Monday, August 30, 2004

TARIKH PENTING
BANGUNAN
Kelab Melaka yang terletak di Bandar Hilir, merupakan bangunan pertama di negara ini yang dijadikan sebagai Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan. Ia dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mahathir bin Mohamad pada 31 Ogos 1985 sempena sambutan hari kebangsaan yang ke-28.

Pemilihan bangunan ini ialah kerana kedudukannya berhampiran dengan Bandar Hilir yang merupakan tempat YTM Tengku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu pada 20 Februari 1956. Awal daripada itu Tunku mengetuai rombongan ke London untuk berbincang dengan Kerajaan British mengenai kemerdekaan Tanah Melayu. Rombongan Tanah Melayu, yang terdiri daripada empat orang wakil Raja-raja Melayu dan empat orang wakil Parti Perikatan, dapat menyakinkan Kerajaan British supaya menetapkan tarikh kemerdekaan: 31 Ogos, 1957.

Pada 30 Ogos 1957, di Padang Kelab Selangor, ketika jam tepat pukul 12 tengah malam, bendera Tanah Melayu pun dinaikkan, mengambil tempat Union Jack. Awal pagi esoknya, 31 Ogos, di Stadium Merdeka, Tunku membaca Perisytiharan Kemerdekaan.

Hampir tiga tahun kemudian Tunku menyarankan gagasan Malaysia, merangkumi Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Sarawak dan Brunei. Pada 6 Januari 1962, Kerajaan Britain dan Kerajaan Tanah Melayu menubuhkan Suruhanjaya Cobbold untuk meninjau perasaan rakyat Sabah (Borneo Utara) dan Sarawak mengenai kemasukan negeri masing-masing ke dalam Malaysia. Filipina dan Indonesia menentang gagasan Malaysia. Brunei membuat keputusan tidak menyertainya. Pada 16 September 1963, Malaysia dibentuk, terdiri daripada Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Malangnya Singapura meninggalkan Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Penubuhan Malaysia mencetuskan konfrontasi bersenjata daripada Indonesia dan menegangkan hubungan dengan Filipina. Ketika Malaysia baru terasa mantap dan maju, rusuhan kaum 13 Mei 1969 menggugat jiwa. Darurat diisytiharkan, Parlimen digantung, dan negara diperintah melalui Majlis Gerakan Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak. Pada 22 September 1970 Tunku, dalam keadaan teramat sedih kerana Tragedi 13 Mei, meletakkan jawatan dan Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kedua.

Tulisan ini mengajak semua supaya tidak hanya mengenang tarikh 31 Ogos 1957 sahaja apabila kita memperkatakan tentang kemerdekaan. Rentetan selepas tarikh itu perlu juga diambilkira hingga kepada kejayaan Malaysia hari ini.

No comments: