BUKU WANITA TAHANAN REMAN DILANCAR
08 Sep 2014 - Sinar Harian
KUALA LUMPUR-Bagi yang merindui karya novelis prolific, Sri Diah Shaharuddin, jangan ketinggalan untuk mendapatkan naskhah terbaharu beliau yang berjudul Wanita Tahanan Reman.
Buku yang menghimpunkan 28 buah cerpen itu, dilancarkan secara rasmi di Malam Baca Puisi anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).
Menurut Sri Diah, karya terbaharunya itu adalah himpunan cerpen yang beliau hasilkan sejak tahun 1980-anlagi.
"Ketika cerpen-cerpen itu dihasilkan, saya masih lagi menjadi wartawan. Banyak pengalaman dan kisah hidup yang saya lihat saban hari, saya coret melalui cerpen ini.
"Boleh saya katakan, kebanyakan cerpen yang ditulis hasil pengamatan mengenai wanita dari kaca mata seorang wartawan bertemakan hak dan perasaan wanita dalam berdepan pelbagai krisis dan konflik" katanya.
Selain paparan kisah wanita, tulisan cerpennya beraneka ragam dan memperlihatkan krisis masyarakat moden yang berdepan dengan kehidupan kota yang serba kompleks dari sudut jasmani dan kerohanian.
Sri Diah juga merupakan Pengurus Besar Editorial Grup Buku Karangkaf, mula meminati dunia penulisan cerpen sejak di bangku sekolah lagi.
Beliau juga telah menghasilkan lebih 10 buah novel, antaranya Dosa Malam Pengantin, Doa Buat Suami dan Cinta Yang Terpilih.
Pelancaran buku disempurnakan Setiausaha Politik, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Marzuki Mohamad.
Pada sesi tersebut, dilancarkan dua lagi karya daripada penulis hebat iaitu Amin Minhad dengan judul buku Dikulit Bumi Karyamu dan Ridzuan Harun, Buku Si Darwis.
Hadir sama, Presiden Pena, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron
No comments:
Post a Comment