Tuesday, November 28, 2006

LAST COME, FIRST GO?
HAMPIR
tiga suku hari saya hari ini dihabiskan di Kuala Lumpur. Sekejap tadi terburu-buru balik ke Shah Alam, bimbang tersangkut dalam kesesakan Federal Highway sementelahan pula hujan turun dengan lebatnya di sepanjang perjalanan. Alhamdulillah sekarang ini sudah selamat tiba ke pejabat.

Malam esok di Hotel Istana Kuala Lumpur akan diadakan Majlis Makan Malam Institut Akhbar Malaysia (IAM). Ramai yang sudah tahu dan saya tetap ingin beritahu, bahawa baru-baru ini Institut Akhbar Malaysia telah mendapat dana/geran daripada kerajaan Malaysia sebanyak RM5 juta untuk menjalankan pelbagai projek dan kursus bagi faedah pengamal media.

Tetamu kehormat yang akan hadir malam esok ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut akan hadir ialah Ketua Menteri Melaka dan Menteri Besar Negeri Sembilan. Mesyurat pagi tadi diadakan di Pejabat Datuk Azman Ujang, Pengerusi Bernama (yang juga Pengerusi Institut Akhbar Malaysia) di Wisma Bernama di Jalan Tun Razak.

Keputusan akhir sudah pun ada tetapi masih embargo sehingga malam esok. Antaranya ialah Siapakah Tokoh Wartawan dan siapakah Pemenang Anugerah Kajai, tulisan siapakah yang memenangi kategori yang ditetapkan dan sebagainya. Tadi juga diserahkan uniform Ahli Majlis IAM untuk malam esok rekaan pereka terkenal Nazleen Noor bermmotif batik. Bolehlah... tapi rasanya agak besar dan longgar bagi saya...

Satu gosip orang surat khabar diperkatakan juga tadi - akankah terjadi penggabungan dua gergasi persuratkhabaran arus perdana tidak lama lagi? Iyalah sama seperti gabungan Sime dan Guthrie... kalau begitu jadinya ramai yang gundah gulana dengan kedudukan sekarang. Last come, first go? Atau first come, last go?.

Oh ya, Sinar Harian akan terus go and go on!

Monday, November 27, 2006

BADAN SATU, HAJAT BERIBU...
SALMAH di Singapura mengirim sms bertanya khabar, sebelum itu beberapa orang lagi turut kirim emel, tanya khabar. Ya, NONA yang jauh pun bertanyakan soal yang sama... Jawapannya alhamdulillah saya sihat. Masih dipanjangkan umur.

Tapi kenapa tidak updated? Soalan cepumas tu payahlah akak nak jawab... kalau jawapannya sibuk orang lain pun sibuk juga. Tapi sebenarnya sibuk campur tak ada mood, campur banyak sangat nak tulis, tak tahu mana nak dimulakan dulu dan tolaklah sepuluh peratus malas...

1. Sekarang mak saya sudah keluar dari HUKM. Terima kasih pada Dr. Datin dan misi-misi yang telah memberikan khidmat terbaik mereka kepada mak. Kami adik beradik amat berpuas hati. Juga terima kasih kepada rakan dan jiran yang menziarah mak saya di Tingkat 6 Wad 3 HUKM. Sekarang ini yang paling wahid ialah kena pantang betul makanannya.

2. Projek jangka panjang yang sedang ditangani sekarang ialah Menterjemah Al Quran - Arab - Melayu - Penjelasan ayat. Projek ini bersama Dr. Juanda dari Pejabat Mufti Negeri Sarawak. Bersama Dr. Asri, Mufti Kerajaan Negeri Perlis pula ialah projek membukukan segala Hadis Bukhari dan Muslim. Wah lepas ini akak boleh jadi calon ustazah!

3. Satu lagi projek jangka panjang ialah merealisasikan pengasingan terbitan Sinar Harian Kelantan dan Sinar Harian Terengganu. Sekarang bukan 5 x seminggu tetapi sudah 7 x seminggu. (Ah, teringat satah di pasar Cabang Tiga, Pengkalan Chepa.)

4. Tidak dilupakan proses menerbitkan Sinar Harian Pahang, Sinar Harian Kuala Lumpur dan Selangor sesegeranya.

5. Projek jangka pendek sebelum 3hb Disember - buku Asmara Ini... Sempena majlis persandingan Fadzley dan Azrene.

6. Dan menjelang Pesta Buku April 2007 nanti ialah kelahiran lagi 8 judul buku.

... kalau macam inilah, bila pula novel nak siap?

Friday, November 10, 2006

SELAMAT PENGANTIN BARU
KEPADA `ABANG & ADIK'

Thursday, November 9, 2006

SEPUTAR KITA
MEMANG
selalunya apa yang dirancang dengan betul pasti akan menjadi. Namun ada juga plan A bertukar menjadi plan B. Saya akhir-akhir ini jadi seperti itulah. Banyak yang dirancang telah pun menjadi dan ada juga yang tak dirancang muncul mendadak. Kaedahnya; saya yang menurut perintah, bz tak sudah.

Ada banyak perkara mencuri perhatian sehari dua hari ini.
- Abang Zek - istana abang tu taklah hebat sangat. Banyak lagi istana orang lain yang lebih gah!
- Razak Baginda? Haa... orang itulah!
- Jiran rumah lama saya kena sembelih dek anaknya yang cacat mental.
- Nurul & Ajai - ya dah talak tiga. Jadi selama ini macamana?
- Ini yang baru - Penyanyi/Mr. Smart/Cikgu Motivasi Dr Fadzley anak Datuk Yaakob dah kahwin 7 Nov lalu. Isterinya ialah anak ....
- Penyanyi Nash dengan ..... akan kahwin Disember ini.
- Parti Demokrat berkuasa - Padan muka Bush. Sudahlah Republikan!
- Super Puma terhempas. Ya, ini nostalgia buat saya.
- SMS - Datuk Azahar Mansur murtad?
- Uhhh, tak habis-habis dengan jemputan raya! Plastik ketupat tak selamat, ish entah berapa banyak ketupat segera tu dah masuk dalam perut.
- Kelakar, Pak Lah dihadiah anak ghimau betina.
- Tun Mahathir masuk IJN. Perhimpunan Umno ni tak hadirlah kot...

Macam-macam reaksi kita dengan berita-berita itu. Saya sendiri sekejap keliru, sekejap tersengih, sekejap serius, sekejap geleng kepala. Rasanya orang lain pun sama juga seperti saya (agaknya).

Tuesday, October 31, 2006


Keterangan dari kanan; Syed Munawar, Zamzarina, saya, Salina Ibrahim dan Ahadiat Akashah semasa di slot Resensi, Sabtu lalu dalam program Selamat Pagi Malaysia, RTM1.

Saturday, October 28, 2006

SELAMAT PAGI MALAYSIA TV1
Jam; 8.15 - 10 Pagi
Tetamu: Saya, Salina Ibrahim dan Ahadiat.
Topik: Resensi Novel & Borak Aidilfitri.
Pengacara: Sayed Munawar dan Zamzarina.

* Hadiah novel kepada pemanggil bertuah.

Thursday, October 26, 2006

ISNIN - ESOK HARI RAYA
SEPERTI
tahun-tahun sebelumnya semenjak tujuh belas tahun yang lalu, kami suami isteri tidak perlu `osom' untuk menyambut 1 Syawal. Destinasi tetap ialah balik ke kampung suami. Alhamdulillah perjalanan selepas sahur selamat tiba ke destinasi tepat pukul 11 pagi di Kampung 30, Tokai, Alor Star. Mujur perjalanan bergerak lancar, tiada kesesakan.

SELASA - BERKAMPUNG DI GRAND CONT.
MALAMNYA
tidur agak lewat, hampir jam tiga pagi. Sebabnya dari balkoni, pesta malam hari raya betul-betul nampak seronok dan riuh. Tanpa berlengah masing-masing bersiap. Sekejapan saja kami sudah masuk dalam kemeriahan itu. Walau hujan gerimis, pesta Pekan Rabu tetap meriah.

1 SYAWAL
MENINGGALKAN
Grand Cont. Bersiap awal pagi menuju kampung untuk bersembahyang raya. Seharian dihabiskan dengan mengunjungi sanak saudara, dari Alor Star sampai ke Arau, Perlis. Rumah ketiga-tiga beradik suami penuh dengan anak-cucu-cicit saya. Alor Star hujan tiap petang. Ada tempat yang banjir. Bendang penuh air. Rabu pula ke Kg. Aceh, Yan. En. Abang ada majlis hari raya dengan kawan-kawan lama.

KHAMIS - RINDU KL
SUDAH
tak sabar untuk kembali ke rumah sendiri. Sebelum bertolak, bertemu dengan Ilhami dan isteri serta dua anak comel, mengambil titipan daripada Nina Suria. Thanks Nina! Perjalanan amat dahsyat, sesak. Hujan sekejap, berhenti sekejap dan hujan semula sampailah ke KL. Berlaku tiga tragedi di tiga lokasi berbeza - kemalangan tiga kereta - kereta terbakar - kereta terbabas ke longkang besar. Alhamdulilah kami selamat sampai ke rumah lewat petang.

Friday, October 20, 2006


Diiringi doa semoga segala ibadah kita diterima-NYA dan kursus selama sebulan yang kita jalani sepanjang Ramadan ini seperti mengamalkan sifat-sifat positif, sabar, pemurah, tidak suka membazir, memiliki perasaan belas kasihan sesama insan dan sebagainya memberi kesan mendalam dan berpanjangan kepada kita. Semoga ia tidak berakhir dengan lenyapnya bulan mulia ini.

Untuk yang berbangsa India, Salam Deepavali daripada kami sekeluarga.

Wednesday, October 18, 2006

BISKUT `TUNJUK-TUNJUK'
SAYA
mempunyai ruangan khas di dalam akhbar Sinar Harian. Ruangan ini dinamakan Secebis Bicara - kisahnya apa sahaja yang terdetik di hati untuk tatapan pembaca akhbar ini di Kelantan dan Terengganu. Berikut ini adalah tulisan saya untuk akhbar edisi esok. Oleh kerana ceritanya tentang hari raya, rasanya elok juga saya paparkan di sini untuk tatapan orang luar dari Kelantan dan Terengganu

BAGI saya yang amat sibuk kebelakangan ini, keinginan untuk membuat biskut raya seperti dulu-dulu, selalu sahaja terhalang. Bukan tak mahu membuat biskut dahlia, biskut samperit, atau membakar biskut mama caries ataupun membuat biskut yang sedang hangat diperkatakan, biskut my heart... yang diadaptasi daripada filem muda-mudi itu.

Kadang-kadang teringin juga merasa air tangan sendiri menguli tepung gandum untuk membuat kuih gunting atau kuih lidah buaya... hendak lebih pedas tambahkan sahaja cili, atau nak lebih manis, tambahkan gula. Tapi apakah saya boleh membuat semuanya sendiri? Siang atau malam? Atau memasaknya di hujung minggu? Ah, lupakan saja...

Kesibukan sekarang dan tuntutan hidup di bandar besar membuatkan saya terpaksa membuat keputusan untuk membeli `biskut tunjuk' sahaja! Tunjuk balang biskut dahlia, dapatlah biskutnya. Tunjuk balang biskut samperit, dapatlah biskutnya. Tunjuk balang batang buruk, dapatlah batang buruknya. Lepas itu hulurkan sahaja duitnya.

Ya hidup semakin mudah apabila ada duit. Duit telah membuatkan kita terpaksa menghakis rasa tanggungjawab memasak sendiri makanan untuk seisi keluarga. Duit juga membuatkan kita lupa pentingnya mengajar anak-anak memasak.

Jika dulu semasa kecil, emak mesti memanggil saya dekat dengannya apabila dia hendak memasak. Sambil duduk bersila, dia akan mengajar saya bagaimana mengupas bawang supaya tidak memedihkan mata sampai menangis bengkak mata.

Dia juga akan mengajar saya bagaimana cara betul memerah santan supaya santanya tidak memancut di celah-celah jari, hingga tumpah ke lantai. Bukankah itu merugikan? Dia juga akan mengajar saya bagaimana hendak memotong sayur bendi supaya tidak berlendir.

Semua itu adalah pengalaman yang amat mahal. Ia juga satu kenangan manis hingga hari ini. Buktinya saya masih lagi ingat semua petua-petua itu. Dan akan mempraktikan jika ada masa terluang di hujung minggu - memasak untuk keluarga kami.

Hari ini, lemang dan ketupat boleh dibeli sahaja daripada mana-mana pasaraya. Hatta di pasar pagi atau di pasar malam pun ada berlambak. Semuanya dalam dalam paket segera. Murah pula harganya. Ada macam-macam jenama, ada banyak bentuk dan coraknya. Malah ada juga pelbagai rasa apabila sudah banyak jenis beras digunakan. Kaedahnya senang sahaja. Beli, basuh sekali lalu dan rebus sahaja.

Kemudian apabila sudah masak dan disejukkan, siap untuk dihidang. Begitu juga untuk memasak rendang ayam atau rendang daging. Basuh ayam atau daging dan masukkan ke dalam belanga. Selepas itu curahkan sahaja dengan paket ramuan rendang yang sudah sedia siap diproses. Tak perlu pedih-pedih mata membersihkan cili padi dan bawang.

Malah kerisik pun tidak perlu bersusah payah hendak membuatnya, hingga berterabur ruang dapur dengan parutan kelapa yang disangai kemudian perlu ditumbuk untuk menghaluskannya hingga menerbitkan minyak. Sekarang, bawa saja duit ke kedai, beli sahaja kerisik yang sudah siap dipeketkan.

Apakah ini yang kita mahu warisi pada anak-anak? Mereka sudah senang, malah semakin senang sekarang. Bayangkan apabila tiba waktu susah, atau ada kepayahan menimpa, bolehkah mereka hidup sendiri? Saya tak dapat bayangkan bagaimana hidangan pagi raya nanti jika saya mogok memasak... bolehlah anak dara saya siapkan semua hidangan?

Menjelang detik itu, salam Ramadan dan Salam Aidilfitiri untuk semua.

Monday, October 16, 2006

DULU LAIN, SEKARANG LAGI LAIN...
MINGGU-MINGGU
akhir Ramadan ini anak-anak sudah sibuk menuntut pakaian raya. "Iyalah mama kata baju-baju beli last minute, sekarang kami tuntutlah janji..." Bukan apa, saya tak mahu beli awal, takut nanti menjelang raya dah sendat. (Ah alasan, mama sibuk sebenarnya!).

Saya menyelongkar almari dan beberapa helai baju Melayu En.Abg masih elok lagi, tidak luntur warnanya, masih up to date juga design fabriknya. Saya suruh Anas sarung... wah muat-muat sahaja. Bayangkan, tubuh Anas sekarang sudah sebesar badan En.Abg dulu-dulu. Okey dah selamat baju Melayu untuk Anas. Dia dapat dua pasang!.

Kemudian selongkar pula almari saya dan terjumpa beberapa helai baju kurung yang masih elok, tidak luntur coraknya dan masih in designnya. Saya suruh Kak Long sarung. Tapi... alamak tak muat! Mencuka saja rupa Kak Long. Yalah dulu tubuh mama besar jugak, tapi taklah sebesar badan Kak Long hari ini!

Pejam celik, pejam celik, bertahun berlalu, kini anak-anak sudah membesar. Terasa cepat sungguh masa berlalu... Jika dulu saya padan saja menggayakan kebaya songket berbunga tanjung kepunyaan mak di zaman mak muda-muda. Tapi sekarang anak-anak, lain macam besarnya. Itulah penangan burger, hot dog, spagheti, ayam goreng dan segala aneka yang segera. Kata si bongsu hari raya biasa saja sebab sekarang pun boleh makan lemang, ketupat, rendang dan lontong. Alahai...

Sunday, October 15, 2006

SALAM AWAL MINGGU
SALAM
Ramadan dan Salam Aidilfitri yang bakal menjelang kepada semua. Kata emak saya semasa kami adik beradik masih kanak-kanak dulu - jangan dikira sudah berapa hari kita berpuasa (banyak kiraannya) jadi kiralah lagi berapa hari kita kena berpuasa (jumlahnya makin sedikit). Betul. Ya, waktu itu sama seperti hari ini, ketika itu kami adik beradik sudah boleh membilang dengan jari tangan tak perlu masuk kiraan jari kaki. Kelakar!

Maaflah atas kesibukan. Maklum hampir hujung tahun dan perancangan 2007 sudahpun bermula kini. Di masa yang sama sambutan terhadap surat khabar Sinar Harian memungkinkan kami untuk terbitkan 7 x seminggu berbanding sekarang 5 x seminggu. Selepas itu akhbar ini akan mengambil tempat di beberapa negeri terpilih pula. Nampaknya saya semakin kerap outstation.

Semalam berbuka puasa bersama ahli besar Karangkraf. Dan bertemu Nash yang duda, membawa lapan anak-anak Aceh mangsa tsunami menerbitkan air mata apabila mereka bernasyid. Nada suara anak-anak yang kehilangan ayah, ibu, ahli keluarga terdengar hiba. Saya bayangkan kalaulah tragedi tsunami itu muncul lagi...

Sehari sebelum itu berbuka puasa bersama Menteri Wanita, Kak Ijat dan ahli media lain di KL Hilton mengisi diari hari. Tentunya peluang berjumpa sahabat media dari penerbitan lain amat besar maknanya. Banyak perkara yang dibualkan, sampai lupa hidangan tersedia. Dan terima kasih atas layanan staf kementerian yang baik budi.

Saya sudah memulakan novel baru. InsyaAllah, harap-harap mencapai target.

Sunday, October 8, 2006

SEDIH BERSANGATAN
EMAK
saya sedang tidak sihat. Sepanjang Ramadan ini hanya beberapa hari sahaja dia terdaya hendak berpuasa, itupun setengah hari sahaja. Kami adik beradik pun tidak galakkan dia berpuasa, nanti bila dah sihat nanti gantilah semula.

Saya runtun hiba juga menjengah blog Kak Teh Sentral Station, London dan blog Mak Aji. Berbanding kedua-duanya, saya Alhamdulillah masih ada mak dan abah. Masih boleh ditatap matanya, masih boleh dipeluk tubuhnya. Memandangkan saya kini jauh daripada mereka, hanya hujung minggu sahaja kami dapat berjumpa. Minggu lepas kami anak beranak dapat berbuka puasa bersama mak dan abah dan alhamdulillah sekarang inipun baru balik dari rumah mereka.

Kak long di Kuantan, abang ngah di Kota Tinggi dan seorang adik di Kota Bharu juga bergilir menjenguk di hujung minggu. Tiga adik saya yang berada di sekitar rumah mak juga tak lepas pandang. kerap melawat mak dan abah. Memang kami belum mahu kehilangan mereka...

Hiba saya bersangatan apabila sudah berbulan-bulan melihat mak mencucuk sendiri jarum berisi insulin ke perutnya... sampai bila mak nak lalui semua itu?

Saturday, October 7, 2006

YA, INILAH CERITA SEDIH!
SUDAH
ada lima kes dalam tangan. Hukumnya ialah dosa. Sama ada Ajai atau Norman, mereka lelaki suami. Sama ada Abby atau Nurul, mereka perempuan isteri. Dan anak tetaplah anak. Jika ada angin, di sebalik lalang akan ternampak dosa itu. Kita bukan saudara tetapi kita bersaudara. Memeluk Nurul, dulu sudah diberitahu. Jangan berpura berselindung. Dan pada suatu hari esoknya beriya-iya ke pejabat mahu mendapatkan Kuala Lumpur di Mana Suamiku....
Nah, sekarang baru dia faham!

Friday, October 6, 2006

INI BUKAN CERITA SEDIH
HARI
ini janganlah jadi seperti semalam. Biarpun semalam sama seperti hari kelmarin. Sebenarnya bukanlah susah sangat hendak berkata `tidak', tetapi orang keliling seperti menjeling apabila saya mahu berkata `tidak'. Jadi saya angguk sahaja kepala walau di mulut langsung tidak terkeluar kata `iya'.

"Terima kasih. Terima kasih..." Katanya.
Saya terpinga. Muka tersimbah minyak panas rasanya...!

Wednesday, October 4, 2006

CERITA HARI KE SEBELAS
DI SINI jerebu. Ia datang bersama jin jahat melintasi Laut China Selatan, terang-terang di siang hari. Ia menguasai mata. Lemas dada. Semalam juga serupa. Dan cerita hari ke 10 tidak akan khatam.

Teorinya perempuan itu seperti selalu, tetap menggosok-gosok hidung resdungnya. Dia juga suka membesarkan matanya apabila berkata-kata. Ya tidak lama lagi virus dari hidungnya akan merebak ke daerah itu juga!

Dan nanarlah sekelian lelaki. Seperti nanarnya wanita-wanita berjilbab itu melihat kacaknya Nabi Yusuf. Selepas ini jangan mengira hari lagi. Sama ada esok 12 atau 13 dan lusanya 14, hari tetap datang dan berlari pergi. Masih adakah jerebu?

Tuesday, October 3, 2006

CERITA HARI KE SEPULUH
RAMAI orang suka dipuji. Pujilah yang dia itu bagus, profesional, mempunyai pemikiran yang tinggi dan relevan pada setiap yang dibicarakan. Sebaliknya tidak ada orang yang suka dirinya dikeji. Jangan kata dia pemalas. Jangan kata dia tidak panjang akal, jangan kata dia low class dan jangan kata pemikirannya tidak kritis.

Orang yang panjang akal memang akan selalunya selamat. Tetapi bagi yang pendek akal, mendengar sehala sahaja apa yang dikemukakan bukan sahaja akan dijual orang bahkan dia akan tenggelam selamanya. Memang, menuju matlamat dengan selamat tidak ada jalan pintas.

Antara dua kriteria ini di mana diri kita sebenarnya? Dan hari ke 10 Ramadan ini kenapa saya tak pasal-pasal menyentuh hal ini?

Friday, September 29, 2006

JAWATAN KOSONG

SUB-EDITOR
(Berpejabat di Pengkalan Chepa, Kelantan)

Tugas: Menyemak dan memperbaiki berita dan rencana dari wakil-wakil di seluruh negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Menulis semula bahan-bahan dari pemberita dan penulis sambilan di daerah dan jajahan.

Kelayakan: Ijazah atau diploma dalam bidang kewartawanan. Berpengalaman dalam kerja-kerja penyuntingan surat khabar. Berkemahiran tinggi dalam menulis dan bertutur dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dengan baik. Sihat tubuh badan, sanggup bekerja di luar waktu pejabat dan akur arahan `deadline'.

WARTAWAN
(Bertugas di Terengganu dan Pahang.
Kelahiran Terengganu dan Pahang diutamakan.)

Tugas: Mendapatkan fakta sama ada atas usaha sendiri atau berpandukan tugasan yang diberi dan menulis fakta-fakta terebut dalam bentuk berita atau rencana. Mengambil gambar-gambar untuk memperkuatkan tulisan.

Kelayakan:
Ijazah atau diploma dalam bidang kewartawanan. Berpengalaman dalam kerja-kerja penyuntingan surat khabar. Berkemahiran tinggi dalam menulis dan bertutur Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dengan baik. Sihat tubuh badan, sanggup bekerja di luar waktu pejabat termasuk pada hari cuti umum dan akur arahan `deadline'. Berupaya bekerja di kawasan yang diarahkan. Calon-calon yang baru menamatkan pengajian digalak memohon. Mereka yang berpengalaman akan diberi keutamaan.

Hantar permohonan kepada:
PUAN SRI DIAH
Akhbar Cabaran Sdn. Bhd.
PT 1310, Jalan 6/44,
Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa 2
16100 Kota Bharu, Kelantan
* Tarikh tutup: 15 November 2006.

Tuesday, September 26, 2006

RAMADAN & MAHLIGAI CINTA:
Page 46
Semalam suatu yang aneh terjadi. Aku dikejutkan untuk bangun sahur bukan dengan dering jam loceng tetapi dengan riuh bunyi sudip, sudu, garpu, pinggan dan mangkuk. "Eh sorry kalau I ganggu tidur you," katanya tersengih apabila aku berdiri melopong di tepi meja makan. Cepat-cepat tangan kutadah dan membaca doa makan. Anak-anak tidak ada dalam hatiku saat itu.Yang kupandang hanyalah wajahnya seorang, yang kutatap hanya senyumnya seorang.

Page 51
Aku teringatkan Ramadan pertamaku di Leeds beberapa tahun lalu. Ramadan di negara bekas penjajah ini tidak kurang meriahnya. Sememangnya tiada bazar Ramadan. Maka tidak bertemulah dengan akok, nekbat, puteri mandi atau lompat tikam. Namun pelbagai juadah manisan dari Pakistan dan Bangladesh banyak terjual di supermarket Al-Halal. Bertarawih di sana cukup menyeronokkan dengan jerik pekik kanak-kanak berlarian di masjid dan surau. Biasanya kami sembahyang terawih di Grand Mosque di Woodsley Road yang berimamkan Pak Arab. Kadang-kadang singgah juga di Shah Jalal Mosque dekat Ellers Road. Morey di sini ialah pelbagai jenis roti dengan teh panas dan buah epal, suatu yang lain dari di tanah air.

Page 71
"Along, cepat bangkit. Sahur ni walaupun sunat tapi sunat muaakat, besar pahalanya kalau kita bersahur..." Suara emak sayup-sayup mengejutkan lenaku.

Page 90
"Abah lupa nak bagi tahu... mak berbuka puasa di luar... abah pun lupa nak beli makanan." Suara abah menusuk ke telinga.
"Tak apa, kita makan apa yang ada... roti dengan kaya pun okey. Mak balik nanti, tentu dia bawa balik makanan..." Aku memujuk adik-adik dan diriku juga.

Page 100
16 Ramadan - Semalam aku terpaksa melanggar janji pada diri sendiri. Tetapi tidak dapat tidak, dalam banyak-banyak jemputan, aku tak boleh mengabaikan jemputan berbuka puasa yang ini. Apa istimewanya?

Page 105
Aku pulang awal hari itu dengan harapan dapat bertemu suami sebelum dia ke masjid untuk berterawih. Along, angan dah acik pun sudah tiada di rumah. Along menelefon dan mengatakan mereka dalam perjalanan ke masjid dan kunci rumah ada `di tempat biasa'. Tak dapat kubayangkan hidupku tanpa suami dan anak-anak. Cepat-cepat aku bersiap membuntuti mereka ke masjid. Dari celah-celah tabir kuintai mencari dia. Ada. Along, angah dan acik pun ada. Aku mengurut dada.

p/s - di samping cerita lain, inilah antaranya...

Friday, September 22, 2006

SELAMAT DATANG RAMADAN
Kadang-kadang mata ini salah melihat
Sesekali mulut ini silap terucap
Hati pula kadang-kadang ragu menduga
Maafkan segala kekhilafan yang ada...
dan salam Ramadan al Mubarak untuk semua.

Tuesday, September 19, 2006

ULANGTAHUN KE 3

- Batu Buruk Beach Resort

pasir memutih
malam menafi mimpi
hari berlari