Tuesday, August 26, 2008

MAK, ABAH, AIMAN, MILO & RACUN RUMPAI
SEHARI dua ini saya amat hiba melihat iklan Petronas hasil sentuhan Afdlin Shauki si Selamba Kodok itu. Anak-anak pun suka, sambil saya terapkan intipati cerita itu kepada mereka. Terngiang-ngiang di telinga, terbayang di mata;

AIMAN: Abah... boleh tak abah belikan Aiman jala ikan?

ABAH: Aiman, kalau abah ada duit bukan setakat jala ikan... ikan jaws pun abah boleh belikan untuk Aiman. (Kemudian si Aiman terdiam terkulat-kulat.)

AIMAN:
Abah, boleh tak abah belikan Aiman kereta kayuh... Sebab esok hari jadi Aiman.

ABAH: Aiman... kalaulah daun cempedak abah tu boleh jadi emas, bukan setakat kereta kayuh, kereta kebal pun abah boleh belikan. (Lagilah si Aiman terpinga-pinga.)

Huwaaa... saya sebak dalam hati. Kali pertama ditayangkan, tanpa sedar air mata menitis. Saya teringat semasa kecil, ketika duduk di rumah setinggan dan menumpang menonton televisyen hitam putih di rumah jiran. Kisahnya begini:

Iklan sejenis minuman sedang ditayangkan di televisyen. Saya tergoda ... air tu nampak sedap dicurah masuk dalam cawan. Kemudian saya menelan liur apabila budak dalam iklan itu meneguk air itu penuh nikmat. Nampak berdegup-degup mengalir dalam tekaknya. Seusia itu saya belum pernah minum air tu!

SAYA: Mak... nanti buatkan Odie air macam tu ya...

MAK: Baiklah, nanti mak buatkan kalau abah beli benda dalam tin tu (Benda itu ialah Milo. Waktu tu Milo dalam tin.)

Selepas iklan Milo, satu lagi iklan ditayangkan. Saya nampak air yang dicurah ke dalam bekas itu pun seperti sedap. Tak tahu warna apa, sebab tv itu hitam putih. Dan waktu itu saya belum pandai membaca.

SAYA: Mak... nanti Odie pun nak jugak air macam tu ya...

MAK: Eh, mana boleh! Air tu tak boleh minum. Nanti mati.

SAYA: Kenapa mak?

MAK:
Itu racun rumput...! (Tak lama selepas itu baru saya tahu itu ialah iklan racun Round Up.)

Moral ceritanya: Alhamdulillah berkat susah payah mak dan abah berjimat cermat zaman dulu, mereka berjaya menghantar kami adik beradik ke sekolah dan ke peringkat universiti. Terima kasih mak, abah. Kini kami pula yang belikan mak dan abah apa sahaja yang mereka mahu. Termasuk Milo itu! Racun rumpai tidaklah kami belikan sebab tak ada rumput yang nak diracun di keliling rumah...

No comments: