Wednesday, November 24, 2004

DIALOG MELAMPAU
WALAUPUN banyak pilihan tetapi kebiasaannya saya suka untuk memilih apa yang saya sudah biasa dengannya. Contoh, jika ke supermarket, saya suka ke tempat yang sama setiap kali ingin berbelanja barang-barang dapur. Sebabnya saya dah tahu susun atur barangan, mudah mendapatkannya dengan kadar segera. Tidak perlu terpusing-pusing mencari di mana garam, di mana belacan.

Begitu juga jika ke pasar malam, walau pun ramai yang menjual nasi ayam, saya akan membeli pada orang sama setiap kali saya teringin untuk makan nasi ayam. Hal yang serupa juga kalau saya mahu ke shoping kompleks, saya tetap akan ke shoping kompleks yang saya dah arif terlebih dahulu sebelum beralih ke shoping kompleks yang lain jika apa yang saya mahu tidak ada di tempat pertama tadi.

Sebenarnya kesetiaan kita terhadap sesuatu memang hak kita dan kita rasa itu bagaikan kepunyaan kita. Ia dah jadi semacam law dalam diri. Bagaimanapun apabila `hak eksklusif' saya itu mula dicabul saya akan rasa marah. Contoh - pelayan di kedai berkenaan bersikap kasar dengan kita sedangkan kita sudah menjadi pelanggan kedai itu lebih lima tahun. Atau makcik jual nasi ayam itu bermasam muka pula pada hari itu. Kita mula tertanya-tanya, eh apa salah aku...

Macamlah semalam... pekerja stesen minyak yang biasa saya langgan berkata, "akak, sini bukan kedai mamak... mana ada duit kecik pagi-pagi ni..." apabila saya hulur duit RM50 untuk mengisi minyak RM30. Eh, mata saya mula terbeliak! Saya masuk bilik pengurus dan komplen. Nasib baik dia mintak maaf sebab si polan di kaunter itu baru bekerja di situ dua minggu. Oklah saya cakap baik-baik dengan si polan, "adik... walaupun satu sen, duit pelanggan itulah nanti yang nak bayar gaji awak untuk hari ini" dan saya blah...

No comments: