Saturday, December 27, 2003

BAM MUSNAH!


INILAH kota lama Bam yang terletak kira-kira 1000 kilometer ke barat daya ibu negara Tehran, Iran.

SEMALAM Bam dilanda satu gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada Skala Richter. Menurut agensi berita IRNA, lebih 6,000 orang terbunuh dan lebih 30,000 lagi cedera. Kawasan ini mempunyai lebih 200,000 orang penduduk. Angka ini diberikan oleh gabenor wilayah Kerman, Mohammad Ali Karimi. Sementara itu CNN melaporkan 20,000 orang maut. Bam ialah kawasan bersejarah dan sebahagian Laluan Sutera (menghubungkan China dan Eropah) di wilayah Kerman. Ini merupakan kali kedua Bam dilanda gempa bumi selepas digegarkan pada 27 Ogos lalu (5.7 Skala Richter) tetapi tidak menyebabkan kemalangan jiwa.

Bam terkenal dengan bandar lama berusia 2,000 tahun, Arg-e-Bam, sebahagiaan binaan daripada lumpur yang terbesar di dunia terdiri daripada menara, bangunan bersejarah, gereja dan sebuah masjid lama. Lokasi menarik ini terletak dipersekitaran sebuah lembah dan jika diperhatikan dari atas bukit ia bagai binaan istana pasir. Penduduknya syiah 80% dan suni muslim 10%.

Mengapa saya tersentuh dengan tragedi ini? Segalanya kerana pada Ogos 2000 saya dan rombongan 15 wartawan telah dibawa oleh Tina Travel & Tours dengan kerjasama Kerajaan Iran melawat sekitar Bam, Kerman, Tehran, Shiraz dan Esfahan. Hingga kini keindahan Bam terutama kala petang masih lagi segar dalam ingatan. Namun kini realitinya Bam sudah semestinya tidak seindah tiga tahun silam.

No comments: