Wednesday, October 5, 2005

RAMADAN ALMUBARAK
KINI Ramadan sudah berada betul-betul di hadapan mata dan terus masuk ke dalam jiwa. Hendaknya Ramadan yang dilalui akan sering mengingatkan kita pada Allah, pada ibadat yang berlipat-ganda pahalanya dan pada mereka yang kurang bernasib baik. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadat puasa kepada semua pembaca blog ini semoga amalan dan ibadat kita akan diterima Allah dan mendapat berkat daripadaNya. Kecanggihan teknologi kini membolehkan kita menerima ucapan dan doa menerusi sms, hingga jenuh membaca dan membalasnya. Terima kasih diucapkan kepada yang mengirim ucapan dan mana yang tidak sempat dijawab itu, haraplah dapat dimaafkan.

Saya sudah menulis pada sehelai kertas dan dilekat di dinding peti sejuk untuk perhatian Anis, Anas dan Amie. Selain perkara-perkara yang membatalkan puasa yang sudah mereka ketahui dalam pelajaran agama Islam di sekolah, saya tambah lagi beberapa perkara lain yang hukumnya akan mengurangkan pahala puasa. Tidak berbaloi dengan perut lapar, dahaga dan letih seharian.

Antaranya tidak boleh meninggikan suara dan bergaduh sesama adik beradik. Jangan buat sepah, nanti mama penat mengemas, membebel dan itu akan kurangkan pahala puasa. Tidak boleh tengok tv berlebihan, nanti melalaikan. Begitu juga tidak boleh main pc games melampau-lampau dan tidak boleh main ps2 sampai pedih mata. Anis tidak boleh tengok siri import yang seksi menyolok mata.

Habis nak buat apa? Itu tak boleh, ini tak boleh? Soal si bongsu.

No comments: