PEMILIHAN adaptasi novel ke layar perak (filem) atau kaca televisyen (drama) bukan lagi fenomena baru dalam industri tempatan.
Gaya kerja adaptasi ini sudah mula dipraktikkan sejak 1958 lagi, namun ianya dilihat tidak begitu meluas seperti kini.
Namun, kejayaan pengarah, Osman Ali dalam mempertaruhkan novel nukilan, Fauziah Ashaari, Ombak Rindu, ke bentuk layar perak berjaya menempatkan filem ini sebagai filem boxoffice dan mengutip hampir RM11 juta.
Menjadikan Ombak Rindu sebagai pembakar semangat, kini ramai dalam kalangan produksi mula berhempas pulas memilih karya hebat untuk dijadikan bahan adaptasi.
Antara karya yang telah dipilih untuk diangkat sebagai drama bersiri termasuk Adam dan Hawa, Setia Hujung Nyawa, Bicara Hati, Sehangat Asmara, Gemersik Kalbu, Jauh, Jendela Hati, Trilogi Cinta, Kasih Yang Suci, Tangisan Bulan Madu, Teduhan Kasih dan Stanza Cinta.
Melihat kepada sambutan penonton terhadap drama-drama adaptasi, novel terbitan Kumpulan Media Karangkraf (Alaf 21), nukilan Liyana Zahim, Rindu Awak 200%, bakal dibawa ke layar.
Drama adaptasi 28 episod ini bakal disiarkan bermula 14 Julai ini, selepas berakhirnya drama bersiri, Kerana Terpaksa Aku Relakan.
Menurut Pengurus Besar Penerbitan, Grup Buku Karangkraf, Sri Diah Shaharuddin, yakin drama adaptasi ini bakal mengumpul peminat yang tersendiri.
"Sehingga kini, banyak drama-drama adaptasi daripada novel terbitan Alaf 21 yang berjaya memikat selera penonton.
"Malah, diharapkan drama ini juga berjaya seperti drama yang lain," katanya.
Drama ini merupakan terbitan, Creative Skill Solution, yang menampilkan Zul Ariffin dan pendatang baharu, Ayda Jebat.
Selain itu, drama ini juga turut dijayakan barisan pelakon termasuk, Mimi Ernida, Zuhairi, Jonathan Putra, Adeline Tsen, Karl Shafek Ibrahim, Afzan A.Rahman, Fazahmaddaud dan Fathildani.
No comments:
Post a Comment