Saturday, February 26, 2005

TAHNIAH



sinar memancar
kuntum mekar mewangi
bos nombor satu

Tahniah....

Wednesday, February 23, 2005

MEMBUNUH DENDAM
SEPERTI tulisan saya pada komen Kembarahati di tag board iaitu; orang tua selalu menasihati kita bahawa jika hendak memuji orang mesti ada batasnya. Begitu juga jika hendak mengeji orang, mesti ada batasnya. Pokoknya sifat santun tetap ada - dimudahkan kata beginilah, pujian yang tidak terlalu melampau dan kejian pula tidak sampai peringkat terlampau. Jika segalanya melampau-lampau serba sedikit rasa sakit hati akan jadi dendam. Gitulah ringkasan ceritanya.

Tuesday, February 22, 2005

DENDAM
Kononnya dendam lama punca dua cikgu wanita bertumbuk.
Kononnya dendam punca seorang wanita pekerja kilang dibunuh.
Kononnya dendam jadi penyebab isteri derhaka.
Kononnya dendam jadi alasan suami cederakan isteri.
Kononnya dendam mengakibatkan seorang jiran diserang.

Rasa amarah yang sekecil tali air akan melaut jadinya kalau tidak dikawal dengan bijak. Marah pun membukit menjadi dendam. Malangnya bukan semua manusia berkuasa mengawal emosi. Apabila emosi menguasai, semuanya jadi terbalik. Yang sopan akan menjadi celupar. Yang santun akan menjadi ganas. Tapi ada sejenis manusia yang memang dari golongan terpilih. Apa kau nak cakap dia tak kisah, tak ambil peduli. Dia fikir diri dia... buruk pun diri apatah baik pun, diri dia... mudah sungguh hidupnya! Tak ada istilah dendam baginya. Tapi manusia seperti ini susah nak dibilang walaupun dengan jari sebelah kanan sahaja. Hendaknya kita termasuk satu daripadanya!

* Terkenang Jangan Ada Dendam yang sungguh lama tak berusik.

Saturday, February 19, 2005

YOU KISS YOU PAY
SUDAH agak lama saya tidak menaiki LRT pada waktu puncak. Khamis lalu oleh kerana hendak menyahut arahan car pool, saya menanti Editor Nur, Lailatun yang datang dari Wangsa Maju di LRT Bandar Tasik Selatan untuk ke Seremban. Jam 7.30 pagi, memang waktu puncak. Keluar saja dari kereta atau turun saja dari motor, masing-masing sibuk menuju ke pintu tren. Saya suka nak tulis entri ini kerana gembira, campur bangga, campur syok dengan apa yang dilihat. Dalam mereka semua kalut turun dari kereta atau turun dari motor; inilah yang dapat saya catat:

1. Isteri salam, cium tangan suami dan suami cium dahi/pipi isteri.
2. Isteri salam tangan suami dan suami buat `dono'.
3. Suami kiss pipi isteri dan isteri buat `dono'
4. Suami hulur tangan, isteri bersalam dan blah
5. Isteri/suami keluar dari tempat pemandu dan isteri/suami ambil alih memandu kereta/motor.

* Tapi tak taulah saya kalau yang melakukan itu bukan oleh suami isteri. Apa komen anda? Namun perkara ini hanya dilakukan oleh yang Melayu/Islam. Tidak terlihat pun bangsa lain melakukan hal ini. Ada satu couple tu berbangsa Cina. Suami turun dari tempat pemandu, isteri ambil alih memandu dan sebelum bergerak, suami hulur duit pada isteri. Duit pasarlah tu kot...

Thursday, February 17, 2005

SEHARI DI TKC

senyum si dara
intai sebalik langsir
malu menegur

Wednesday, February 16, 2005

MAHU JADI WARTAWAN?
HARI ini agak sibuk sedikit (sibuk banyak!). Oleh kerana akan meninggalkan pejabat selama dua hari, jadi beberapa tugasan penting yang memerlukan perhatian segera mesti dibereskan dahulu. Sambil itu tangan asyik dok view satu demi satu page powerpoint untuk presentation nanti.

Ceritanya ini - Kumpulan Karangkraf dan Kolej Tunku Kurshiah kini menjalin usaha sama bagi melahirkan lebih ramai wartawan muda sebagai pelapis. Jadi misi esok ke kolej berkenaan adalah sebagai langkah awal bagi merealisasikan impian ini. Agenda ini juga bertepatan dengan beberapa amanah yang akan dipikul oleh kolej berkenaan.

Pada tahun ini Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan telah diamanahkan menjadi tuan rumah Pelancaran Sambutan Haru Guru Peringkat Kebangsaan. Kolej Tunku Kurshiah pula dipertanggungjawabkan untuk menerajui Jawatankuasa Buletin dan Dokumentasi. Jadi dengan perlantikan ini Kolej Tunku Kurshiah mengambil kesempatan atas kepakaran pihak Kumpulan Karangkraf bagi membantu dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan itu. (Heehee, sungguh skima ayat ini!)

Maaflah tak sempat hendak menjawab komen-komen panas dan pedas pasal si brother penjual bunga dalam entri semalam. Teringat pulak lagu Gadis dan Bunga nyanyian Rahimah Rahim. Nih tengah nyanyi dalam hati ;-)

Maaflah, stop sini dulu ya, banyak sungguh yang perlu diselesaikan.
So esok akan berangkatlah saya ke Seremban...

Tuesday, February 15, 2005

KASIH SAYANG TIADA NILAINYA


mawar sekuntum
cinta mahal di hati
pisahnya mati

SEMALAM adalah hari Valentine yang memang tak patut disambut oleh umat Islam. Hari berkasih sayang itu lebih kepada golongan bukan Islam. Sebab dalam Islam hari-hari adalah hari kasih sayang, tak ada hari khas untuk hari kasih sayang dan hari lain benci membenci pula.
Semalam apabila mahu ke bank ternampaklah seorang brother yang sahnya berperawakan Melayu duduk menebeng di tepi bank dengan berbaldi-baldi bunga ros. Saya buat do no sahaja, terus masuk bank.
Keluar dari bank cepat-cepat si brother tu usha saya suruh beli bunganya - RM5.50 sekuntum! Ada daun sehelai, balut dengan pembalut plastik dan reben. Mak datuk mahalnya...
"Hari ni saja kak, istimewa."
"Kenapa hari ni?" Saya tanya soalan bodoh!
"Hari kasih sayang, hari valentine. Belilah untuk si dia."
"Eh, murahnya harga kasih sayang saya... cuma RM5.50!" Saya menyindir.
"Keluar ratus-ratus tak kan RM5.50 tak boleh hulur. Janganlah kedekut.." Katanya.
Saya hangin! Duit saya suka sayalah nak buat apa, apalagi nak beli bunga dia atau tidak. Memang dia target orang keluar bank, sebab masa saya masuk bank tadi haram tak ditegurnya!
"Tak payahlah brother... saya Islam, tak patut sambut Valentine."
"Ah orang lain tu..."
"Orang lain saya tak masuk campur. Itu hal dia."
"Tolonglah kak... belilah. Saya dah nak balik. Saya tak tahan, panas sangat hari ni..."
"Iya panas sunguh hari ni. Saya pun nak cepat balik," kata saya dan terus blah!
Memang pun saya tengok bunga dalam baldi tu dah layu, dah tak segar dan masih banyak lagi belum terjual. Dengan keadaan itu saya harap tahun depan brother itu tak akan meneruskan aktiviti menjual bunga sempena Valentine lagi. Sebab kini kesedaran orang ramai semakin tinggi. Dulu memang ramai umat Islam sambut Valentine tapi akhir-akhir ini nampaknya semakin berkurangan. Alhamdulillah...

Thursday, February 10, 2005

BOLEH BELI STAMINA TAK?
WAKTU catatan ini ditulis kami sekeluarga baru sahaja balik dari USJ kerana kenduri perkahwinan sahabat suami. Wah ramainya yang datang. Lorong rumah tu sibuk betul dengan kenduri kahwin dan kenduri besar orang Cina sempena Gong Xi Fa Chai. Berjumpalah dengan kawan-kawan, berbual-bual. Ada ramai mak datin, datuk-datuk... so apa yang diperbualkan tu agak skima le jugak.

Balik dari Subang Jaya, singgah di kedai tepi jalan, teringin nak beli sekotak limau mandarin. Punyalah pilih kotak (sebab tak boleh rasa) kerana mahu yang manis. Kata tauke yang jual limau tu kalau kita terbeli limau yang manis maknanya hidup akan berkat sepanjang tahun. Kalau terbeli yang masam, maknanya sepanjang tahunlah tak ada `ong'. Eh boleh percaya ke? Kata suami, kalau kita terbeli yang masam, kita belilah lagi kotak lain sampai dapat yang manis... Kah kah kah! Sampai sakit perutlah makan limau kalau macam tu!

Anak-anak pun tanya pasal pengertian tahun ayam. Kata mereka apa yang dibaca dan didengar tahun ni semuanya tak best - tak boleh mulakan perniagaan baru, tak boleh mulakan hidup baru (kahwin). Pokoknya tak boleh buat sesuatu yang baru. Ish budak-budak, mereka mudah percaya. Jenuhlah si bapa terangkan, semua tu karut marut! Itu hanya bagi orang Cina. Kita orang Islam ni tak ada hari atau bulan atau tahun yang tak baik. Sepanjang tahun baik sahaja... barulah dia orang sengih.

Esok kami akan `berpindah' ke BB. Ya bagus tarikh yang dipilih, Jumaat pertama di tahun Hijrah. Mintak sangat-sangat supaya dapat berhijrah ke arah kebaikan. Jadi esok nak mengangkut sikit barang-barang di rumah sini untuk dihantar ke BB. Bagi lengang sikit rumah sini. Sekarang ni tengah bersepah gila rumah sini. Mujur cuti panjang, adalah masa nak lepak sikit. Maklumlah stamina dah kureng... kena minum jus kacip fatimah nampaknya saya nih!

Thursday, February 3, 2005

RABUN JAUH RABUN DEKAT
SAMPAI ke usia ini saya akhirnya terpaksa mengalah dengan takdir. Amoi di klinik mata itu kata, "kakak sudah tua, tengok umur sudah berapa... memang kena pakai cermin mata. Sudah labun (rabun)..." Itulah kata-kata yang amat menghiris hati saya. (Tapi sekurangnya bangga juga kerana berjaya mempertahan kekuatan mata hingga ke usia ini.)

Selama berberapa bulan kebelakangan ini kemusykilan kenapa saya selalu pening-pening, rasa macam loya-loya (tak mungkin hamil lagi kot?), sesekali mata rasa macam nyut-nyut dan mudah mengantuk akhirnya telah disahkan - mata saya dah tak ada power!

"Kakak, lu pakai yang inilah cantik! Sesuai dengan muka lu," kata amoi kedai cermin mata. Saya belek-belek bingkai cermin mata itu dan acu beberapa kali ke muka. Alamak... peliknya nanti. Tentu hidup dah kena ada extra care lepas ni, nak jaga takut hilang, takut silap letak, takut terpijak!

"Berapa harga ni? Ini cap (brand) apa?"

"Kakak, lu jangan fikir harga, fikir sesuai dengan muka. Muka cantik, hati sukalah. Ini ada offer raya China," kata amoi tu lagi. Iya ke? Saya tengok brand TA*He*er. Tapi apa pulak kena mengena mata saya dengan raya China?

Saya belek-belek apa yang berderet-deret di ruang perhiasan itu, tergeleng-geleng antara realiti dan andaian. Memang pun saya dah tak boleh melawan takdir. Saya bercita-cita kalau boleh tak mahu menggunakan cermin mata tapi rupanya gagal juga akhirnya. Iyalah, kerja pun sehari-hari dok mengadap komputer sahaja!

"Mama kan dah tua..." Kata si bongsu, bila diceritakan kepadanya apa yang doktor kata. "Iyalah mama dah tua. Tapi Nabila (sepupu dia) baru 17 tahun dah kena guna cermin mata sedangkan dia belum pun tua. Macamana tu?" Si bongsu sengih.

Wednesday, February 2, 2005

ENGKAU BUKAN LAGI AKU
ADA suami suka buat isteri susah. Ada juga isteri yang suka menyusahkan suami. Frasa ini bukan (belum?) kena batang hidung sendiri tetapi sudah banyak kali kena batang hidung kawan. Kawan lelaki dan juga kawan perempuan. Bak kata orang, kita sudah lali dengan cerita persekitaran. Seperti kita lali mendengar bunyi ketukan keyboard.

Makin lama cerita ini memang tidak berkesudahan. Malah makin meleret-leret. Kemudian timmbul pula kisah `fed-up & give-up'. Ini dah kes naiya. Pada laki bini itu biarlah kerana mereka sudah dewasa untuk menempuh segala onak. Bagaimana pula dengan anak-anak?

Macam drama di televisyen, anak-anak membawa diri. Mak bapa pun bawa diri. Engkau, engkau. Aku, aku. Lama kemudiannya insaf tapi sudah terlambat. Di ketika usia dah lanjut, semua dah tak bermakna... haruskah ditamatkan hidup dengan jalan mudah?
* Elok juga ini dijadikan plot novel.

Monday, January 31, 2005

SYUKUR
ALHAMDULILLAH program dialog anjuran GEJU dan PENA pada hari Sabtu lalu berjalan dengan lancar. Ramai ahli GEJU yang hadir bergabung dengan rakan-rakan penulis tersohor di media cetak. Terimakasih kerana memberi sokongan dan sama-sama mengemukakan pendapat, komen dan cadangan pada tajuk yang ditetapkan iaitu; WEBLOG - EKSPRESI IDEA & SASTERA. Harap-harap selepas ini ada kesinambungannya. Jangan berhenti setakat makan mi hoon dan minum teh saja di petang yang disimbah hujan itu...

HARI ini, terpaksa bercuti kerana diserang demam, batuk dan selesema. Tidak terasa sangat sakitnya jika dibandingkan dengan kesakitan jiwa raga mangsa tsunami. Tidak terasa pedih perit tekak ini dibandingkan dengan lapar dahaganya mangsa tsunami. Tidak terlampau lena tidur baring ini dibandingkan dengan lantai tanah dan selimut embun mangsa tsunami...

ESOK Hari Wilayah Persekutuan. Sebagai anak Kuala Lumpur saya berbangga dengan pencapaian ibu kota yang amat pesat membangun ini. Tapi saya yang bekerja di Shah Alam, esok adalah hari bekerja!

Friday, January 28, 2005

SEKEJAP, SEKETIKA SAJA
SEMALAM, saya berbual dengan seorang sahabat yang sudah lama tak berjumpa. Dulu sama-sama di Kuala Lumpur kekerapan berjumpa membuatkan kami tahu apa yang berlaku antara kami. Namun kini apabila sudah jauh, banyak kisah yang sudah `terlepas pandang, terlepas dengar'. Tapi setengah jam, mana sempat hendak menyelongkar almari masa silam...

Sebelum itu Selasa, Mely, Shahid & Adeq datang ke pejabat. Pun sekejap saja! Wah, lama tak jumpa best jugak berbual macam-macam hal. Semuanya hal perempuan, hal lelaki, hal kerja, hal birthday, bila nak kahwin... Eh, kalau dah datang Karangkraf mencari saya, kenalah juga jumpa akak di Rumah Pena, Sabtu nanti! (Zar pun janji nak datang tapi tak dapat datang... tak apa Zar, yang penting ingat nombor pekerja Kak Sri. Hahahaaa...)

Daripada kedua-dua paragraph di atas, jelaslah pertemuan hanya sekejap. Hari itu pun MA datang Karangkraf, pun berbual sekejap saja. "Masa mencemburui kita..." Itu ayat klise. Tapi jangan kecik hati ya, lain kali kita jumpa lagi.

* Nota Hujung Minggu:
Jika rumah diibaratkan istana, maka suami adalah raja. Isteri adalah ratu. Manakala anak-anak adalah rakyatnya. Kasih dan sayang harus sentiasa di sematkan dalam diri dan jiwa seiisi keluarga untuk mewujudkan harmoni rumah tangga berkekalan.

Thursday, January 27, 2005

SAMSENG
PETANG semalam suami yang selalu pulang ke rumah dengan wajah ceria dan sempoi kelihatan tidak seceria selalu. Kenapa? Hati berdetik juga melihat dia lain daripada biasa. Sesudah lima belas minit berlalu dan setelah minuman yang dihulur habis diteguk baru saya berani buka mulut. Katanya seorang kenalannya kemalangan jalanraya dan menjadi kes polis.

Untuk lebih detail kami menanti siaran Buletin Utama dan sah memang kes kemalangan itu dilaporkan. Di kaca televisyen jelas kelihatan seorang balu menangisi pemergian suami sambil memeluk anak sulung mereka. Insiden di hadapan Bilik Mayat HKL itu amat mengesankan. Entah sudah berapa kali air mata menitik baru saya tersedar apabila si bongsu menegur, "mama... kenapa mama menangis?"

Budak-budak, apa yang mereka faham... tetapi orang dewasa yang ada akal fikiran mengapakah tergamak bertindak tanpa berfikiran rasional?

Tuesday, January 25, 2005

"WEBLOG : RUANG EKSPRESI IDEA & SASTERA"

Tarikh : 29 Januari 2005 (Sabtu)
Tempat : Rumah PENA
(Depan Menara MAA/Sebelah Rumah GAPENA/
Sebalik Dapur Restoran Tupai - Tupai)
Masa : 3 petang
Panel : Tok Rimau - Sri Diah - Nisah Haji Haron
Moderator: Nazmi

Masuk percuma! Parking Free! Khabarnya makan minum pun disediakan. Marilah datang ramai-ramai untuk bersua muka, bertukar-tukar pandangan dengan penulis dan juga sesama blogger. Untuk semua GEJU saya tunaikan janji untuk keluar menonjol diri, tinggalkan mesen cetak, sebelum idea dan hasil kerja diangkat ke lori Ah Seng Transport & Co. dan dihantar kepada agen-agen seluruh Semenanjung, di seludup ke Singapura dan Brunei. Apa saya nak cakap? Siapkan soalanlah, sebab saya suka jawab soalan.

Friday, January 21, 2005

KETUPAT DAUN PALAS


The following recipe is for ketupat daun palas:

Ingredients
2.5 kg glutinous rice
4 coconuts or 3 kg coconut milk
½ kg uncooked groundnuts, boiled - optional
Palas (Licuala palm leaves)

Method
1. Wash uncooked glutinous rice until running water until clean. Transfer to colander and allow to dry.
2. Heat coconut milk with a little salt in large pot or kuali until it simmers.
3. Add the glutinous rice and stir continuously until the rice is half cooked. For extra bite and flavour, add boiled peanuts to the mixture and stir. Leave to cool.
4. Take a small portion of the cooled glutinous rice and place it in the centre of the palm fronds. Weave the frinds into a triangular shape.
5. Immerse the wrapped rice into a vat of boiling water and leave until cooked. Cooked glutinous rice is usually quite soft when pressed.

Ketupat is usually served at room temperature with dried curry (rendang), beef floss (serunding daging) or other rich and spicy sauces. It is also tasty enough on its own.

* Hehehe, kalau info macam ni saja. Sure ada yang buat ketupat palas `betina'. Yang bestnya ketupat palas `jantan'. Lebih best lagi `pulut dakap'. Ada orang utara yang nak komen?

Thursday, January 20, 2005

SALAM AIDILADHA


KEPADA semua muslim diucapkan Selamat Menyambut Adiladha. Kini lebih dua juta umat Islam sedang menunaikan wukuf di Padang Arafah dan bukit-bukit di sekitarnya termasuk Jabal al-Rahmah, menjadi tumpuan ramai jemaah haji dari seluruh pelosok dunia untuk memanjatkan doa mereka agar dimakbulkan Tuhan. Menyingkap sejarah, Padang Arafah adalah tempat pertama di bumi ini, di mana Allah menerima taubat hambaNya. Tomorrow, lets enjoy daging korban dengan penuh kesyukuran.

Wednesday, January 19, 2005

FRAGMEN - BELUM ADA TAJUK

DALAM rasa malu dan rendah diri, dewan orang ramai, surau, kedai runcit, tepi laut, pusat rukun tetangga dan jeti dijejakinya kembali.
Dia sudah lupakan Kuala Lumpur!
Dia sudah lupakan kehebatan Berjaya Times Square. Dia juga sudah padamkan segala keindahan Tasik Putrajaya. Di masa yang sama juga dia sudah lupakan terus kenangan pahit manis bertahun-tahun di Universiti Malaya.
Kadang-kadang terdetik perasaan alangkah zalim Tuhan kerana telah meletakkan segala hukuman ke bahunya. Dia yang pasrah. Yang tak ada daya untuk melawan takdir.
Dia sedar sebenarnya dia sudah membazir banyak waktu kerana terlalu mengikutkan kata hati. Liat untuk menerima kenyataan bahawa yang di hadapannya kini sudah musnah. Sudah hancur lunyai.
"Janganlah terlalu menurutkan perasaan kecewa dan terlalu asyik digoda benci terhadap Tuhan," Zuraida bercakap jujur. "Mengucaplah, kita orang Islam... Tuhan tak pernah menganiaya hambanya."
Dia sengaja memandang mata Huzairi dalam-dalam, cuba menyelami kecamuk dalam dada lelaki itu. Tetapi Huzairi terus melarikan anak mata, tak sanggup bertentang mata dengan Zuraida.
"Tapi hidup ni macam tak adil..."
"Jangan bersikap macam tu, nanti jadi murtad, jadi munafik," kata Zuraida.
Sudah lama benar mereka tidak berjumpa. Kali akhir ialah sebelum terjadi peristiwa tsunami pada Disember lalu. Kemudian Huzairi menghilangkan diri, berhari-hari. Semua orang sibuk mencari. Rupanya dia balik ke Pulau Pinang.

Tuesday, January 18, 2005

SEJARAH TERLAKAR

HARI INI, 18 JAN 2005 ULTIMATE PRINT SENDIRIAN BERHAD TELAH BERJAYA DIIKTIRAF SEBAGAI SEBUAH SYARIKAT YANG MEMPUNYAI SISTEM PENGURUSAN KUALITI ANTARABANGSA ISO 9001:2000. TAHNIAH DAN TERMA KASIH ATAS SEGALA USAHA DAN KERJASAMA DARI WARGA UPSB DAN KKSB.

Saya mengirim entri ini dari rumah sebaik sahaja pulang daripada taklimat di Menara The Star di Phileo Damansara. Kepenatan meredah kesesakan jalan dari Kerinchi Link ke Federal Highway hingga ke Cheras berbaloi, apabila membuka email dari pejabat dan kata-kata di atas tercatat dengan jelasnya.

Hati saya kembang berbunga! Memang selama bekerja di bawah kawalan sistematik ISO, banyak yang pihak saya (Editorial) terpaksa lalui dan hadapi. Dan akhirnya kepahitan dan keperitan telah berbalas dengan kegembiraan. TAHNIAH kepada semua pihak yang terbabit terutama kepada team Ultimate Print Sdn. Bhd (UPSB) dan semua klien.

Ramai yang tertanya agaknya; mungkin ke sebab ISO ni saya sibuk sampai tak sempat masuk entri baru? Ya jugak, tapi taklah sangat... ada perkara lain lagi. Contohnya tak lama lagi Aidiladha, tauke bagi dua ekor lembu untuk rewang, tu pun sibuk jugak. Ada yang label ajk rewang ni sebagai `ajk lembu' kwang, kwang kwang! Ada lagi beberapa perkara lain yang membuatkan saya sibuk... tunggulah nanti semua akan tau. Yang pastinya saya tak buat-buat sibuk...

Sunday, December 26, 2004

SELAMAT BERGUMBIRA RIA
SAYA mohon berbanyak maaf kerana tidak dapat menghadiri majlis GEJU di UPM hari ini. Kepada sesiapa yang memang menyimpan niat ingin berjumpa, saya mohon maaf kerana telah mengecewakan anda. Namun bukan niat saya untuk sengaja tidak hadir ke majlis yang pastinya gilang-gemilang itu - majlis yang menemukan insan-insan unik dari alam siber ke alam nyata.

Sudah semestinya anda semua adalah insan-insan bertuah dapat berkecimpung dalam dunia tanpa batasan ini dan menjadikannya pula suatu realiti di satu petang nan indah di UPM. Bak kata iklan; "...aku merinduimu...!" Huhuhu...

Dengan EP dan Rudy telah saya beritahu kegagalan saya menghadiri GEJU. Malam tadi kami menghadiri majlis HESCOM - juga pertemuan manusia siber yang meminati bidang sastera seperti haiku, sajak, cerpen, novel, pantun dan juga sajak jenaka.

Sebenarnya hari ini saya bertugas. Jika anda sempat ada kelapangan bolehlah singgah selepas GEJU, ke Majlis Pencarian Duta Bintang Kecil di Dewan Wawasan, Menara PGRM, di Shamelin Perkasa. Majlis berlangsung dari pukul 2 petang - 5 petang.

Kepada tetamu-tetamu blog, saya amat menghargai perhatian anda pada blog yang terpaksa dicutikan sementara ini. Saya simpan semua komen di tagboard dan jika kelapangan saya akan membuat kunjungan balas ke blog anda semua.

Salam ingatan untuk semua.