Monday, January 23, 2012

DUNIA TANPA SEMPADAN
SEKIRANYA kita terbaca dalam mana-mana status blog, facebook ataupun akaun twitter mengenai sesuatu berita itu, wajahkah kita mempercayainya seratus peratus? Inilah soalan yang selalu saya tanyakan kepada wartawan-wartawan muda hari ini dalam sesi-sesi kongsi pengalaman.

JANGAN PERCAYA. JANGAN SEBARKAN. Itulah nasihat saya. Kenapa? Terutama dalam dunia tanpa sempadan sekarang, apa sahaja status yang kita baca dan kemudian kita lapor secara direct, impaknya akan sampai kepada kita juga akhirnya...!

Janganlah hendak menjadi orang serba tahu. Jangan nak menjadi pencipta fenomena. Tidak pasal-pasal kita yang kena saman kalaulah berita itu palsu. Berita tidak benar, walaupun ramai yang mengikutinya... jangan tak tahu ramai peguam juga sedang menilik-nilik sudut mana mereka boleh buat duit.

Saya kesal jika itu dilakukan oleh orang ramai, yang bukan wartawan, yang tidak belajar etika penulisan dan tidak jgua pandai menyimpan kerahsiaan. Selain mendapat dosa, kena fikirkan juga periuk nasi. Ketika saya mengamalkan bidang kewartawanan dulu saya belajar bahawa setiap wartawan berhak untuk TIDAK menyiarkan berita yang tidak pasti betul atau salah.

Kena siasat. Kena kaji sahih atau tidak. Saya juga belajar tentang perkara TIDAK mendedahkan sumber ataupun orang yang memberikan berita walau dalam apa situasi sekalipun. Kalau berita itu sensitif, lagilah kita kena zip mulut. Bak kata pepatah, biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.

Jika perkara itu sensitif seseorang wartawan itu hanya boleh berkongsi maklumat dengan pengarangya sahaja. Pengarang pula mesti juga menyimpan maklumat itu dan bersedia diheret ke mahkamah jika dia turut membocorkan rahsia itu.

Payah. Memang susah menjadi wartawan. Namun itulah dunia manis yang saya suka. Sekarang ini saya tahu ada beberapa orang wartawan yang sedang melalui detik pahit apabila beberapa berita yang mereka tulis dan sebarkan mulai dihidu oleh para peguam... termasuklah wartawan-wartawan internet yang kononnya mengakui diri mereka kebal ;-)

1 comment:

Azizah Zainudin said...

Betul tu kak.. Baik kita berdiam daripada mengulas perkara-perkara yang tidak ketahui kebenarannya..