Thursday, August 10, 2006

MEMINJAM KEKUATANNYA
\MAJALAH NONA September kini di pasaran! Selami isihati Tengku Zawiyah dan pelajari cara beliau melawan peperangan jiwanya. Apa reaksi anak-anaknya bila papa mereka ceraikan mama dan mahu bernikah dengan penyanyi popular Siti Nurhaliza!

Tuesday, August 8, 2006

PENGUBAT RINDU


4 Ogos 2006 - Di kaki Mt. Fuji - 3.30 pagi.


4 Ogos 2006 - Perjalanan ke puncak Mt. Fuji. Mentari naik jam 4.15 pagi.

Sunday, August 6, 2006

SALAM DARI TOKYO

3hb Ogos 2006 -Penerbangan dari KUL - NARITA Airport menaiki JAL mengambil masa lebih kurang tujuh jam. Selamat tiba di sini disambut Miki San (anak pahang yang sudah 24 tahun di Tokyo) dan En. Hamid (berasal dari Singapura. Urusan imigresen dan kastam semuanya berjalan lancar. Menaiki bas khas, kami terus dibawa ke Narita Garden Hotel. Di sini hanya untuk mandi dan sarapan. Kemudian cepat-cepat bersiap naik bas semula.

Jam 5.30pm tiba di Kawaguchi Lake Ryoken (sebuah hotel gaya traditional dengan hiasan bilik tatami.Dinner juga dengan tradisi Jepun. Disuruh pakai baju jepun ala kimono tu - lupa namanya, nanti kalau ingat saya tulis semula. Malam itu ada pesta bunga api di Lake Kawaguchi. Hebat sakan - sampai tengah malam. Dalam keadaan tu kami terpaksa lelapkan mata - kena tidur sementara nak mendaki Mt.Fuji.

Tepat 12.30 terpaksa bangkit. 1.30am bertolak ke Mt. Fuji (station 5). Selepas solat subuh bertolak dan mulakan pendakian jam 3.30am. Kami dibekalkan tongkat dengan dua biji loceng untuk keselamatan. Begitu juga tabung oksigen seorang satu. Pakaian lengkap - macam nak melawan salji.

Dengan bangganya kami dapat melihat matahari naik di pertengahan jalan. Alangkah hebatnya - garangnya rupa cahaya itu menerjah bumi. Kami meneruskan pendakian... berjalan, naik dan terus naik mendaki, berhenti bila penat, mendaki lagi dan lagi, berehat dan minum seteguk dua... puncak Fuji jauh lagi!

Tak boleh jadi... tenaga makin kurang. Kepala lutut macam dah nak tercabut. Kunyah pula power bar, power gel dan matahari sudah tegak betul-betul di atas kepala. Akhirnya kami tiba di stesen 6. Pertengahan stesen 6, dua orang ahli kepenatan dan ambil keputusan untuk keluar daripada list.... macam Afundi keluar. Terpaksa gantung tongkat! (Siapa tu?).

Mereka yang lain teruskan perjalanan...

Wednesday, August 2, 2006

CATATAN HARI

1. DARI Pengkalan Chepa, Kelantan saya kini sudahpun di Shah Alam semula. Alhamdulillah akhbar komuniti SINAR HARIAN diterima baik oleh penduduk Kelantan dan Terengganu. Tiga hari berturut-turut diberikan percuma tetapi ada yang sanggup membayar untuk memilikinya. Esok adalah edisi pertama yang berbayar - samah jah!

2. MAHLIGAI CINTA - Novel usahasama anak beranak - MBA, saya, Rudy, Ibnu Arif dan Eyes akan terbit tidak lama lagi. E-novel ditulis satu bab hingga lima bab oleh mereka (kecuali MBA, babnya lebih sikit) diadun-adun semula, ditokok tambah supaya lengkap plot dan wataknya. Agak tebal juga - mencecah 510 halaman. Dienovel asalnya hanyalah 120 halaman sahaja.


Salah satu sesi latihan di PICC.

3. ESOK saya dan rombongan myJICA akan berangkat ke Tokyo. (Halela, bandar ini amat jauh dari Okinawa...!) Lihat di Mt.Fuji untuk beberapa sesi latihan dan juga gambar-gambar sebelum kami mencapai puncak Mt. Fuji di hari kedua di Tokyo.

4. SALAM untuk semua, maafkan salah dan silap, doakan semuanya selamat, panjang umur dan kita berjumpa lagi. InsyaAllah.

Friday, July 28, 2006

MY DUTY, MY HOBBY, MY JOB

1. SAYA masih di Pengkalan Chepa.
2. ESOK (Sabtu) akan balik ke Kuala Lumpur sekejap.
3. Ahad (pagi) taklimat akhir mengenai Ekspedisi Mt. Fuji di Taman Tasik Perdana, KL.
4. Ahad (petang) kembali semula ke Pengkalan Chepa. Deadline untuk edisi sebenar - Ist issue Sinar Harian - Akhbar untuk orang Kelantan dan Terengganu.
5. Isnin dan Selasa di Pengkalan Chepa.
6. Selasa (malam) akan terbang semula balik ke Kuala Lumpur.
6. Selepas itu akan betul-betul terbang ke Tokyo.

* Saya tutup sementara tagboard daripada pencerobohan. Sorry kalau ada yang terklik ke site yang mengarut-ngarut tu.

Friday, July 21, 2006

Assalamualaikum;

Ini entri untuk En. Ahmad, bagaimana nak kemaskini blog/laman guna SMS.


Anda hanya perlu hantar SMS ke 32728 (DAPAT) dan laman web anda akan dikemaskinikan. Tiada sebarang bayaran yang dikenakan, kecuali bayaran SMS sahaja.

Walau bagaimanapun sebelum anda boleh mengemaskini laman web tersebut, satu kod perlu dimasukkan dalam laman web anda dahulu (sekali sahaja). Kod ini boleh diperolehi dengan menghantar UPDATE XXX kepada 32728 dan DAPAT akan menghantar SMS memberitahu kod tersebut. nota: XXX ialah nama pilihan anda
Kod tersebut adalah begini:-

(script src="http://update.dapat.com/sms/news12345.js")(script)
di mana news12345 tu contoh jer, tak jadi kalau ambil yg tu kot.

Jadi setiap kali kita hantar SMS kepada DAPAT, UPDATE news1 bla bla bla bla , makla 'bla bla bla bla ' tu akan dikemaskini dlm web/blog anda.

Selamat mencuba.

Thursday, July 20, 2006

OPERASI DITERUSKAN





KONVOI promosi 3 hari 2 malam Skuad Cakna akhbar Sinar Harian yang disertai oleh 21 buah kenderaan selamat dilepaskan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf Sdn.Bhd (KKSB), Tuan Haji Hussamuddin Yaacob dari Shah Alam menuju dua destinasi utama iaitu Terengganu dan Kelantan pada 15 Julai lalu. Turut sama ialah Ketua Polis Trafik Selangor, Tuan Che Hussin

Konvoi singgah di beberapa lokasi terpilih seperti Bandar Chukai, Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Berang, Jertih dan Besut. Hari kedua konvoi, majlis perlepasan Skuad Cakna ke Kelantan telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Terengganu tepat jam 8.30 pagi.

Konvoi selamat tiba di ibu pejabat akhbar Sinar Harian di Pengkalan Chepa pada jam 5.00 petang dan disambut meriah oleh kakitangan dan wartawan Sinar Harian. Hari ketiga, konvoi telah diraikan oleh Timbalan Ketua Polis Kota Bharu, Tuan Idris dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu sebelum bergerak menjelajah bandar Kota Bharu, Machang, Tumpat, Tanah Merah, Rantau Panjang dan Pasir Mas.

Akhbar berslogankan 'Akhbar Untuk Orang Pantai Timur' ini dikhaskan untuk masyarakat negeri Kelantan dan Terengganu di mana kebanyakan 90 peratus pengisian beritanya adalah rakaman peristiwa yang berlaku di dalam dua negeri tersebut. Ahkbar Sinar Harian ini mula berada di pasaran pada 31 Julai 2006 dengan harga promosi 50 sen senaskah selama tiga bulan.

Monday, July 17, 2006

SKUAD CAKNA SINAR HARIAN
SELAMAT sampai di Pengkalan Chepa. Hari ini dimulakan lagi dengan beberapa siri menyiapkan mock-up Sinar Harian. 12 staf dari Kuala Terengganu tiba awal pagi. Waktu ini konvoi 25 Kancil Skuad Cakna Sinar Harian dari Shah Alam melalui Pahang, singgah di Trengganu dan berakhir di Pengkalan Chepa juga sudah tiba dengan selamatnya.

* Gambar-gambar akan saya post kemudian.

Sunday, July 16, 2006

MENCAPAI PUNCAK DI PICC

LATIHAN mendaki diteruskan hari ini setelah saya gagal hadir pada latihan minggu lalu. Dua jam latihan turun naik bukit, meletihkan. Lenguh kaki mendaki bukit. Lenguh lutut apabila menuruninya pula. Rasa menggigil juga nak mencapai puncak PICC. Kemudian sesi tamat di Taman Warisan, menghabiskan nasi lemak lauk kerang masak sambal (yang masin!). Penyerahan passport, visa dan insurans nampaknya sudah beres. (Terima kasih pada En. Abg yang sudi menghantar dan menjemput balik).

Malamnya saya berangkat ke Pengkalan Chepa.

Monday, July 10, 2006

TERIMA KASIH

THANK you so much atas ucapan. Terasa hidup kian pendek Tapi semakin ghairah untuk diterjah. Saya di Pengkalan Chepa sekarang. Sampai di sini Sabtu subuh dan akan balik ke Shah Alam pada hari ini, flight lewat malam. Minta maaf kerana agak sibuk akhir-akhir ini hingga terlalai untuk berkampung di sini. Salam sejahtera untuk semua juga...

Saturday, July 8, 2006

SEMINAR DASAR APARTEID TERHADAP WANITA ISLAM DI MALAYSIA
INI adalah lanjutan siri seminar Islam yang pernah diadakan seperti `Seminar Pertelingkahan Sahabah' (2003), `Seminar Melihat Tarekat Dengan Kaca Mata Syariat' (2004), 'Seminar Wacana Islam Liberal' ( Mei 2005), Debat Astora Jabat VS Dr. Mohd Asri (Julai 2005) dan 'Seminar Kegemilangan Ilmu Dan Pemikiran Al-Imam Al-Syafi’i' (Mac 2006) anjuran Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd & Dewan Bahasa & Pustaka.

Tarikh: 8hb Julai 2006 (12 Jamadilakhir 1427 H)
Hari: Sabtu
Masa: 8.00 pagi – 5.00 petang
Tempat: Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur

Pembentang kertas kerja:
1. Terbelakah Wanita di Malaysia Hanya dengan Undang-Undang?
Dr. Harlina Haliza Hj. Siraj (Jamaah Islah Malaysia)

2. Wanita Islam dan Bidang Perundangan di Malaysia: Satu Manifestasi Aparteid
Puan Kamar Ainiah Kamruzzaman (Peguam Syarie)

3. Reformasi Wanita Islam berkaitan dengan Wanita di Malaysia.
Prof. Madya Dr. Raihanah Abdullah (Jabatan Syariah dan Undang-undang
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya)

4. Analisis Semula terhadap Pemakaian Undang-undang Berkaitan Wanita Islam.
Prof Madya Dr. Najibah Md Zain (Jabatan Undang-undang Islam, Kulliyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)

Forum: Wanita Islam di Malaysia: Peranan, Prospek, Cabaran, dan Penyelesaian.
Panel: Dr. Harlina Haliza Hj. Siraj, Puan Kamar Ainiah Kamaruzzaman, Prof Madya Dr. Raihanah Abdullah, Prof Madya Dr. Najibah Md Zain & Dr. Asri Bin Zainul Abidin (Bahagian Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia)

Pengerusi Forum: Ustaz Maszlee Malik (UIAM)

Sunday, June 18, 2006

GULA TAK ADA?
PAYOH...! Gula tak ada di kedai. Kami dah dua hari minum teh o kosong saja. Kalau nak manis kena tambah susu saja. Begitulah kata kawan pejabat, orang Kelantan. Saya sengih saja. Telefon mak dan mak pun bagi jawapan yang serupa. Kasihan pulak, saya tak sampai hati nak berahsia. Jadi saya kata saya boleh bagi pinjam sekilo dua. Hah? Mereka terkejut.

Awal-awal lagi saya sudah ambil langkah berjaga-jaga. Di rumah sekarang adalah lebih kurang 10 kilo untuk kegunaan semasa. Bila nampak dah susut saya cepat-cepat beli untuk tambah semula. Sekarang ini saya pantang jumpa kedai runcit, mesti beli sekilo gula. Jadi dalam sehari bolehlah kumpul 3 kilo gula. Hahaha.... Memang ini kes sorok gula.

Memang pun kita kena kurangkan penggunaan gula sekarang ini. Betullah, kita dah terlebih ambil makanan manis dalam keperluan sehari-hari. Tak percaya? (Klik Sini) Jadi kurangkan gula, maniskan senyuman.

Wednesday, June 7, 2006

BUAT SEMENTARA, SIMPANLAH DULU DUIT


TINGGAL lagi beberapa hari sahaja saya di sini dan akan segera pulang ke Kuala Lumpur. (Dah rindu rumah, suami dan anak-anak!). Tempoh hampir dua minggu di sini amat bermakna bagi saya. Banyak perkara yang dapat dilakukan dan ada banyak perkara juga yang tak sempat nak dihabiskan. Setiap hari padat dengan pelbagai misi, terutama apabila rombongan dari KL tiba pada Ahad dan Isnin. Pelbagai modus operandi dirancang. Plan A, B dan C saling didebatkan. Malamnya pula, berangkat ke Tok Bali, belok ke kiri selepas `ghetok' besar dan singgah di chelet kepunyaan bos. (BBQ ikan, sotong, ketam segar meningkatkan lagi tahap kolesterol!)

Dalam akhir Jun hingga pertengahan Julai mungkin akan ke sini lagi dengan misi sebenar terhadap SINAR HARIAN. Waktu ini ramai dari KL akan ke sini untuk membantu mempromosi akhbar `sinar banar' ini. Kami yakin. Kami optimis, semuanya akan menjadi hype di Kelantan Darul Naim, negeri Serambi Mekah ini.

Shopping di KB? Uhhh... meletihkan. Lemas dalam kesibukan. Maklum cuti sekolah. Jangan haraplah dapat masuk dengan selesa ke Wakaf Che Yeh. Khabarnya di Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang juga serupa. Kami cubalah nak membeli belah di Bangunan MPKB, di Pasar Siti Khatijah atau di Bazar Buluh Kubu... mak datuk mengalahkan Jalan Masjid India menjelang Ramadan & Syawal. Orang luar berpusu datang, plet kereta luar berderet atas jalan. Adik saya yang duduk di Kedai Mulong angkat tangan bila saya ajak shopping. Datang waktu lainlah, katanya.

Ya, cuti sekolah semakin membuatkan bandar KB lebih sesak berbanding Kuala Lumpur.

Thursday, June 1, 2006

PASAR CABANG TIGA

SAYA seronok benar memasak pelbagai jenis masakan di sini. Di banglo Sinar Inn (nama sementara) kepunyaan syarikat, kami tinggal tiga keluarga. Kediaman ini empat bilik, furnished. Paling saya suka ialah bahagian dapurnya. Lengkap dengan kabinet dapur. Lokasi set dapur dengan sinkinya pun bagus, tidak memenatkan untuk mencuci tangan sambil menumis. Ada tiga tingkap yang open air dan satu pintu besar. Sungguh selesa.

Ini membuatkan saya dan rakan-rakan rajin memasak. Kami iaitu Sharifah Abu Salem, yang juga seorang novelis dan Sarimah Mokhtar, rakan bahagian grafik akan memasak apa sahaja yang teringin. Hari pertama kami memasak kari kepala ikan nyoknyok dengan bendi. Hari kedua masak lemak cili padi udang dan nanas. Hari ketiga istimewanya ialah serawa durian yang dicicah dengan roti kosong.

Apa penyebabnya? Sebabnya ialah setiap hari selepas balik kerja kami akan singgah di Pasar Cabang Tiga, Pengkalan Chepa. Di situ semuanya murah-murah belaka. Harganya jauh tiga kali ganda lebih murah berbanding di Kuala Lumpur. Contohnya udang besar(RM7.00 sekilo), kepala nyoknyok yang besar dengan sejengkal isi (RM5.00 sekilo), ikan kembung besar (RM5.00) sekilo), sebiji nenas besar lebih kurang 2 kilo (RM1.00). Yang bestnya apabila beli sayur kubis, saya dapat free lima biji cili merah. Terkejut jugak sebab saya tak beli cili tu... "tak po deh... saja buwie percumo ko mek...). Kemudian bila beli rambutan sekilo (RM2.00), dapat free lagi lebih kurang sepuluh biji.

Sarapan kami ialah nasi dagang (ikan aya - tongkol/ayam bakar). Tak pun nasi `tumpang' - beli nasi satu bekas (macam bekas kertas kacang putih), ada lauk udang dengan kari ayam dan serunding daging sama-sama menumpang dalam punjut tu. Alamak nampak gayanya badan naiklah lepas ni.

Sekian dulu, salam dari Pengkalan Chepa.

p/s - Halela, hari ni cerita makan saja ya, lain kali cerita hal kerja pula.

Saturday, May 27, 2006

BORAK SORANG SORANG

kudaka2001 appears to be offline and will receive your messages after signing in.
sare nande: Assalamualaikum Halela; hari ini Sabtu 27hb, saya ke pejabat. ADA! Baru sampai pagi tadi. Thanks. Yes surprise utk Esok Yg Teristimewa. Thanks so much dear!
sare nande: Pudak Pejabat: Akak, morning! Eh hari ni kan cuti, rajinnya akak datang opis.
sare nande: Budak Pejabat
sare nande: Saya jawab, iyalah terpaksa. Mlm ni dah nak ke kelantan, banyak kerja yang belum beres. (Kemudian dia bagi barang tu)
sare nande: Eh apa ni? Daripada siapa? Oh daripada Halela Okinawa. Alamak... baiknya hati dia... tak ada angin tak ada ribut, dia kirim ole-oleh. Eh apa ya? Lembut, ringan... (dan saya pun bukak) Wow! inikah tikar tatami? Tapi kenapa kecik, boleh lipat2 kot? (Puas cari punca/tempat nak bukak untuk bagi besar. Habis riben kiri kanan tu saya leraikan... masa tu belum tengok dlm envelope, rupanya ada surat) Dah habis baca surat tu... saya tergelak besar. Hahaha... bodohnya aku ni. Bantal dikata tikar tatami.
sare nande: Saya letak bantal jerami tu atas meja dan letakkan kepala di atasnya... salah ni, mesti berbaring agaknya... so saya pun berbaring dalam bilik saya tu dan letak bantal jerami tu bawah tengkuk... wow best, betullah terasa ada sesuatu mengalir perlahan-lahan, menyerap ke tengkuk... terasa nyaman seketika. Saya bawa balik, anak-anak berebut nak menggunakannya. Rasanya sehari dua ni, mesti bantal jerami tu penyek. Sebabnya anak2 saya bertengkuk besar... kata si abang, yalah sebab nak bawa kepala yang hebat, banyak perkara nak difikir, banyak ingatan nak dibawa ke mana-mana... eh teori apa ni?
sare nande: Anyway thanks Halela, utk esok my wedding anniversary yang ke 17 tahun. Semoga dipanjangkan jodoh, kekal bahagia hingga akhir hayat. InsyaAllah.

Friday, May 26, 2006

KE KOTA BHARU LAGI

DEMI rasa tanggungjawab dan ditambah atas arahan bos saya akan ke Kota Bharu lagi. Kali ini lama sedikit, lebih kurang dua minggu. Jadi saya akan bekerja online antara Shah Alam - Kota Bharu. Dalam hal ini perisiian Atex & Prestige yang company baru beli akan memudahkan segala urusan pengendalian. Harap-harap server okey dan semua akan berjalan seperti dirancang.

Nampak gayanya saya akan mengunjungi lagi White House, Ayam Percik Yati, Sham Tomyam, Wakaf Che Yeh, KB Mall dan mana-mana saja tempat yang best di Kelantan. Saya nak makan lagi nasi paku, nasi kerabu, nasi dagang, nasi tumpang, kuih ulat bulu dan macam-macam lagilah yang best. Sorry ya Mr. Diet! Ada sesiapa nak joint the club?

Tuesday, May 16, 2006

SALAM DARI KOTA BHARU


Papan tanda di hadapan pejabat.


Sekumpulan wartawan sedang menjalankan tugas.


Petugas di Jabatan Sekretariat.

Sunday, May 14, 2006

MEI YANG MERIAH
SALAM
awal minggu untuk semua. Iya, masih terbawa-bawa dengan mood kesibukan sepanjang Mei yang penuh dengan pelbagai hari yang bertema. Kata anak-anak, double/triple theme - Hari Isnin - Jumaat, Hari Periksa Pertengahan Tahun, Hari Pekerja, Hari Belia, Hari Jururawat, Hari Wesak, Hari Ibu, Hari Bomba, Hari Guru dan jangan lupa hari istimewa abah dengan mama pada 28hb Mei nanti.

Oh ya, saya akan ke Pengkalan Chepa malam ini hingga Khamis. Banyak urusan penting yang mesti dibereskan di sana. Ini seiring dengan hasrat syarikat untuk merealisasikan penerbitan akhbar SINAR HARIAN (sinar banar - harga promosi samah!) yang berpejabat di Kota Bharu. Ada sesiapa di Kelantan yang ingin berjumpa, silalah ke Pejabat Karangkraf Timur di Pengkalan Chepa.

PT 1310, Jalan 6/44
Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa 2
16100 Kota Bharu, Kelantan.
Tel: 09-7749888.

Wednesday, May 3, 2006

01-02-03-04-05-06
MENGHITUNG HARI...Seperti yang diterima menerusi emel, detik bersejarah ini tak akan berulang lagi. Ia muncul hari ini apabila waktu menunjukkan detik itu. Dan Ya Allah... Syukur Alhamdulillah! kerana kami masih diberi peluang untuk meneruskan saki baki hidup ini.