Friday, December 19, 2003

KESEDIHAN YANG BERULANG

SAYA baru sahaja menulis tentang berita kematian pada 3hb Disember 2003 lalu yang membabitkan kemalangan dua buah bas ekspres. Dalam entri yang sama saya turut menyatakan rasa sedih dengan kematian dua orang kenalan yang menjadi juruterbang dan akhirnya menemui maut apabila pesawat yang dipandu hilang kawalan dan jatuh ke laut.

Hari ini, sekali lagi akhbar melaporkan hal kematian dua orang juruterbang TUDM yang berpangkalan di Kuantan. Kali ini pesawat Hawk 100 yang dinaiki menjunam ke laut dan meletup. Kapten Khairul Hazrin, 28 dan Kapten Ashraff Che Hussin, 30 terkorban dalam kejadian ini.


Kisah juruterbang dan kematian ini memberi erti yang mendalam pada saya. Ya, kesedihan, rasa terharu dan terkilan. Lebih rasa terkilan apabila yang meninggal dunia ialah harapan negara, harapan keluarga - mereka bukan insan `terpinggir'.

Dengan menyedari bahawa segalanya sudah tersurat di Loh Mahfuz dan dengan mengambil berkat Jumaat yang mulia ini, marilah sama sama kita hulurkan Al- Fatihah untuk kesemua yang telah terkorban.

No comments: