Friday, September 17, 2004

MANATAP MATAMU
TERIMA kasih semua atas ucapan ulang tahun! Terima kasih kerana anda semualah blog ini masih lagi wujud. Dan kerana itu saya masih lagi mendisiplinkan diri mencatat di sini meski dalam kesibukan harian. Terima kasih kerana rasa prihatin, rasa ambil berat dan rasa kasih itu telah menjadikan kita semua semakin akrab, meski jauh di mata tetap dekat di hati. Ia samalah dengan makna haiku yang ditulis semalam. Saban ketika saya menatap blog anda semua walau di mana anda berada bagaikan saya menatap anak mata anda, merenung keikhlasan itu dan ia menusuk, menyerap ke sanubari. Hendaknya perasaan anda begitu juga terhadap saya.

Hari ini saya di rumah kerana mengambil cuti tahunan. Memandangkan cuti tahunan masih banyak berbaki rasanya eloklah saya bercuti hari ini. Kebetulan hampir kesemua majalah edisi Oktober sudah diperingkat percetakan malah ada yang sudah memasuki pasaran. Jadi saya tidaklah begitu tertekan dengan tugas pejabat. Kini Editor Majalah sedang menyiapkan Edisi Khas Syawal pula yang akan berada di pasaran pada Ramadan nanti.

Sebenarnya ia lebih didorong oleh kesempitan waktu untuk menambah beberapa lagi bab dalam novel terbaru. Saya terpaksa menyiapkan semuanya menjelang November ini memandangkan Pesta Buku KL 2005 ialah pada April (bukan Mei seperti tahun ini). Tahun depan saya ingin lagi berada di Pesta Buku, untuk berjumpa dengan semua peminat buku, yang lama, yang baru, duduk berbual, berbincang, bergambar kenangan dan menurunkan tandatangan pada novel. My GOD, harap-harap saya sempat melaksanakan semua itu.

Maaflah saya tak boleh nak bocorkan tentang si polan yang ditulis beberapa hari lalu. Ampunkan saya kerana membuatkan anda semua membuat spekulasi dan ada yang email mengatakan tak lena tidur... Okey, sebenarnya antara nama-nama yang anda catat itu, ada nama si polan. Betul. Tapi sebab tragedi, mengapa dan punca kejadian saya tak boleh ceritakan. Sadisnya saya kenal baik dengan women behind the scene. Itulah yang saya ralatkan.

Okey, cukup dulu. Saya nak menyambung menulis novel sekarang...

No comments: