Thursday, March 4, 2004

RUTIN SAYA

TANGGUNGJAWAB: Sebagai orang yang bertanggungjawab atas proses penerbitan majalah-majalah di Karangkraf, saya selalu berhadapan dengan situasi - memberi surat tunjuk sebab ataupun diberi surat tunjuk sebab.

Memberi surat tunjuk sebab biasanya membabitkan karyawan yang prestasi mereka kurang memuaskan ataupun perlakuan mereka yang nyata dan sahih telah melanggar diisiplin. Mereka harus menjawab surat tunjuk sebab ini untuk menjernihkan keadaan, supaya servis mereka boleh diteruskan.

Manakala diberi surat tunjuk sebab pula merujuk pada pihak luar yang inginkan penjelasan daripada pihak syarikat. Ia berupa amaran, teguran yang kebiasaannya datang daripada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN). Ia meliputi artikel-artikel atau gambar yang tidak bersesuaian, melanggar susila dan membawa kepada ketidakpuasan meliputi soal agama dan bangsa.

HOBI - Sudah semestinya berkarya kreatif. Saya suka menulis novel, cerpen dan puisi (termasuklah haiku dan seangkatan dengannya). Dengan mewujudkan satu dunia lain selain daripada rutin seharian, saya anggap hidup saya tidak membosankan. Jika kalut dengan tugas seharian, saya switch on pada hobi pula pada waktu tengahari. Kemudian sambung semula tugas rutin apabila waktu kerja bermula. Begitulah hari-hari semalam dan insyaAllah di hari-hari akan datang.

Sudah lama saya tinggalkan bidang cerpen. Kini saya sedang menyelesaikan dua cerpen yang terbengkalai. Saya target hujung bulan ini siaplah. Tentang novel JANGAN ADA DUSTA, saya gembira apabila diberitahu cetakan pertama novel ini ialah sebanyak 30,000 naskah. Ini berdasarkan jualan KUALA LUMPUR DI MANA SUAMIKU yang berjaya mencapai jualan sebanyak itu. Ya, Alhamdulillah.

JANGAN ADA DUSTA akan mula berada di pasaran pada 8hb Mac ini (Isnin). Dan kepada rakan-rakan di sekitar Selangor dan KL, saya sukalah menjemput anda membeli majalah dan novel-novel di Toko Buku Haji Yaacob di Karangkraf kerana ada diskaun istimewa. Silakan...

No comments: