Saturday, October 18, 2003

OH BUKIT TANGGA, BUKIT PUTUS

Ahad ini 19hb Oktober 2003 saya akan ke Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan. Di sana nanti akan diada bengkel penulisan kreatif dan kewartawanan. Kuala Klawang? Yang paling menggerunkan ialah liku-liku perjalanan di Bukit Putus. Kata Pak Latip ada 88 liku semuanya. Kalau ikut Bukit Tangga pun begitu juga.

Bengkel anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) ini bukan pertama kali saya hadiri. Dah banyak bengkel penulisan saya kendalikan, termasuk juga bengkel-bengkel penulisan di pejabat. Tetapi berapa keratkah yang boleh jadi wartawan sebenarnya?

Alamak Kak Sri, saya tak boleh staybacklah malam ni.
Nak tanya apa pada Rafidah Aziz tu? Takutlah saya. Dia kuat tengking.
Betulkah Samad Ismail pernah dipenjarakan kerana ISA?
Nanti kalau saya kena maki macamana?
Saya pakai tudung, tak kan Kak Sri suruh saya masuk disko?
Jumpa Siti Hasmah... alamak!
Saya baru saja balik dari Kelantan. Nak kena ke Melaka pulak?
Saya tak makan belut. Nanti chef tu paksa saya makan belut.

- ini adalah antara kerisauan, kegusaran yang melonjak-lonjak dalam dada wartawan muda.

- Semoga saya selamat sampai ke Kuala Klawang tanpa muntah-muntah atau pening-pening lalat.


SAYANG SAYANG BUAH KEPAYANG -sri diah
(JANGAN ADA DUSTA VERSI LELAKI -SIRI 7)

"Eh, apa awak ni? Dah buang tebiat ya?"
Aku terperanjat. Tergamak dia kata aku dah buang tebiat! Apa maknaya bila dia kata sudah buang tebiat? Bukankah maknanya aku dah hendak mati? Dah nak mampuskah aku?

Hendaknya bila kusuapkan dia bingka ubi, alangkah gembiranya kalau dia kata begini sahaja... "eh, apa mimpi sayang ni? Teringat masa bulan madu dulu ke? Sayang mimpi apa malam tadi? Berjumpa putera raja dari kayangan ya? Sayang... sayang..."

Ah, suara kemanisan dan godaan asmara itu sudah tiada lagi. Itu belum lagi kupicit-picit kepalanya yang selalu migraine atau kuurut belikatnya yang selalu lenguh-lenguh. Kalau kulakukan itu, mesti dia yakin memang sah aku dah buat tebiat!

Sebenarnya telah kukotakan janjiku. Aku ambil cuti seminggu. Handphone kumatikan. Aku juga tidak memview blogku. Kumatikan talian faks di rumah. Kututup mataku daripada menyelak novel-novel kegemaranku. Ya, telah kulupakan Arenawati dan Samad Said. Kubuang ingatanku pada haiku, tanka, senyru dan rensaku. Kututup terus ingatanku pada damahum, pada tomohiko, cikgu hasimah, prof irwan, pak latip, madzaked, gravesdigger, nakhoda, effa dan semua rakan-rakan di komuniti esastera.

Sebenarnya itulah hadiah harijadi paling mahal untuknya.
Tetapi pengorbanan itu tidak bernilai di matanya.

Tiba-tiba ingatanku singgah pada Rudy... sihatkah si cahaya biru itu?
Ya. Aku terkenangkan Rudy. Paling akhir kami bertemu di Hotel Istana dalam majlis anjuran JICA. Dia yang suka ketawa. Ada satu e-mailnya yang belum kubalas.


LAGU ITU LAGU SENDU... mba
(JANGAN ADA DUSTA VERSI LELAKI - SIRI 6)

Esok adalah hari yang paling bermakna bagiku. Tepat jam 12 malam ini, genaplah usiaku setengah abad. Syukur kepada Tuhan kerana memanjangkan usiaku dengan penuh kesejahteraan dan sihat walalafiat. Sesungguhnya aku terlalu jarang diserang sakit, selain daripada migren yang sekali-sekala menyerang. Rindu juga aku untuk bertemu doktor Daud yang menjadi doktor famili kami semenjak sekian lama. Bukan untuk mengambil ubat, tapi peluang bagiku berbual dan bertukar fikiran dengannya menganai PDA kami.

Aku terpacak di depan notebook ini menanti detik 12 malam bagaikan anak kecil menunggu kepulangan ibunya. Kejab-kejab menoleh ke sana, kejab lagi ke sini. Mungkin dia akan menyapa dan mengucapkan “selamat ulang tahun kelahiran yang ke ..” buatku. Bagiku biarlah dia orang yang pertama mengucapkannya. Namun penantian aku pada tahun ini adalah sama sahaja dengan tahun-tahun yang sebelumnya. Mungkin aku ini tidak ikhlas. Setiap kali aku memberikan hadiah pada ulangtahun kelahirannya, aku berharap dalam hati agar mendapat balasan sewajarnya pada hari kelahiranku pula. Namun hari yang bersejarah bagi hidupku ini tidak pernah diingati oleh keluarga sendiri. Oh… inilah balasannya sumbangan aku yang tidak ikhlas itu.

Sejam telah berlalu aku menyambut usia ke-50 dengan meriah sekali dengan segenap rakan-rakanku dari seluruh dunia. Ya, pada saat ini semua rakan-rakanku turut hadir secara maya untuk menyambut ulangtahun kelahiranku. Ingatan mengimbau ke Okinawa 10 tahun lalu, di mana sambutan secara besar-besaran diadakan untukku sempena ulangtahun kelahiranku yang pertama. Ya pertama! Kerana kata orang hidup lelaki bermula di usia empat puluh. Sebagai class leader, aku diraikan semahunya oleh semua ahli dan juga sensei. Namun aku bataskan supaya parti itu hanya dalam kelas sahaja dan tidak terbawa-bawa ke bilik hostel, shukudo atau club di sebelah malam nanti. Lebih baik berhati-hati sebelum terlanjur. Maklumlah di negara metahari terbit ini tiada pantang larangnya.
Di depan notebook ini, ucapan selamat ulangtahun kelahiran dan salam rindu bertalu-talu datangnya dari Lidia dari Chile, Adrian dari Argentina dan Jose dari Peru. Mereka sedang rehat makan tengahari di pejabat masing-masing rupa-rupanya. Si Yamamoto dari Tokyo, Julio dari Manila, Fang dari Beijing dan Opan dari Jakarta juga tidak ketinggalan. Seperti biasa aku jangka esok atau lusa sampailah kad ucapan dari Iqbal dari Pakistan dan Masele dari Tunisia yang masih tidak mempunyai hubungan Internet. Rakan-rakan dari Malaysia pula bertalu-talu mengucapkan selamat melalui SMS. Meriah juga begini dan masih ramai juga insan yang mengingati tarikh keramat ini, kecuali dari keluarga sendiri. Mungkin mereka sengaja ingin mendera aku begini. Alhamdulillah. Namun di tahun hadapan sekiranya masih ada umur, akan kuhadiahkan lagi sesuatu pada hari kelahirannya. Mungkin kali ini, apa yang kuharapkan hanyalah dia tidak lupa untuk menghadiahkan aku al-Fatihah setelah aku tiada lagi di dunia ini. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini aku selalu mengingati mati.


Besok pagi-pagi selepas subuh, akau akan terus memecut ke Melaka untuk proses temuduga pengambilan jawatan pegawai sistem maklumat. Kerja ini walaupun tidak dibayar sebarang imbuhan, namun ia membawa banyak faedahnya untuk perkembangan kerjaya skim ini. Walau bagaimanapun kata putus pengambilan adalah tertakluk kepada pengerusi yang merupakan ahli SPA. Untung juga tidak ke pejabat pada hari keramat ini, jika tidak sudah tentu pelbagai usikan yang menikam kalbu datang bertalu-talu dari anak buah di pejabat.

Entah berapa kali lagi aku berpeluang mendengar dan mendendangkan lagu sendu ini…..





No comments: