Tuesday, July 14, 2015

Diplomat di Rome (2)

Kunjungan ke Rome, Itali (27 Mac - 6 April 2015) sebaik sahaja saya tamat menyertai Bologna Childrens Book Fair menemukan saya dengan dua keluarga diplomat. Atas kesempatan itu saya membuat temubual bersama mereka untuk Majalah Mingguan Wanita.

Terima kasih kepada sahabat saya, yang menetap di Rome, Bro Stefano Romano yang menolong mengambil semua gambar-gambar semasa temubual berlangsung. Grazie a tutti, Stef!


Aidilfitri di Rom, Italy demi tugas kepada negara
TETAP RINDU SUASANA DESA
Catatan:  Sri Diah Shaharuddin
Foto: Stefano Romano, Rom, Itali dan koleksi peribadi keluarga.

BERTUGAS sebagai Setiausaha Kedua (Pentadbiran) di Kedutaan Besar Malaysia di Rom, Itali, menjadikan sambutan Ramadan dan Syawal sangat bermakna bagi keluarga Rohaizad bin Abdul Lateh, 38 dan isterinya, Noraniza binti Adnan, 38 serta dua orang anak mereka, Nur Dania Qaisara, 11 dan Rezza Akif Rahimi, 8.

Sesuai dengan Aidilfitiri yang bakal tiba, tidak dinafikan perasaan sedih mulai melanda perasaan mereka sekeluarga yang tahun ini merayakannya di Itali.
“Memanglah perasaan sedih tetap wujud. 

"Kami tetap terkenangkan ibu dan ayah, sanak saudara dan adik beradik dan mahu sangat bersalaman memohon maaf. Sememangnya suasananya sangat berbeza.

“Namun mujur isteri saya yang pandai memasak pelbagai juadah hari raya sedikit sebanyak dapat menghindar daripada rasa sedih itu. 

"Kami tetap menikmati juadah hari raya seperti nasi himpit, kuah kacang, nasi minyak, pelbagai jenis biskut dan hidangan pencuci mulut,” ujar Rohaizad dan keluarganya yang ditemui di Kedutaan Besar Malaysia di Rom, Itali.


Isterinya Noraniza yang yang berasal dari Yong Peng, Johor bercuti bertugas kerana mengikut suami menjalankan tanggungjawab di Rom berkata, beliau seberapa boleh akan mencipta suasana hari raya di rumah.

“Kami tetap berpakaian baju raya dan turut melakukan ziarah ke Masjid Besar Rome. Kemudian akan berkunjung ke rumah sahabat-sahabat senegara yang bertugas di sini dan sekitarnya.


 “Perkara ini penting. Mereka perlu diingatkan tentang tanahair, rasa sayangkan Malaysia, ingat semua kenangan manis di tanahair dan tidak lupa kepada juadah kegemaran mereka di Malaysia seperti kue teow, mi kari, dan ketupat rending,” ujarnya.


Antara tugas seharian Rohaizad di Kedutaan Besar Malaysia di Rom, Itali  adalah merangkumi hal-hal pentadbiran pejabat, urusan kewangan, urusan protokol bagi lawatan VVIP dan kerja-kerja konsular iaitu menangani masalah rakyat Malaysia di Italy (kematian, pendaftaran kahwin/kelahiran, kehilangan passport dan sebagainya)


 “Selain itu, kami turut membantu rakyat Malaysia yang ditimpa kesusahan semasa di Itali. Antara kesusahan yang sering melanda rakyat Malaysia di Itali adalah menjadi mangsa jenayah kecurian (pickpocket) yang menyebabkan mangsa terdampar sementara di Itali kerana kehilangan passport dan duit.



“Bila perkara sebegini terjadi, pihak Kedutaan akan cuba sedaya upaya membantu seadanya mangsa. Jenayah seperti curi beg dan pickpocket agak berleluasa terutama sekali di Milan dan Rom.


Kini terdapat seramai 300 rakyat Malaysia kini berada di Itali. Sebilangan kecil daripada bilangan ini merupakan ahli professional dan ahli perniagaan.

Terdapat juga pelajar-pelajar Malaysia yang mendalami ilmu dalam pelbagai jurusan seperti jurusan senibina, design, fesyen serta jurusan Agama Kristian. Sebahagian besar daripada bilangan ini mengikut pasangan masing-masing,” ujarnya.


·       * Pada kesempatan ini mereka sekeluarga ingin mengucapkan Salam Ramadan dan Selamat Menyambut Aidilfitri kepada ibu bapa, adik beradik, sanak saudara dan semua kenalan di tanahair. Mohon Maaf Zahir dan Batin.

No comments: