Friday, November 7, 2008


Air mata jantan

DIA HEBAT JIKA...
* Betullah
dia memang Presiden Amerika berkulit hitam yang pertama. Tapi kalau persepsinya tentang Islam sama saja seperti bekas Presiden Amerika yang lain, kalau definasinya tentang keganasan sama saja... atau pandangannya terhadap Zionis sama saja, saya tak nampak kenapa dia mesti kita kagumi. Paling baru, dia telah meletakkan bekas tentera Israel Rahm Emanuel ke dalam pentadbiran White House. Rahmn adalah `orang kita' (kata orang Israel). Oh, mungkin Obama juga akan jadi pro Israel akhirnya.

* Betullah dia hebat. Dua tahun dengan dua kisah peribadi (betulkah dua saja?) yang menggegar hati ramai isteri. Kalau anak dara, mesti sukakan dia sebab dia kacak. Kalau anak dara, mesti kata isteri dia tak pandai jaga laki. Kalau anak dara mesti kata, dia tu betul, boleh poligami. Tapi dia akan lebih hebat jika tidak berbohong dengan wartawan. Wartawan mesti tolong dia... tapi dia memilih mahu jadi hebat dengan skandalnya!

Thursday, November 6, 2008

EX-GRATIA RM10.5 JUTA KEPADA BEKAS HAKIM
KUALA LUMPUR
6 Nov. - Kerajaan membayar ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim kanan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, bayaran tersebut adalah:
- Tun Salleh berjumlah RM5 juta
- Tan Sri Azmi Kamaruddin RM2juta
- Tan Sri George Edward Seah Kim Seng RM2juta
- Tan Sri Wan Hamzah Mohd. Salleh - RM500,000
- Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer - RM500,000
- Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh - RM500,000

* Ya saya sekarang sedang memikir-mikir apa akan saya dapat jika....

Saturday, November 1, 2008

TERIMA KASIH

* HARGA beras dah turun harga pada purata 20 sen sekilogram di mana harga bagi beras tempatan 5 peratus hancur turun daripada RM2.80 kepada RM2.60 sekilogram. Manakala yang 10 peratus hancur juga turun daripada RM2.70 ke RM2.50 sen sekilogram. Bagaimanapun harga beras 15 peratus masih kekal pada RM1.80 kerana ini beras subsidi yang harga sebenarnya RM2.30 sekilogram.

* KERAJAAN mengumumkan penurunan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 15 sen seliter lagi berkuat semalam. Dengan penurunan itu, harga runcit petrol RON97 akan dijual pada RM2.15 seliter berbanding RM2.30 seliter sebelum ini manakala diesel dan petrol RON92 yang sebelum ini dijual pada RM2.20 seliter akan dijual pada harga RM2.05 seliter.

* MALAM tadi pukul 11.30 malam di kilang cetak Ultimate Print Sdn Bhd di Shah Alam, saya melambai, melepaskan pergi pemandu lori yang memandu membawa edisi pertama Sinar Harian Utara yang dijual RM1 mulai hari ini. Menurut laporan agen utara - Sinar Harian Utara dapat sambutan hebat hari ini.

* JIKA kelapangan singgahlah ke PESTA BUKU ALAF 21 di Shah Alam. ADa diskaun buku-buku baru dan sesi bertemu penulis.

Wednesday, October 29, 2008

PAPER UTARA DAH MAI...

DIAM tak diam, sibuk memang sibuk... malam tadi tepat pukul 10 malam, buat pertama kali dalam sejarah dunia persuratkhabaran di Malaysia, Akhbar Komuniti No. 1 Malaysia, Akhbar Sinar Harian Edisi Utara telah selamat dicetak. Hari ini di negeri utara sudah mula beredar di pasaran. Akhbar ini yang akan diberi percuma selama tiga hari. Mulai 1 November akan dijual dengan harga RM1 senaskhah.

Mulai sekarang warga Utara sudah boleh membaca akhbar mereka sendiri yang memaparkan segala aktiviti komuniti yang berlaku sekitar mereka. Kepada blogger di Utara (Cikgooden, Shahdan dan lain-lain) jika ada apa-apa maklumat atau cadangan mengenai Edisi Utara ini silalah emel Kak Sri.

Akhbar Edisi Utara dicetak di dua lokasi berbeza. Satu di Shah Alam dan satu lagi di Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Dengan menempuh laluan dua highway yang berbeza, akan terus menuju ke negeri-negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis hingga ke Pulau Langkawi. Terima kasih kepada semua yang menyokong kelahiran akhbar yang memaparkan berita yang telus dan berkecuali ini.

Wednesday, October 22, 2008

SINAR HARIAN KINI DI NEGERI UTARA
ALHAMDULILLAH
kini Akhbar Sinar Harian - akhbar komuniti nombor satu di Malaysia sudah pun berada di tujuh negeri - Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan. Sambutannya memang menggalakkan. Jumlah cetakan harian di tujuh negeri ini sahaja hampir 200,000 naskhah setiap hari. Terima kasih daun keladi kepada semua pembeli akhbar ini.

Pada 29hb Oktober ini satu lagi sejarah tercipta - Sinar Harian akan mula berada di pasaran negeri-negeri di utara - Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.


Rakan wartawan di ibu pejabat di Shah Alam mengucapkan selamat jalan kepada team Sinar Harian Edisi Utara.

Memang saya benar-benar sibuk dengan penerbitan Sinar Harian dari satu negeri ke satu negeri lain. Penentuan lokasi dan masa cetakan, pembahagian muka surat, pembahagian daerah-daerah mengikut Majlis Daerah atau PBT, meletakkan skuad, menyusun senarai isi kandungan, melipat gandakan promosi, perancangan konvoi dan sebagainya. Namun saya tidak bersendirian, jabatan lain turut membantu.

Kepada semua pembaca, saya amat mengharapkan sokongan anda semua. Semoga anda dapat menerima sebaiknya kehadiran Skuad Sinar Harian - wartawan yang berkereta Kancil di merata ceruk negeri yang akhbar ini diedarkan. Tolonglah bantu mereka untuk membantu menyiarkan berita-berita komuniti yang jarang mendapat tempat di akhbar arus perdana.

Doakan semoga semuanya dipermudahkan Allah. InsyaAllah.

Wednesday, October 15, 2008

LAPORAN TERTUNDA
AHAD pagi
- Dari rumah, tinggalkan kereta di Terminal Tiga Lapangan Terbang Subang (yang sedang diubah suai). Wakil dari HQ - lima orang teramsuk tauke dan isteri. Flight FY3312 jam 07.15 am. Daripada 70 tempat duduk, hanya dua sahaja kosong. Kapalterbang Firefly ternyata masih baru (kusyennya masih bau kedai). Hidangan muffin dan air orange. Selamat mendarat dengan bagusnya 08.15am (tahniah utk juruterbang - Ikhmal namanya). Staf yang menjemput di Lapanganterbang Sultan Mahmud (terima kasih MBA) sudah diberitahu sehari lebih awal - kami mahu sarapan nasi dagang. Lalu terus ke sebuah restoran di hadapan KUSTEM. Memang sedap nasi dagang di situ.


Melayan Aishah di Taman Sinar Harapan.

TENGAHARI - Dari pejabat Cawangan di Jalan Sultan Sulaiman, berangkat pula ke Taman Sinar Harapan di Bukit Besi, Kuala Trg. Di sinilah majls sebenarnya - sambutan Aidilfitri Cawangan Terengganu bersama YB, ADUN, Ahli Berhormat (Pas/UMNO/PKR), Penaja, anak-anak yatim, kanak-kanak spastik, warga emas, ibu tunggal. (Uhhh... majlis ini penuh dengan emosi).


Bos KKSB Datuk Hj Hussamuddin menyampaikan sumbangan Yayasan Nur kepada seorang ibu tunggal. Klik gambar ini untuk membesarkannya dan lihat parut pada muka anak beliau - apa kes? Rumah mereka dibakar oleh suami wanita berkenaan (lelaki Bangla). Ibu wanita itu dan anaknya cedera teruk.


PETANG - Selesai majlis, kembali ke pejabat cawangan. Meeting hingga pukul 6 petang. Janji dengan anak sulung masih lagi belum tercapai. Hendak ke Pasar Payang? Jangan haraplah - sudah tutup. Dengan kereta Skuad Cakna, kami ke Chendering ambil Kak Long, kemudian ke Losong sahaja. Kak Long yang baru tiga bulan di Kuala Terengganu tunjukkan jalan. Kami borong apa yang patut. Okey juga di sini. Tapi tak ada telur penyu di situ!


Bersama team Sinar Harian Kuala Terengganu.

MENJELANG MAGHRIB - Bila nak makan ICT? Mereka menunggu kami di Kampung Ketapang! Lokasinya dalam perjalanan ke airport. Sekali lagi Kak Long tunjukkan jalan. Nun, hujung di gigi pantai - Hidangan sedap menyelerakan. Segala jenis ikan ada - sambal cicahnya sedap. Ikannya segar. Hahaha... lebih sepuluh ekor kembung, selayang, udang, sotong saya makan. Bos yang bayar untuk semua, hampir 20 orang.


08.15 MALAM - Di kaunter Firefly sudah terpampang pengumuman - Penerbangan Firefly pada 08.15 Dibatalkan. Ha?

08.20 MALAM - Petugas kaunter MAS mengumumkan semua penumpang Firefly KT - KL membuat daftar masuk di kaunter MAS - Tukar kapalterbang! Sebabnya penumpang Firfly KT - KL malam itu hanya sepuluh orang, tak berbaloi nak fly ke KL. Lagipun MAS - Firyfly sepupu sepapat. Bagus juga sebab tambang Firefly tapi dapat fligh besar. Tapi MAS mendarat di KLIA. Masalahnya kereta yang ditinggalkan pagi tadi di Subang siapa nak jawab?

Bak kata Nabil: Lu pikirlah sendiri...

Saturday, October 11, 2008

KUALA TERENGGANU, AKU DATANG!
SUDAH lama tidak ke Kuala Terengganu (hehehe... rindu Pasar Payang!). Dendam pada batik, keropok lekor, telur penyu, ICT (ikan celup tepung di Batu Burok), ayam dara goreng panas dan juga nasi dagang kedai Kak Timah, mula menggoda.

Jadual 12 Oktober 2008 - Ahad
Awal Pagi - Lapangan terbang Subang
Pagi - Saya berada di Taman Sinar Harapan, Kuala Terengganu.
Tengahari - Majlis bersama Menteri Besar
Petang - Bersama Skuad Sinar Harian di pejabat cawangan
Lewat Petang - Jumpa anak sulong di Cendering
Malam - Balik Shah Alam

* First time naik Firefly, harap semua okey.
Nak jumpa di Kuala Terengganu? Emel saya ya.

Friday, October 10, 2008

GOOD LUCK UTK ANAS IQBAL BIN AHMAD
472,060 calon bakal duduki PMR 13-17 Okt - Seramai 472,060 orang calon akan menduduki peperiksaan bertulis Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang akan bermula serentak pada 13 hingga 17 Oktober (Isnin hingga Jumaat) di seluruh negara.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran hari ini, 442,791 (93.8 peratus) calon adalah dari sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran, 15,430 (3.3 peratus) calon sekolah-sekolah kerajaan negeri dan tajaan badan-badan tertentu, 13,491 (2.8 peratus) calon sekolah-sekolah swasta dan 348 (0.1 peratus) merupakan calon persendirian perseorangan. Sebanyak 3,458 pusat peperiksaan telah disediakan.


Kini tiba giliran anak kedua saya akan menduduki peperiksaan ini. Dia yang memang ada rekod baik dalam pelajaran diharap akan terus mencapai kejayaan yang membanggakan. Dia yang menangis, menolak tawaran ke asrama penuh tiga tahun lalu sebaik mendapat kejayaan membanggakan dalam UPSR berjanji akan membuktikan dia boleh mencapai kedudukan terbaik walaupun tidak duduk di asrama penuh - okey, kali ini buktikan!

* Demi PMR, sudah lama dia meninggalkan makanan kegemarannya - mi segera dan minuman bergas - nanti jadi pelupa katanya.

Sunday, October 5, 2008

1 SYAWAL 1429


Alhamdulillah Syawal ini selamat disambut penuh riang ria seisi keluarga. Kak Long balik dari Kuala Terengganu dua hari sebelum Syawal dan telah kembali ke kampus pada 4 Syawal. Adik beradik saya berlapan orang juga semuanya turut bergembira menyambut Syawal ini di sisi emak dan abah di Cheras. Terima kasih kepada Allah yang Maha Esa.

Sunday, September 21, 2008

70% SUDAH BERLALU, TINGGAL BAKI 30% RAMADAN INI

NABI
Muhammad dalam sabdanya menyebut:
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabda,: "...sesiapa menghayati malam Lailatul Qadar dengan mengerjakan solat (dan pelbagai ibadat lain), sedang dia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya dia diampunkan dosanya yang lalu."
- (Hadis sahih riwayat Bukhari)

"SESUNGGUHNYA Kami menurunkannya (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"
- (Al-Qadr:1-5)

Monday, September 15, 2008

SORRY NAIK LORRY...
WAH,
gawat sungguh Malaysia ini. Saya pun semakin sibuk dengan hal-hal membabitkan Zaid Ibrahim, Muhyiddin, Pak Lah, Najib, Anwar, Saiful Azlan, Ramlang, Teresa Kok, RPK, pompuan reporter tu... ah banyak lagi akan muncul sehari dua ini.

Sorry. Sorry. Sorry... sementara itu rasanya susah nak updated blog. Deadline novel pun dah makin hampir. Sinar Harian Edisi Utara (Pulau Pinang, Perllis & Kedah) dan juga Edisi Perak tengah menunju peringkat akhir persiapan. Walawalala....

Sementara itu saya bekalkan anda dengan secebis kisah tentang ISKANDAR SUDAH PERGI (klik sini)

Tuesday, September 9, 2008



MOGA SUKSES, ANAS SUHAIMI BIN AHMAD, 12 TAHUN
HARI
ini anak bongsu saya menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Bandar Anggerik, Seksyen 6, Shah Alam. Semoga Allah memberinya kelapangan fikiran dan dapat menjawab ujian berkenaan yang berlansung hingga Khamis ini dengan baik. InsyaAllah.

Semalam, apabila saya mengisi borang yang disuruh guru, dia melihat satu persatu ejaan namanya. Sambil itu dia menghafal nombor kad pengenalannya yang baru dimiliki April lepas. Dia juga sibuk mengingat nombor sijil lahirnya. Tiba-tiba dia berkata, "nasib baik mama tulis BIN. Sebab, cikgu marah kalau tulis nama tapi tak tulis BIN atau BINTI."

"Oh ya... cikgu ada sebut tak kenapa?"

"Ada," katanya dan dia terus menjelaskan apa maknanya kalau nama seseorang itu tidak disertakan dengan BIN atau BINTI. Alhamdulillah.


SERAMAI 518,616 CALON UPSR BAKAL MENJADI PENANDA ARAS KEPADA PPSMI
PUTRAJAYA,
9 Sept (Bernama) -- Seramai 518,616 murid yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) hari ini akan menjadi penanda aras kepada kelangsungan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata mereka adalah kumpulan pertama murid-murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu menduduki UPSR setelah PPSMI diperkenalkan pada 2003.

"Bagaimanapun kertas soalan untuk kedua-dua mata pelajaran itu masih disediakan dalam dwibahasa," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Rendah Kebangsaan Putrajaya Persint 11 (1) di sini hari ini.

Alimuddin berkata penetapan dasar PPSMI sama ada akan diterus atau sebaliknya tidak terhad kepada keputusan yang bakal diperoleh calon tahun ini.- BERNAMA

Saturday, September 6, 2008

TINGGAL KENANGAN ...


SEORANG pengunjung memerhatikan kerja-kerja menanggalkan komponen-komponen Eye On Malaysia di Taman Tasik Titiwangsa ketika tinjauan semalam.

Kontrak buaian roda Eye On Malaysia di taman itu berakhir pada 31 Ogos lepas dan akan dipindahkan ke Melaka di mana kerja-kerja pemasangan komponennya dijangka mengambil masa sebulan sepanjang September sebelum dijadualkan beroperasi pada Oktober. Buaian roda setinggi 60 meter dengan 42 gondola yang berputar 360 darjah itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 6 Januari 2007.

Sepanjang operasinya tahun lepas, buaian gergasi itu telah menarik kunjungan 1.2 juta pelancong dengan pendapatan sebanyak RM13.5 juta termasuk hasil daripada jualan barangan dari kios kraftangan dan makanan sekitar kwasan buaian tersebut -fotoBERNAMA.

* Sampai kesudah... kami tak berkesempatan ke sana.

Friday, September 5, 2008


BAPAK SUDAH PERGI
DALAM
sejarah Malaysia - Singapura - Indonesia, dia bukan orang biasa. Dia juga adalah orang luar biasa dalam sejarah dunia kewartawanan ketiga-tiga negara. Dia wartawan tersohor dan antara ratusan pejuang kemerdekaan. Kehilangan beliau mengingatkan saya pada tulisannya: Patah Sayap Terbang Jua, Jangan Ikut Jalan Ini, Ingin Jadi Pujangga dan Rumah Kedai Jalan Seladang - ini adalah cebisan hidup Pak Samad. Orang kata, patah tumbuh hilang berganti. Tapi patahnya sukar berganti. Balasungkawa untuk Allahyarham Pak Samad (saya masih ingat herdik, maki hamun, sinis tegurannya, pedih perlinya dan paling tak lupa carutnya. Ya, semua itu mematangkan saya. Terima kasih.)

* Lahir 24 April 1925 di Singapura. Dikenali sebagai seorang Wartawan, Aktivis Politik, Penulis Kreatif dan terkenal dengan semangat Nasionalis Kemelayuan dan Anti Penjajah. Beliau adalah Pengasas Gerakan Angkatan Muda dan People's Action Party. Pernah memimpin Jabatan Pengarang di Utusan Melayu, Berita Malai, Berita Harian dan New Straits Times.

Beliau juga adalah orang yang menjadi Penggerak Utama yang melebarkan kewartawanan menjurus ke media elektronik dan pernah memimpin TV3 mencari identitinya. Ditahan bawah ISA 1976 hingga 1981 dan Undang-undang Darurat 1951 hingga 1953. A. Samad Ismail bukan sahaja seorang Tokoh Wartawan, beliau ialah Kewartawanan itu sendiri.

* Pak Samad telah kembali ke rahmatullah pada jam 5.58 petang semalam di Hospital Pantai Kuala Lumpur akibat jangkitan paru-paru. Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di No 2 Jalan 16/7C, Petaling Jaya dan selamat dikebumikan pada hari ini, selepas solat Jumaat. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

Tuesday, September 2, 2008

MoU NOVELIS & ALAF 21

Klik sini: Akujanji

Dari kiri: Sharifah Abu Salem, En. Norden, Norzailina Nordin, Aisya Sofea, Damya Hanna, Sri Diah, Ramlee Awang Mursyid, Anis Ayuni dan Editor Alaf 21, Wan Rohana dan Saadiah



Monday, September 1, 2008

KITA ADALAH: MATA, HATI DAN JIWA MERDEKA

Jika kau masih terlena, bangkitlah
Jika kau sudah sedar, syukurlah
Ini hari bahagia yang datuk dan nenek kita cipta
Ini hari merdeka yang tidak ramai merasanya

Merdeka ini bebas jiwa, fikiran turut bebas
Namun tindakan bukanlah sebebas sesuka kita
Walau dunia ini luas dan langkah tidak terbatas
Logiknya dunia ini masih belum kita yang punya

Di mana tangga-tangga kejayaanmu?
Sudah yakinkah kamu dengan hari depan?
Jika belia itu tulang negara
Sudah kuatkan menempuh pancaroba?
Jangan menjawab ia jika belum benar bersedia

Malaysia ini bukan milik peribadi, ia milik bersama
Telusuri ia dengan akal, dengan cinta sepenuh jiwa
Putih kata hati
Mungkin hitam kata akal
Indah kata budi
Mungkin hodoh wajah diri
Imanlah yang menjadikan kita lebih dewasa

Orang muda... kejayaan tidak datang sendiri
Ingatkah pesan emak saat mula belajar bertatih?
Selangkah hari ini adalah untuk dua langkah hari esok
Terjatuh dan luka itu biasa, bangkit dan cuba lagi
Hingga kamu boleh berlari, boleh melompat lebih tinggi

Merdeka ini bahagia
Sepatutnya kita bebas belenggu prasangka
Lepaskan ego, dendam segala
Kita berlari mendepang dada

Kau adalah harapan hari muka
Dalam tanganmu sudah ada mutiara
Jangan kau campak kembali ia ke laut terbuka
Kelak ruginya, kau yang merasa

Malaysia ini hanya satu
Ia bukan banyak seperti kau baru belajar bercinta
Bilamana berkasih hari ini, esok mencari cinta baru

Malaysia ini hanya satu
Kita menumpang sementara
Ia adalah milik anak cucu
Kita siapkan untuk mereka
Sebuah dunia, maju duniawi
Sebuah dunia, tamadunnya tinggi,
menyanjung pekerti

Ingatlah adikku,
Menuju jaya itu perit teramat
Namun sinar ke arah itu tetap ada
Asal kita bersatu hati
Berpisah hanya kerana mati

SRI DIAH
- Shah Alam

* Puisi untuk Kementerian Belia dan Sukan sempena Sambutan Kemerdekaan ke 51. Projek wrap around bersama akhbar Sinar Harian Edisi 31 Ogos 2008.


Saturday, August 30, 2008

SALAM KEMERDEKAAN KE 51


Kenangan Hari Kebangsaan 2003


RAMADAN, TETAMU YANG DIRINDUI...


Tuesday, August 26, 2008

MAK, ABAH, AIMAN, MILO & RACUN RUMPAI
SEHARI dua ini saya amat hiba melihat iklan Petronas hasil sentuhan Afdlin Shauki si Selamba Kodok itu. Anak-anak pun suka, sambil saya terapkan intipati cerita itu kepada mereka. Terngiang-ngiang di telinga, terbayang di mata;

AIMAN: Abah... boleh tak abah belikan Aiman jala ikan?

ABAH: Aiman, kalau abah ada duit bukan setakat jala ikan... ikan jaws pun abah boleh belikan untuk Aiman. (Kemudian si Aiman terdiam terkulat-kulat.)

AIMAN:
Abah, boleh tak abah belikan Aiman kereta kayuh... Sebab esok hari jadi Aiman.

ABAH: Aiman... kalaulah daun cempedak abah tu boleh jadi emas, bukan setakat kereta kayuh, kereta kebal pun abah boleh belikan. (Lagilah si Aiman terpinga-pinga.)

Huwaaa... saya sebak dalam hati. Kali pertama ditayangkan, tanpa sedar air mata menitis. Saya teringat semasa kecil, ketika duduk di rumah setinggan dan menumpang menonton televisyen hitam putih di rumah jiran. Kisahnya begini:

Iklan sejenis minuman sedang ditayangkan di televisyen. Saya tergoda ... air tu nampak sedap dicurah masuk dalam cawan. Kemudian saya menelan liur apabila budak dalam iklan itu meneguk air itu penuh nikmat. Nampak berdegup-degup mengalir dalam tekaknya. Seusia itu saya belum pernah minum air tu!

SAYA: Mak... nanti buatkan Odie air macam tu ya...

MAK: Baiklah, nanti mak buatkan kalau abah beli benda dalam tin tu (Benda itu ialah Milo. Waktu tu Milo dalam tin.)

Selepas iklan Milo, satu lagi iklan ditayangkan. Saya nampak air yang dicurah ke dalam bekas itu pun seperti sedap. Tak tahu warna apa, sebab tv itu hitam putih. Dan waktu itu saya belum pandai membaca.

SAYA: Mak... nanti Odie pun nak jugak air macam tu ya...

MAK: Eh, mana boleh! Air tu tak boleh minum. Nanti mati.

SAYA: Kenapa mak?

MAK:
Itu racun rumput...! (Tak lama selepas itu baru saya tahu itu ialah iklan racun Round Up.)

Moral ceritanya: Alhamdulillah berkat susah payah mak dan abah berjimat cermat zaman dulu, mereka berjaya menghantar kami adik beradik ke sekolah dan ke peringkat universiti. Terima kasih mak, abah. Kini kami pula yang belikan mak dan abah apa sahaja yang mereka mahu. Termasuk Milo itu! Racun rumpai tidaklah kami belikan sebab tak ada rumput yang nak diracun di keliling rumah...

Monday, August 25, 2008

PULANGKAN...



MACAM
tajuk lagu berhantu nyanyian Misha Omar. Pulangkan... ya pulangkan suamiku kepadaku dan anak-anak....! Sejak penamaan calon 16 Ogos hingga esok 26 Ogos kami telah terpisah zahir dan batin. Huwaaa, cuma tinggal sehari sahaja lagi segalanya akan berlalu dan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pun berakhir. Fullstop!




APAKAH:
- MENANTI HARI ESOK
- ESOK MILIK SIAPA
- ESOK MASIH ADA

(Ah dah tak ingat, tajuk-tajuk filem arahan Jins Shamsuddin...)

Cuma pesan saya, ESOK BALIK YA! JANGAN TAK BALIK...!
Kalau lewat balik, SIAP KAU...!

Wednesday, August 20, 2008

DOA UNTUKNYA
SAYA
sayu membaca news dalam Berita Harian mengenai keadaan pencipta lirik terkenal, Abang Haron Abdulmajid yang kisahnya pernah saya paparkan di sini minggu lalu. Dia seorang penulis yang hebat. Liriknya banyak makna, tidak seperti lirik lagu hari ini yang maknanya selapis sahaja.

Kisah ketumbuhan di otaknya memang mengejutkan, ada tujuh! Dia tidak pernah mengadu sakit apa-apa apabila kerap menelefon saya akhir-akhir ini dari Singapura. Rupanya dia tipu saya... semoga beliau cepat sembuh, atau kalau Tuhan mahu ambil nyawanya, janganlah biarkan dia menderita terlalu lama... kasihan juga pada anak- anak dan isterinya yang masih di Jogjakarta. Amin.

* Klik sini untuk membaca kisah beliau.


- Gambar dari Berita Harian

Sebenarnya sebelum S Amin Shahab dan arwah Loloq (sekitar 80-an, Haron Abdulmajid lebih dulu popular (sekitar 70-an. Bukanlah nak kata saya sudah kenal dia sejak 70-an (kalau begitu sudah tua sangatlah akak ni!). Perkenalan dengannya bermula apabila dia gemar membaca novel-novel saya. Katanya semua judul novel saya ada dalam simpanannya yang kebanyakan dibeli di Johor Bahru. Paling dia suka novel KUALA LUMPUR DI MANA SUAMIKU. Dia kata dia akan buat novel seperti itu dengan judul; JOGJAKARTA, DI MANA ISTERIKU. Saya alu-alukan.

Dia adalah pelajar saya yang lulus sampai boleh hasilkan novel - Ombak Jadi Saksi terbitan Buku Prima. Selepas itu saya cabar dia terus menulis dan menurut Encik Ali, Editor Buku Prima, novel terbaru beliau sedang dalam suntingan mereka. Oh sempatkah...?

Lagu Khayalan (Black Dog Bone), lagu-lagu Broery Marantika, Sharifah Aini, Sudirman Hj Arshad, Jamal Abdillah dan ramai lagi menggunakan khidmat Haron sebagai penulis lirik.

Mana mungkin kita lupa lagu raya Sudirman seperti Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Tulis Nama atas Batu, Apa Khabar Orang Kampung... itu semua adalah lirik ciptaan Haron.

p/s saya copy paste di sini antara lirik ciptaan beliau.
Khayalan
Khayalan menjelma
Ketika fikiran melayang menjauh mengenangkanmu
Suaramu yang mesra mengalunkan lagu
Irama hatimu yang sepi
Aku dapat merasa engkau dalam derita
Kerna kasihmu tinggalkan pergi

Ku masih terdengar senandung duka mu
Yang engkau curahkan di malam itu
Wajahmu terbayang
Mengukir senyuman yang penuh kepahitan
Aku sungguh simpati
Akan nasib dirimu
Tapi apakan dayaku ini

Diriku sudah pun berpunya kekasih hati
Tak mungkin kutukar ganti
Pada mu yang datang dalam khayalan

Kau carilah pengganti
Agar kau gembira lagi
Usahlah kau mengganggu
Wajah muncul dalam khayalan


Ku Utuskan Doa
Setelah lama tak berjumpa
Ku dengar berita pilu
Jarimu telah bersarung cincin
Ikatan emas permata

Hasratku untuk menyuntingmu
Hancur lebur bagai debu
Kuutuskan doa yang ikhlas
Hingga ke jenjang pelamin

Kini engkau datang padaku
Bersama tangisanmu
Kau enggan bersanding dengannya
Pemuda tunanganmu

Kau rayu aku melamarmu
Sebagai suri hidupku
Tak rela aku kecewakan
Dia insan sejenisku

(Lagu : S Atan - Lirik : Haron Abdulmajid )


Si Gadis Ayu

Hey sigadis yang manis
Senyum di bibir terlukis
Hey si gadis yang ayu
Sebentar lagi kita bertemu

Wow Wow... gadis ayu
Lesung pipit di pipi
(Ayu) Senyummu menawan
Gadis ayu
Ku jangan dihampakan
(Ayu) Sungguh ayu

Hey si gadis nan manja
Aku telah jatuh cinta
Hey si gadis yang ayu
Kau kan jadi milikku

Wow Wow... gadis ayu
Lesung pipit di pipi
(Ayu) Senyummu menawan
Gadis ayu
Ku jangan dihampakan
(Ayu) Sungguh ayu

Gayamu lembut bila engkau menari
Kepintaranmu itu menarik hati

Hey si gadis yang manis
Senyum di bibir terlukis
Hey si gadis yang ayu
Sebentar lagi kita bertemu

Wow Wow... gadis ayu
Lesung pipit di pipi
(Ayu) Senyum mu menawan
Gadis ayu
Ku jangan dihampakan
(Ayu) Sungguh ayu

Monday, August 18, 2008

SINAR HARIAN DUA TAHUN
ALHAMDULILLAH.
Kek tajaan Astro dan kenduri buah-buahan yang terbaik dari ladang terpilih hari itu ditaja oleh FAMA Negeri Selangor. Pengarah FAMA Selangor Che Ghani, belakang (bermisai itu) dan wakil Astro, Anis Adura, kiri sekali. Eh, siapa yang terendah antara yang tinggi itu...



Friday, August 15, 2008

JUMAAT: 15 Ogos 2008

DI KUALA LUMPUR: Ada orang bersumpah.

DI PERMATANG PAUH: Ada orang menyumpah.

Tuesday, August 12, 2008

MELAYU DAN ISLAM, DARAH DAGING SAYA
HARI
ini saya ingin menyentuh bab politik sedikit (sebanyak). Maaflah kepada yang tidak minat dengan politik (tak maafkan saya pun tak mengapa).

Statment saya: Apa Peranan Zaid Ibrahim Sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri?

Apakah beliau telah berhenti menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang? Di mana beliau kini? Kenapa dia senyap sahaja semenjak dua menjak ini? Kenapa dia tidak memberi sebarang ulasan berhubung kontroversi ekoran tindakan Majlis Peguam?

Bila Ahmad Zahid Hamidi bersuara isu ini, kita tahu itu kuasa dia. Sepatutnya menteri yang ditugaskan menjaga undang-undang (Zaid) harus melakukan sesuatu. Sepatutnya beliau harus bangkit memberi pandangan mengenai hal itu dari sudut kepentingan negara dan bangsa.

Betullah, apabila Abdullah Ahmad Badawi lantik bekas ahli Parlimen Kota Bharu itu jadi menteri ramai yang mempertikai. Zaid dilihat liberal dan anti Islam dikira akan menimbulkan masalah (kata ramai orang). Mulanya memang saya anggap Pak Lah bergurau melantik Zaid. Rupanya gurauan itu juga amat menjengkelkan.

Kata saya: Sebagai menteri Zaid mesti mendokong semangat perlembagaan negara dan bukannya menjalankan jarum pemikiran dan fahamannya.

Saya agak: Tindak tanduk Majlis Peguam itu mungkin sebahagian rancangan Zaid. Agaknya dia memang hendak buat reform terhadap sistem kehakiman. Dia terus berdiam, dia seperti bersetuju dan memberi restu secara senyap kepada Majlis Perguam.


Kata anda?

Sunday, August 10, 2008


Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan ke 51 MALAYSIAKU...!

DEMI cinta pada negara tanah tumpah darah moyang, mak bapa, adik beradik sanak saudara dan anak beranak saya, saya tidak tergamak hendak mengibar Jalur Gemilang dengan gaya terbalik seperti disaran oleh banyak pihak terutama di laman-laman web.

Saya anggap cadangan itu daripada seorang yang buta sejarah, yang tidak ada perasaan, yang sudah hilang akal dan sebagainya yang negatif. Gila apa... kalau dah tak sukakan Malaysia, kononnya negara ini sudah tidak aman sudah tidak selamat sebab tidak mengikut kehendak mereka... buatlah cara lain atau kalau ikhlas, fikir-fikirlah untuk keluar dari Malaysia macam yang dah ramai buat. Kalau nak nyata pendirian pun jangan buat cyber-strike macam itu dan pengaruhi orang lain.

Sekian sahaja angin saya petang Ahad ini.

Friday, August 8, 2008

080808 - AZIZUL BANGGA JADI PEMBAWA JALUR GEMILANG


BEIJING
- Azizul Hasni Awang bangga diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada perasmian temasya Sukan Olimpik Beijing hari ini, namun perasaan gemuruh tidak dapat dielakkan oleh Juara Asia itu.

Jaguh pecut trek negara berusia 20 tahun itu teruja apabila bakal mengetuai perarakan kontinjen negara seramai 33 atlet dan 29 pegawai masuk ke Stadium Nasional `Sarang Burung'.

"Saya berbohong jika saya mengatakan tiada tekanan tetapi saya harap perasaan takut ini tidak akan menjejaskan prestasi dalam acara saya," katanya setiba di sini dari Sepanyol semalam bersama rakan sepasukan lain.

Azizul Hasni, atlet dari Terengganu itu akan menyertai tiga acara iaitu pecut 200 individu, keirin bersama Josiah Ng dan acara berpasukan bersama Josiah dan Mohd Rizal Tisin mulai 15 Ogos ini.

Pelumba muda itu pernah menduduki tempat kelapan acara pecut pada Kejohanan Trek Sedunia di Manchester, England, dengan catatan 10.16 saat dan sekaligus memecahkan rekod Asia.

Beliau, yang merangkul juara 200m pecut dan keirin di kejohanan Asia di Jepun tahun ini, berkata beliau tidak memikirkan soal merangkul sebutir pingat di sini tetapi hanya mampu berusaha sebaik mungkin.

Katanya, latihan di Valencia berjalan lancar dan beliau juga mengambil kesempatan menonton rakaman video perlumbaan antarabangsa bagi mendalami taktik pasukan lawan.

Pada temasya Sukan Olimpik, Malaysia tidak pernah meraih pingat dalam acara berbasikal dan pencapaian terbaik ialah pelumba M Kumaresan dan Josiah yang melayakkan diri ke peringkat akhir acara perlumbaan mata dan keirin masing-masing pada 1992 dan 2004.

Wednesday, August 6, 2008

KEKASIH GELAPKU
ALHAMDULILLAH
sudah pulih daripada batuk. Ya... akan kubalas dendam kesumat yang tersimpan sejak dua minggu lalu. Nampaknya musim durian pun belum habis lagi, tengah klimaks, kata kawan pejabat. Harapnya niat terpendam ini tidak mengakibatkan sakit tekak sekali lagi. Kalau sakit jugak, memang haru...

Kadang-kadang perkara yang tak boleh itulah yang kita nak buat. Mengapa? Kalau dikata jangan, itulah yang kita suka nak buat. Kalau kata tak boleh, mesti kita nak bolehkan juga... lantaklah nak jadi apa. Macamlah, si polan kata jangan tulis pasal tu, kita tetap nak tulis juga. Nanti kami saman... ha bab tu tersentaplah sekejap. Sekejap saja, mesti cari jalan, nak `kornar' asal story published juga. Ya `kornar' baring, tak pun buat U turn. Sebenarnya ini adalah bab degil saya.

Petang ini akan kucari kekasih gelapku itu.
Biarpun en abang kata jangan... jangan.

Tuesday, August 5, 2008



DOA UNTUK BRO RONN
BACA
nota saya di Blog Bro Ronn sahabat saya seorang penulis lirik yang amat kreatif dan akhirnya berkat kesungguhan berjaya menjadi penulis novel Buku Prima - Ombak Jadi Saksi:

Assalamualaikum kpd semua pengunjung Serantau;
Saya baru sahaja menerima panggilan dari Singapura. Pemanggilnya Encik Nasir (tel 016 - 2249099), sahabat Bro Ronn.

Menurutnya, Bro Ronn kini berada di Hospital Singapura (Wad 41 katil No 22). Beliau dalam keadaan kritikal (tidak sedarkan diri) kerana brain tumor dan akan menjalani pembedahan pada Jumaat ini 8 Ogos 2008.

Saya menolong menyampaikan. Untuk keterangan lanjut silalah hubungi En Nasir menerusi no telefon yang diberi. Marilah kita sama-sama mendoakan semoga Bro Ronn selamat menempuh dugaan perit itu. Salam.

Atau anda boleh baca link ini Laporan Akhbar Singapura.

Sunday, August 3, 2008

RAJA BUAH MENGIRIM BATUKNYA
MEMANG
saya makan hanya beberapa ulas sahaja durian musim ini. Meski memang hantu durian seperti musim-musim sudah, tetapi demi kolesterol, saya kuatkan semangat - boleh jamah tapi seulas dua sahaja. Tetapi tak pernah-pernah batuk, sakit tekak dan selesema sebelum ini, kali ini dengan beberapa ulas itu, ia betul-betul menyerang.

Dua klinik dituju, ubat habis dimakan tapi sakit tekak tak hilang. Rakan belikan ubat sinseh. Tapi tekak tetap perit. Orang di rumah sibuklah beli durian. Hari pertama buat bubur kacang hijau dengan durian. Hari kedua serawa durian dengan pulut. Hati ketiga durian semata - saya pandang sahaja terkulat-kulat.

Semasa minum petang dengan YB Tan Sri di tepi tasik Shah Alam, rakan media sakan menikmati durian, langsat, mata kucing... saya terkulat-kulat jugak.

Teringat teguran mak masa kecil-kecil dulu bila kita jatuh dari pokok: Haa... esok panjatlah lagi... panjat tinggi-tinggi lagi!

Oh ya, agaknya sebab saya makan sikit sangat kot dua minggu lepas... Okeylah baik sahaja nanti saya akan melantak sehabis gila menikmati durian musim kali ini. Padan muka aku.

Thursday, July 31, 2008

PEMERGIAN KE TANAH ABADI


MALAM tadi seorang lagi seniman telah dijemput untuk kembali ke tanah abadi... Sasterawan Negara, Prof S Othman Kelantan meninggal dunia di Hospital Serdang. Jenazah akan disempurnakan hari ini di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pangkas, Bangi.

Secara peribadi saya banyak menyimpan kenangan penulisan bersama beliau. Sama ada di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi hingga ke Universiti Malaya, kami dirapatkan oleh minat dalam bidang penulisan.

Kepada anak Allahyarham, SM Zakir semoga banyak bersabar atas ujian ini. Ini adalah hikmah yang akan dilalui oleh semua manusia. Hanya perjalanan kita ke negeri abadi sahaja belum diketahui bila.

Monday, July 28, 2008

MOH KITA...
SEPERTI
dua jiran yang selalu bergaduh. Sudah bertahun-tahun bergaduh, tetapi tetap bermanis muka kala bertemu. Kemudian sesekali merajuk. Kini bunga-bunga kemesraan yang tumbuh dan mula berputik antara jiran ini kian tidak disenangi oleh jiran satu lagi.

* Ya kita bermuqabalah, jangan mubahalah atau muzakarah (apalagi mukhalazah!).

Sunday, July 27, 2008

KEMAS (dulu saya guru Kemas)
SAYA beranggapan apabila melihat blog lain untuk tujuan kerja, saya akan ada minat untuk kembali menulis blog. Rupanya tidak.

Saya ingat jika saya terpaksa membuka blog lain untuk tujuan kerja, saya akan rajin buka blog sendiri. Rupanya tidak.

Blog orang lain bukan main saya terjah.
Blog sendiri, sepi. Bersawang.
Maafkan saya.

* Sekarang saya suka mengumpul gambar perempuan ini. Dia sudah bertudung. Harap kekal. Moga dikemaskan sedikit lagi. Itu saja.

Wednesday, July 16, 2008



SAYA terbaca di Selambak's Kodok House tentang filem Kabir Bahtia - SEPI. Menarik juga bilamana harapan terlalu tinggi diletakkan pada filem terbaik ini (kata kebanyakan pengulas filem).

Kata kawan yang dah tengok: Kalau you sayang familiy you... memang patut tengok. Ya, teringin menontonnya. Tetapi mesti kena pergi sendiri. Kaki-kaki wayang dalam rumah ini memang tak `masuk' langsung dengan filem jenis ini.

Tapi filem ini masih ada lagikah di panggung?

Thursday, July 10, 2008


Hari ini, dua orang ini memotong kek yang tidak serupa
di dua acara yang berbeza.

ULANG TAHUN

Terima kasih Tuhan
memilih, memberiku nyawa

Terima kasih keluarga
setia, memberiku bahagia

Terima kasih sahabat
kerap, memberiku ceria

Terima kasih semua.

Tuesday, July 8, 2008


Marilah tenangkan fikiran bersama Datin Saerah.

AKUKAH YANG TERLEWAT ATAU WAKTUKAH YANG TERLIWAT
SEMINGGU
lalu memang minggu luar biasa. Agak lambat hendak updated blog. Di pejabat, berita pro dan kontra masuk bertalu-talu dengan bermacam gaya. Kami di jabatan pengarang saling bertingkah mengatur berita dan mukasurat. Wartawan dan jurugambar juga tak menang tangan. Apabila hari bertugas, saya yang mengawal kesemua tujuh negeri dalam lima edisi cuba seberapa daya tetap maintain cool.

Harap-harap minggu ini segala isu semasa yang akan timbul boleh ditangani dengan lebih selesa. Semoga hidup lebih teratur dan cara kerja lebih terancang, walaupun balik lewat malam dan bekerja Sabtu serta Ahad itu sudah mulai menjadi lumrah bagi saya.

Kak Long lapor diri ke UITM Kuala Terengganu hari itu pun tak dapat hantar. Abahnya sahaja yang meredah malam dari Shah Alam ke Kuala Terengganu menghantarnya. Harap-harap Skuad Cakna di Kuala Terengganu boleh perhatikan Kak Long. Minggu ini sudah habis minggu orientasi dan dia akan balik, okeylah boleh tunai janji nak masak hidangan istimewa untuk dia.

Sunday, June 29, 2008

INSYAALLAH, ADA KESEMPATAN UNTUKMU MENERUSKAN HIDUP...


MINGGU lalu saya terbaca di Blog Rudy Bluehikari mengenai kisah adik Sufi. Sebagai ibu kepada tiga orang anak, saya berasa amat terharu dengan penderitaan bayi ini. Kasihan bayi sekecil itu, telah mengalami komplikasi jantung dan ibu bapanya pula dirundung rasa tertekan melihat kepayahan anak mereka untuk meneruskan hidup.

Sebenarnya saya tidak terlintas pun siapa bayi dan ibu adik Sufi. Namun hasil ronda-ronda di laman blog, akhirnya barulah saya tahu bahawa kisah adik Sufi yang saya bawa dalam ingatan selama beberapa hari.... rupanya anak kepada Shahdan dan Elly. Oh my God... tabahkan hati ya Shah dan Elly, ibu dan bapa muda yang diuji Allah dengan pelbagai dugaan hidup dalam dunia yang serba kalut ini. Akak doakan Shah dan Elly akan menemui juga titik kegembiraan, sesungguhnya Allah menguji kita kerana Dia amat sayangkan hamba-hambanya...

Anda juga boleh mengikuti kisah ADIK SUFI di sini . Jika ingin membantu, silalah teruskan niat... semoga ada hari esok yang gemilang untuk mereka. InsyaAllah.

Thursday, June 26, 2008

HATI YANG CANTIK DAN HATI YANG BUSUK
SAYA
takut membaca news mengenai KANSER HATI (di sini). Dianggarkan seramai 378 lelaki dan 150 wanita bagi setiap 100,000 rakyat Malaysia menghidap penyakit kanser hati.


Tengoklah bezanya hati yang cantik dan hati yang busuk...

Namun sebenarnya saya lebih takut dengan orang busuk hati yang memang sukar mengubatinya. Kata Confucius, seseorang yang telah melakukan kesilapan dan tidak membetulkan kesilapan itu telah melakukan satu lagi kesilapan.

Harapan saya, 'Jadikan dirimu bagai pohon yang rendang di mana insan dapat berteduh, jangan seperti pohon kering tempat sang pungguk melepas rindu dan hanya layak dibuat kayu api.'

Wednesday, June 25, 2008

PROMOSI

* Sila klik dua kali untuk bacaan tidak menyakitkan mata.

Monday, June 23, 2008

KEPADO SAHABAK KAWE; MEK KELATE HOK SEDIO COME LOTE

WANITA MUSLIMAH KELANTAN DILARANG PAKAI GINCU DAN KASUT TUMIT TINGGI
KOTA BAHARU, 23 Jun (Bernama) -- Larangan pemakaian gincu dan kasut tumit tinggi yang tidak mengeluarkan bunyi antara arahan yang ditetapkan kepada pemegang lesen dan pekerja di dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Baharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Shafie Ismail berkata arahan itu bagi mengelak berlakunya anasir jahat seperti rogol dan zina selain menjaga maruah serta peribadi muslimah di negeri ini.

Katanya wanita muslimah dilarang memakai solekan yang jelas dilihat seperti gincu dan tidak dibenarkan memakai kasut bertumit tinggi yang mengeluarkan bunyi.

Sekiranya hendak memakai kasut bertumit tinggi, tumitnya haruslah diperbuat daripada getah, katanya menerusi pekeliling yang dikeluarkan kepada wanita beragama Islam yang bekerja mengendalikan premis makanan dan bukan makanan di dalam kawasan MPKB-BRI.

Bagaimanapun Shafie tidak dapat dihubungi Bernama untuk mendapatkan penjelasan terperinci berkenaan larangan pemakaian gincu itu. Selain itu, beliau berkata antara etika lain yang perlu dipatuhi ialah memakai tudung yang labuh, tidak jarang dan menutup dada, memakai baju berlengan panjang sehingga ke pergelangan tangan, memakai baju labuh dan longgar serta memakai sarung kaki.

Shafie berkata kegagalan mematuhi peraturan dan etika yang ditetapkan itu akan dikenakan kompaun sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Undang-Undang Kecil Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) 1986 dan jika sabit kesalahan boleh dikompaun tidak lebih RM500.
-- BERNAMA

Saturday, June 21, 2008

OH LA LA LA... TSUNAMI LAGI
AKHBAR
saya hari ini ada melaporkan mengenai pengakuan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang yakin dia bakal menjadi PM. Tapi betulkah dua anggota SAPP itu akan masuk PR?

Akhbar yang sama juga ada tulisan saya mengenai sikap hulur tarik kononnya mahu tunggu dan lihat Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Jalil mengenai peralihan kuasa dalam Wanita UMNNO.

Sehari dua ini kononnya ada satu lagi kegemparan dalam politk Malaysia... apa itu? Eh politik hari ini betul-betul macam roller coaster.

* Pengumuman kepada semua penumpang, sila ambil tempat duduk anda, duduk baik-baik, pasang tali pinggang keledar. Buaian ini akan bergerak bila-bila masa sahaja. Bersiaplah untuk sama-sama menjerit sekuat hati dengan penuh emosi. Sedia, satu... dua... tiga... go!

Tuesday, June 17, 2008

Peraduan SMS Celcom langgar hukum syarak- Jakim
17-06-2008 07:50:40 PM
KUALA LUMPUR: Peraduan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) Celcom 100 Hari 100 Kereta diisytiharkan sebagai tidak mematuhi syariah berikutan mengandungi unsur perjudian, gharar (tidak jelas) dan menggalakkan pembaziran.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini berkata mesyuarat khas Panel Kajian Syariah Jakim memutuskan demikian menerusi satu persidangan, Selasa.

Katanya persidangan yang khusus membincangkan isu pertandingan tersebut sebulat suara menasihatkan agar pihak syarikat telekomunikasi berkenaan menyediakan konsep peraduan baru yang selari dengan tuntutan syarak.

Peraduan SMS tersebut menjadi isu apabila Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada 5 Jun lepas menyatakan peraduan tersebut haram disertai kerana mengandungi unsurunsur perjudian.

Katanya peraduan tersebut disifatkan sebagai judi kerana bayaran perlu dibuat untuk menjawab setiap soalan sebagaimana judi nombor ekor.

"Dalam peraduan ini, kita perlu bayar atau dicaj RM5 untuk meneka atau menjawab satu soalan. Itu adalah pertaruhan, dan pertaruhan adalah satu perjudian," katanya.
- BERNAMA

Thursday, June 12, 2008

PEKERJAAN KEDUA BUKAN JAWAPANNYA
APAKAH
anda seorang kakitangan awam dan sedang mencari-cari pekerjaan sambilan bagi menampung keperluan ekonomi yang semakin mendesak? Bidang apa yang ingin diceburi? Ingin bekerja waktu malam atau hanya bekerja pada hujung minggu? Apakah berbaloi? Bagaimana dengan masa bersama keluarga?

Mungkin persoalan ini sedang bermain-main dalam fikiran kebanyakan kakitangan awam. Menurut berita terkini, pihak Kementerian Sumber Manusia tidak akan menghalang kakitangan kerajaan bekerja sambilan selepas waktu kerja rasmi untuk meningkatkan pendapatan mereka berikutan kenaikan kos sara hidup.

Bagaimanapun jangan bertindak segera, anda kena ingat, bukan sekarang. Tunggu, sekiranya diluluskan kerajaan. Kerana sebelum ini sudah ada pekeliling yang menyatakan setiap kakitangan awam dilarang membuat kerja sampingan. Jadi, tunggu dulu.

Namun jika diluluskan sekalipun, wajarkah ia disahut? Bolehkah anda meninggalkan kerja pejabat yang belum habis dan meluru keluar dari pejabat menuju ke tempat kerja kedua, membuat kerja sampingan? Kemudian hujung minggu juga sibuk dengan kerja kedua itu dan terpaksa pula mengorbankan masa cuti bersama keluarga?

Katakan, ada yang mengambil keputusan untuk bekerja sambilan sebagai pemandu teksi. Semestinya tugas ini dilakukan selepas waktu pejabat, bermula dari malam hinggga ke pagi, mungkin hingga enam pagi.

Kemudian tanpa sempat berehat di sebelah pagi anda akan sibuk pula menguruskan hal anak-anak ke sekolah, kemudian anda bergegas ke pejabat pula. Sesampai sahaja di pejabat, anda sebenarnya sudah benar-benar keletihan dan mungkin mengantuk. Jika ini berlaku, semestinya produktiviti akan terjejas. Oleh itu tumpuan terhadap kerja jadi berkurangan. Hasilnya tahap kecekapan pun merundum.

Produktiviti yang diharapkan oleh bos di pejabat tidak akan tercapai. Kecuaian, kesilapan papsti akan berlaku. Anda juga akan keletihan di pejabat. Mungkin juga akan tersengguk-sengguk mengantuk dan terpaksa menjadikan pejabat sebagai tempat berehat pula. Paling buruk mungkin terpaksa mengambil cuti sakit.

Bagi saya pekerjaan kedua bukanlah jawapan terbaik untuk menghadapi zaman kegawatan ekonomi dengan harga barang meningkat hampir setiap hari. Semestinya bos anda juga tidak setuju anda membuat kerja lain. Anda sudah terlalu penat untuk kerja seharian di pejabat jadi jangan menambah kepenatan dengan melakukan tugas-tugas lain.

Sebenarnya bagi pekerja wanita, anda boleh membuat kerja sambilan tanpa memerlukan anda keluar dari rumah. Contohnya seperti mengambil tugas sampingan dengan membuat editing, mengasah bakat menulis karya, mengambil tempahan menjahit, membuat kuih, menghasilkan kerjatangan, mengajar tusyen dan sebagainya.

Selain itu apa yang terbaik anda lakukan ialah mengetatkan gaya hidup. Jangan amalkan pembaziran, terutama pembaziran wang ringgit dan juga masa. Jangan berbelanja jika tidak penting. Zaman bermewah sudah berlalu. Makanan enak di restoran besar hanya memudaratkan kesihatan dan keseronokan makan di luar akan membuatkan anda pokai.

Begitu juga, duduk berhibur berlama-lama dalam panggung atau macam orang sasau melihat hiburan di hadapan televisyen hanya meletihkan fizikal dan minda. Jangan membazir elektrik. Jika tidak perlu kipas atau alat hawa dingin, jangan dihidupkan kerana berpeluh akan menyihatkan badan. Jika bosan, keluar dari rumah, berjalan kaki, berbasikal, lakukan senaman di taman.

Inilah yang dikatakan mengubah gaya hidup. Ia tidak menyusahkan. Ia susah hanya pada hari pertama. Jika terbiasa melakukannya berhari-hari, berminggu-minggu dan berbulan-bulan membuatkan anda rasa `kalih atau lali' bak kata orang pantai timur, atau `imune' kata `orang putih'.

Jadi, masihkah anda tercari-cari pekerjaan kedua? Maaf kata, mana tahu kerana terlalu memberi tumpuan pada pekerjaan kedua, anda akan kehilangan pula pekerjaan pertama. Siapa yang rugi?

* Bacaan awal untuk pembaca blog istimewa ini dari pojok SECEBIS BICARA yang akan terbit esok dalam Sinar Harian.

Sunday, June 8, 2008

SALAM UNTUK PEMBACA BARU SINAR HARIAN DI MELAKA & NS
WAH
(macam gaya Stacy!) sudah lama tidak menulis entry baru. Ya, tetaplah kerana sibuk jawapannya. Sinar Harian Edisi Melaka & NS sudahpun berada di pasaran dengan gahnya. Namun dalam keadaan tenaga kerja yang kekurangan, beberapa kelemahan tetap dikenalpasti berlaku. Dan sikap prihatin pembaca-pembaca di dua buah negeri beradat itu saya sanjung tinggi, saling tegur menegur untuk kebaikan. Saya amat menghargainya.

Minyak sudah naik harga, ya tak perlu tunggu Ogos. Takrif elektrik juga akan naik. Bila? Elok standby sahaja. Jika sejak dulu kita amalkan berjimat nampaknya sampai bila-bila pun tetap kena berjimat. Jimat makan dan minum. Jimat barangan seharian. Jangan guna duit tak tentu hala, jangan impi nak rumah lebih besar atau nak kereta lebih mewah. Buat masa sekarang, semuanya kena fikir lebih lima kali sebelum ambil keputusan.

Saya terbaca komen sedih ini di blog Che Det:
Corpetro said...
saya yg paling terkena bila minyak naik ni.... ini disebabkan saya berulang alik dari cyberjaya ke melaka. Skrang ni pun belanja minyak + tol saya pi keje rm 1000 sebulan....itu minyak harga rm1.92 je....aku rasa klu dengan rate skrang ni rm 2.70 mau kat rm 1500 untuk minyak kereta je!!!! kerajaan bg subsidi rm625 setahun tu cuma belanja minyak saya setengah bulan.

isteri saya pun x sanggup tgk saya sakit poket ujung bulan, malam tadi beliau buat keputusan untuk berenti belajar. dan kami akan pindah balik ke Seri Kembangan ujung bulan ni. Satu keputusan yg amat menyedihkan, tapi kami terpaksa menerimanya. Nak duduk asrama, anak saya nak letak mana pula...tak terjaga. Satu keluarga menangis mlm tadi. isteri nangis sebab dia kena berenti belajar, saya nangis sebab terharu dengan keputusan isteri, anak aku nangis sebab tgk mak ayah dia nangis...terima kasih kerajaan malaysia....

Untuk keluarga yg One Man income mcm saya ni, sure banyak effek... Tariff elekrik pun akan naik tidak lama lagi, berikutan diesel naik rm 1.....ahhh...malas nak pk apa lagi yg akan naik...


Ya, siapa lagi yang mahu sama-sama menangis?

Friday, May 23, 2008


BABAI BATU PUTEH, WELCOME MIDDLE ROCKS
MENTERI
Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura dan Terumbu Karang Tengah milik Malaysia, sebagai satu kemenangan bersama.
Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah di The Hague, Belanda, Rais berkata, walaupun kedaulatan Pulau Batu Puteh berpihak kepada republik itu, namun penting juga dilihat bahawa kedaulatan Terumbu Karang Tengah, yang dikenali sebagai 'Middle Rocks', diberi kepada Malaysia.
“Keputusan pada pagi semalam (waktu Belanda) adalah memberi kemenangan kepada kedua-dua pihak. Pada satu peringkat, mahkamah ICJ memutus mengikut fakta sejarah dan perundangan antarabangsa serta menimbulkan kesan-kesan pentadbiran dan lain-lain hal berkaitan tuntutan (Pulau) Batu Puteh.
“Mahkamah memutuskan untuk memberi kedaulatan kepada republik Singapura, tapi pada masa yang sama, ini penting. Pulau Middle Rocks adalah diberi milik kedaulatan kepada Malaysia. Dan ini merupakan satu kemenangan kepada Malaysia jua,” katanya.

Monday, May 19, 2008


KELUAR UMNO
Tun Mahathir gila babi bencikan Pak Lah
daripada sayangkan UMNO. Berani komen?

Thursday, May 15, 2008

GEMULAH (ARWAH) NENEK DALAM INGATAN
SEMALAM saya kehilangan nenek tercinta yang usianya tinggal lagi empat bulan akan genap 100 tahun. Apabila meneliti myKad miliknya yang disimpan elok di dalam dompet duitnya, saya menggeleng sendiri. Kelahirannya pada tahun 1908. Kematiannya pada 2008. Semalam, menjelang Maghrib dia meninggal secara aman dalam tidurnya.

Jarak masa seratus tahun itu begitu lama tetapi saya masih tidak puas bersama-sama dengannya. Apalagi dalam tempoh tujuh tahun belakangan ini, dia sudah tidak mampu berjalan sendiri, hanya menggunakan kerusi roda sahaja ke sana sini mengutip hutang-hutang bisnesnya. Malah tiga hari sebelum kematiannya dia masih mampu berkerusi rodanya, ke pasar mencari makanan kegemarannya. Petang itu juga dia masih mampu bersiar-siar di laman, masih di atas kerusi rodanya.

Selama tujuh tahun belakangan ini emak saya menjaganya dan menguruskan makan minumnya. Urusan pakaian, kebersihan diri, arwah mampu uruskan sendiri untuk dirinya. Cuma dalam enam bulan ini, emak saya terpaksa pula membahagikan perhatiannya pada nenek saya dan dirinya sendiri apabila emak saya terpaksa keluar masuk hospital kerana penyakit buah pinggangnya. Dan sebualan dua ini juga emak saya sudah mula sibuk pula dengan proses dialisisnya. Kami adik beradik pula bergilir-gilir menjaga kedua-dua mereka mengikut giliran masing-masing.

Jika anda pembaca setia Sinar Harian, pasti ingat lagi mengenai arwah datuk saya yang mati ditikam di pasar pagi, ketiga tiga hari selepas Syawal yang saya tulis awal tahun ini. Kini isterinya pula menurutinya di alam barzakh. Saya doakan kedua-duanya ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

Anak saya bertanya macam mana moyang mereka boleh hidup lama, hampir seratus tahun umurnya dan sihat pula. Ingatannya kuat. Percakapannya jelas, cuma sesekali pendengarannya agak terganggu. Moyang mereka itu juga masih ingat waktu solat dan tidak pernah tinggal solat, yang dilakukan secara duduk. Apabila agak lama saya tidak datang melawatnya, dia akan bertanya, "eh dah dua minggu kau tak datang tengok aku kan?" Ya, betul. Waktu itu hampir dua minggu saya tidak melawatnya.

Apa yang saya pasti, faktor makanan amat menyumbang kepada panjang pendeknya usia kita. Menjaga pemakanan dengan nilai kalori dan zatnya, bukan sahaja suatu teori tetapi menjadi satu kenyataan. Arwah nenek saya kurang makan makanan berlemak. Dia tidak suka makanan manis. Dia juga tidak suka makanan segera. Kopi amat dibencinya. Yang pastinya dia suka minum susu lembu yang segar. Untuk itu kami selalu mendapat bekalan susu lembu segar daripada seorang India yang menaiki motor dan menghantarnya selang dua hari ke rumah.

Kurangkan nasi - itu adalah nasihat klise hari ini daripada Perdana Menteri. Sepatutnya dulu lagi sudah diingatkan dan kita mesti praktikkan, supaya kurang makan nasi. Nasi itu akan menjadi kanji dan kanji itu akan menghasilkan gula dalam badan. Memanglah nasi makanan ruji kita tetapi apabila ada pilihan, makanan ruji kita itu bolehlah beralih kepada yang lain.

Sekarang itu saya ambil keputusan, bahwa anak-anak tidak boleh menyeduk sendiri nasi. Biar saya yang cedukkan. Saya berikan sesenduk dulu, habiskan nasi yang itu terlebih dahulu. Kemudian jika masih kurang kenyang dan ingin menambah nasi, barulah ambil lagi. Terkenang juga dulu-dulu apabila melihat banyaknya nasi yang terbuang apabila selera makan terputus dan rasa kenyang ketika sedang makan. Nasi-nasi itu semestinya ke bakul sampah akhirnya. Jika di kampung boleh jugalah diberikan kepada ayam dan itik.

Di bandar ini macam mana hendak membela ayam dan itik? Sekalipun saya ada memelihara dua belas ekor kucing Parsi, tetapi kucing-kucing saya itu hanya makan pallet. Kucing-kucing itu tidak diberi makan nasi dengan ramuan isi ikan atau kepala ikan goreng. Akhirnya nasi-nasi itu akan terbuang begitu sahaja. Alangkah ruginya...

Sehari dua ini terkenang wajah-wajah kelaparan di Myanmar, menadah tangan memohon makanan dan minuman. Semoga negara kita tidak ditimpa becana seburuk itu. Untuk itu eloklah kita panjatkan doa kepadaNya supaya hidup kita terus dirahmati dan tidak menyusahkan orang lain.

Sunday, May 11, 2008


SALAM HARI IBU
Teristimewa untuk ibu saya yang amat dikasihi, Hajah Halijah Ibrahim semoga beliau tabah menghadapi segala dugaan. Mak, demi Tuhan yang menjadikan kami adik beradik, percayalah anak-anakmu akan sentiasa di sisimu.... Kami selalu bertanya, "sakit tak mak bila buat dialisis tu?" Mak tak pernah kata sakit. Dia hanya kata, sakit nak beranak lagilah perit. Semoga Allah selalu melindungimu, mak. Tapi saya tahu mak bohong...

Tuesday, April 29, 2008

LIKE FATHER, LIKE SON
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen Bagan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen semalam. Turut hadir untuk mengangkat sumpah ialah bapanya Lim Kit Siang yang juga Anggota Parlimen Ipoh Timur (duduk).


Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas (kiri) bersalaman dengan Anggota Parlimen Gelugor Karpal Singh selepas upacara mengangkat sumpah anggota Dewan Rakyat di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen di sini, semalam Turut hadir anak Karpal Singh, Gobind Deo Singh yang juga Anggota Parlimen Puchong (tengah).


LIKE MOTHER, LIKE DAUGHTER

Anggota Parlimen Permatang Pauh Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail menerima ciuman daripada anaknya Nurrul Izzah Anwar yang merupakan Anggota Parlimen Lembah Pantai sebelum acara angkat sumpah anggota Dewan Rakyat yang baru di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, semalam.

LIKE IN LAW


Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas bersalaman dengan menantunya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas anggota Parlimen Rembau itu mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen semalam.

* ADA ORANG TU - LIKE HUSBAND, LIKE WIFE

Friday, April 25, 2008

DOUBLE J YANG HERO
MINGGU
lalu kebetulan saya dapat off kami anak beranak ambil keputusan hendak tengok wayang sahaja. Dua filem jadi pilihan. Pertamanya `Congkak' dan yang kedua filem 'Forbidden Kingdom'. Sebenarnya saya memang hendak tonton kedua-duanya... tapi ada pro kontranya. Selainnya tentulah tak larat untuk duduk dalam panggung lama sangat, saya memilih filem lakonan Jet Li dan Jackie Chan. Kedua-duanya hero saya.

Jadi Kak Long tempah online tiket untuk semua orang. Tiga untuk tayangan tengahari filem Congkak dan enam lagi untuk tayangan petang filem Forbidden Kingdom. Anak-anak pergi dulu untuk tontonan pagi dan kami anak beranak berjumpa waktu petang untuk filem kedua pula. Lokasinya Bukit Raja, Klang. Amboi memang hari melepak sungguh...

Macamana? Soalan saya pada suami tentang Jet Li dan Jackie sebaik keluar panggung, setelah dihenyak dek adunan muzik dan latar belakang filem itu yang amat cantik, menarik dan hebat. "Best. Tapi tak suka Jackie dalam aksi lompat dan terbang. Jet Li lainlah, dia memanf sifu kung fu." Betul juga. Ada beberapa scene, saya lihat oleh kerana nak imbangi lagak kung fu Jet Li, ada masa tertentu Jackie gunakan khidmat stunt man.
Bagi saya kombinasi double J itu menjadi. Jet Li sebagai Monkey King memang bagus. Filem ini diselamatkan oleh gambarnya yang cantik. Aksinya yang mantap. Koreografinya yang menarik. Sound effectnya meletop. Bayangkan, ada sakura berkembangan dan mereka berperang terbang-terbang di bawah taburan bunga sakura!

Maaflah bukan tak suka Congkak. Tapi sebenarnya hari itu niat menonton adalah untuk enjoy. Saya tak mahu diburu takutkan hantu apabila terpaksa balik memandu ke rumah bersendirian di tengah-tengah malam terutama bila malam Jumaat dan dalam hujan renyai...

Wednesday, April 23, 2008

RUSTAM SANI MENINGGAL
PENULIS
politik terkenal, Rustam A Sani, meninggal dunia pada jam 2.30 pagi ini dikediamannya di Jalan Bukit Lela, Gombak dipercayai akibat sakit jantung. Rustam, 63, anak kelahiran Ipoh, merupakan seorang ahli akademik, pengendali blog Suara Rakyat, penulis kolum dan penyair.
Allahyarham merupakan seorang penulis yang prolifik, menghasilkan terjemahan karya sastera dan bukan sastera.

* Antologi puisinya, Riak-Riak Kecil (1977) diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka,
* Dianugerahkan Hadiah Sastera Negara dalam kategori esei dan kritik sastera bagi tahun 1988/89.
* Antara buku karya beliau, Melayu Baru: Beberapa Persoalan Sosio-Budaya (1992)
* Politik dan Polemik Bahasa Melayu (1993)
* Melayu Baru dan Bangsa Malaysia: Tradisi Cendekia dan Krisis Budaya (1993)
* Menjelang Reformasi (2004)
* Ke Mana Nasionalisme Melayu? (2004)
* Bercanda dengan Mahathir (2006)

Monday, April 21, 2008

SILA LAPOR... ROGER AND OUT
Laporan dari Pahang:

Menteri Besar naik `hangin' apabila kata-katanya disalah lapor. Katanya dia tidak bermaksud seperti dilaporkan. Dia maksudkan lain, dilapor lain. Baca statment MB di akhbar arus perdana hari ini.

Laporan dari Kuala Lumpur:
Tidak dilaporkan bahawa pada malam dinner bersama hakim yang tersingkir 20 tahun lalu, hanya beberapa kerat sahaja hakim yang hadir. Mereka memang tidak kelihatan di majlis berkenaann. Kenapa? "Kami tidak dijemput," kata kebanyakan hakim.

Laporan esok dalam Sinar Harian:
Anugerah Penyapu undang padah pada Kerajaan Negeri Selangor; Kata Muhammad Muhd Taib.

Thursday, April 17, 2008

BERTINDAKLAH SEGERA WAHAI MBSA & DBKL

Ini bukan kenderaan saya. Namun jika semalam saya tidak segera mengalihkan kereta, harus beginilah nasibnya. Ketika itu kenderaan saya di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur.


Ini bukan kediaman saya. Namun jika saliran air di belakang rumah saya tidak diselenggara sempurna, mungkin beginilah jadinya suatu hari nanti.

Thursday, April 10, 2008

TENTANG HALIMAHTON


KELMARIN kebetulan terpandang di TV3, Halimahton sedang berkata-kata mengenai keluarganya, Sufiah terutamanya. Apabila nadanya bertukar sayu, saya turut bersedih. Pagi tadi saya membaca tulisan Kak Teh di Berita Harian dan mengetahui url ke blog keluarga Sufiah di London. Sila ke Blog Keluarga Yusof untuk mendapatkan pelbagai info terkini mengenai keluarga Halimahton.

To Sufiah, if u read what Iskander wrote.. i just want you know that your family love you and hope you’ll came home...



Ramai mendakwa:
- Farouk sengaja disabitkan dengan kes cabul, untuk memporak-perandakan keluarga Halimahton. Memberi imej buruk pada Islam.
- Laporan News of The World ditokok tambah. Memburukkan Sufiah termasuk teknik gambar yang disiar.
- Sufiah diremote oleh mereka yang anti Islam.

Entahlah. Kita tunggu perkembangan selanjutnya.

Wednesday, April 2, 2008



Kita bayangkan Sufiah itu seperti anak kita. Tidak pun dia adik kita. Atau dia itu anak saudara kita, anak jiran kita juga anak rakan pejabat - memang, payah untuk menerima hakikat sebuah takdir. Saya bayangkan Halimahton itu saudara sana... inilah dugaan kehidupan.

Yusof, bersenang lenanglah kamu di dalam penjara itu. Makan pakai cukup terjaga. Tidur puas, tiada anak-anak mengganggu. Tidak perlu bekerja teruk membesarkan anak-anak, semua itu digalas isterimu.

Bersabar Halimahton. Ingat Tuhanmu...