Wednesday, January 19, 2005

FRAGMEN - BELUM ADA TAJUK

DALAM rasa malu dan rendah diri, dewan orang ramai, surau, kedai runcit, tepi laut, pusat rukun tetangga dan jeti dijejakinya kembali.
Dia sudah lupakan Kuala Lumpur!
Dia sudah lupakan kehebatan Berjaya Times Square. Dia juga sudah padamkan segala keindahan Tasik Putrajaya. Di masa yang sama juga dia sudah lupakan terus kenangan pahit manis bertahun-tahun di Universiti Malaya.
Kadang-kadang terdetik perasaan alangkah zalim Tuhan kerana telah meletakkan segala hukuman ke bahunya. Dia yang pasrah. Yang tak ada daya untuk melawan takdir.
Dia sedar sebenarnya dia sudah membazir banyak waktu kerana terlalu mengikutkan kata hati. Liat untuk menerima kenyataan bahawa yang di hadapannya kini sudah musnah. Sudah hancur lunyai.
"Janganlah terlalu menurutkan perasaan kecewa dan terlalu asyik digoda benci terhadap Tuhan," Zuraida bercakap jujur. "Mengucaplah, kita orang Islam... Tuhan tak pernah menganiaya hambanya."
Dia sengaja memandang mata Huzairi dalam-dalam, cuba menyelami kecamuk dalam dada lelaki itu. Tetapi Huzairi terus melarikan anak mata, tak sanggup bertentang mata dengan Zuraida.
"Tapi hidup ni macam tak adil..."
"Jangan bersikap macam tu, nanti jadi murtad, jadi munafik," kata Zuraida.
Sudah lama benar mereka tidak berjumpa. Kali akhir ialah sebelum terjadi peristiwa tsunami pada Disember lalu. Kemudian Huzairi menghilangkan diri, berhari-hari. Semua orang sibuk mencari. Rupanya dia balik ke Pulau Pinang.

No comments: