Friday, September 30, 2005

GEDEBAK GEDEBUK BELUM REDA...
SELESAI UPSR yang dilalui Anas, kini si sulung Anis pulak akan menghadapi PMR pada Isnin nanti. Gedebak-gedebuklah hati dia. Hati mak dia ni lagilah dup dab dup dab... Malam tadi ada solat hajat anjuran sekolahnya di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak. Ramai juga ibu bapa yang hadir. Sama banyak dengan pelajar-pelajar. Hari sebelum itu Anis senyum, tersengih apabila membaca statment Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Ahmad Sipon bahawa akan disediakan glosari masa exam nanti dan boleh memilih nak jawab dalam BM atau BI. Harap dia boleh jawab soalan-soalan tu... jangan dok terpandang muka si Rubi sudahlah!

Ok sekarang dah boleh upload gambar si Anas semasa majlis Mohon Restu hari tu. Anas yang pakai baju Melayu kuning. Yang menyuap pulut kuning dengan rendang tu guru kelasnya, Cikgu Yusliza.






Thursday, September 29, 2005

SEKEJAP JADI BANYAK KEJAP
SEPULUH hari tak update, ini bermakna saya telah kecewakan ramai pengunjung... kebetulan sempena Ramadan yang bakal tiba, saya nak tumpang mintak maaflah. Banyak yang hendak ditulis, tak tahu nak catat yang mana satu. Cepat saja masa datang dan pergi. Sedar-sedar dah tengahari, kemudian dah petang. Kejap lagi... kejap lagi jadi berhari-hari. Kesudahnya langsung tak tulis apa-apa. Kemudian esoknya datang lagi. Datang dan pergi macam bukan 24 jam.

Pencarian wajah Nur & Dara.com dah selesai. Pelancaran 3 buku resipi Alaf pun dah lepas. Tak lama lagi ulangtahun Majalah Remaja. Khabar gembira - Majalah RASA edisi Oktober dah masuk second print! Tak sangka, belum masuk Oktober majalah tu dah sold out. Kenapa? Ada banyak resipi buka puasa dan sahur kot...

Esok pengumuman Bajet 2006 di Parlimen. Esok juga ada pengumuman rombakan kabinet di KKSB. Kabinet bayangan? Wah, macam-macam teori timbul. Macam-macam spekulasi. Apa-apa pun tunggu tauke buat pengumuman pukul 9.00 pagi Jumaat. Just wait and see (and action!)

* Komen-komen kat isu Felisa Beauty Makeover tu nanti saya jawab pelan-pelan ya. Janganlah marah...

Wednesday, September 21, 2005

FELISA BEAUTY MAKEOVER

Tontonlah TV3 pukul 7 malam ini.
Wajah-wajah ini antara yang akan kelihatan di kaca tv anda.

Tuesday, September 20, 2005

SEDANG CARI KERJA?
SEKARANG sudah confirm saya dan 6 pegawai kanan dari KKSB akan ke Kota Bharu pada 1 - 3hb Oktober nanti. Sesi interview ini membabitkan hampir 50 orang calon untuk wartawan dan 30 orang calon untuk jabatan graphic artis. Adakah sesiapa pembaca blog ini termasuk dalam calon yang akan ditemuduga di KB nanti? Jika ada, sila respon. Menurut HRD juga ada hampir 5 jawatan kosong sebagai Editor di unit akhbar. Ada sesiapa yang berminat? Syarat utama untuk jawatan Editor, Wartawan dan Graphic Designer ialah memiliki Diploma/Ijazah dalam jurusan yang berkaitan. Hubungi segera KKSB di talian 03 - 51013888 sambungan ke Jabatan Sumber Manusia (keutamaan diberi kepada mereka yang menetap di Kelantan).

Sunday, September 18, 2005

ULANGTAHUN

mengira hari
seperti menghitung jari
kiraan berganti

kalau bukan dulu
sekarang entah ke mana
bahasa ini
dua tahun kini!

Friday, September 16, 2005

AHAD LEPAS...
BZ tu makanan rujilah kiranya. Kalau tak bz macam ada pulak yang tak kena... Tengahari ni ramai yang ajak keluar lunch tapi memang dah habit tak suka keluar lunch - panas, payah cari parking, makan tak enjoy, rasa macam tak berbaloi dengan masa dan yang pentingnya tak makan pun tak apa. So lebih baiklah saya duduk saja dalam bilik, buatlah apa yang patut. Ya... `buat apa yang patut' ni pun dah kira bz jugak.

Inilah antara gambar-gambar sepanjang majlis pertandingan memasak cucur dan nasi goreng anjuran kelab rekreasi dan sukan kksb yang disertai staf kksb & ulitmate print minggu lalu. Kalau ada sesiapa nak buat pertandingan memasak dengan kami pun boleh diatur. Untuk aktiviti Puspanita misalnya. Sorrylah gambar Anas disuap pulut kuning belum sempat diupload. Alasan: reader hilang, tak ingat letak kat mana, entah siapa pinjam, wayar nak connect ke komputer ni pun ntah letak kat mana. Jadi ikut mana sempat sajalah ya...


"Saya rasa nasi goreng, awak rasa cucur ya!" Abang hensem tu finalis Lelaki Maskulin.


"Masak sedap-sedap tau!" Shima, designer M. Wanita dan Anip dari Media Hiburan


Pengarah Urusan dan isteri turut hadir. Bersama Emma dari Impiana dan Miri dari Miri Sarawak daripada Majalah Keluarga.


Wartawan single bergabung dengan suami orang. Faiz, Fokus SPM & Rizal, Bacaria.


"Rasanya macam ada garam tumpah dalam cucur tadi..." - Komen juri penting hari itu.


Lepas bergambar ni terus balik sebab ada program lain pulak...

Wednesday, September 14, 2005

DIARI
SEMALAM saya ke TV3 di Bandar Utama dan hari ini ke Tingkat 5, Plaza Alam Sentral pula. Kenapa? Sebabnya ada rakaman untuk Felisa Beauty Makeover. Saya jadi juri bersama Alia HM Jally, sahabat masa di USM yang kini dah jadi Pengurus Corporate Comm. TV3 dan juga Encik Zul dari Felisa Kosmetik. Pemenang dah pun diketahui tadi, nak tau lebih jelas jangan lupa tengok TV3 pada 21hb Sept. pukul 7 petang ya!

Esok pulak akan menghantar anak saudara dari Alor Setar yang akan pergi rehearsal di UITM untuk konvo Ahad nanti. Kakak ipar dengan abang ipar pun turut sama. Lepas tu depa nak ke Seremban, pergi rumah anak satu lagi. Tengah dok fikir ni, nak pi hantar sampai ke Seremban ataupun nak hantar sampai stesen komuter saja...

Atas kesibukan akhir-akhir ini ada beberapa lunch date yang terpaksa dibatalkan. Sorry to Aida dan lain-lain. Maaf juga pada Ztt yang dah banyak kali panggilan telefon daripadanya terpaksa dipendekkan. Oh ya, saya akan ke Kota Bharu awal Oktober nanti. Ada sesi intervew bagi calon-calon wartawan untuk akhbar harian. Sesiapa di KB, nanti kita buat janji temu ya!

Dengan pemergian ke KB, saya sure tak dapat hadir majlis penyerahan kunci apartmen untuk Mawi di A Famosa Resort, Melaka. Majlis ni anjuran resort berkenaan dengan Kementerian Pelancongan dan Majalah Libur. Libur ada majlis khas selepas itu. Sorry to Kak Ros, setiausaha sulit Datuk Zahid! Nanti kita dating di hari lain ya! Ada sesiapa nak join majlis ni, silalah hubungi staf Majalah Libur, 03-51013888.

Monday, September 12, 2005

SIANG MALAM BERGANTI
TINGGAL beberapa hari sahaja Ramadan akan hadir. Kemudian Syawal. Syawal nanti opis akan tutup hampir sepuluh hari. Untuk menghadapi sepuluh hari yang bakal tiba, kesibukannya sudah dirasai sekarang. Begitu juga untuk menghadapi 2006, lagilah banyak projek yang mesti difikirkan. Tiga bulan menjelang Disember terasa amat singkat. Lepas satu, satu projek datang dan pergi. Ada juga projek yang datang tapi tak pergi, hanya akan terlaksana 2006 nanti.

Banyak jugak event yang berlangsung membabitkan syarikat dan orang luar. Pejabat ini sibuk dengan pelbagai aktiviti mengikut jabatan masing-masing. Walau ada 32 majalah tetapi saya bekerja untuk hampir 40 majalah/akhbar yang sedang dalam proses dan tambahan beberapa jabatan lain. Sebab itulah event bersama JICA dan Mek Jepun saya tak dapat hadir. Semalam juga ada pertandingan memasak dikalangan staf KKSB - pertandingan memasak cucur dan nasi goreng. Jenuh jugaklah pengadil ni nak merasa dan buat keputusan.

Ya, Anas sudah merdeka - "inilah erti merdeka abang yang sebenarnya," kata Anas. "Ya, merdeka sementara. Lepas ini PMR pulak..." tokok si Anis, kakaknya yang akan menduduki PMR pada Oktober ini. Memang dia pun tengah stres dan hangin. Problemnya? Cikgu jarang masuk kelas, sibuk dengan meeting, pergi jabatan, kursus dan sebagainya. Anak-anak murid kena belajar sendiri... macamana tu? Mujur dia ada rakan perbincangan. Tapi saya hangin jugak dengan si Anis ni sebab doklah dia menghadap siri luar negara pukul 2 petang kemudian sambung sampai pukul 3 hinggalah pukul empat petang tu!

Friday, September 2, 2005

DALAM SEDAR, AIR MATA MENITIK JUA
SEMALAM saya mohon pada bos untuk balik awal daripada waktu sepatutnya. Sampai di rumah, ambil Anas dan terus ke sekolahnya. Majlis bermakna ini mewajibkan ibu bapa turut serta untuk menyuntik semangat anak-anak dan memohon restu Allah swt semoga peperiksaan UPSR yang bermula pada Isnin depan dapat ditempuh dengan berkat.

Aturcara majlis:
- Pendaftaran ibu bapa
- Solat Maghrib berjemaah
- Bacaan Yassin
- Solat Isyak berjemaah
- Solat Hajat berjemaah (niat sujud akhir tu sendiri2 la...)
- Amanat Guru Besar
- Amanat YDP PIBG
- Amanat Guru Penyelaras UPSR
- Pelajar Memohon Restu
- Upacara simbolik

Dalam senarai acara ini saya tersentuh dengan slot Pelajar Memohon Restu. Sebak pula bila tengok Anas yang mewakili rakan-rakan lain memohon restu ibu dan bapa, serta guru-guru agar hajat mereka untuk mendapat kejayaan cemerlang (5A) akan tercapai.

Antara lain ucapan Anas, "... pada hari peperiksaan nanti, guru-guru, ibu dan bapa tidak dapat mengiringi kami dalam dewan peperiksaan, tetapi kami mohon, dampingilah kami dengan doa dan restu agar hati kami terang dan dipermudahkan untuk menjawab soalan-soalan..."

Satu lagi slot menarik ialah pada akhir majlis, pelajar beratur mengikut kelas masing-masing dan guru kelas akan menyuap pulut kuning dengan rendang daging ke mulut anak-anak. Memang simbolik, air tangan seorang guru yang saban hari mengajar mereka, kini mengalir dalam darah daging anak-anak.... terus menjadi bekal semangat untuk mereka menempuh peperiksaan nanti.

Malam tadi saya renung air muka Anas yang lena tidur. Apalagi yang mampu seorang emak harapkan pada anak-anak, melainkan kejayaan mengiringinya atas penat lelah dan usaha gigihnya selama ini...

Tuesday, August 30, 2005

SALAM MERDEKA BUAT SEMUA

GAMBAR lama yang masih segar nafasnya. Sekurangnya bendera ini digunakan dengan cara dan semangat yang betul membalut badan, tidaklah seperti gambar-gambar yang dipetik dari Majalah X itu.

Sunday, August 28, 2005

CERITA SABTU & AHAD
JUMAAT petang selalunya menjadi penghujung hari untuk Sabtu dan Ahad yang santai. Detik bersama keluarga apalagi di hujung minggu merupakan masa senggang yang amat bernilai. Tetapi itu hanya impian, kebiasaannya ada sahaja event membuatkan semua yang dirancang terpaksa bertukar saat akhir. Pengorbanan... harganya terlalu mahal!

KTM Shopping Hunt bersama Libur bermula awal pagi hingga petang di KL Sentral. Saya tak hadir ke majlis ini kerana berbahagi tugas ke Rumah Pena pula untuk Sayembara Baca Puisi Kemerdekaan Fokus SPM. Majlis dengan kerjasama PENA ini menemukan saya dengan rakan-rakan yang `gila puisi' satu masa dulu. Di masa yang sama berlangsung serentak bengkel Animasi/Digital anjuran Majalah Dewan Kosmik di UM.

Ahad pula saya tidak dapat hadir ke open source exhibition and national hacking competition yang turut membabitkan Majalah PC. Saya menunaikan permintaan untuk bersama siswa dan siswi UITM bercakap tentang dunia penulisan. Komersial dan seni, mana lebih utama? Ada Ahadiat Akashah, Eyman Haikal dan Anis Ayuni. Topik siapa Sri Diah dan siapa Salina Ibrahim, pada akhir sesi menjadi medan mempromote diri. Ha hahaha... Daripada mata siswa dan siswi yang naif saya percaya mereka datang ke dewan kuliah itu untuk memperkaya ilmu di dada. Soalan mereka tulus dan mahukan penjelasan jujur daripada kami berdua.

Oh ya, waktu entri ini ditaip anak-anak masih belum balik dari water park. Saya kirim anak-anak dengan sejumlah duit pada adik ipar. Bawalah mereka enjoy... sebab mamanya sibuk dan abahnya masih di Baling, Kedah.

Friday, August 26, 2005

BETAPA HEBATNYA MEREKA vs BETAPA SEKSANYA WARTAWAN
ALKISAHNYA malam tadi telah berlaku kejadian ini. Apabila dibaca, tak cukup sekali baca, kena berulang kali. Menarik! Seperti plot filem atau drama bersiri dan boleh juga "jadi idea" sebagai percubaan untuk menjadi seorang penulis...
* Inilah harga yang perlu dibayar apabila jadi orang popular. Tapi kenapa perlu berpayah kalau semuanya boleh dipermudahkan sahaja...

Wednesday, August 24, 2005

TAHNIAH UNTUK ZUL!

WARTAWAN Majalah LIBUR, Zulkarnain Mohamad berjaya memenangi Anugerah Pelancongan Malaysia 2004 dalam kategori Rencana Pelancongan Malaysia Terbaik menerusi artikelnya yang bertajuk `Mengintai Misteri Pulau Jerjak'. Artikel tersebut telah disiarkan di dalam majalah LIBUR keluaran September 2004. Majalah LIBUR yang diterbitkan oleh Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd merupakan satu-satunya majalah percutian berbahasa Melayu di negara ini.

Pada malam penyampaian anugerah tersebut yang telah diadakan di Shangri-La Hotel Kuala Lumpur, Zulkarnain Mohammad menerima sebuah trofi dan sijil penghargaan yang telah disampaikan oleh Y.B. Dato’ Dr. Leo Michael Toyad, Menteri Pelancongan. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Datuk Dr Victor Wee, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Datuk Kamaruddin Siaraf, Ketua Pengarah Tourism Malaysia.

Anugerah paling berprestij dalam industri pelancongan negara tersebut telah diperkenalkan sejak tahun 1987 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan bagi menghargai individu serta organisasi yang memberikan sumbangan yang cemerlang ke arah pembangunan industri pelancongan negara.

Tuesday, August 23, 2005

... YANG SUAM-SUAM KUKU
KENYATAAN AKHBAR - MEDIA HIBURAN sebagai majalah yang berwibawa dan professional sentiasa mengamalkan creative journalism dalam menyediakan bahan dan sentiasa mematuhi etika kewartawanan dalam setiap laporan.

Oleh itu laporan kami dalam menerbitkan buku khas Mawi World adalah tepat dan diperolehi daripada sumber-sumber yang sahih. Ia tidak ditokok tambah. Dalam hal ini ibu dan bapa beliau sendiri telah memberikan keizinan. Malahan Mawi Fanclub di Kulai turut memberikan kerjasama mereka. Untuk mempertahankan dakwaan ini kami masih menyimpan bukti kukuh bahawa segala perbualan dirakam dan dicatat.

Dalam hal ini Mawi dan keluarga serta pihak-pihak tertentu seharusnya berasa bangga atas usaha kami kerana ia sedikit sebanyak telah menolong menambah populariti Mawi hinggalah dia menjuarai AF3. Tidak dinafikan poster kami telah ditampal di merata-rata tempat sehinggalah menjadi sepanduk menghiasi Stadium Malawati pada setiap minggu sebaik sahaja ianya diterbitkan.

Sama ada pemberian royalti diberi atau tidak diberi kepada Mawi adalah keputusan kami untuk menentukannya. Sekiranya kami memberikan royalti, orang yang berhak mendapatnya ialah Mawi sendiri.

Kami berharap tidak ada pihak-pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan untuk mengeruhkan keadaan dengan mempertikai kredibiliti serta memberi tanggapan negatif hingga mempersenda kesetiaan pembaca terhadap kami yang telah terbina betahun-tahun lamanya.

Bagi kami Mawi adalah hak semua dan menjadi sumber berita. Oleh itu kami sentiasa menampilkan kelainan untuk pembaca kami.

Intan Zabidin
Editor Media Hiburan


* Inilah kenyataan akhbar yang telah kami hantar pada semua penerbit seminggu selepas AF3 tamat. Hingga hari ini tidak semua yang keluarkan statment ini dan yang keluarkan statment pun tak keluar habis, ada yang keluar separuh dan ada yang keluar suku saja. Tapi yang tokok tambah banyak. Oh ya... budak yang dikata-kata ini nak datang opis esok!

Friday, August 19, 2005

10% YANG PAHIT, 70% YANG SUAM KUKU.
AKHIR-AKHIR ini terlalu banyak spekulasi yang timbul tentang kerja-kerja media. Hal ini biasanya terjadi sekiranya ada pihak yang rasa teraniaya, dianiaya, ditindas, dianaktiri, dikelentong, ditipu, dipermainkan, dilaga-lagakan, rasa jawatannya tergugat, rasa panas punggung, bila rasa dah tak mampu tanggung bini empat dengan rumah banglo serba satu. Ah banyak lagilah...

Tetapi media akan dipuji melambung-lambung kalau mereka berjaya, boleh naik pangkat, dapat gaji besar, disanjung orang, dapat nama baik, boleh dapat segala yang mereka hajatkan, boleh dapat tender, dapat permit, dipuji PM. Media juga akan dipuji-puji dan amat dihargai kalau ada yang berasa dengan peranan medialah dia memenangi sesuatu pertandingan (MCA? MIC? GERAKAN? UMNO?).

Ada juga masa media dihalang ke sesuatu perjumpaan - Media Tidak Diperlukan. Media Tidak Dibenar Membuat Liputan. Media Dilarang Masuk. Media Tidak Dijemput - Itulah antara tulisan yang terpapar di muka pintu atau ada pegawai yang awal-awal lagi sudah menelefon memberitahu hal larangan berkenaan. Kununnya media ada agenda tersendiri.

Situasi sebaliknya akan terjadi jika lagi sebulan majlis akan berlangsung, media dipujuk rayu untuk hadir membuat liputan. Siap dengan jemputan kad yang cantik, lengkap dengan in advance gift (media mintak gift?), pegawai media akan buat baik, telefon hari-hari tanya khabar, ajak lunch/dinner, bila makin hampir waktunya media akan diingatkan dengan faks, dengan sms, dengan messenger, dengan pesanan suara (sampai penuh!)dan segala yang muluk-muluk.

Apa yang saya paparkan di sini ialah 10% daripada daily duty sebagai orang media. Tetapi 10% inilah yang selalu orang pandang... media tidak profesional, media tidak peka, media tidak rasional, media kaut untung, media manipulasi berita...

Sebenarnya kalau rasa media ini tidak penting, jangan jemput sejak awal lagi (sejak majlis pecah tanah) hinggalah ke akhir majlis (bila rumah terbengkalai). Atau kalau dah sampai marah sangat, panas hati, dukacita bersangatan, susah-susah boikot saja (tapi lepas tu batallah boikot tu dalam diam-diam).

Thursday, August 18, 2005

WAJAH PETANG


mentari senyum
gelak basah di pantai
langit berbalam

Wednesday, August 17, 2005

KG. SALANG PUSAKA, TIOMAN



sepi berbaring
wangi disimbah embun
hamparan hijau


8-10 Julai 2005.

Monday, August 15, 2005

JEREBU DAH PERGI, SIBUK ADA LAGI...
Ada beberapa lawak jerebu:
- Kak Sri, jerebu teruknya kat dalam opis ni, susah nak bernafas...
+ Yalah Aida, tak sama macam jerebu masa kita kat UK dulu kan?
- Eh ni pejabat KKSB ke makmal forensik? (Bila dah diedarkan mask.)
+ Err... ni macam kilang buat komputerlah!
- Abang, I mungkin lewat sikit sampai rumah hari ni.
+ Kenapa? You ada dinner ke?
- Tak, jerebu teruk sangat kat luar tu, takut tak jumpa jalan balik rumah...

Nak Jawab Sapaan:
- Ya Ady, gambar dan artikel ada eddah embargo.
- Inai; anak dara tepi perigi, memang tengah busy.
- Ztt; muaahhhh saham ok lagi tu. Putera; nak masuk meminang ke?
- Vimmiyasmin; Hello... Hello.. hidup lagi ni. Cuma hilang dlm jerebu.
- Melor; heheheh, Melor dah jumpa jalan pulang!
- Noret; sila datang, masuklah... tuan rumah outstation.
- Ragil; salam kenal jugak.
- Seriadriani; meh... peluh cium jugak.
- Rosli; Muaz tu anak saudara akak. Ya dulu di SMART, sekarang dia di Kolej Persediaan Mara di Banting.
- Suhaiina; Novel baru? InsyaAllah, Alaf dah bagi greenlight.
- Khairul Hazman; Selamat tengahari cikgu!

Tuesday, August 2, 2005

KENANGAN BERSAMA TUN
GAMBAR lain belum habis edah embargo...



Monday, August 1, 2005

WEDDING PLANNER DAPAT CUTI..!
SELAMAT datang Ogos. Di bulan merdeka ini semoga kita dapat mengenang segala pengorbanan pejuang bangsa yang berjaya menghadiahkan kebebasan buat kita semua daripada dijajah bangsa asing. Kemerdekaan ini seharusnya juga memberi kita kebebasan minda daripada dibelenggu fikiran yang kotor, jumud, fanatik dan sebagainya.

Ya, Ogos ini juga menghadiahkan erti kebebasan kepada Firdaus bte. Haji Hussamuddin dan Emy Efeezam bin Ishak yang selamat menjadi suami isteri Jumaat lalu. Majlis tiga hari di rumah tauke KKSB itu juga sudah selamat dengan penuh berkatnya semalam. Kepada petugas penting, hari ini bos bagi cuti sehari. Thanks so much!

Rasanya esok baru saya sempat masukkan gambar-gambar sekitar lawatan Tun Dr. Mahathir. Saya juga akan cuba memasukkan gambar-gambar perkahwinan Firdaus yang doorgiftnya amat unik dan belum pernah dibuat di Malaysia sebelum ini. Uniknya begini - daripada kreativiti dan tenaga kerja jurugambar, setiap tetamu telah diberi kejutan iaitu sekeping gambar tetamu bersama pengantin dengan bingkai yang menarik! Gambar itu diambil sebelum tetamu makan dan sebaik sedang makan, gambar pun siap, boleh dibawa pulang dan terus diletak di meja hias!