Friday, March 31, 2006

ALAHAI...!
SUDAH tengok atau belum, pamplet Alaf 21 yang terkini? Hahaha... akak gelak panjang bila tengok gambar yang menghiasi cover pamplet itu. Sekarang di PWTC tengah diedar-edar di booth KKSB terutama di bahagian ALAF 21. Waduh, siapakah yang comel lote itu? Tak kenal! Eh akak XX ke? Dah buat suntikan botox? Di mana, Dr. XX di Hartamas atau Doktor YY di Bukit Bintang? Siapa yang mekap? Siapa yang jadi koordinator? Camera trick kot...!

Hari ini seawal 10 pagi saya sudah menerjah Kuala Lumpur. Ada beberapa urusan syarikat, hinggalah ke PWTC dan kemudian berakhir di Pan Pacific Hotel, di majlis memperkenalkan NONA dengan saiz dan konsep baru.

Akhir sekali sebelum balik ke Shah Alam, singgah di Puduraya, ambil Kak Long yang balik bercuti dari Kota Tinggi. Sejak Rabu sudah dapat pesanan, nak suruh mama masak itu, masak ini... nak makan di XXX dan nak go kart di Stadium Shah Alam dan macam-macam lagi. Oh ya, untuk anda semua, selamat hujung minggu semoga dua hari yang singkat ini dapat diperguna sepenuhnya...

Thursday, March 30, 2006

PROMOSI UNTUK GENG KITA
PADA
Sabtu 1 April 2006 akan diadakan pelancaran tiga buah buku di Laman Seni, Balai Senilukis Negara mulai jam 9 pagi hingga 5 petang.

AYAH KITA BOS oleh SiNagaNaga dan Tok Rimau

JONGKANG JONGKET oleh Mat Jan

ZINE SABOTAJ
oleh Op, Jigo dan Amir Mukhriz

Confirm TR! Ini bukan news untuk April Fool... Oleh itu marilah beramai-ramai pada hari Sabtu nanti, kita sokong majlis kekawan kita ini dan Ahad kita berkampung di PWTC untuk hari penutup Pesta Buku 2006.

Wednesday, March 29, 2006

GILA GILA GILA
PAGI ini ada sedikit kesempatan untuk menghantar entri. Banyak yang ingin ditulis, tetapi yang mana satu hendak didahulukan?

Bahang pesta buku dah betul-betul hangit dibuatnya. Proses akhbar di Pantai Timur juga sudah hampir ke titik mula. Perubahan saiz Majalah NONA juga sudah dilihat orang. Begitu juga dengan penghasilan 8 buku projek khas majalah pun sudah membanjiri pasaran. Paling terkini Bacaria konsep baru juga sudah diketahui semua. Paling terkini yang terkini, satu lagi mockup utk akhbar.

Banyak lagi yang ada dalam perancangan. Semuanya dalam masa singkat. Yang ini kena buat dalam masa seminggu, yang itu kena buat dalam masa 3 hari, yang satu lagi kena dihabiskan dalam masa dua minggu... yang lain-lain? Pusing balik, pusing balik, kesudahnya semuanya kena buat serentak dalam masa dua bulan!

Betullah! Dalam masa 30 hari sebulan, sebenarnya setiap hari kami print satu majalah. Itu berlebih lagi 4 majalah. Tak masuk yang seminggu sekali, yang seminggu dua kali. Memanglah... lelaki berambut beruban di pejabat ini gila! Kami staf pun sama-sama ikut gila...!

Memang hari-hari menyimpan hasrat mengupdated tetapi kesudahnya tak menjadi, tinggallah blog ini sepi. Tapi hari ini semoga yang bertandang ke sini akan happy membaca entri kali ini. Betulkah?

Thursday, March 23, 2006

2 KALI ALHAMDULILLAH
HARI
ini saya tidak ke pejabat kerana memenuhi jemputan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Ceramah diadakan untuk bakal Sarjana Kajian Penerbitan Universiti Malaya. Ish memang bidang saya, so tak ada banyak masalah dan alhamdulillah selesai dengan jayanya.

Ish, tentu banyak kerja yang mesti dibereskan esok. Apatah lagi pesta buku akan bermula dengan rasminya esok. Dan alhamdulillah 8 judul buku khas untuk pesta buku sudah siap untuk dilancarkan pada Sabtu nanti. So jemputlah datang beramai-ramai ke PWTC bermula 24 Mac hingga 2 April... Beli Buku, Baca Buku, Tidur Buku, Makan Buku... teringat omelan mak masa saya kecil dulu - "bacalah buku tu tak habis-habis, tak berhenti-henti! Nanti aku rebus buku tu buat sup...!"

Wednesday, March 22, 2006

INFO TERTANGGUH
ENTRI pada 18 Mac ada bersangkutan. Saya perturunkan di sini (bulat-bulat/segi-segi) e-mel yang semua staf terima daripada tauke. Niat saya tidak lain, cuma ingin berkongsi isu ini dengan semua pembaca semoga ada manfaat untuk kita bersama:

TAHNIAH DAN SYABAS KEPADA SEMUA YANG TERLIBAT. KEJAYAAN INI MEMBUKTIKAN BAHAWA SEKIRANYA KITA BERANI MEMBUAT SESUATU YANG BERLAINAN DRP PEMIKIRAN BIASA IAITU KITA BOLEH BERFIKIR DI LUAR KOTAK (THINKING OUT OF THE BOX) KITA PASTI MEMPEROLEHI KEJAYAAN DAN KEMENANGAN.

SAYA TAHU SAYA TELAH MEMBUAT SESUATU KEPUTUSAN YANG PADA AWALNYA TIDAK POPULAR APABILA MEMINTA SDR HASHIM ANANG MENUKARKAN KUMPULAN YG AKAN MEWAKILI KARANGKRAF APABILA DI BERITAHU BENTUK PERSEMBAHAN YANG SEDANG DIPERSIAPKAN. WALAUPUN KITA TELAH BERLATIH AGAK LAMA TAPI BENTUK DAN IDE PERSEMBAHAN PADA HEMAT SAYA MASIH STYREOTYPE. UNTUK MENANG KITA PERLU KELAINAN. KERANA SAYA YAKIN PERSEMBAHAN SEBEGINI JUGA AKAN DIPERSEMBAHKAN OLEH KUMPULAN LAIN.

DAN SEPERTI YG DIJANGKANKAN 6 DRP 8 PERSEMBAHAN PADA MALAM ITU BERBENTUK BEGITU. HANYA UTUSAN (Utusan Melayu) DAN KARANGKRAF SAHAJA YG LAIN. ITU SEBAB KARANGKRAF DAN UTUSAN MENANG. KITA SAMA2 LAIN DRP YANG LAIN. SEBELUM KEPUTUSAN RASMI DIUMUMKAN HAMPIR SEMUA ORANG YG SAYA TEMUI MENYATAKAN KARANGKRAF MESTI MENANG KERANA PERSEMBAHAN KITA LAIN DRP YANG LAIN. WE REALLY STAND OUT.

ITU ADALAH HASIL DARIPADA BERFIKIRAN LAIN DRP YANG LAIN. KITA MESTI BERANI MENCUBA SESUATU YANG BARU BARU KITA BOLEH BERJAYA. SAYA MENGAMBIL RISIKO YANG TINGGI APABILA MENGARAHKAN TEAM ROY UNTUK MEMBUAT PERSEMBAHAN PADA MALAM TERSEBUT KERANA MASA YANG DIBERIKAN HANYALAH KURANG DRP 5 HARI. MEREKA TIDAK BERSEDIA. ARAHAN SAYA ADALAH JUST PRODUCE SOMETHING DIFFERENT, THAT'S ALL. KALAU TAK MENANG PUN TAK APA.

AT LEAST KARANGKRAF AKAN BUAT KEJUTAN DAN TINGGALKAN SATUK IMPAK. SAYA PERLUKAN SESUATU YANG MEMBERI IMPAK KPD PENONTON. ALHAMDULLILLAH WALAUPUN MASA AMAT SINGKAT SAYA BERSYUKUR KERANA TEAM TERSEBUT BUKAN SAHAJA BERJAYA MEMBUAT SATU PERSEMBAHAN YG MANTAP YANG MENGEJUTKAN DAN YANG BERJAYA MEMBERI IMPAK YANG DIHARAPKAN SERTA MEMENANGI PERTANDINGAN TERSEBUT. DAN SEKALIGUS TELAH MENAIKKAN NAMA KARANGKRAF.

KITA SEMUA HARUS BERTERIMA KASIH KEPADA MEREKA DAN JUGA BERBANGGA DENGAN PENCAPAIAN MEREKA. YANG PENTINGNYA MEREKA LAKUKAN SEMUANYA UNTUK KARANGKRAF. KARANGKRAF BOLEH!!!!!!

Moral of the story. Be different , be better and be the best.
Salam, Hussamuddin.

Persembahan: Malam Media Selangor
Tema Show: Light & Sounds
Hadiah Pertama: RM10,000

Monday, March 20, 2006

JANGAN MAKAN NASI... BAHAYA!
AMATLAH sukar mengatakan TIDAK/JANGAN pada beberapa perkara yang sepatutnya kita katakan IYA. Contohnya:

- Saya TIDAK benarkan awak outstations, banyak perkara di pejabat belum beres (IYA/PERGILAH).
- Saya TIDAK suka awak buat perkara-perkara slapstik macam ini lagi (BUATLAH).
- JANGAN sentuh topik ini. Bahaya. (NO. PROBLEM)
- Saya TIDAK sokong idea revamp/rejuvenate magazine ini. (BAGUS JUGA IDEA ITU)
- ... dan banyak lagi.

Apa yang pasti cadangan adalah subjektif tetapi keputusan saya mutlak. Mutlak itu pun sebenarnya boleh diskaun lagi kalau si polan boleh berhujah lebih sedikit untuk lebih menyakinkan saya. Mudah saja... Sesi sebegini kita tidak dapat melalui pembelajaran formal. Dalam hal ini rasanya memang eloklah dikurangkan exam ketika di sekolah. Lebihkan subjek permikiran kritis dan lontaran pendapat. Itu lebih berguna.

Saturday, March 18, 2006

KACANG... INGAT KULIT KAMU?
SAYA balik agak lewat (sikit) malam tadi setelah menghadiri majlis makan malam yang diadakan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada semua pengamal media. Lewat (sikit) saja, tapi mencecahlah pukul 1.30 pagi... mujur diadakan di Dewan MBSA Shah Alam, taklah takut balik sendirian. Ucapan di majlis berkenaan pun boleh anda baca dalam suratkhabar hari ini.

Apa bestnya majlis itu? Best sebab berjumpa dengan semua rakan media. Berjumpa juga dengan ramai anak-anak buah yang dulu di KKSB tapi kini dah berhijrah ke penerbitan lain. Alhamdulillah semuanya menegur. Memang dari dulu sampai sekarang KKSB tak ubah seperti pusat latihan - singgah di KKSB (masa tu fresh graduate la), mendalami ilmu, mencari tapak dan kemudian kalau dapat peluang, mereka berhijrah ke penerbitan lain yang lebih hebat.

Kami bukan kecewa. Terselit juga rasa bangga. Sekurangnya KKSB telah menyediakan tapak untuk mereka melangkah lebih jauh. Dan hari demi hari kami terus melatih dan melatih ramai lagi wartawan baru...

Sunday, March 12, 2006

SALAM INGATAN 2
Asslamualaikum wbt,
i. Disember berlalu... kini di pertengahan Mac.
ii. Rumah sudah siap dibasuh - sudahpun berpindah.
iii. Anak-anak juga telah ke sekolah baru. Anas berjalan kaki sahaja. Amie pula mengambil masa lima minit ke sekolah. Kak Long pula di Sekolah Menengah Teknik Kota Tinggi.
v. Saya kini enjoy pergi dan balik pejabat- tidak sampai 10 minit.

Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Cumanya saya rasa ralat teramat kerana membuatkan pengunjung blog ini kecewa hampa tiap kali ke mari. Dengan itu dari hati yang luhur dan tanpa sebarang alasan, maafkan saya. Terima kasihlah kepada yang mengirim pesan, menelefon, datang ke pejabat, mengirim e-mel, menghantar faks dan menghantar sms untuk bertanya khabar. Budi baik semua tetap ranum di sudut hati. Dengan kehadiran kalian dalam hidup saya, hidup yang `poyo' tetap terasa nikmatnya!

Sunday, December 25, 2005

SALAM INGATAN
KERJA-KERJA membasuh rumah memanglah memenatkan. Sebelum itu nak mencari kotak untuk diisi barang-barang pun satu hal. Puas kedai runcit dirayau, itu tak termasuk kerja packing yang meletihkan. Kemudian nak mengangkut ke lori pun memerlukan tenaga `badang'. Nanti apabila sampai ke rumah di Shah Alam, nak menyusunnya semula, lagilah satu hal.

Tak mengapalah, en.abg kata buatlah pelan-pelan. Mujur anak dah besar, boleh diarah itu ini. InsyaAllah kerja-kerja berpindah akan beres dalam minggu ini. Sayangnya rasa hati ini nak tinggalkan Bandar Tun Razak, maklumlah saya sudah mendiami kawasan ini sejak 40 tahun lalu. Rumah emak bapa saya, rumah nenek, rumah adik keempat, adik keenam dan adik bongsu di sini. Aleh-aleh saya pula nak keluar dari sini. Harap-harap bila saya keluar dari Bandar Tun Razak, adik-adik lain akan terus tengok-tengokkan mak dan bapa.

Minggu depan pula akan sibuk dengan persekolahan anak-anak di sekolah baru. Anas dengan Anis hanya berjalan kaki sahaja ke sekolah. Saya pula akan menghantar si bongsu Amie ke sekolah kerana sehala dengan perjalanan saya nak ke pejabat. Balik sahaja dia akan naik bas sekolah ke rumah, yang jaraknya 2 kilometer sahaja. Minta-minta dengan x factor yang mereka ada, anak-anak semua akan dapat menyesuaikan diri di sekolah baru.

Rasanya blog ini tak dapatlah diupdated atas kesibukan-kesibukan ini. Kepada semua pengunjung saya ucapkan selamat menyambut tahun baru 2006 semoga tahun mendatang akan membawa gemilang dan kebahagiaan berkekalan untuk semua.

Wednesday, December 21, 2005

TAK PERLULAH MATA BERTENTANG KATA...
BERBANYAK terima kasih ditujukan kepada Bro. Ronn atas beberapa perbualan telefon yang kerap terutama di hujung-hujung minggu dan dalam kesibukan hari berlari. Kebanyakan panggilan dari Singapura dan barangkali pernah juga datang dari Jogjakarta. Hubungan jauh ini terasa erat kerana pelbagai sebab. Mungkin jiwa puitis kami serupa... ya, Haron Abdul Majid - penulis lirik, pencipta lagu perakam peristiwa dalam gambar dan kata-kata yang amat saya kagumi sejak berpuluh tahun dulu!

... bahagia itu bagaikan sebutir berlian
terjatuh ke laut
dan laut itu pula penuh tipu muslihat
ke dasar mana hendak digapai?

Monday, December 19, 2005

APABILA SIKECIL BERPARTI
SABTU, acara Celebrity Xplorace Media Hiburan berlangsung dengan jayanya. Acara melibatkan TV3 dan Harian Metro ini sudahpun menemui pasangan juara sebenar gandingan seorang artis dan seorang pembaca Media Hiburan. Pemenang tidak boleh diumumkan kerana TV3 akan menyiarkan siaran ini tidak lama lagi.

Hari itu khabarnya sehingga pukul 8 malam mereka masih menunggu sepasang peserta yang tidak kunjung tiba ke titik akhir di Seri Pentas. Pasangan artis dan peminat ini paling akhir tiba kerana beberapa sebab yang tidak boleh dielakkan. Bagaimanapun bagi kami sebagai penganjur, kami amat tabik dengan sikap mereka berdua. Perlawanan tetap diteruskan walaupun sudah melebihi waktu sebenar, semangat inilah yang kita mahu.

Semalam, diadakan pula Majlis Pencarian Duta Bintang Kecil di South City Plaza. Dalam bingit-bingit tu phone saya menerima sms. Baca dan kemudian dok toleh ke kanan. Haaa... Mak Andeh ada sama menghantar si kakak! Geli-geli hati pun ada tengok anak-anak perempuan berusia antara 7 - 14 tahun yang kebanyakannya dalam pink color bergaul sesama mereka. Mereka tidak mengenali sesama mereka tetapi nampak enjoy bergaul, bertukar no telefon, berbual dan bergelak sakan. Parti setahun sekali ini benar-bernar merapatkan mereka sesuailah dengan tema Bintang Kecil iaitu `Untuk Kita-Kita Je..!'

p/s: Oh ya...Majalah MIDI akan terbit Januari 2006 nanti. Wanita 40++ tunggu ya dengan penuh debar kemunculan majalah istimewa ini...

Friday, December 16, 2005

DATANG, JANGAN TAK DATANG. FREE!
Media Hiburan Cordially Invites You To The final Race of
"Celebrity Explorace 2005"

Date: 17th December 2005
Day: Saturday
Time: 2.00 pm
Venue : Seri Pentas TV3

Tentative itinerary of the event as follows:
02:30pm - Arrival of VIPs
03:00pm - Artist performance
04:00pm - Celebrity Race 3 ends
04:30pm - Artist performance
06:30pm - Result announcement & prize giving ceremony

* While waiting for the participants, the crowd will be entertain by a mini concert at Seri Pentas TV3 with Nash, Jatt, Elyana, Shamrin, Rahmad, Siti Nordiana, Achik, Sharifah Zarina, Nija, Amy Mastura, D-Va, Saiful, Dia Fadila, Azam (Malaysian Idol), Ferhad, M.Nasir, Tria(Audition), Eera Fazira, Nassir Wahab, Barongan, Mus, May, Shahila, Deja Moss, Misha Omar and many more, along with MC’s Sharifah Shahira and Lan Pet Pet.

Wednesday, December 14, 2005

Kongsi Pengalaman

INI merupakan pengalaman pertama saya membuat ubahsuai rumah. Sebelum ini membeli rumah yang sudah siap diduduki (beli dgn orang/owner terdahulu) jadi tidak ada major renovation. Bagaimanapun membuat ubahsuai rumah yang akan kami duduki tidak lama lagi, memberi saya banyak pengalaman.

Rasanya elok saya berkongsi serba sedikit di sini. Mana tahu kalau anda sedang dalam perancangan mengubah suai rumah, eloklah jadikan pengalaman saya sebagai panduan. Antaranya ialah beberapa perkara di bawah ini:-

1. Dapatkan seberapa banyak sebutharga daripada kontraktor. Paling minimum - 4/5 kontraktor.

2. Lebih elok daripada pelbagai kategori kontraktor, bangsa dan pengalaman. Jika kontraktor ada membuat ubahsuai di sekitar rumah kita, pergi tengok hasil kerja mereka.

3. Jangan buat janji dulu, just survey.

4. Antara yang perlu disoal jawab secara detail ialah kos tersembunyi.

5. Contohnya kos tambah ruang dapur - adakah kos itu termasuk dgn harga cat atau upah mengecat? Adakah termasuk dengan kos tebuk lubang utk hos? Adakah termasuk dengan concrete table? Adakah termasuk kos jubin? Kos jubin itu adakah termasuk kos upah pasang jubin? Meninggikan lubang pembentungan pun perlu disoal jawab.

6. Soalan yang sama untuk wireing. Satu plug berapa harganya? Memasang lampu/kipas -adakah termasuk upah? Jika memasang downlight, adakah kos tebuk lubang siling masuk sekali dengan kos upah pasang?

7. Soalan serupa jika memasang aircond/wayar astro/wayar untuk heater - wireing ini lain harganya. Ada kontraktor masukkan sekali kos ini dalam kos wireing lampu supaya kos keseluruhan jadi rendah dan kita setuju melantik dia menjadi kontraktor kita. Tapi sebenarnya mereka akan tuntut kos ini diperingkat akhir nanti.

8. Atas persetujuan bersama tetapkan tarikh target siap. Jika tidak siap mengikut target, tuan rumah boleh tuntut harga diskaun.

9. Jangan lupa urusan permit ubah suai.

10. Majlis perbandaran biasanya akan meminta cagaran untuk tong sampah/bahan buangan dsbnya (wang cagaran ini akan dapat semula. Tong besar ini akan diletakkan di hadapan rumah kita. Ini bagi memastikan kerja ubah suai kita tidak menyusahkan jiran-jiran.

11. Jika kontraktor tidak menjaga kebersihan, yang akan disaman ialah kontraktor, bukan tuan punya rumah.

12. Peringkat ini tetapkan cara pembayaran (3 atau 4 step pembayaran? Cash? Masuk akaun?)

13. Jangan serah semua pembayaran - Tinggalkan dalam RM2 ribu untuk tempoh 3 bulan kemudian. Mana tahu jika siling bocor, paip tersumbat, dinding merekah dan sebagainya.

14. Jika sudah setuju, lengkapkan dengan dokumen b/white confimation.

... ada soalan lain?

p/s Tips: Jangan garang/mengarah itu ini. Ya dia bekerja dengan kita, maknanya kita majikan dia dalam tempoh tertentu. Tapi budi bahasa jangan lupa... mereka (pekerja kontrak) buruh kasar tapi mereka juga ada hati dan perasaan.

Tiap kali visit tu jangan berlenggang saja, bawalah air kotak/goreng pisang. Saya selalu kata gini; bung, tolong buat cantik dan kemas ya, anggap ini macam awak buat rumah untuk awak sendiri...

Sunday, December 11, 2005

DIRGAHAYU TUANKU
UCAPAN selamat hari lahir ditujukan kepada Sultan Selangorku dengan ucapan bilakah Tuanku hendak berumahtangga...rakyat jelata sekelian teringin melihat Permaisuri & Tuanku bersemayam di atas takhta, aman damai sentiasa.

Esok cuti - namun masih berulang alik Cheras - Shah Alam.

Thursday, December 8, 2005

PROGRAM AKHIR TAHUN
BANYAK perkara dah selesai minggu lalu. Antaranya Celebrity Xplorace Media Hiburan, penampilan istimewa Grup Gen Y (komik dan kartun) dan prapersembahan Duta Bintang Kecil. Sebelum itu Jom Beraya di Kampung Libur dan beberapa workshop/bengkel anjuran majalah-majalah (Mingguan Wanita, NUR, Dara.Com & RASA) juga telah berlangsung dengan jayanya. Lebih dari itu pilihanraya Pengkalan Pasir pun dah selesai. Enabg dah kembali ke KL...

Minggu ini banyak lagi program menanti. Antaranya di Tingkat 14 Manhattan Room, Berjaya Times Square ada pertandingan Memasak RASA & Knorr. Ada juga persembahan artis - free, open kepada semua, boleh datang ramai-ramai. Pengacaranya Adibah Nor. Manakala yang sedang berlangsung sekarang hingga 10hb ialah Program Belia Benci dadah di Dewan Sri Jugra Banting. Ini pun free, ada Mawi & Siti Nurhaliza. Majalah KKSB pun joint program ni.

17hb pula ialah Final Xplorace Media Hiburan. Stesen penyiar rasmi ialah TV3 dan akhbar rasmi Harian Metro. Ini lagi lasak berbanding minggu lepas. Jangan ada yang pengsan sudahlah. Inilah antara aktiviti saya di bahagian majalah, anda bagaimana?

Monday, December 5, 2005

BZ VS MOOD CUTI
WADUH... lama sungguh tidak menjenguk ke sini. Minta maaf kalau banyak sapaan tidak berjawab. Akhir-akhir tahun ini memang kerja semakin bertambah terutama untuk menyiapkan Performance Plan anak-anak buah bagi tahun 2006. Banyak skim baru diperkenalkan dan beberapa cara kerja lebih sistematik akan dilaksanakan. Dalam hal ini memang banyak terima kasih pada Jabatan IT KKSB. Semua sistem yang akan dilaksanakan menuntut lebih masa, lebih ketelitian untuk 2006 yang lebih cemerlang.

Kini saya memangku banyak tugas-tugas Ketua Pengarang yang telahpun berangkat ke Tanah Suci. Tidak lama lagi tauke pun akan berangkat ke Mekah. Oleh itu banyak urusan pentadbiran perlu dilaksanakan - terletak di atas batu jemala patik ini. InsyaAllah saya akan buat yang terbaik untuk syarikat.

Kami anak beranak tidak ke mana-mana cuti sekolah yang panjang ini (ada sebulan lagi!). Mereka pun faham tentang beberapa persiapan yang perlu mama dan abah buat untuk persediaan berpindah ke Shah Alam - pertukaran sekolah, urusan angkut barang dsbnya. Fuyoo.. memang tak menang tangan dibuatnya.

p/s: Pengkalan Pasir... di Mana Suamiku?
Habis pilihanraya ni, cepatlah balik KL ya....

Wednesday, November 23, 2005

JANJI & PERTEMUAN




JANJI Maestro pada KKSB tertunai pada 22hb lalu. Keempat-empat pemenang diraikan dalam satu majlis ringkas tapi bermakna. Menu biasa saja, tapi tak tinggal kerepek kegemaran Mawi. Lebih bermakna ialah agenda pertemuan Mawi dengan tauke. Harap pembaca fahamlah maksud pertemuan ini. Antara soalan semasa pc ialah:

1. Mawi - Semua orang tahu pasal perletawakan jawatan dalam MawiFC, orang pun dah tau pasal pertunangan dan perkahwinan yang mungkin tertangguh. Adakah kerana mengejar status jutawan, Mawi terpaksa redha dengan semua ini?

2. Amylea - Komen Ahad lepas tentang Duta Mahsuri amat pedas. Apa komen Amylea?

3. Felix & Marsha - Anda berdua memainkan peranan besar untuk meningkatkan intergrasi kaum antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Agaknya apakah antara peranan yang akan anda berdua jalankan ke arah perhubungan ini agar lebih berkesan?

p/s : Saya tak boleh bagi jawapan mereka di sini, dapatkan majalah-majalah KKSB di pasaran nanti.

Monday, November 21, 2005

YOU LAP ME, I LAP YOU...
BUDAYA gay dan lesbian sememangnya jelas haram di sisi semua agama di Malaysia. Namun ada negara jiran dalam rantau Asean ini yang menghalalkan budaya berkenaan. Kini undang-undang di Malaysia tercabar lagi... perkahwinan sejenis antara Jessie dan Joshua telah membuatkan persatuan agama Islam, Hindu, Sikh, Buddha dan Kristian kembali bersatu hati untuk menentangnya.

Kata mereka mulai sekarang kerajaan perlu bertindak tegas (patutnya dulu lagi!) apalagi menerusi sistem demokrasi dan liberalisasi yang Malaysia amalkan. Patutnya dulu lagi kita sudah menyediakan peruntukan undang-undang mengenai ini, jangan sudah terjadi baru nak ambil tindakan - orang ramai lapor kepada polis, ditangkap, bicarakan dan jika sah bersalah dipenjarakan.

Dalam kes terkini Jessie dan Joshua telah melangsungkan perkahwinan mereka di sebuah hotel terkemuka di Kuching dengan dihadiri oleh kira-kira 800 rakan dan saudara-mara. Tiga paderi dari Bountiful Harvest, Shepherd's Centre dan Assembly of Love telah menyempurnakan majlis perkahwinan mereka. (Maknanya gereja di Kuching membenarkannya!)

Krisis identiti ini berlaku dalam dunia sekitar saya sejak bertahun-tahun lamanya hinggalah ke hari ini. Saya sudah masak dengan perilaku, gaya hidup, sikap dan pendirian mereka. Ada yang ok, kenal diri tapi banyaknya yang tak ok, terikut-ikut dengan budaya barat. Kaedah mereka mudah saja, "Kami tak kacau you all, you all janganlah kacau kami. Kubur masing-masing, masing-masing jaga..." Tapi bolehkah kita hanya memandang sahaja sedangkan dalam hati kita sebenarnya ada barah yang menanah?

Antara yang memberi komen hal ini ialah:
- Naib Presiden Belia Xien Liang Wilayah Persekutuan,
Kelvin Ang Keh Den.
- Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),
Yusri Mohamad.
- Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM),
Norizan Shariff.
- Setiausaha Agung Persatuan Gereja Evangelical Malaysia,
Reverend Wong Kim Kong
- Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul di Akademi Pengajian
Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid.
- Presiden Persatuan Kebajikan Sikh Malaysia, Harbans Singh Gill.
- Presiden Hindu Sangam Malaysia, Datuk A. Vaithilingam.

p/s: Simpan nama-nama ini untuk rujukan. Lebih detail klik SINI

Thursday, November 17, 2005

TIDUR PUN LENA; MAKAN PUN KENYANG

Anas dibantu Guru Besar, Haji Misman meneliti keputusan yang diterima.

ADA dua kegembiraan yang ingin dikongsi bersama pembaca; pertama tentang keputusan UPSR anak kedua saya, Anas Iqbal. Alhamdulillah dia berjaya mendapat 4A dan 1B (Sains). Sains tu pun rasanya tidaklah B teruk, mungkin B+ sahaja. Walaupun dia mungkin berpeluang untuk ke sekolah berasrama penuh tetapi saya rasa susahlah kami hendak melepaskan dia pergi. Dan dia sendiri pun agak kurang berminat untuk ke sekolah berasrama. Tak mengapalah, ada PMR pulak selepas ini. Mungkin setelah PMR agaknya barulah lapang dada melepaskan dia ke sekolah berasrama.


Guru Besar, Anas dan kawan baiknya Izat (4A 1B jugak) bersama Guru Kelas, Cikgu Yusliza.

Perkara kedua ialah tentang keputusan Mahkamah Rayuan yang diputuskan hari ini - kes Mingguan Wanita vs Datin Seri Normala Samsudin. Ketiga-tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan pihak Mingguan Wanita tidak bersalah dalam menerbitkan artikel yang tersiar kira-kira 10 tahun lalu.

Untuk makluman, saya telah hadir ke Mahkamah Sivil di Wisma Denmark dalam keseluruhan prosiding selama ini. Berhadapan dengan karenah Hakim Mahkamah Tinggi (Datuk RK Nathan), peguam kedua-dua pihak, bersemuka dengan Normala (waktu itu belum Datin Seri)dan emaknya serta bekas suaminya adalah suatu insiden yang amat bermakna. Plaintif dan defendan, masing-masing ada kepentingan dalam perbicaraan ini.

Cuma dua hari di Mahkamah Rayuan di Putrajaya saya tidak menghadirkan diri. Sesungguhnya apa yang saya lalui dalam kamar perbicaraan dan tanggungjawab turun naik mahkamah bertahun-tahun lamanya amat mahal untuk dikongsi bersama. Semua itu akan terpahat kukuh dalam kitab pengalaman.

Terima kasih kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Abdul Aziz Mohamed yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Mohamad Ghazali Yusoff dan Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin. Tidak lupa kepada tauke Hj Hishamuddin, kepada Encik Haris Mohamed Ibrahim dari Tetuan Haris & Co, rakan-rakan dan semua pihak yang memberikan support. Thanks so much!

p/s: Laporan Akhbar

Saturday, November 12, 2005

10 SYAWAL BERSAMAAN 28 Mei
MASIH baru saja rasanya bergelar seorang isteri. Masih terhidu harum bunga rampai dalam bilik pengantin. Teringat, malunya duduk bersanding apabila banyak mata memandang. Terbayang, wanginya inai di jari tangan dan cantiknya inai di jari kaki. Masih terdengar lagi hiruk pikuk suara anak-anak kecil, jiran-jiran, saudara mara, kawan-kawan dan tetamu-tetamu lain... rupanya kini sudah 16 tahun! Alhamdulillah.

16 tahun lalu kad hari raya saya adalah juga kad jemputan kahwin, saya buat dua dalam satu. Jadi di samping kirim kad raya saya juga menjemput datang ke majlis perkahwinan. Jimat belanja. Gift untuk tetamu ialah sudu kaca yang diisi telur rebus dan dibalut dengan saputangan lalu diikat riben. Kenapa macam tu? Agaknya sebab saya suka memasak dan suka makan (sebab tu bagi sudu), suka telur rebus dan riben yang cantik-cantik, berwarna warni. Eh itu dulu. Pengantin 16 tahun dulu, sekarang ini dah pun ada anak 3, dah besar malah lebih besar dan lebih tinggi daripada mama mereka.

p/s; Harap bahagia hingga akhir nyawa. Rasanya en.abg tak ingat pun tarikh ni, sbb itulah saya tengok dia make donno saja.. ish, memanglah lelaki ni!