Thursday, December 15, 2011

BER`HIJRAH' SEKETIKA
HARI ini saya melapangkan cuti tahunan untuk ke majlis ini. Memang saya ambil cuti tahunan hari ini tapi ada dua urusan penting yang telah dijanjikan lebih awal. Satu di lokasi di bawah ini dan satu lagi di lokasi biasa - pejabat. Eh, hari cuti pun datang pejabat? Tanya dua orang sahabat saya dari Dewan Bahasa dan Pustaka itu. Heheee... macam inilah saya ;)
 Bertemu ramai rakan baru

Berjumpa ramai juga rakan lama di sini

 Saya yakin ini bukan peluang pertama...!

Rupanya ada banyak lagi ruang terbuka untuk diceburi. Sekurangnya perkongsian pagi tadi telah membuka mata saya, telah mencerahkan apa yang tersurat dan tersirat. Ya betul dengan nama stesen televisyen ini TV AL-HIJRAH, saya sokong perlaksanaan dan garis panduan Islamik mereka.



Wednesday, December 14, 2011

MALAM INI EMO SIKIT
MAAF, saya tak boleh terima kata tuduhan  itu... saya terkejut membaca statment itu di wall saya. Tapi apa yang saya boleh buat? Saya tak boleh nak kata apa-apa... lalu tuduhan-tuduhan itu saya biarkan saja. Saya mahu tengok sampai bila dia mahu melatah.

Saya mahu tengok sampai mana tahap gila dia apabila saya terus berdiam diri. Saya tak akan jawab semua statment itu. Saya ada prinsip sendiri dan saya tak akan gadaikan prinsip saya hanya kerana silap faham dia... Baiklah, saya sudah maafkan dia. Apa yang penting suami saya tahu siapa saya...

* Ini bukan bait dalam novel...

------------------------------------ ******** -----------------------------------------
* Hari ini saya dapat satu ayat kontras:
Petang ~ Dari Shah Alam sudah nampak langit gelap Kuala Lumpur. 
Ia pekat dan menyeramkan. 
Ya, aku tak mungkin terjebak dalam hatimu yang berlumpur...

------------------------------------ ******** -----------------------------------------

Tuesday, December 13, 2011

KUALA LUMPUR BANJIR KILAT...!
SEMENJAK berpindah ke Shah Alam dan jarak antara rumah ke pejabat tidak sampai pun 10 minit, saya sudah seperti lupa pada kesesakan jalanraya. Rumah kami di Bandar Tun Razak telah disewakan kepada sahabat abah sejak 6 tahun lalu. Sewanya amat murah, tapi tidak mengapalah asalkan rumah itu berpenghuni.
Keadaan di Taman Tasik Titiwangsa

Pemandangan di Jalan Tun Razak berhampiran Perpustakaan Negara

Sejak itu juga saya sudah melupakan banjir kilat yang sesekali melimpah juga ke rumah kami jika hujan teramat lebat, memandangkan rumah kami betul-betul menghadap jalan besar - Jalan Ikhlas.
Keadaan di Jalan Tun Razak

 Hari ini orang Kuala Lumpur dikejutkan dengan banjir kilat. Saya melihat gambar-gambar di internet, gambar dari jurugambar dan orang persaorangan, amat menakutkan. Air melimpah ruah. Kenderaan sesak. Mesti juga ada rumah-rumah yang ditenggelami air.
Aduh... bayangkan kalau kenderaan kita tersangkut di tengah banjir ini...

Amat menakutkan! Pembangunan telah membinasakan laluan air ke Sungai Kelang. Longkang dan sungai juga sudah tersumbat dengan sampah sarap. Dalam hati saya terfikir, mungkinkah satu masa nanti seluruh bandar Kuala Lumpur akan turut tenggelam... katakan hujan lebat dalam tempoh satu jam!

Ya... dalam mengharung pemandangan banjir di wall rakan-rakan saya teringat pada novel saya... Kuala Lumpur Di Mana Suamiku... >>> (Di mana Nazril? Di mana Natasha?)

Monday, December 12, 2011

SELAMAT MALAM TAN SRI
APAKAH novel ini akan berjaya didrama sebagaimana ia berjaya dalam cetakan (9 kali ulangcetak). Ini karya lama, saya segan pula hendak membuka sejarah silam... tapi ada permintaan daripada penerbit.

Tan Sri yang hensem (gambar di atas)
dan Tan Sri yang dah lunyai (gambar di bawah)

Sebenarnya sekarang Encik Suami saya sedang menghadam buku ini, dipecahkan kepada beberapa sinopsis, kemudian dibuatkan treaatmentnya dan akhir sekali atas persetujuan syarikat/producer/penerbit skrip akan disiapkan. 

Ini juga berdasarkan komen-komen di sini >>>> (Nasha Aziz/Zizan Nin/Fizo/Datuk Rahim Razali) Siapa lagi cadangan anda? Saya nak Siti Saleha untuk watak Hanim Hanani.- wartawan Majalah Mingguan Wanita.
Selain komen-komen di atas, komen daripada link ini juga saya ambil kira dan berbincang-bincang dengan Encik Suami. Serba sedikit jalan cerita akan diubah suai bagi menyesuaikan dengan adaptasi yang diperlukan. >>>> (Saya juga mahu melihat Rahim Jelani ataupun Fahrin Ahmad dalam siri drama ini)

* Kata-kata untuk hari ini: 
Angin, kami tiupkan angin untuk mengahwinkan tumbuh-tumbuhan dan membawa awan, lalu Kami turunkan air hujan dari langit dan Kami minum dengannya dan bukanlah kamu yang menyimpannya - QS Al Hijr 15 : 22


ROMBONGAN CIK KIAH
RABU ini saya akan membawa rombongan seramai 50 orang ke perpustakaan yang terbesar di atas tanah yang luas hasil wakaf KDYMM Sultan Selangor kepada rakyat jelatanya. Perpustakaan Raja Tun Uda (dulu dikenali Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor - PPAS) telah dirasmikan oleh baginda pada 12hb Disember 2011 - hari ini.



Saya akan membawa staff editorial, staff bahagian grafik dan beberapa orang penulis Grup Buku Karangkraf untuk turut sama. Saya amat gembira juga apabila diberitahu bahawa Pengarah Perpustakaan Raja Tun Uda, Puan Hajah Mastura Mohamad sendiri yang akan melayan kami sepanjang disana. (Terima kasih juga untuk hidangan tengahari ya puan...) >>>>>> (Link ke perpustakaan)

Sunday, December 11, 2011

DOA BUAT SUAMIKU
APABILA saya melihat dan merenung bulan di langit (Gerhana Bulan) malam tadi, saya terus teringat kepada salah satu perenggan dalam novel saya yang berjudul DOA BUAT SUAMIKU.

 Saya tulis ~ "Isk (Iskandar) ingatlah, apabila pada suatu malam Isk melihat bulan dan bintang di langit, ingatlah walau di mana Isk berada, saya juga sedang melihat bulan yang sama dan bintang yang serupa..."

Sementara itu bahagian yang saya paling suka sekali dan paling jujur saya taipkan ketika menulisnya ialah bermula dari halaman 350 - 354: >>>> (Saya bayangkan Dian P Ramlee)

~ ... aku sucikan wajah dengan wudukku
~ ... aku sucikan lidahku dengan zikir-zikirku
~ ... aku sucikan hatiku dengan takwa
~ ... dan aku sucikan dosa-dosaku dengan taubatku...

Saturday, December 10, 2011

REBUT PELUANG SOLAT SUNAT GERHANA BULAN MALAM INI
PENOLONG Pengarah Kanan Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni berkata solat sunat gerhana bulan adalah sunat muakad, amalan sunat yang sangat dituntut sempena berlakunya peristiwa yang jarang-jarang sekali terjadi.

Jesteru kagtanya kesempatan melihat sendiri fenomena yang boleh melahirkan rasa takjub terhadap kekeuasaan Allah itu dihidupkan dengan menunaikan solat sunat secara berjemaah mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.

Di Shah Alam malam ini cuaca  agak sejuk kerana hujan yang lebat pada sebelah petang. Dari selepas solat Maghrib hingga sekrang sudah 9.30 malam saya masih lagi meninjau-ninjau ke luar rumah. Saya memandang langit yang gelap... malang raanya kerana tidak yakin bulan akan muncul terang di balik awan...

Gambar daripada Pakcik Google.

Friday, December 9, 2011

MENGEJUTKAN NAGA TERTIDUR
BERZIARAH ke laman rakan-rakan yang sudah lama saya tinggalkan, saya terjumpa laman ini  >>> (Lupekanje - Accik). Berbanyak terima kasih saya ucapkan kerana sekurangnya itu sebagai `wake up call' yang menghantuk kepala dan mengejutkan raja MALAS dan suka BERTANGGUH-TANGGUH.


Ini adalah karya saya untuk tahun 2010. Tiada karya untuk tahun 2011. 
InsyaAllah akan ada karya baru untuk 2012. Ya Allah semoga KAU lancarkan penulisan yang sedang ditukangi sekarang.
Rabbi yassir waa'ala tuassir...

Memang betullah kata Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, apabila orang kreatif menjadi orang pentadbiran, daya kreatif itu akan berkurang... berkurang hari demi hari... huhuhuuu... saya mengalaminya sekarang!

Thursday, December 8, 2011

ADUHAI HAJI, ADUHAI HAJAH
SAYA selalu mengharapkan Allah SWT memelihara ilmu, iman dan amal saya. Sementelahan pula setelah bergelar Hajah, saya begitu berhati-hati. Dalam persahabatan, dalam perbualan dan dalam hubungan sesama masyarakat perkara itulah yang menjadi keutamaan saya.

Saya tidak mahu dikatakan "nama sahaja sudah pergi haji, tapi perangai tidak berubah..!" MasyaAllah, semoga saya tidak dikata begitu. Memang payah hendak menjaga peribadi. Susah hendak menjaga gerak laku. Dan saya tahu itu semua adalah ujian Allah SWT.

Sememangnya dalam diam Allah menguji:
* Dia datangkan kepada kita sahabat yang suka meninggi suara, suapaya kita rendahkan suaranya.
* Dia hantarkan kepada kita sahabat yang berperangai kasar supaya kita terus lembutkan peribadi kita
* Dia datangkan kepada kita sahabat yang suka mengadu-domba supaya kita neutralkan fikirannya.
* Dia bawakan kepada kita rakan-rakan yang suka membuat fitnah supaya kita tidak terbabit dosa yang sama
* Dia bawakan kepada kita kesenangan supaya kita tidak riak
* Dia berikan kita kepayahan untuk menguji kekuatan dan jati diri

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim... di bawah naungan Rahmat-MU aku berteduh. Kau limpahilah hidupku dengan amal soleh. Kau naungi matiku dalam iman dan nur kasih-MU.

Wednesday, December 7, 2011

APABILA TUKANG MASAK BERENTAP
SEHINGGA  minggu ini sudah masuk siri entah ke berapa puluh… namun yang pastinya sudah lebih 40 siri. Ternyata program ini membuatkan ramai wanita termasuk juga lelaki dari usia anak-anak hingga ke umur senja, mengambil masa hampir satu jam melekap duduk di hadapan televisyen.

 Sebelum ini kita hanya menonton rancangan sebegini diadakan di USA, Australia, New Zealand, Croatia, Greece, India dan lain-lain sahaja. “Tengok betul-betul. Nanti bolehlah awak masak macam tukang masak itu.” Kata seorang isteri kepada suaminya yang leka menghadap televisyen, menonton siri pertandingan memasak itu.

Ketika itu edisi cabaran selebriti sedang disiarkan. Memanglah kata-kata itu seperti kata perli sahaja tetapi semua itu tidak mustahil. Bukankah ramai dalam kalangan chef terdiri daripada golongan lelaki?
 Ternyata siri MasterChef Malaysia ini juga menghantui saya. Bahkan siri ini telah menjadi inspirasi saya mencuba aneka masakan, pelbagai gaya dan cara. Ada gaya campak-campak saja apa-apa bahan yang ada dan sesuai dari dalam peti sejuk. Ada juga cara yang selama ini tidak pernah dibuat, saya cuba. Contohnya memasak menggunakan labu sebagai sos untuk spagheti.

Walaupun peserta terdiri daripada doktor, artis mahupun penoreh getah, hakikatnya mereka adalah orang biasa yang perlu bersaing dalam menyediakan masakan menarik dan menyelerakan. Apa yang penting berjaya memuaskan hati juri.
 Sebenarnya ramai tertekan menonton siri ini. Bukan sahaja peserta, kita yang menonton juga boleh stres. Arahan dan teguran chef membuatkan peserta pencarian tukang masak terhebat berpeluh-peluh dibuatnya. Ada yang panik, putus asa; terutama apabila tempoh yang singkat diberikan tetapi diwajibkan memasak dengan betul, tepat mengikut resipi dan yang penting mesti sedap.

Berbeza dengan siri pencarian tukang masak muda negara luar, perasaan tertekan itu agak kurang dirasai. Tukang masak yang mengadili seberapa boleh cuba bermain psikologi. Tidak terlalu menekan perasaan peserta. Mereka tidak membuatkan peserta terkejut-kejut dengan tengkingan.

Jika marah pun masih lagi dalam nada terkawal. i negara luar, peserta muda belasan tahun yang menyertai siri ini juga tidaklah terlalu mengikut perasaan dan tidak menunjuk-nunjuk untuk menangis. Mereka berjaya mengawal emosi.
Setakat mencebik, itu biasa kerana ia adalah perasaan masing-masing, sesuai dengan umur mereka. Berbeza dengan peserta kita yang lelaki pun jelas-jelas menitiskan air mata jantan mereka. Nampak sangat seperti ada drama pula.


Bagaimanapun saya memang berminat untuk terus menonton siri ini kerana banyak ilmu baru dunia masakan diperoleh. Paling menarik, slot Peti Sajian Misteri. Rasanya seperti penonton lain juga, saya tidak sabar-sabar hendak tahu apakah isi kandung peti misteri itu. Ada belut kah? Ada itik? Gamat ataupun siput sedut? Jangan-jangan ada otak lembu... hendak masak apa? Bolehkah siap dalam tempoh 45 minit dan gerenti sedap.



Fokus program ini semestinya memberikan inspirasi dan peluang kepada chef baru mencungkil bakat mereka dalam bidang masakan dan dilatih oleh mereka yang berpengalaman dalam industri masakan. Semestinya rancangan ini akan membuka ruang kepada chef-chef ini untuk mengubah kerjaya, impian dan aspirasi kehidupan mereka ke suatu tahap boleh dibanggakan.



Jika dilihat pada episod awal ia disiarkan, peserta yang terdiri daripada 40 orang diasak cabaran getir apabila mereka perlu bersaing memasak makanan mengikut apa yang diminta dalam tempoh tertentu. Bukan itu sahaja, jika masakan mahupun persembahan makanan tidak mencapai tahap diinginkan juri-juri akan mengkritik.


Apa yang pasti selain gemar memasak, saya menonton siri berkenaan kerana salah seorang peserta yang masih bertahan dalam perjuangannya ialah sahabat saya, novelis Shahriah Abdullah. Beliau novelis yang sudah menghasilkan tujuh judul novel bersama Grup Buku Karangkraf.



Saya memang tahu beliau mahir memasak, suka mencuba pelbagai resipi baru dan pandai mereka-reka resipi. Hidangan tradisional, pencuci mulut, kek dan biskut serta hidangan barat memang kemahiran beliau. Saya gembira beliau masih lagi bertahan dalam perjuangannya.

Seperkara lagi ialah kehadiran chef jemputan, Chef Norman juga penulis buku resipi bersama Grup Buku Karangkraf. Buku Hidangan Timur dan Barat tulisan beliau baru sahaja berada di pasaran. Beliau ada restoran di Manchester United dan merupakan chef profesional untuk Team F1 2010.

Akhir sekali, saya benar-benar terkesan dengan siri masakan ini apabila salah seorang pesertanya mengakui dia benar-benar memerlukan kemenangan. Sebabnya, dia amat memerlukan duit untuk mengubati penyakit ibunya. Alangkah sucinya hati penoreh getah berkenaan. Insya-ALLAH!

>>>>>> (Tulisan dalam Sianr Harian 9 Disember 2011)

Tuesday, December 6, 2011

NOVEL KE DRAMA & FILEM
HARI ini ada perbincangan panjang bersama seorang wakil penerbit. Harap-harap perbincangan ini sukses dan memberi faedah kepada kedua-dua belah pihak. Saya serahkan novel-novel saya; Kuala Lumpur di Mana Suamiku (10 kali ulang cetak),  Selamat Malam Tan Sri (6 kali ulang cetak) dan SUITE 1908 (9 kali ulangcetak). Boleh tengok gambar kulit depan novel-novel ini di sidebar.

Dalam masa sama saya kecewa sangat-sangat dengan statment yang keluar di akhbar-akhbar mengenai ketidakpuasan hati penulis Novel Ombak Rindu. Ya Allah... semoga saya tidak akan menjadi seperti itu. Semoga Kau pelihara maruahku, Kau perkuatkan imanku... bahawa segala akal, segala kata-kata, segala yang telah saya lahirkan dalam karya-karya saya adalah milik-MU yang lebih berhak.

>>> (Semoga paparan ini akan menjadikan saya sedar diri)

Monday, December 5, 2011

FIESTA BUKU KARANGKRAF
HARI ini Isnin 5 Disember 2011. Kami baru sahaja selesai dengan Fiesta Buku Karangkraf yang diadakan dari 2 - 4 Disember 2011. Fiesta tiga hari ini memang menggamatkan. Memang gempak. Memang Hot. Hot. Hot.


Bak kata pengunjung, fiesta buku ini bagaikan mini Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Putra World Trade Center. Kata mereka Auditorium Kompleks Media Karangkraf itu bagaikan Mini Dewan Tun Hussein Onn PWTC tempat kami selalu mengadakan jualan sepanjang PBAKL.


Asalnya fiesta ini diadakan di ruang letak kereta - iaitu pada Jumaat dan Sabtu. Bagaimana pun pada Sabtu itu telah ditakdirkan seorang kanak-kanak perempuan telah jatuh pengsan di dalam barisan ketita sedang beratur untuk membuat bayaran. Oh my GOD! Keadaan agak kelam-kabut waktu itu.


Hari Sabtu memang penuh sesak dengan pengunjung, ditambah dengan cuaca terik. Berbanding dengan Jumaat, sejuk sedikit kerana hujan turun renyai-renyai.


Oleh itu pihak kami mengambil keputusan untuk mengalihkan fiesta berkenaan ke dalam Auditorium. Di dalam auditorium ada hawa dingin dan lebih selesa. Berhampiran pula dengan Karangkraf Mall dan juga Kafe. Malah pengunjung hari Ahad adalah lebih ramai berbanding hari Jumaat dan Sabtu.


Pada hari Ahad tengahari gempar pula di dalam auditorium apabila seorang budak lelaki berumur lingkungan llima tahun menangis teresak-esak kerana kehilangan keluarga dalam dewan yang sesak itu. Adam namanya.



Alhamdulillah daripada ketiga-tiga hari itu, kami telah mencapai target jualan. Malah kutipan ketiga-tiga hari itu telah melebihi target kami...!
(Di sini > Gambar-gambar sekitar Fiesta Buku Karangkraf)

Sunday, December 4, 2011


Dana RM2 Juta Untuk Penulis Buku

 KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM2 juta dalam bentuk dana untuk penulis buku tempatan sebagai sebahagian daripada inisiatif membudayakan penulisan dan penerbitan buku bagi memudahkan rakyat membuat rujukan ilmiah.
Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, mereka yang layak membuat permohonan bagi dana itu termasuk golongan penulis, guru dan para sarjana.
"Dana itu bertujuan khusus untuk membantu penulis menerbitkan buku yang masih berada di peringkat manuskrip dan membeli buku secara terus daripada penulis," katanya ketika menjawab soalan Mohsin Fadzli Samsuri (Bebas-Bagan Serai) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.
Mohsin Fadzli ingin tahu apakah langkah-langkah untuk membudayakan penulisan dan penerbitan buku-buku ilmiah, separa ilmiah mahu pun penulisan komersil yang masih kurang di kalangan guru dan ilmuan.
Salang berkata Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) turut mengadakan program untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai tanggungjawab penulis dan penerbit bagi mendapatkan International Standard Book Number (ISBN) dan International Standard Serial Number (ISSN).
Beliau berkata, bagi penulisan buku ilmiah oleh para sarjana tempatan lazimnya diterbitkan oleh koperasi penerbitan insitusi pengajian tinggi masing-masing.
Link asalnya (Di Sini). Gambar-gambar yang saya paparkan menunjukkan sesi kursus penulisan yang saya anjurkan, demi untuk mencungkil lebih ramai lagi bakat-bakat baru dalam bidang penulisan.

Saturday, December 3, 2011


PENULIS DITAWAR TERBIT KARYA
SHAH ALAM – Fiesta Buku Karangkraf selama tiga hari bermula hari ini, menyediakan platform kepada bakal penulis dan novelis menjual bakat penulisan mereka untuk diketengahkan menjadi karya. 

Pengurus Besar Editorial Grup Buku Karangkraf, Sri Diah Shaharuddin berkata, selain menampilkan pelbagai buku dan novel dengan harga menarik, fiesta buku ini akan menjadi medan pertemuan antara editor dan mereka yang berminat menceburi bidang penulisan.

Menurutnya, fiesta ini juga diharap dapat melahirkan lebih ramai penulis baru di samping mencungkil bakat dan minat penulisan berbentuk novel dan buku seperti umum, kanak-kanak dan agama.

“Ini peluang baik untuk calon atau bakal penulis berjumpa editor Grup Buku Karangkraf bagi mengetahui prosedur diperlukan untuk mengetengahkan karya dihasilkan.

“Mereka boleh membawa manuskrip yang sudah siap atau bentuk buku yang ingin dihasilkan selain bertukar-tukar fikiran dengan editor yang ada di fiesta,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Peminat tegar buku dan novel keluaran Alaf 21, Buku Prima dan Karya Bestari juga berpeluang bertemu penulis terkenal seperti Ramlee Awang Murshid, Hezzy Azra, Eyman Hykal dan Hani Fazuha.

Antara novel baru terdapat di Fiesta Buku Karangkraf adalah Aku Pilih Dia nukilan Hezzy Azra, Hati Kala Cinta nukilan Hani Fazuha, Tak Mungkin Dia nukilan Rania Firdaus dan Detik Debar nukilan Eyman Haikal. Selain itu, peminat novel Ombak Rindu juga boleh mendapatkan karya Fauziah Ashari itu dengan tawaran harga menarik.


Peminat buku resipi boleh mendapatkan harga pakej RM20 untuk lima buku dan bagi penggemar novel, tambahan diskaun 10 peratus akan diberikan untuk pembelian sesetengah lima judul novel.

Setiap buku dan novel keluaran Grup Buku Karangkraf ditawarkan dengan diskaun 25 peratus sehingga 80 peratus semasa Fiesta Buku Karangkraf yang diadakan hingga 4 Disember 2011 di pekarangan kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, di sini.

Fiesta Buku Karangkraf akan bermula seawal 9 pagi sehingga 6 petang dengan menampilkan pelbagai koleksi buku dan novel baru serta lama untuk kanak-kanak, remaja dan dewasa.


Untuk artikel asal (Klik di Sini)

Friday, December 2, 2011

FIESTA BUKU KARANGKRAF
DARI  2 Disember - 4 Disember 2011 adalah tiga hari yang bermakna bagi kami pada hujung 2011. Pesta buku tiga hari ini telah menghimpunkan ramai penggemar produk Grup Buku Karangkraf. Diskaun dari 20 % hingga 80% membuatkan lima khemah di pekarangan pejabat kami penuh sesak. Hujan yang turut mencurah tidak menimbulkan masalah malah ada yang lencun bermandi hujan.


Banyak istimewanya apabila kami mengadakan jualan buku dalam kawasan pekarangan pejabat. Antaranya kerana tidak dikenakan sewa khemah. Sebab itulah kami mampu memberikan tawaran harga yang gila-gila hingga 80 %. Selain itu terdapat kawasan parkir yang amat luas dan percuma. Ada kafe untuk melepaskan dahaga dan lapar. Juga ada Surau As Syam yang besar selesa dan berhawa dingin.



Alhamdulillah. Kami amat gembira dengan sambutan hebat ini. Biasanya ramai yang ambil cuti tahunan pada penghujung tahun begini namun saya amat berterima kasih kepada anak-anak buah yang sanggup bekerja, sanggup menunda cuti untuk sama-sama berjuang mengeluarkan stok dari stor, mengatur atas meja, melayan pembeli dan turut basah kuyup bersama-sama.

Ini gambar anak-anak dara 
dan mak dara yang menjadi penjual buku selama tiga hari.
Selepas tamat jualan buku ini saya mahu cuti. > Ya Bos, Saya Mahu Bercuti < Sehingga tarikh ini saya ada lagi 13 hari cuti tahunan. Saya tak kira, saya tetap hendak habiskan cuti 13 hari itu sebelum datang tahun 2012. Okey set. Saya nak cuti...!

Thursday, December 1, 2011

UNTUK DOKUMENTASI (AL-FIKRAH.NET)
DALAM merayau-rayau meninjau blog-blog dan laman web peribadi dan komuniti saya terjumpa video-video ini. Hehehee... suara saya kecil saja rupanya bila dialih ke dalam bentuk audio... macam suara budak-budak pula bila saya amat-amati.

Video terbitan Al-Fikrah.Net:
Suara saya : (Di sini > Saya baru terjumpa video ini) > Penulisan Buku
Datuk Haji Hussamuddin (Terjah Di sini) > Kongsi Pengalaman
Penerangan Ahmad Yani : (Di sini) > Dunia Wartawan
Pensyarah UIA : (Bicara Dr Zaharuddin) > Teknik Tulis Blog

Terima kasih kepada semua yang terlibat.
Saya amat menghargainya.

Wednesday, November 30, 2011

CERITA DUKA AKHIR NOVEMBER
GONE...! Sekelip mata saya terpana!
- Lesen Memandu
- Kad Pengenalan
- Kad-kad Bank
- Dokumen-dokumen penting
- RM Tunai
Kini, Saya tak mahu beli apa-apa yang tidak penting. Satu yang penting saya nak beli dalam waktu terdekat ini ialah dompet duit! Ya Allah, Kau tabahkan hatiku. Kau kuatkan semangatku. Hanya kata positif yang mampu memperkukuh iman, amal dan takwa saya. Sudah tiga hari berlalu, saya tunduk di bawah takdirnya.

Tuesday, November 29, 2011


BENGKEL PENULISAN BERSAMA AL-FIKRAH.NET
LAMAN web Al-Fikrah.Net mempunyai page view yang sungguh ramai. yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan kerjaya. Saya telah diminta untuk memberikan ceramah penulisan kepada sebahagian mereka di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf. Sememangnya saya amat berbesar hati dengan pelawaan ini. 







Monday, November 28, 2011

NOSTALGIA BANJIR
KETIKA kecil dulu kami sekeluarga tinggal di kawasan perumahan setinggan di pinggir bandar Kuala Lumpur. Walaupun berada di pinggir bandar,  di Cheras (Kampung Konggo) keadaan waktu itu (antara tahun 1965-1970) tidaklah seperti sekarang. Kami menggunakan air perigi atau air lombong. Kami juga gunakan lampu minyak tanah atau lampu gasolin.

 Saya bersama abang dan adik bergambar bersama abah dan 
kami antara yang kerap bercerita kisah silam, segalnya manis belaka...

Oleh kerana rumah terletak di tepi lombong, apabila hujan turun dengan lebatnya, berlaku jugalah banjir apabila air lombong itu melimpah dan masuk ke dalam rumah. Suasana ketika itu bagi saya yang masih berusia lingkungan 7 - 10 tahun, amatlah menyeronokkan walaupun basah lencun, tilam hanyut, pinggan mangkuk tenggelam dan sebagainya.


Namun air cepat surut. Seharian sahaja, esoknya sudah kering semula. Kerja-kerja membersihkan rumah juga menyeronokkan. Bekas mengisi air yang disimpan semalaman amat membantu kerja-kerja membersih rumah. Habis mangkuk, baldi, besen, bekas minuman kami tadahkan dengan air hujan. Air itulah yang diguna untuk membasuh rumah, menjemur tikar getah, menjemur tilam dan bantal.

Anak-anak sekarang tidak merasai susah kami ketika masih sebaya usia mereka... kami masuk hutan ambil kayu api, mengambil air telaga di bawah bukit, mengutip paku pakis dan pucuk api di kebun... bila hujan reda, esoknya masuk ke hutan mencari cendawan...


Abah yang dipanggil Tok Din oleh cucu-cucu... 

Namun banjir hari ini bukan calang-calang. Nyawa menjadi galang gantinya. Ada rumah yang tenggelam sampai ke bumbung, ada yang hanyut. SubhanAllah, besar sungguh kuasa-MU Ya Allah... kami berlindung di sebalik kekuasan-MU.

Ah... segalanya nostalgia. Sangat manis untuk dikenang. Baca kisah banjir yang saya alami di pantai timur >>> (di sini)<<<. Ada suka, ada duka... namun kenalah lihat pada jumlah yang beribu-ribu mangsa yang terbabit dan berjuta-juta ringgit yang terpaksa disediakan untuk menghadapi masalah banjir. Salam