Tuesday, December 9, 2003

DUNIA SASTERA BUKAN HANYA ANGAN KOSONG

DALAM setiap ceramah tentang penulisan tidak kiralah sama ada penulisan puisi, cerpen ataupun novel saya selalu tekankan peri pentingnya disiplin. Payahnya disiplin ini ialah disiplin yang kita buat sendiri, bukan arahan sesiapa, bukan ada orang lain yang tolong aturkan jadual.... tetapi disiplin inilah kunci segalanya.

Sekiranya kita gagal mengikut disiplin ini gagallah kita. Sekiranya telah diset bahawa novel ini mesti siap dalam tempoh tiga bulan, ia mestilah siap dalam tempoh itu. Sekiranya kita merancang akan menulis satu hari satu bab novel, mestilah dikotakan niat itu.

Disiplin inilah yang selalu menghantui... kadang-kadang lain yang dirancang lain yang menjadi. Bagi saya jika semalam gagal menulis lima para, hari ini mesti digandakan menjadi sepuluh para. Bagi penulils baru kekuatan inilah yang jarang ada dalam diri mereka. Sedangkan kekuatan inilah yang palilng mustahak. Ketahanan ini tidak diperolehi di menara gading. Tidak diperolehi dengan segala ilmu bantu yang diajar pensyarah. Ia lahir sendiri secara praktikal.

Saya gembira melihat perkembangan minat pembaca novel masa kini. Jika ramai yang mengandaikan novel popular tidak berfaedah tetapi apa kata dengan minat membaca dikalangan orang kita yang semakin bertambah-tambah akhir-akhir ini? Novel makin laris, cetakan 30,000 naskhah sudah tidak mencukupi, agen menelefon mahu menambah pesanan!

Tidak boleh hidup mewah dengan menulis novel.... Tetapi itu dulu!
Sekarang penulis novel sudah gerenti dapat pulangan lumayan asalkan cerita yang dipaparkan bagus dan diterima pembaca. Satu lagi yang penting - hantarlah pada penerbit yang berwibawa supaya hal pemasaran tidak mendatangkan masalah.

Petikan daripada novel saya: Kuala Lumpur Di Mana Suamiku

Laili Ashikin: Alangkah hina bergelar janda, hinalah juga dirimu duda...

Berkahwin biarlah sekali seumur hidup... Namun apabila tiba-tiba dilamar kali kedua oleh orang yang sama, mungkinkah bahagia akan menjelma? Ini bukan angan-angan. Ini juga bukan mainan perasaan. Demi orang tersayang aku sanggup korbankan peribadi...

No comments: