Ada satu sahaja kelainannya, iaitu menyusuri denai berlumpur dengan sampan di Sungai Mekong. Lelaki dan wanita yang mengayuh sampan itu kebanyakannya sudah berumur atas 40-an. Pendayung wanitanya berpakaian fesyen Vietnam dengan blaus terbelah kiri dan kanan bahagian pinggang.

Aktiviti ini masih sama seperti terdapat di persisiran Sungai Melaka. Bezanya di Melaka menggunakan bot berenjin dan lebih bersih alir airnya, di Sungai Mekong, airnya keruh berlumpur. Apa yang tak bagusnya, menggunakan enjin, minyak dan mencemar persekitaran alam dan bunyi.

Saya berpendapat, ada banyak lokasi di Malaysia boleh meniru apa yang penggiat industri pelancongan di Vietnam lakukan. Di Kuala Selangor contohnya, setelah melawat kawasan kelip-kelip, bawalah pelancong menaiki sampan-sampan kecil, menyusuri sungai. Melihat anak ketam, belacak, burung-burung, ulat gonggok… orang asing suka melihat yang tradisi.

Sediakan empat atau lima tempat ruang melawat dalam satu perkampungan, tunjukkan cara membuat tempe dan goreng tempe itu beri mereka rasa. Gorengkan inang-inang, cakar ayam dan rempeyek. Rebus keledek dan ubi kayu, cicah dengan sambal bilis. Beri mereka air kelapa muda dan isinya yang lemak. Semua ini boleh dilakukan dalam satu kampung.


Di bandar Ho Chi Minh yang cukup maju terdapat hampir 50 universiti dengan lebih 300,000 mahasiswa tempatan. Antaranya Universiti Nasional Vietnam. Ada universiti untuk sastera, ekonomi, kedoktoran, perguruan dan farmasi serta pendidikan teknik.
Lautan motosikal menjadi pemandangan biasa di tengah bandar. Bersimpang siur di laluan-laluan utama tidak kira waktu puncak atau santai. Motor dengan segala jenama, topi keledar pelbagai warna dan fesyen menjadikan kota Saigon terus rancak, padat, hebat dan hidup hingga ke malam.
Keadaan jalan raya yang tidak teratur, pendawaian elektrik berselirat di tengah-tengah bandar, kita akan berasa lemas. Takut hendak melintas, diterjah motosikal dan kereta serta pening dengan bunyi hon bersahutan.
Pemandangan sebegini terus sahaja dapat dilihat sebaik melangkah keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat di Ho Chi Minh yang menjadi pintu masuk utama ke Vietnam. Ia terletak 2.5 kilometer dari barat daya pusat Da Nang.
Mereka yang pertama kali menjejakkan kaki di sini mungkin pening dan takut untuk melintas, apatah lagi persimpangan jalannya tidak dilengkapi lampu isyarat, tetapi penunggang motosikal di sini sangat bertolak ansur. Tiada maki-hamun dihamburkan. Mereka juga tidak memecut, pendek kata tiada budaya merempit di sini.
Di bandar Ho Chi Minh, mata wang Malaysia digunakan dengan meluasnya selain Dong Vietnam dan Dolar Amerika. Malah di pusat beli-belah Ben Thanh dan pasar malam Ben Thanh, jual beli dijalankan dengan berbahasa Melayu.

Terasa seperti membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman pula kerana ramainya orang Malaysia di pasar ini. Saya juga tidak sangka boleh berjumpa dengan kawan yang sudah terpisah hampir lima tahun ketika membeli pakaian di sebuah butik di sini.
Siapa tak berjoli sakan, apabila barang RM100 boleh menjadi RM20 jika kita melangkah tiga tapak sahaja, bergerak kerana pura-pura tidak jadi membeli. Tukaran wang Dhong yang rendah menjadikan setiap belian berada pada harga runtuh. Apa yang penting, pandai tawar-menawar.
Jangan lupa belajar sepatah dua bahasa mereka untuk mendapat layanan istimewa. Antara yang saya masih ingat ialah `xin xau’ dan `chut chut em yu’. Cubalah cari apa maknanya…

• Penulis bersama 78 anggota rombongan Grup Buku Karangkraf telah menyertai lawatan ke Ho Chi Minh City pada 5–8 April lalu atas anugerah prestasi pencapaian oleh Kumpulan Media Karangkraf.
Baca online dalam Akhbar Sinar Harian > (DI SINI)