Saturday, November 6, 2004

JUMAAT YANG PEDIH
SEMALAM memang suatu tragedi. Tersangkut dalam banjir kilat merupakan insiden yang tak pernah sekalipun saya lalu selama berpuluh tahun memandu. Tetapi segalanya terjadi semalam apabila saya tersangkut lebih tiga jam dari Kesas Highway, menuju ke Sungai Besi. Biasanya dari Shah Alam ke rumah saya mengambil masa hanya 40 minit sahaja untuk sampai, masih sempat untuk memasak hidangan berbuka puasa.

Hujan lebat mencurah turun di sepanjang jalan dari Shah Alam ke Sungai Besi, diselang-seli dengan kilat petir dan angin kuat. Dek kerana banjir kilat di stesen LRT Sungai Besi, Encik Polis menghalakan semua kereta ke Seri Kembangan. Khabarnya air naik hampir ke paras pinggang di tempat berkenaan. Memang pun, akhbar hari ini melaporkan, ramai yang terpaksa dipindahkan ke dewan orang ramai.

Fuyoooo.. sudahlah lenguh kaki kerana sesak di Kesas Highway terpaksa pula menukar laluan ke Seri Kembangan. Ini memanglah satu trauma. Dari Seri Kembangan terpaksa mematah hala balik semula ke Salak South bunyinya dekat saja tapi makan masa hampir satu jam. Sorry Encik Polis, semalam saya buat U Turn di tengah-tengah highway Besraya. Kebetulan ada tempat cilok. Saya fikir saya saja yang buat dajal tapi pemandu dua tiga kereta di belakang saya pun ikut sama. Ha hahaa... semalam memang kerja saya potong q sahaja!

Anak-anak di rumah berkali-kali telefon bila mama nak sampai, kami nak makan apa berbuka nanti? Sedihnya dengan suara di bongsu, 8 tahun merengek takutkan kilat dan petir. (Dia ni belum pernah tinggal sehari pun puasa.) Ok, saya suruh Kak Long goreng telur dulu, makan dengan kicap. Goreng papedom jugak, buat bukak selera makan. Kebetulan abahnya tak ada, ke Alor Setar.

Azan Maghrib bergema tatkala saya di Plaza Tol Seri Kembangan. Apa yang saya jamah ialah kuih raya kegemaran anak-anak - Tart Nanas dan London Almond yang dibeli daripada DJ RMKL, Irwan Shah. Habis jugak dua lapis! Tanpa air untuk minum, saya hampir tercekik. Alamak... air mata menitis sama lebatnya dengan air hujan yang mencurah di luar kereta...

No comments: