Sunday, December 25, 2011

ASYURA
SUDAH setahun dari tarikh hari ini saya tidak merasa bubur Asyura. Dalam status BBM saya menulis ~ teringat-ingat dan teringin bubur Asyura' . Allah maha tahu, hari ini saya makan sepuas-puasnya makanan kegemaran saya itu hasil air tangan kakak ipar yang datang dari Alor Setar di rumah anaknya di Bandar Puteri, Kelang.


Inilah hidangan Bubur Asyura - dimasak pekat dan dituang dalam loyang, dikeraskan seperti kuih bingka. Ramuan utamanya ialah tepung beras dan santan dikacau hingga mendidih dan pekat. Sebelum itu segala jenis kekacang seperti kacang tanah, kacang hijau, kacang dal, direbus hingga empuk. Dimasukkan juga keladi dan lobak merah serta kentang.





Kak Mah (suami saya adik bongsunya) dan suaminya Abang Sahak (kami panggil Mak Andak dan Pak Andak) yang mempunyai ramai anak (rasanya 13 orang) kini dah senang, anak-anak semua dah besar. Ada yang dah berkahwin dan Kak Mah sudah ada ramai cucu. Saya teringat semasa anak-anaknya masih kecil dulu, payahnya hidupnya. Tapi sekarang Allah sudah membalas segala kepayahan itu dengan kesenangan. Boleh dikatakan kesemua anak-anaknya sudah bekerja.




Dan satu lagi hidangan yang menjadi kegemaran saya ialah Nasi Dagang...! Hidangan ini pula disediakan oleh  besan Kak Mah yang datang dari Baru Rakit, Kuala Terengganu. Memang nyaman.... bak kata orang Sarawak. Syukur, hari ini saya dianugerahi Allah SWT rezeki yang baik. Saya nikmati juadah-juadah ini dengan penuh rasa syukur ;)

------------------------------------------- ###### --------------------------------------------
Keluarga ini berangkat pulang dari Bandar Puteri Kelang pada jam 12 tengahari menuju ke utara. Menjelang Maghrib, kami suami isteri mendapat panggilan telefon dari Alor Setar mengatakan Pak Andak Sahak telah meninggal dunia sebaik mereka tiba di rumah. Innalillah... baru sahaja beberapa jam kami berjumpa. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Kami tak dapat balik ke kampung menziarahi jenazah... kerana ada bebeapa urusan lain di Shah Alam yang sudah direncanakan lebih awal.
------------------------------------------- ###### --------------------------------------------

No comments: