Wednesday, October 29, 2008

PAPER UTARA DAH MAI...

DIAM tak diam, sibuk memang sibuk... malam tadi tepat pukul 10 malam, buat pertama kali dalam sejarah dunia persuratkhabaran di Malaysia, Akhbar Komuniti No. 1 Malaysia, Akhbar Sinar Harian Edisi Utara telah selamat dicetak. Hari ini di negeri utara sudah mula beredar di pasaran. Akhbar ini yang akan diberi percuma selama tiga hari. Mulai 1 November akan dijual dengan harga RM1 senaskhah.

Mulai sekarang warga Utara sudah boleh membaca akhbar mereka sendiri yang memaparkan segala aktiviti komuniti yang berlaku sekitar mereka. Kepada blogger di Utara (Cikgooden, Shahdan dan lain-lain) jika ada apa-apa maklumat atau cadangan mengenai Edisi Utara ini silalah emel Kak Sri.

Akhbar Edisi Utara dicetak di dua lokasi berbeza. Satu di Shah Alam dan satu lagi di Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Dengan menempuh laluan dua highway yang berbeza, akan terus menuju ke negeri-negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis hingga ke Pulau Langkawi. Terima kasih kepada semua yang menyokong kelahiran akhbar yang memaparkan berita yang telus dan berkecuali ini.

Wednesday, October 22, 2008

SINAR HARIAN KINI DI NEGERI UTARA
ALHAMDULILLAH
kini Akhbar Sinar Harian - akhbar komuniti nombor satu di Malaysia sudah pun berada di tujuh negeri - Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan. Sambutannya memang menggalakkan. Jumlah cetakan harian di tujuh negeri ini sahaja hampir 200,000 naskhah setiap hari. Terima kasih daun keladi kepada semua pembeli akhbar ini.

Pada 29hb Oktober ini satu lagi sejarah tercipta - Sinar Harian akan mula berada di pasaran negeri-negeri di utara - Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.


Rakan wartawan di ibu pejabat di Shah Alam mengucapkan selamat jalan kepada team Sinar Harian Edisi Utara.

Memang saya benar-benar sibuk dengan penerbitan Sinar Harian dari satu negeri ke satu negeri lain. Penentuan lokasi dan masa cetakan, pembahagian muka surat, pembahagian daerah-daerah mengikut Majlis Daerah atau PBT, meletakkan skuad, menyusun senarai isi kandungan, melipat gandakan promosi, perancangan konvoi dan sebagainya. Namun saya tidak bersendirian, jabatan lain turut membantu.

Kepada semua pembaca, saya amat mengharapkan sokongan anda semua. Semoga anda dapat menerima sebaiknya kehadiran Skuad Sinar Harian - wartawan yang berkereta Kancil di merata ceruk negeri yang akhbar ini diedarkan. Tolonglah bantu mereka untuk membantu menyiarkan berita-berita komuniti yang jarang mendapat tempat di akhbar arus perdana.

Doakan semoga semuanya dipermudahkan Allah. InsyaAllah.

Wednesday, October 15, 2008

LAPORAN TERTUNDA
AHAD pagi
- Dari rumah, tinggalkan kereta di Terminal Tiga Lapangan Terbang Subang (yang sedang diubah suai). Wakil dari HQ - lima orang teramsuk tauke dan isteri. Flight FY3312 jam 07.15 am. Daripada 70 tempat duduk, hanya dua sahaja kosong. Kapalterbang Firefly ternyata masih baru (kusyennya masih bau kedai). Hidangan muffin dan air orange. Selamat mendarat dengan bagusnya 08.15am (tahniah utk juruterbang - Ikhmal namanya). Staf yang menjemput di Lapanganterbang Sultan Mahmud (terima kasih MBA) sudah diberitahu sehari lebih awal - kami mahu sarapan nasi dagang. Lalu terus ke sebuah restoran di hadapan KUSTEM. Memang sedap nasi dagang di situ.


Melayan Aishah di Taman Sinar Harapan.

TENGAHARI - Dari pejabat Cawangan di Jalan Sultan Sulaiman, berangkat pula ke Taman Sinar Harapan di Bukit Besi, Kuala Trg. Di sinilah majls sebenarnya - sambutan Aidilfitri Cawangan Terengganu bersama YB, ADUN, Ahli Berhormat (Pas/UMNO/PKR), Penaja, anak-anak yatim, kanak-kanak spastik, warga emas, ibu tunggal. (Uhhh... majlis ini penuh dengan emosi).


Bos KKSB Datuk Hj Hussamuddin menyampaikan sumbangan Yayasan Nur kepada seorang ibu tunggal. Klik gambar ini untuk membesarkannya dan lihat parut pada muka anak beliau - apa kes? Rumah mereka dibakar oleh suami wanita berkenaan (lelaki Bangla). Ibu wanita itu dan anaknya cedera teruk.


PETANG - Selesai majlis, kembali ke pejabat cawangan. Meeting hingga pukul 6 petang. Janji dengan anak sulung masih lagi belum tercapai. Hendak ke Pasar Payang? Jangan haraplah - sudah tutup. Dengan kereta Skuad Cakna, kami ke Chendering ambil Kak Long, kemudian ke Losong sahaja. Kak Long yang baru tiga bulan di Kuala Terengganu tunjukkan jalan. Kami borong apa yang patut. Okey juga di sini. Tapi tak ada telur penyu di situ!


Bersama team Sinar Harian Kuala Terengganu.

MENJELANG MAGHRIB - Bila nak makan ICT? Mereka menunggu kami di Kampung Ketapang! Lokasinya dalam perjalanan ke airport. Sekali lagi Kak Long tunjukkan jalan. Nun, hujung di gigi pantai - Hidangan sedap menyelerakan. Segala jenis ikan ada - sambal cicahnya sedap. Ikannya segar. Hahaha... lebih sepuluh ekor kembung, selayang, udang, sotong saya makan. Bos yang bayar untuk semua, hampir 20 orang.


08.15 MALAM - Di kaunter Firefly sudah terpampang pengumuman - Penerbangan Firefly pada 08.15 Dibatalkan. Ha?

08.20 MALAM - Petugas kaunter MAS mengumumkan semua penumpang Firefly KT - KL membuat daftar masuk di kaunter MAS - Tukar kapalterbang! Sebabnya penumpang Firfly KT - KL malam itu hanya sepuluh orang, tak berbaloi nak fly ke KL. Lagipun MAS - Firyfly sepupu sepapat. Bagus juga sebab tambang Firefly tapi dapat fligh besar. Tapi MAS mendarat di KLIA. Masalahnya kereta yang ditinggalkan pagi tadi di Subang siapa nak jawab?

Bak kata Nabil: Lu pikirlah sendiri...

Saturday, October 11, 2008

KUALA TERENGGANU, AKU DATANG!
SUDAH lama tidak ke Kuala Terengganu (hehehe... rindu Pasar Payang!). Dendam pada batik, keropok lekor, telur penyu, ICT (ikan celup tepung di Batu Burok), ayam dara goreng panas dan juga nasi dagang kedai Kak Timah, mula menggoda.

Jadual 12 Oktober 2008 - Ahad
Awal Pagi - Lapangan terbang Subang
Pagi - Saya berada di Taman Sinar Harapan, Kuala Terengganu.
Tengahari - Majlis bersama Menteri Besar
Petang - Bersama Skuad Sinar Harian di pejabat cawangan
Lewat Petang - Jumpa anak sulong di Cendering
Malam - Balik Shah Alam

* First time naik Firefly, harap semua okey.
Nak jumpa di Kuala Terengganu? Emel saya ya.

Friday, October 10, 2008

GOOD LUCK UTK ANAS IQBAL BIN AHMAD
472,060 calon bakal duduki PMR 13-17 Okt - Seramai 472,060 orang calon akan menduduki peperiksaan bertulis Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang akan bermula serentak pada 13 hingga 17 Oktober (Isnin hingga Jumaat) di seluruh negara.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran hari ini, 442,791 (93.8 peratus) calon adalah dari sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran, 15,430 (3.3 peratus) calon sekolah-sekolah kerajaan negeri dan tajaan badan-badan tertentu, 13,491 (2.8 peratus) calon sekolah-sekolah swasta dan 348 (0.1 peratus) merupakan calon persendirian perseorangan. Sebanyak 3,458 pusat peperiksaan telah disediakan.


Kini tiba giliran anak kedua saya akan menduduki peperiksaan ini. Dia yang memang ada rekod baik dalam pelajaran diharap akan terus mencapai kejayaan yang membanggakan. Dia yang menangis, menolak tawaran ke asrama penuh tiga tahun lalu sebaik mendapat kejayaan membanggakan dalam UPSR berjanji akan membuktikan dia boleh mencapai kedudukan terbaik walaupun tidak duduk di asrama penuh - okey, kali ini buktikan!

* Demi PMR, sudah lama dia meninggalkan makanan kegemarannya - mi segera dan minuman bergas - nanti jadi pelupa katanya.

Sunday, October 5, 2008

1 SYAWAL 1429


Alhamdulillah Syawal ini selamat disambut penuh riang ria seisi keluarga. Kak Long balik dari Kuala Terengganu dua hari sebelum Syawal dan telah kembali ke kampus pada 4 Syawal. Adik beradik saya berlapan orang juga semuanya turut bergembira menyambut Syawal ini di sisi emak dan abah di Cheras. Terima kasih kepada Allah yang Maha Esa.

Sunday, September 21, 2008

70% SUDAH BERLALU, TINGGAL BAKI 30% RAMADAN INI

NABI
Muhammad dalam sabdanya menyebut:
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabda,: "...sesiapa menghayati malam Lailatul Qadar dengan mengerjakan solat (dan pelbagai ibadat lain), sedang dia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya dia diampunkan dosanya yang lalu."
- (Hadis sahih riwayat Bukhari)

"SESUNGGUHNYA Kami menurunkannya (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"
- (Al-Qadr:1-5)

Monday, September 15, 2008

SORRY NAIK LORRY...
WAH,
gawat sungguh Malaysia ini. Saya pun semakin sibuk dengan hal-hal membabitkan Zaid Ibrahim, Muhyiddin, Pak Lah, Najib, Anwar, Saiful Azlan, Ramlang, Teresa Kok, RPK, pompuan reporter tu... ah banyak lagi akan muncul sehari dua ini.

Sorry. Sorry. Sorry... sementara itu rasanya susah nak updated blog. Deadline novel pun dah makin hampir. Sinar Harian Edisi Utara (Pulau Pinang, Perllis & Kedah) dan juga Edisi Perak tengah menunju peringkat akhir persiapan. Walawalala....

Sementara itu saya bekalkan anda dengan secebis kisah tentang ISKANDAR SUDAH PERGI (klik sini)

Tuesday, September 9, 2008



MOGA SUKSES, ANAS SUHAIMI BIN AHMAD, 12 TAHUN
HARI
ini anak bongsu saya menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Bandar Anggerik, Seksyen 6, Shah Alam. Semoga Allah memberinya kelapangan fikiran dan dapat menjawab ujian berkenaan yang berlansung hingga Khamis ini dengan baik. InsyaAllah.

Semalam, apabila saya mengisi borang yang disuruh guru, dia melihat satu persatu ejaan namanya. Sambil itu dia menghafal nombor kad pengenalannya yang baru dimiliki April lepas. Dia juga sibuk mengingat nombor sijil lahirnya. Tiba-tiba dia berkata, "nasib baik mama tulis BIN. Sebab, cikgu marah kalau tulis nama tapi tak tulis BIN atau BINTI."

"Oh ya... cikgu ada sebut tak kenapa?"

"Ada," katanya dan dia terus menjelaskan apa maknanya kalau nama seseorang itu tidak disertakan dengan BIN atau BINTI. Alhamdulillah.


SERAMAI 518,616 CALON UPSR BAKAL MENJADI PENANDA ARAS KEPADA PPSMI
PUTRAJAYA,
9 Sept (Bernama) -- Seramai 518,616 murid yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) hari ini akan menjadi penanda aras kepada kelangsungan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata mereka adalah kumpulan pertama murid-murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu menduduki UPSR setelah PPSMI diperkenalkan pada 2003.

"Bagaimanapun kertas soalan untuk kedua-dua mata pelajaran itu masih disediakan dalam dwibahasa," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Rendah Kebangsaan Putrajaya Persint 11 (1) di sini hari ini.

Alimuddin berkata penetapan dasar PPSMI sama ada akan diterus atau sebaliknya tidak terhad kepada keputusan yang bakal diperoleh calon tahun ini.- BERNAMA

Saturday, September 6, 2008

TINGGAL KENANGAN ...


SEORANG pengunjung memerhatikan kerja-kerja menanggalkan komponen-komponen Eye On Malaysia di Taman Tasik Titiwangsa ketika tinjauan semalam.

Kontrak buaian roda Eye On Malaysia di taman itu berakhir pada 31 Ogos lepas dan akan dipindahkan ke Melaka di mana kerja-kerja pemasangan komponennya dijangka mengambil masa sebulan sepanjang September sebelum dijadualkan beroperasi pada Oktober. Buaian roda setinggi 60 meter dengan 42 gondola yang berputar 360 darjah itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 6 Januari 2007.

Sepanjang operasinya tahun lepas, buaian gergasi itu telah menarik kunjungan 1.2 juta pelancong dengan pendapatan sebanyak RM13.5 juta termasuk hasil daripada jualan barangan dari kios kraftangan dan makanan sekitar kwasan buaian tersebut -fotoBERNAMA.

* Sampai kesudah... kami tak berkesempatan ke sana.

Friday, September 5, 2008


BAPAK SUDAH PERGI
DALAM
sejarah Malaysia - Singapura - Indonesia, dia bukan orang biasa. Dia juga adalah orang luar biasa dalam sejarah dunia kewartawanan ketiga-tiga negara. Dia wartawan tersohor dan antara ratusan pejuang kemerdekaan. Kehilangan beliau mengingatkan saya pada tulisannya: Patah Sayap Terbang Jua, Jangan Ikut Jalan Ini, Ingin Jadi Pujangga dan Rumah Kedai Jalan Seladang - ini adalah cebisan hidup Pak Samad. Orang kata, patah tumbuh hilang berganti. Tapi patahnya sukar berganti. Balasungkawa untuk Allahyarham Pak Samad (saya masih ingat herdik, maki hamun, sinis tegurannya, pedih perlinya dan paling tak lupa carutnya. Ya, semua itu mematangkan saya. Terima kasih.)

* Lahir 24 April 1925 di Singapura. Dikenali sebagai seorang Wartawan, Aktivis Politik, Penulis Kreatif dan terkenal dengan semangat Nasionalis Kemelayuan dan Anti Penjajah. Beliau adalah Pengasas Gerakan Angkatan Muda dan People's Action Party. Pernah memimpin Jabatan Pengarang di Utusan Melayu, Berita Malai, Berita Harian dan New Straits Times.

Beliau juga adalah orang yang menjadi Penggerak Utama yang melebarkan kewartawanan menjurus ke media elektronik dan pernah memimpin TV3 mencari identitinya. Ditahan bawah ISA 1976 hingga 1981 dan Undang-undang Darurat 1951 hingga 1953. A. Samad Ismail bukan sahaja seorang Tokoh Wartawan, beliau ialah Kewartawanan itu sendiri.

* Pak Samad telah kembali ke rahmatullah pada jam 5.58 petang semalam di Hospital Pantai Kuala Lumpur akibat jangkitan paru-paru. Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di No 2 Jalan 16/7C, Petaling Jaya dan selamat dikebumikan pada hari ini, selepas solat Jumaat. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

Tuesday, September 2, 2008

MoU NOVELIS & ALAF 21

Klik sini: Akujanji

Dari kiri: Sharifah Abu Salem, En. Norden, Norzailina Nordin, Aisya Sofea, Damya Hanna, Sri Diah, Ramlee Awang Mursyid, Anis Ayuni dan Editor Alaf 21, Wan Rohana dan Saadiah



Monday, September 1, 2008

KITA ADALAH: MATA, HATI DAN JIWA MERDEKA

Jika kau masih terlena, bangkitlah
Jika kau sudah sedar, syukurlah
Ini hari bahagia yang datuk dan nenek kita cipta
Ini hari merdeka yang tidak ramai merasanya

Merdeka ini bebas jiwa, fikiran turut bebas
Namun tindakan bukanlah sebebas sesuka kita
Walau dunia ini luas dan langkah tidak terbatas
Logiknya dunia ini masih belum kita yang punya

Di mana tangga-tangga kejayaanmu?
Sudah yakinkah kamu dengan hari depan?
Jika belia itu tulang negara
Sudah kuatkan menempuh pancaroba?
Jangan menjawab ia jika belum benar bersedia

Malaysia ini bukan milik peribadi, ia milik bersama
Telusuri ia dengan akal, dengan cinta sepenuh jiwa
Putih kata hati
Mungkin hitam kata akal
Indah kata budi
Mungkin hodoh wajah diri
Imanlah yang menjadikan kita lebih dewasa

Orang muda... kejayaan tidak datang sendiri
Ingatkah pesan emak saat mula belajar bertatih?
Selangkah hari ini adalah untuk dua langkah hari esok
Terjatuh dan luka itu biasa, bangkit dan cuba lagi
Hingga kamu boleh berlari, boleh melompat lebih tinggi

Merdeka ini bahagia
Sepatutnya kita bebas belenggu prasangka
Lepaskan ego, dendam segala
Kita berlari mendepang dada

Kau adalah harapan hari muka
Dalam tanganmu sudah ada mutiara
Jangan kau campak kembali ia ke laut terbuka
Kelak ruginya, kau yang merasa

Malaysia ini hanya satu
Ia bukan banyak seperti kau baru belajar bercinta
Bilamana berkasih hari ini, esok mencari cinta baru

Malaysia ini hanya satu
Kita menumpang sementara
Ia adalah milik anak cucu
Kita siapkan untuk mereka
Sebuah dunia, maju duniawi
Sebuah dunia, tamadunnya tinggi,
menyanjung pekerti

Ingatlah adikku,
Menuju jaya itu perit teramat
Namun sinar ke arah itu tetap ada
Asal kita bersatu hati
Berpisah hanya kerana mati

SRI DIAH
- Shah Alam

* Puisi untuk Kementerian Belia dan Sukan sempena Sambutan Kemerdekaan ke 51. Projek wrap around bersama akhbar Sinar Harian Edisi 31 Ogos 2008.


Saturday, August 30, 2008

SALAM KEMERDEKAAN KE 51


Kenangan Hari Kebangsaan 2003


RAMADAN, TETAMU YANG DIRINDUI...


Tuesday, August 26, 2008

MAK, ABAH, AIMAN, MILO & RACUN RUMPAI
SEHARI dua ini saya amat hiba melihat iklan Petronas hasil sentuhan Afdlin Shauki si Selamba Kodok itu. Anak-anak pun suka, sambil saya terapkan intipati cerita itu kepada mereka. Terngiang-ngiang di telinga, terbayang di mata;

AIMAN: Abah... boleh tak abah belikan Aiman jala ikan?

ABAH: Aiman, kalau abah ada duit bukan setakat jala ikan... ikan jaws pun abah boleh belikan untuk Aiman. (Kemudian si Aiman terdiam terkulat-kulat.)

AIMAN:
Abah, boleh tak abah belikan Aiman kereta kayuh... Sebab esok hari jadi Aiman.

ABAH: Aiman... kalaulah daun cempedak abah tu boleh jadi emas, bukan setakat kereta kayuh, kereta kebal pun abah boleh belikan. (Lagilah si Aiman terpinga-pinga.)

Huwaaa... saya sebak dalam hati. Kali pertama ditayangkan, tanpa sedar air mata menitis. Saya teringat semasa kecil, ketika duduk di rumah setinggan dan menumpang menonton televisyen hitam putih di rumah jiran. Kisahnya begini:

Iklan sejenis minuman sedang ditayangkan di televisyen. Saya tergoda ... air tu nampak sedap dicurah masuk dalam cawan. Kemudian saya menelan liur apabila budak dalam iklan itu meneguk air itu penuh nikmat. Nampak berdegup-degup mengalir dalam tekaknya. Seusia itu saya belum pernah minum air tu!

SAYA: Mak... nanti buatkan Odie air macam tu ya...

MAK: Baiklah, nanti mak buatkan kalau abah beli benda dalam tin tu (Benda itu ialah Milo. Waktu tu Milo dalam tin.)

Selepas iklan Milo, satu lagi iklan ditayangkan. Saya nampak air yang dicurah ke dalam bekas itu pun seperti sedap. Tak tahu warna apa, sebab tv itu hitam putih. Dan waktu itu saya belum pandai membaca.

SAYA: Mak... nanti Odie pun nak jugak air macam tu ya...

MAK: Eh, mana boleh! Air tu tak boleh minum. Nanti mati.

SAYA: Kenapa mak?

MAK:
Itu racun rumput...! (Tak lama selepas itu baru saya tahu itu ialah iklan racun Round Up.)

Moral ceritanya: Alhamdulillah berkat susah payah mak dan abah berjimat cermat zaman dulu, mereka berjaya menghantar kami adik beradik ke sekolah dan ke peringkat universiti. Terima kasih mak, abah. Kini kami pula yang belikan mak dan abah apa sahaja yang mereka mahu. Termasuk Milo itu! Racun rumpai tidaklah kami belikan sebab tak ada rumput yang nak diracun di keliling rumah...

Monday, August 25, 2008

PULANGKAN...



MACAM
tajuk lagu berhantu nyanyian Misha Omar. Pulangkan... ya pulangkan suamiku kepadaku dan anak-anak....! Sejak penamaan calon 16 Ogos hingga esok 26 Ogos kami telah terpisah zahir dan batin. Huwaaa, cuma tinggal sehari sahaja lagi segalanya akan berlalu dan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pun berakhir. Fullstop!




APAKAH:
- MENANTI HARI ESOK
- ESOK MILIK SIAPA
- ESOK MASIH ADA

(Ah dah tak ingat, tajuk-tajuk filem arahan Jins Shamsuddin...)

Cuma pesan saya, ESOK BALIK YA! JANGAN TAK BALIK...!
Kalau lewat balik, SIAP KAU...!

Wednesday, August 20, 2008

DOA UNTUKNYA
SAYA
sayu membaca news dalam Berita Harian mengenai keadaan pencipta lirik terkenal, Abang Haron Abdulmajid yang kisahnya pernah saya paparkan di sini minggu lalu. Dia seorang penulis yang hebat. Liriknya banyak makna, tidak seperti lirik lagu hari ini yang maknanya selapis sahaja.

Kisah ketumbuhan di otaknya memang mengejutkan, ada tujuh! Dia tidak pernah mengadu sakit apa-apa apabila kerap menelefon saya akhir-akhir ini dari Singapura. Rupanya dia tipu saya... semoga beliau cepat sembuh, atau kalau Tuhan mahu ambil nyawanya, janganlah biarkan dia menderita terlalu lama... kasihan juga pada anak- anak dan isterinya yang masih di Jogjakarta. Amin.

* Klik sini untuk membaca kisah beliau.


- Gambar dari Berita Harian

Sebenarnya sebelum S Amin Shahab dan arwah Loloq (sekitar 80-an, Haron Abdulmajid lebih dulu popular (sekitar 70-an. Bukanlah nak kata saya sudah kenal dia sejak 70-an (kalau begitu sudah tua sangatlah akak ni!). Perkenalan dengannya bermula apabila dia gemar membaca novel-novel saya. Katanya semua judul novel saya ada dalam simpanannya yang kebanyakan dibeli di Johor Bahru. Paling dia suka novel KUALA LUMPUR DI MANA SUAMIKU. Dia kata dia akan buat novel seperti itu dengan judul; JOGJAKARTA, DI MANA ISTERIKU. Saya alu-alukan.

Dia adalah pelajar saya yang lulus sampai boleh hasilkan novel - Ombak Jadi Saksi terbitan Buku Prima. Selepas itu saya cabar dia terus menulis dan menurut Encik Ali, Editor Buku Prima, novel terbaru beliau sedang dalam suntingan mereka. Oh sempatkah...?

Lagu Khayalan (Black Dog Bone), lagu-lagu Broery Marantika, Sharifah Aini, Sudirman Hj Arshad, Jamal Abdillah dan ramai lagi menggunakan khidmat Haron sebagai penulis lirik.

Mana mungkin kita lupa lagu raya Sudirman seperti Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Tulis Nama atas Batu, Apa Khabar Orang Kampung... itu semua adalah lirik ciptaan Haron.

p/s saya copy paste di sini antara lirik ciptaan beliau.
Khayalan
Khayalan menjelma
Ketika fikiran melayang menjauh mengenangkanmu
Suaramu yang mesra mengalunkan lagu
Irama hatimu yang sepi
Aku dapat merasa engkau dalam derita
Kerna kasihmu tinggalkan pergi

Ku masih terdengar senandung duka mu
Yang engkau curahkan di malam itu
Wajahmu terbayang
Mengukir senyuman yang penuh kepahitan
Aku sungguh simpati
Akan nasib dirimu
Tapi apakan dayaku ini

Diriku sudah pun berpunya kekasih hati
Tak mungkin kutukar ganti
Pada mu yang datang dalam khayalan

Kau carilah pengganti
Agar kau gembira lagi
Usahlah kau mengganggu
Wajah muncul dalam khayalan


Ku Utuskan Doa
Setelah lama tak berjumpa
Ku dengar berita pilu
Jarimu telah bersarung cincin
Ikatan emas permata

Hasratku untuk menyuntingmu
Hancur lebur bagai debu
Kuutuskan doa yang ikhlas
Hingga ke jenjang pelamin

Kini engkau datang padaku
Bersama tangisanmu
Kau enggan bersanding dengannya
Pemuda tunanganmu

Kau rayu aku melamarmu
Sebagai suri hidupku
Tak rela aku kecewakan
Dia insan sejenisku

(Lagu : S Atan - Lirik : Haron Abdulmajid )


Si Gadis Ayu

Hey sigadis yang manis
Senyum di bibir terlukis
Hey si gadis yang ayu
Sebentar lagi kita bertemu

Wow Wow... gadis ayu
Lesung pipit di pipi
(Ayu) Senyummu menawan
Gadis ayu
Ku jangan dihampakan
(Ayu) Sungguh ayu

Hey si gadis nan manja
Aku telah jatuh cinta
Hey si gadis yang ayu
Kau kan jadi milikku

Wow Wow... gadis ayu
Lesung pipit di pipi
(Ayu) Senyummu menawan
Gadis ayu
Ku jangan dihampakan
(Ayu) Sungguh ayu

Gayamu lembut bila engkau menari
Kepintaranmu itu menarik hati

Hey si gadis yang manis
Senyum di bibir terlukis
Hey si gadis yang ayu
Sebentar lagi kita bertemu

Wow Wow... gadis ayu
Lesung pipit di pipi
(Ayu) Senyum mu menawan
Gadis ayu
Ku jangan dihampakan
(Ayu) Sungguh ayu

Monday, August 18, 2008

SINAR HARIAN DUA TAHUN
ALHAMDULILLAH.
Kek tajaan Astro dan kenduri buah-buahan yang terbaik dari ladang terpilih hari itu ditaja oleh FAMA Negeri Selangor. Pengarah FAMA Selangor Che Ghani, belakang (bermisai itu) dan wakil Astro, Anis Adura, kiri sekali. Eh, siapa yang terendah antara yang tinggi itu...



Friday, August 15, 2008

JUMAAT: 15 Ogos 2008

DI KUALA LUMPUR: Ada orang bersumpah.

DI PERMATANG PAUH: Ada orang menyumpah.