamu kehormat yang akan hadir malam esok ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut akan hadir ialah Ketua Menteri Melaka dan Menteri Besar Negeri Sembilan. Mesyurat pagi tadi diadakan di Pejabat Datuk Azman Ujang, Pengerusi Bernama (yang juga Pengerusi Institut Akhbar Malaysia) di Wisma Bernama di Jalan Tun Razak.

Keputusan akhir sudah pun ada tetapi masih embargo sehingga malam esok. Antaranya ialah Siapakah Tokoh Wartawan dan siapakah Pemenang Anugerah Kajai, tulisan siapakah yang memenangi kategori yang ditetapkan dan sebagainya. Tadi juga diserahkan uniform Ahli Majlis IAM untuk malam esok rekaan pereka terkenal Nazleen Noor bermmotif batik. Bolehlah... tapi rasanya agak besar dan longgar bagi saya...

Satu gosip orang surat khabar diperkatakan juga tadi - akankah terjadi penggabungan dua gergasi persuratkhabaran arus perdana tidak lama lagi? Iyalah sama seperti gabungan Sime dan Guthrie... kalau begitu jadinya ramai yang gundah gulana dengan kedudukan sekarang. Last come, first go? Atau first come, last go?.

Oh ya, Sinar Harian akan terus go and go on!

Monday, November 27, 2006

BADAN SATU, HAJAT BERIBU...
SALMAH di Singapura mengirim sms bertanya khabar, sebelum itu beberapa orang lagi turut kirim emel, tanya khabar. Ya, NONA yang jauh pun bertanyakan soal yang sama... Jawapannya alhamdulillah saya sihat. Masih dipanjangkan umur.

Tapi kenapa tidak updated? Soalan cepumas tu payahlah akak nak jawab... kalau jawapannya sibuk orang lain pun sibuk juga. Tapi sebenarnya sibuk campur tak ada mood, campur banyak sangat nak tulis, tak tahu mana nak dimulakan dulu dan tolaklah sepuluh peratus malas...

1. Sekarang mak saya sudah keluar dari HUKM. Terima kasih pada Dr. Datin dan misi-misi yang telah memberikan khidmat terbaik mereka kepada mak. Kami adik beradik amat berpuas hati. Juga terima kasih kepada rakan dan jiran yang menziarah mak saya di Tingkat 6 Wad 3 HUKM. Sekarang ini yang paling wahid ialah kena pantang betul makanannya.

2. Projek jangka panjang yang sedang ditangani sekarang ialah Menterjemah Al Quran - Arab - Melayu - Penjelasan ayat. Projek ini bersama Dr. Juanda dari Pejabat Mufti Negeri Sarawak. Bersama Dr. Asri, Mufti Kerajaan Negeri Perlis pula ialah projek membukukan segala Hadis Bukhari dan Muslim. Wah lepas ini akak boleh jadi calon ustazah!

3. Satu lagi projek jangka panjang ialah merealisasikan pengasingan terbitan Sinar Harian Kelantan dan Sinar Harian Terengganu. Sekarang bukan 5 x seminggu tetapi sudah 7 x seminggu. (Ah, teringat satah di pasar Cabang Tiga, Pengkalan Chepa.)

4. Tidak dilupakan proses menerbitkan Sinar Harian Pahang, Sinar Harian Kuala Lumpur dan Selangor sesegeranya.

5. Projek jangka pendek sebelum 3hb Disember - buku Asmara Ini... Sempena majlis persandingan Fadzley dan Azrene.

6. Dan menjelang Pesta Buku April 2007 nanti ialah kelahiran lagi 8 judul buku.

... kalau macam inilah, bila pula novel nak siap?

Friday, November 10, 2006

SELAMAT PENGANTIN BARU
KEPADA `ABANG & ADIK'

Thursday, November 9, 2006

SEPUTAR KITA
MEMANG
selalunya apa yang dirancang dengan betul pasti akan menjadi. Namun ada juga plan A bertukar menjadi plan B. Saya akhir-akhir ini jadi seperti itulah. Banyak yang dirancang telah pun menjadi dan ada juga yang tak dirancang muncul mendadak. Kaedahnya; saya yang menurut perintah, bz tak sudah.

Ada banyak perkara mencuri perhatian sehari dua hari ini.
- Abang Zek - istana abang tu taklah hebat sangat. Banyak lagi istana orang lain yang lebih gah!
- Razak Baginda? Haa... orang itulah!
- Jiran rumah lama saya kena sembelih dek anaknya yang cacat mental.
- Nurul & Ajai - ya dah talak tiga. Jadi selama ini macamana?
- Ini yang baru - Penyanyi/Mr. Smart/Cikgu Motivasi Dr Fadzley anak Datuk Yaakob dah kahwin 7 Nov lalu. Isterinya ialah anak ....
- Penyanyi Nash dengan ..... akan kahwin Disember ini.
- Parti Demokrat berkuasa - Padan muka Bush. Sudahlah Republikan!
- Super Puma terhempas. Ya, ini nostalgia buat saya.
- SMS - Datuk Azahar Mansur murtad?
- Uhhh, tak habis-habis dengan jemputan raya! Plastik ketupat tak selamat, ish entah berapa banyak ketupat segera tu dah masuk dalam perut.
- Kelakar, Pak Lah dihadiah anak ghimau betina.
- Tun Mahathir masuk IJN. Perhimpunan Umno ni tak hadirlah kot...

Macam-macam reaksi kita dengan berita-berita itu. Saya sendiri sekejap keliru, sekejap tersengih, sekejap serius, sekejap geleng kepala. Rasanya orang lain pun sama juga seperti saya (agaknya).

Tuesday, October 31, 2006


Keterangan dari kanan; Syed Munawar, Zamzarina, saya, Salina Ibrahim dan Ahadiat Akashah semasa di slot Resensi, Sabtu lalu dalam program Selamat Pagi Malaysia, RTM1.

Saturday, October 28, 2006

SELAMAT PAGI MALAYSIA TV1
Jam; 8.15 - 10 Pagi
Tetamu: Saya, Salina Ibrahim dan Ahadiat.
Topik: Resensi Novel & Borak Aidilfitri.
Pengacara: Sayed Munawar dan Zamzarina.

* Hadiah novel kepada pemanggil bertuah.

Thursday, October 26, 2006

ISNIN - ESOK HARI RAYA
SEPERTI
tahun-tahun sebelumnya semenjak tujuh belas tahun yang lalu, kami suami isteri tidak perlu `osom' untuk menyambut 1 Syawal. Destinasi tetap ialah balik ke kampung suami. Alhamdulillah perjalanan selepas sahur selamat tiba ke destinasi tepat pukul 11 pagi di Kampung 30, Tokai, Alor Star. Mujur perjalanan bergerak lancar, tiada kesesakan.

SELASA - BERKAMPUNG DI GRAND CONT.
MALAMNYA
tidur agak lewat, hampir jam tiga pagi. Sebabnya dari balkoni, pesta malam hari raya betul-betul nampak seronok dan riuh. Tanpa berlengah masing-masing bersiap. Sekejapan saja kami sudah masuk dalam kemeriahan itu. Walau hujan gerimis, pesta Pekan Rabu tetap meriah.

1 SYAWAL
MENINGGALKAN
Grand Cont. Bersiap awal pagi menuju kampung untuk bersembahyang raya. Seharian dihabiskan dengan mengunjungi sanak saudara, dari Alor Star sampai ke Arau, Perlis. Rumah ketiga-tiga beradik suami penuh dengan anak-cucu-cicit saya. Alor Star hujan tiap petang. Ada tempat yang banjir. Bendang penuh air. Rabu pula ke Kg. Aceh, Yan. En. Abang ada majlis hari raya dengan kawan-kawan lama.

KHAMIS - RINDU KL
SUDAH
tak sabar untuk kembali ke rumah sendiri. Sebelum bertolak, bertemu dengan Ilhami dan isteri serta dua anak comel, mengambil titipan daripada Nina Suria. Thanks Nina! Perjalanan amat dahsyat, sesak. Hujan sekejap, berhenti sekejap dan hujan semula sampailah ke KL. Berlaku tiga tragedi di tiga lokasi berbeza - kemalangan tiga kereta - kereta terbakar - kereta terbabas ke longkang besar. Alhamdulilah kami selamat sampai ke rumah lewat petang.

Friday, October 20, 2006


Diiringi doa semoga segala ibadah kita diterima-NYA dan kursus selama sebulan yang kita jalani sepanjang Ramadan ini seperti mengamalkan sifat-sifat positif, sabar, pemurah, tidak suka membazir, memiliki perasaan belas kasihan sesama insan dan sebagainya memberi kesan mendalam dan berpanjangan kepada kita. Semoga ia tidak berakhir dengan lenyapnya bulan mulia ini.

Untuk yang berbangsa India, Salam Deepavali daripada kami sekeluarga.

Wednesday, October 18, 2006

BISKUT `TUNJUK-TUNJUK'
SAYA
mempunyai ruangan khas di dalam akhbar Sinar Harian. Ruangan ini dinamakan Secebis Bicara - kisahnya apa sahaja yang terdetik di hati untuk tatapan pembaca akhbar ini di Kelantan dan Terengganu. Berikut ini adalah tulisan saya untuk akhbar edisi esok. Oleh kerana ceritanya tentang hari raya, rasanya elok juga saya paparkan di sini untuk tatapan orang luar dari Kelantan dan Terengganu

BAGI saya yang amat sibuk kebelakangan ini, keinginan untuk membuat biskut raya seperti dulu-dulu, selalu sahaja terhalang. Bukan tak mahu membuat biskut dahlia, biskut samperit, atau membakar biskut mama caries ataupun membuat biskut yang sedang hangat diperkatakan, biskut my heart... yang diadaptasi daripada filem muda-mudi itu.

Kadang-kadang teringin juga merasa air tangan sendiri menguli tepung gandum untuk membuat kuih gunting atau kuih lidah buaya... hendak lebih pedas tambahkan sahaja cili, atau nak lebih manis, tambahkan gula. Tapi apakah saya boleh membuat semuanya sendiri? Siang atau malam? Atau memasaknya di hujung minggu? Ah, lupakan saja...

Kesibukan sekarang dan tuntutan hidup di bandar besar membuatkan saya terpaksa membuat keputusan untuk membeli `biskut tunjuk' sahaja! Tunjuk balang biskut dahlia, dapatlah biskutnya. Tunjuk balang biskut samperit, dapatlah biskutnya. Tunjuk balang batang buruk, dapatlah batang buruknya. Lepas itu hulurkan sahaja duitnya.

Ya hidup semakin mudah apabila ada duit. Duit telah membuatkan kita terpaksa menghakis rasa tanggungjawab memasak sendiri makanan untuk seisi keluarga. Duit juga membuatkan kita lupa pentingnya mengajar anak-anak memasak.

Jika dulu semasa kecil, emak mesti memanggil saya dekat dengannya apabila dia hendak memasak. Sambil duduk bersila, dia akan mengajar saya bagaimana mengupas bawang supaya tidak memedihkan mata sampai menangis bengkak mata.

Dia juga akan mengajar saya bagaimana cara betul memerah santan supaya santanya tidak memancut di celah-celah jari, hingga tumpah ke lantai. Bukankah itu merugikan? Dia juga akan mengajar saya bagaimana hendak memotong sayur bendi supaya tidak berlendir.

Semua itu adalah pengalaman yang amat mahal. Ia juga satu kenangan manis hingga hari ini. Buktinya saya masih lagi ingat semua petua-petua itu. Dan akan mempraktikan jika ada masa terluang di hujung minggu - memasak untuk keluarga kami.

Hari ini, lemang dan ketupat boleh dibeli sahaja daripada mana-mana pasaraya. Hatta di pasar pagi atau di pasar malam pun ada berlambak. Semuanya dalam dalam paket segera. Murah pula harganya. Ada macam-macam jenama, ada banyak bentuk dan coraknya. Malah ada juga pelbagai rasa apabila sudah banyak jenis beras digunakan. Kaedahnya senang sahaja. Beli, basuh sekali lalu dan rebus sahaja.

Kemudian apabila sudah masak dan disejukkan, siap untuk dihidang. Begitu juga untuk memasak rendang ayam atau rendang daging. Basuh ayam atau daging dan masukkan ke dalam belanga. Selepas itu curahkan sahaja dengan paket ramuan rendang yang sudah sedia siap diproses. Tak perlu pedih-pedih mata membersihkan cili padi dan bawang.

Malah kerisik pun tidak perlu bersusah payah hendak membuatnya, hingga berterabur ruang dapur dengan parutan kelapa yang disangai kemudian perlu ditumbuk untuk menghaluskannya hingga menerbitkan minyak. Sekarang, bawa saja duit ke kedai, beli sahaja kerisik yang sudah siap dipeketkan.

Apakah ini yang kita mahu warisi pada anak-anak? Mereka sudah senang, malah semakin senang sekarang. Bayangkan apabila tiba waktu susah, atau ada kepayahan menimpa, bolehkah mereka hidup sendiri? Saya tak dapat bayangkan bagaimana hidangan pagi raya nanti jika saya mogok memasak... bolehlah anak dara saya siapkan semua hidangan?

Menjelang detik itu, salam Ramadan dan Salam Aidilfitiri untuk semua.

Monday, October 16, 2006

DULU LAIN, SEKARANG LAGI LAIN...
MINGGU-MINGGU
akhir Ramadan ini anak-anak sudah sibuk menuntut pakaian raya. "Iyalah mama kata baju-baju beli last minute, sekarang kami tuntutlah janji..." Bukan apa, saya tak mahu beli awal, takut nanti menjelang raya dah sendat. (Ah alasan, mama sibuk sebenarnya!).

Saya menyelongkar almari dan beberapa helai baju Melayu En.Abg masih elok lagi, tidak luntur warnanya, masih up to date juga design fabriknya. Saya suruh Anas sarung... wah muat-muat sahaja. Bayangkan, tubuh Anas sekarang sudah sebesar badan En.Abg dulu-dulu. Okey dah selamat baju Melayu untuk Anas. Dia dapat dua pasang!.

Kemudian selongkar pula almari saya dan terjumpa beberapa helai baju kurung yang masih elok, tidak luntur coraknya dan masih in designnya. Saya suruh Kak Long sarung. Tapi... alamak tak muat! Mencuka saja rupa Kak Long. Yalah dulu tubuh mama besar jugak, tapi taklah sebesar badan Kak Long hari ini!

Pejam celik, pejam celik, bertahun berlalu, kini anak-anak sudah membesar. Terasa cepat sungguh masa berlalu... Jika dulu saya padan saja menggayakan kebaya songket berbunga tanjung kepunyaan mak di zaman mak muda-muda. Tapi sekarang anak-anak, lain macam besarnya. Itulah penangan burger, hot dog, spagheti, ayam goreng dan segala aneka yang segera. Kata si bongsu hari raya biasa saja sebab sekarang pun boleh makan lemang, ketupat, rendang dan lontong. Alahai...

Sunday, October 15, 2006

SALAM AWAL MINGGU
SALAM
Ramadan dan Salam Aidilfitri yang bakal menjelang kepada semua. Kata emak saya semasa kami adik beradik masih kanak-kanak dulu - jangan dikira sudah berapa hari kita berpuasa (banyak kiraannya) jadi kiralah lagi berapa hari kita kena berpuasa (jumlahnya makin sedikit). Betul. Ya, waktu itu sama seperti hari ini, ketika itu kami adik beradik sudah boleh membilang dengan jari tangan tak perlu masuk kiraan jari kaki. Kelakar!

Maaflah atas kesibukan. Maklum hampir hujung tahun dan perancangan 2007 sudahpun bermula kini. Di masa yang sama sambutan terhadap surat khabar Sinar Harian memungkinkan kami untuk terbitkan 7 x seminggu berbanding sekarang 5 x seminggu. Selepas itu akhbar ini akan mengambil tempat di beberapa negeri terpilih pula. Nampaknya saya semakin kerap outstation.

Semalam berbuka puasa bersama ahli besar Karangkraf. Dan bertemu Nash yang duda, membawa lapan anak-anak Aceh mangsa tsunami menerbitkan air mata apabila mereka bernasyid. Nada suara anak-anak yang kehilangan ayah, ibu, ahli keluarga terdengar hiba. Saya bayangkan kalaulah tragedi tsunami itu muncul lagi...

Sehari sebelum itu berbuka puasa bersama Menteri Wanita, Kak Ijat dan ahli media lain di KL Hilton mengisi diari hari. Tentunya peluang berjumpa sahabat media dari penerbitan lain amat besar maknanya. Banyak perkara yang dibualkan, sampai lupa hidangan tersedia. Dan terima kasih atas layanan staf kementerian yang baik budi.

Saya sudah memulakan novel baru. InsyaAllah, harap-harap mencapai target.

Sunday, October 8, 2006

SEDIH BERSANGATAN
EMAK
saya sedang tidak sihat. Sepanjang Ramadan ini hanya beberapa hari sahaja dia terdaya hendak berpuasa, itupun setengah hari sahaja. Kami adik beradik pun tidak galakkan dia berpuasa, nanti bila dah sihat nanti gantilah semula.

Saya runtun hiba juga menjengah blog Kak Teh Sentral Station, London dan blog Mak Aji. Berbanding kedua-duanya, saya Alhamdulillah masih ada mak dan abah. Masih boleh ditatap matanya, masih boleh dipeluk tubuhnya. Memandangkan saya kini jauh daripada mereka, hanya hujung minggu sahaja kami dapat berjumpa. Minggu lepas kami anak beranak dapat berbuka puasa bersama mak dan abah dan alhamdulillah sekarang inipun baru balik dari rumah mereka.

Kak long di Kuantan, abang ngah di Kota Tinggi dan seorang adik di Kota Bharu juga bergilir menjenguk di hujung minggu. Tiga adik saya yang berada di sekitar rumah mak juga tak lepas pandang. kerap melawat mak dan abah. Memang kami belum mahu kehilangan mereka...

Hiba saya bersangatan apabila sudah berbulan-bulan melihat mak mencucuk sendiri jarum berisi insulin ke perutnya... sampai bila mak nak lalui semua itu?

Saturday, October 7, 2006

YA, INILAH CERITA SEDIH!
SUDAH
ada lima kes dalam tangan. Hukumnya ialah dosa. Sama ada Ajai atau Norman, mereka lelaki suami. Sama ada Abby atau Nurul, mereka perempuan isteri. Dan anak tetaplah anak. Jika ada angin, di sebalik lalang akan ternampak dosa itu. Kita bukan saudara tetapi kita bersaudara. Memeluk Nurul, dulu sudah diberitahu. Jangan berpura berselindung. Dan pada suatu hari esoknya beriya-iya ke pejabat mahu mendapatkan Kuala Lumpur di Mana Suamiku....
Nah, sekarang baru dia faham!

Friday, October 6, 2006

INI BUKAN CERITA SEDIH
HARI
ini janganlah jadi seperti semalam. Biarpun semalam sama seperti hari kelmarin. Sebenarnya bukanlah susah sangat hendak berkata `tidak', tetapi orang keliling seperti menjeling apabila saya mahu berkata `tidak'. Jadi saya angguk sahaja kepala walau di mulut langsung tidak terkeluar kata `iya'.

"Terima kasih. Terima kasih..." Katanya.
Saya terpinga. Muka tersimbah minyak panas rasanya...!

Wednesday, October 4, 2006

CERITA HARI KE SEBELAS
DI SINI jerebu. Ia datang bersama jin jahat melintasi Laut China Selatan, terang-terang di siang hari. Ia menguasai mata. Lemas dada. Semalam juga serupa. Dan cerita hari ke 10 tidak akan khatam.

Teorinya perempuan itu seperti selalu, tetap menggosok-gosok hidung resdungnya. Dia juga suka membesarkan matanya apabila berkata-kata. Ya tidak lama lagi virus dari hidungnya akan merebak ke daerah itu juga!

Dan nanarlah sekelian lelaki. Seperti nanarnya wanita-wanita berjilbab itu melihat kacaknya Nabi Yusuf. Selepas ini jangan mengira hari lagi. Sama ada esok 12 atau 13 dan lusanya 14, hari tetap datang dan berlari pergi. Masih adakah jerebu?

Tuesday, October 3, 2006

CERITA HARI KE SEPULUH
RAMAI orang suka dipuji. Pujilah yang dia itu bagus, profesional, mempunyai pemikiran yang tinggi dan relevan pada setiap yang dibicarakan. Sebaliknya tidak ada orang yang suka dirinya dikeji. Jangan kata dia pemalas. Jangan kata dia tidak panjang akal, jangan kata dia low class dan jangan kata pemikirannya tidak kritis.

Orang yang panjang akal memang akan selalunya selamat. Tetapi bagi yang pendek akal, mendengar sehala sahaja apa yang dikemukakan bukan sahaja akan dijual orang bahkan dia akan tenggelam selamanya. Memang, menuju matlamat dengan selamat tidak ada jalan pintas.

Antara dua kriteria ini di mana diri kita sebenarnya? Dan hari ke 10 Ramadan ini kenapa saya tak pasal-pasal menyentuh hal ini?