Wednesday, December 7, 2011

APABILA TUKANG MASAK BERENTAP
SEHINGGA  minggu ini sudah masuk siri entah ke berapa puluh… namun yang pastinya sudah lebih 40 siri. Ternyata program ini membuatkan ramai wanita termasuk juga lelaki dari usia anak-anak hingga ke umur senja, mengambil masa hampir satu jam melekap duduk di hadapan televisyen.

 Sebelum ini kita hanya menonton rancangan sebegini diadakan di USA, Australia, New Zealand, Croatia, Greece, India dan lain-lain sahaja. “Tengok betul-betul. Nanti bolehlah awak masak macam tukang masak itu.” Kata seorang isteri kepada suaminya yang leka menghadap televisyen, menonton siri pertandingan memasak itu.

Ketika itu edisi cabaran selebriti sedang disiarkan. Memanglah kata-kata itu seperti kata perli sahaja tetapi semua itu tidak mustahil. Bukankah ramai dalam kalangan chef terdiri daripada golongan lelaki?
 Ternyata siri MasterChef Malaysia ini juga menghantui saya. Bahkan siri ini telah menjadi inspirasi saya mencuba aneka masakan, pelbagai gaya dan cara. Ada gaya campak-campak saja apa-apa bahan yang ada dan sesuai dari dalam peti sejuk. Ada juga cara yang selama ini tidak pernah dibuat, saya cuba. Contohnya memasak menggunakan labu sebagai sos untuk spagheti.

Walaupun peserta terdiri daripada doktor, artis mahupun penoreh getah, hakikatnya mereka adalah orang biasa yang perlu bersaing dalam menyediakan masakan menarik dan menyelerakan. Apa yang penting berjaya memuaskan hati juri.
 Sebenarnya ramai tertekan menonton siri ini. Bukan sahaja peserta, kita yang menonton juga boleh stres. Arahan dan teguran chef membuatkan peserta pencarian tukang masak terhebat berpeluh-peluh dibuatnya. Ada yang panik, putus asa; terutama apabila tempoh yang singkat diberikan tetapi diwajibkan memasak dengan betul, tepat mengikut resipi dan yang penting mesti sedap.

Berbeza dengan siri pencarian tukang masak muda negara luar, perasaan tertekan itu agak kurang dirasai. Tukang masak yang mengadili seberapa boleh cuba bermain psikologi. Tidak terlalu menekan perasaan peserta. Mereka tidak membuatkan peserta terkejut-kejut dengan tengkingan.

Jika marah pun masih lagi dalam nada terkawal. i negara luar, peserta muda belasan tahun yang menyertai siri ini juga tidaklah terlalu mengikut perasaan dan tidak menunjuk-nunjuk untuk menangis. Mereka berjaya mengawal emosi.
Setakat mencebik, itu biasa kerana ia adalah perasaan masing-masing, sesuai dengan umur mereka. Berbeza dengan peserta kita yang lelaki pun jelas-jelas menitiskan air mata jantan mereka. Nampak sangat seperti ada drama pula.


Bagaimanapun saya memang berminat untuk terus menonton siri ini kerana banyak ilmu baru dunia masakan diperoleh. Paling menarik, slot Peti Sajian Misteri. Rasanya seperti penonton lain juga, saya tidak sabar-sabar hendak tahu apakah isi kandung peti misteri itu. Ada belut kah? Ada itik? Gamat ataupun siput sedut? Jangan-jangan ada otak lembu... hendak masak apa? Bolehkah siap dalam tempoh 45 minit dan gerenti sedap.



Fokus program ini semestinya memberikan inspirasi dan peluang kepada chef baru mencungkil bakat mereka dalam bidang masakan dan dilatih oleh mereka yang berpengalaman dalam industri masakan. Semestinya rancangan ini akan membuka ruang kepada chef-chef ini untuk mengubah kerjaya, impian dan aspirasi kehidupan mereka ke suatu tahap boleh dibanggakan.



Jika dilihat pada episod awal ia disiarkan, peserta yang terdiri daripada 40 orang diasak cabaran getir apabila mereka perlu bersaing memasak makanan mengikut apa yang diminta dalam tempoh tertentu. Bukan itu sahaja, jika masakan mahupun persembahan makanan tidak mencapai tahap diinginkan juri-juri akan mengkritik.


Apa yang pasti selain gemar memasak, saya menonton siri berkenaan kerana salah seorang peserta yang masih bertahan dalam perjuangannya ialah sahabat saya, novelis Shahriah Abdullah. Beliau novelis yang sudah menghasilkan tujuh judul novel bersama Grup Buku Karangkraf.



Saya memang tahu beliau mahir memasak, suka mencuba pelbagai resipi baru dan pandai mereka-reka resipi. Hidangan tradisional, pencuci mulut, kek dan biskut serta hidangan barat memang kemahiran beliau. Saya gembira beliau masih lagi bertahan dalam perjuangannya.

Seperkara lagi ialah kehadiran chef jemputan, Chef Norman juga penulis buku resipi bersama Grup Buku Karangkraf. Buku Hidangan Timur dan Barat tulisan beliau baru sahaja berada di pasaran. Beliau ada restoran di Manchester United dan merupakan chef profesional untuk Team F1 2010.

Akhir sekali, saya benar-benar terkesan dengan siri masakan ini apabila salah seorang pesertanya mengakui dia benar-benar memerlukan kemenangan. Sebabnya, dia amat memerlukan duit untuk mengubati penyakit ibunya. Alangkah sucinya hati penoreh getah berkenaan. Insya-ALLAH!

>>>>>> (Tulisan dalam Sianr Harian 9 Disember 2011)

Tuesday, December 6, 2011

NOVEL KE DRAMA & FILEM
HARI ini ada perbincangan panjang bersama seorang wakil penerbit. Harap-harap perbincangan ini sukses dan memberi faedah kepada kedua-dua belah pihak. Saya serahkan novel-novel saya; Kuala Lumpur di Mana Suamiku (10 kali ulang cetak),  Selamat Malam Tan Sri (6 kali ulang cetak) dan SUITE 1908 (9 kali ulangcetak). Boleh tengok gambar kulit depan novel-novel ini di sidebar.

Dalam masa sama saya kecewa sangat-sangat dengan statment yang keluar di akhbar-akhbar mengenai ketidakpuasan hati penulis Novel Ombak Rindu. Ya Allah... semoga saya tidak akan menjadi seperti itu. Semoga Kau pelihara maruahku, Kau perkuatkan imanku... bahawa segala akal, segala kata-kata, segala yang telah saya lahirkan dalam karya-karya saya adalah milik-MU yang lebih berhak.

>>> (Semoga paparan ini akan menjadikan saya sedar diri)

Monday, December 5, 2011

FIESTA BUKU KARANGKRAF
HARI ini Isnin 5 Disember 2011. Kami baru sahaja selesai dengan Fiesta Buku Karangkraf yang diadakan dari 2 - 4 Disember 2011. Fiesta tiga hari ini memang menggamatkan. Memang gempak. Memang Hot. Hot. Hot.


Bak kata pengunjung, fiesta buku ini bagaikan mini Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Putra World Trade Center. Kata mereka Auditorium Kompleks Media Karangkraf itu bagaikan Mini Dewan Tun Hussein Onn PWTC tempat kami selalu mengadakan jualan sepanjang PBAKL.


Asalnya fiesta ini diadakan di ruang letak kereta - iaitu pada Jumaat dan Sabtu. Bagaimana pun pada Sabtu itu telah ditakdirkan seorang kanak-kanak perempuan telah jatuh pengsan di dalam barisan ketita sedang beratur untuk membuat bayaran. Oh my GOD! Keadaan agak kelam-kabut waktu itu.


Hari Sabtu memang penuh sesak dengan pengunjung, ditambah dengan cuaca terik. Berbanding dengan Jumaat, sejuk sedikit kerana hujan turun renyai-renyai.


Oleh itu pihak kami mengambil keputusan untuk mengalihkan fiesta berkenaan ke dalam Auditorium. Di dalam auditorium ada hawa dingin dan lebih selesa. Berhampiran pula dengan Karangkraf Mall dan juga Kafe. Malah pengunjung hari Ahad adalah lebih ramai berbanding hari Jumaat dan Sabtu.


Pada hari Ahad tengahari gempar pula di dalam auditorium apabila seorang budak lelaki berumur lingkungan llima tahun menangis teresak-esak kerana kehilangan keluarga dalam dewan yang sesak itu. Adam namanya.



Alhamdulillah daripada ketiga-tiga hari itu, kami telah mencapai target jualan. Malah kutipan ketiga-tiga hari itu telah melebihi target kami...!
(Di sini > Gambar-gambar sekitar Fiesta Buku Karangkraf)

Sunday, December 4, 2011


Dana RM2 Juta Untuk Penulis Buku

 KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM2 juta dalam bentuk dana untuk penulis buku tempatan sebagai sebahagian daripada inisiatif membudayakan penulisan dan penerbitan buku bagi memudahkan rakyat membuat rujukan ilmiah.
Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, mereka yang layak membuat permohonan bagi dana itu termasuk golongan penulis, guru dan para sarjana.
"Dana itu bertujuan khusus untuk membantu penulis menerbitkan buku yang masih berada di peringkat manuskrip dan membeli buku secara terus daripada penulis," katanya ketika menjawab soalan Mohsin Fadzli Samsuri (Bebas-Bagan Serai) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.
Mohsin Fadzli ingin tahu apakah langkah-langkah untuk membudayakan penulisan dan penerbitan buku-buku ilmiah, separa ilmiah mahu pun penulisan komersil yang masih kurang di kalangan guru dan ilmuan.
Salang berkata Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) turut mengadakan program untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai tanggungjawab penulis dan penerbit bagi mendapatkan International Standard Book Number (ISBN) dan International Standard Serial Number (ISSN).
Beliau berkata, bagi penulisan buku ilmiah oleh para sarjana tempatan lazimnya diterbitkan oleh koperasi penerbitan insitusi pengajian tinggi masing-masing.
Link asalnya (Di Sini). Gambar-gambar yang saya paparkan menunjukkan sesi kursus penulisan yang saya anjurkan, demi untuk mencungkil lebih ramai lagi bakat-bakat baru dalam bidang penulisan.

Saturday, December 3, 2011


PENULIS DITAWAR TERBIT KARYA
SHAH ALAM – Fiesta Buku Karangkraf selama tiga hari bermula hari ini, menyediakan platform kepada bakal penulis dan novelis menjual bakat penulisan mereka untuk diketengahkan menjadi karya. 

Pengurus Besar Editorial Grup Buku Karangkraf, Sri Diah Shaharuddin berkata, selain menampilkan pelbagai buku dan novel dengan harga menarik, fiesta buku ini akan menjadi medan pertemuan antara editor dan mereka yang berminat menceburi bidang penulisan.

Menurutnya, fiesta ini juga diharap dapat melahirkan lebih ramai penulis baru di samping mencungkil bakat dan minat penulisan berbentuk novel dan buku seperti umum, kanak-kanak dan agama.

“Ini peluang baik untuk calon atau bakal penulis berjumpa editor Grup Buku Karangkraf bagi mengetahui prosedur diperlukan untuk mengetengahkan karya dihasilkan.

“Mereka boleh membawa manuskrip yang sudah siap atau bentuk buku yang ingin dihasilkan selain bertukar-tukar fikiran dengan editor yang ada di fiesta,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Peminat tegar buku dan novel keluaran Alaf 21, Buku Prima dan Karya Bestari juga berpeluang bertemu penulis terkenal seperti Ramlee Awang Murshid, Hezzy Azra, Eyman Hykal dan Hani Fazuha.

Antara novel baru terdapat di Fiesta Buku Karangkraf adalah Aku Pilih Dia nukilan Hezzy Azra, Hati Kala Cinta nukilan Hani Fazuha, Tak Mungkin Dia nukilan Rania Firdaus dan Detik Debar nukilan Eyman Haikal. Selain itu, peminat novel Ombak Rindu juga boleh mendapatkan karya Fauziah Ashari itu dengan tawaran harga menarik.


Peminat buku resipi boleh mendapatkan harga pakej RM20 untuk lima buku dan bagi penggemar novel, tambahan diskaun 10 peratus akan diberikan untuk pembelian sesetengah lima judul novel.

Setiap buku dan novel keluaran Grup Buku Karangkraf ditawarkan dengan diskaun 25 peratus sehingga 80 peratus semasa Fiesta Buku Karangkraf yang diadakan hingga 4 Disember 2011 di pekarangan kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, di sini.

Fiesta Buku Karangkraf akan bermula seawal 9 pagi sehingga 6 petang dengan menampilkan pelbagai koleksi buku dan novel baru serta lama untuk kanak-kanak, remaja dan dewasa.


Untuk artikel asal (Klik di Sini)

Friday, December 2, 2011

FIESTA BUKU KARANGKRAF
DARI  2 Disember - 4 Disember 2011 adalah tiga hari yang bermakna bagi kami pada hujung 2011. Pesta buku tiga hari ini telah menghimpunkan ramai penggemar produk Grup Buku Karangkraf. Diskaun dari 20 % hingga 80% membuatkan lima khemah di pekarangan pejabat kami penuh sesak. Hujan yang turut mencurah tidak menimbulkan masalah malah ada yang lencun bermandi hujan.


Banyak istimewanya apabila kami mengadakan jualan buku dalam kawasan pekarangan pejabat. Antaranya kerana tidak dikenakan sewa khemah. Sebab itulah kami mampu memberikan tawaran harga yang gila-gila hingga 80 %. Selain itu terdapat kawasan parkir yang amat luas dan percuma. Ada kafe untuk melepaskan dahaga dan lapar. Juga ada Surau As Syam yang besar selesa dan berhawa dingin.



Alhamdulillah. Kami amat gembira dengan sambutan hebat ini. Biasanya ramai yang ambil cuti tahunan pada penghujung tahun begini namun saya amat berterima kasih kepada anak-anak buah yang sanggup bekerja, sanggup menunda cuti untuk sama-sama berjuang mengeluarkan stok dari stor, mengatur atas meja, melayan pembeli dan turut basah kuyup bersama-sama.

Ini gambar anak-anak dara 
dan mak dara yang menjadi penjual buku selama tiga hari.
Selepas tamat jualan buku ini saya mahu cuti. > Ya Bos, Saya Mahu Bercuti < Sehingga tarikh ini saya ada lagi 13 hari cuti tahunan. Saya tak kira, saya tetap hendak habiskan cuti 13 hari itu sebelum datang tahun 2012. Okey set. Saya nak cuti...!

Thursday, December 1, 2011

UNTUK DOKUMENTASI (AL-FIKRAH.NET)
DALAM merayau-rayau meninjau blog-blog dan laman web peribadi dan komuniti saya terjumpa video-video ini. Hehehee... suara saya kecil saja rupanya bila dialih ke dalam bentuk audio... macam suara budak-budak pula bila saya amat-amati.

Video terbitan Al-Fikrah.Net:
Suara saya : (Di sini > Saya baru terjumpa video ini) > Penulisan Buku
Datuk Haji Hussamuddin (Terjah Di sini) > Kongsi Pengalaman
Penerangan Ahmad Yani : (Di sini) > Dunia Wartawan
Pensyarah UIA : (Bicara Dr Zaharuddin) > Teknik Tulis Blog

Terima kasih kepada semua yang terlibat.
Saya amat menghargainya.

Wednesday, November 30, 2011

CERITA DUKA AKHIR NOVEMBER
GONE...! Sekelip mata saya terpana!
- Lesen Memandu
- Kad Pengenalan
- Kad-kad Bank
- Dokumen-dokumen penting
- RM Tunai
Kini, Saya tak mahu beli apa-apa yang tidak penting. Satu yang penting saya nak beli dalam waktu terdekat ini ialah dompet duit! Ya Allah, Kau tabahkan hatiku. Kau kuatkan semangatku. Hanya kata positif yang mampu memperkukuh iman, amal dan takwa saya. Sudah tiga hari berlalu, saya tunduk di bawah takdirnya.

Tuesday, November 29, 2011


BENGKEL PENULISAN BERSAMA AL-FIKRAH.NET
LAMAN web Al-Fikrah.Net mempunyai page view yang sungguh ramai. yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan kerjaya. Saya telah diminta untuk memberikan ceramah penulisan kepada sebahagian mereka di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf. Sememangnya saya amat berbesar hati dengan pelawaan ini. 







Monday, November 28, 2011

NOSTALGIA BANJIR
KETIKA kecil dulu kami sekeluarga tinggal di kawasan perumahan setinggan di pinggir bandar Kuala Lumpur. Walaupun berada di pinggir bandar,  di Cheras (Kampung Konggo) keadaan waktu itu (antara tahun 1965-1970) tidaklah seperti sekarang. Kami menggunakan air perigi atau air lombong. Kami juga gunakan lampu minyak tanah atau lampu gasolin.

 Saya bersama abang dan adik bergambar bersama abah dan 
kami antara yang kerap bercerita kisah silam, segalnya manis belaka...

Oleh kerana rumah terletak di tepi lombong, apabila hujan turun dengan lebatnya, berlaku jugalah banjir apabila air lombong itu melimpah dan masuk ke dalam rumah. Suasana ketika itu bagi saya yang masih berusia lingkungan 7 - 10 tahun, amatlah menyeronokkan walaupun basah lencun, tilam hanyut, pinggan mangkuk tenggelam dan sebagainya.


Namun air cepat surut. Seharian sahaja, esoknya sudah kering semula. Kerja-kerja membersihkan rumah juga menyeronokkan. Bekas mengisi air yang disimpan semalaman amat membantu kerja-kerja membersih rumah. Habis mangkuk, baldi, besen, bekas minuman kami tadahkan dengan air hujan. Air itulah yang diguna untuk membasuh rumah, menjemur tikar getah, menjemur tilam dan bantal.

Anak-anak sekarang tidak merasai susah kami ketika masih sebaya usia mereka... kami masuk hutan ambil kayu api, mengambil air telaga di bawah bukit, mengutip paku pakis dan pucuk api di kebun... bila hujan reda, esoknya masuk ke hutan mencari cendawan...


Abah yang dipanggil Tok Din oleh cucu-cucu... 

Namun banjir hari ini bukan calang-calang. Nyawa menjadi galang gantinya. Ada rumah yang tenggelam sampai ke bumbung, ada yang hanyut. SubhanAllah, besar sungguh kuasa-MU Ya Allah... kami berlindung di sebalik kekuasan-MU.

Ah... segalanya nostalgia. Sangat manis untuk dikenang. Baca kisah banjir yang saya alami di pantai timur >>> (di sini)<<<. Ada suka, ada duka... namun kenalah lihat pada jumlah yang beribu-ribu mangsa yang terbabit dan berjuta-juta ringgit yang terpaksa disediakan untuk menghadapi masalah banjir. Salam

Saturday, November 26, 2011


SALAM TAHUN BARU
Berpindahlah dari samar kepada terang.
Berubahlah dari kufur kepada nikmat
Jauhi maksiat kepada syariat
Jauhi malas kepada rajin
Tinggalkan dosa, kutip pahala
Gambar kenangan ketika saya 
Mabit di Muzdalifah pada Oktober 2010
PELAN PERLAKSANAAN 2012
PADA 24 dan 25 November lalu kami di Grup Buku Karangkraf telah mendedahkan kepada pihak pengurusan syarikat standard yang mahu kami capai sepanjang 2012 dan tahun-tahun selepas dari itu. Setiap jabatan dengan setiap genre membentangkan pelan yang mahu mereka capai.

Beberapa prosedur standard (SOP - Standard Operationg Procedur) telah saya gariskan yang mesti dipatuhi oleh setiap karyawan. SOP ini juga saya tetapkan untuk setiap penulis-penulis kami. SOP ini adalah perkara paling penting dan jangan tidak-tidak, mesti dipatuhi.


SOP adalah senjata pengurusan yang sangat penting supaya memudahkan semua keputusan. Karyawan juga sudah tahu apa yang patut dan apa yang tidak patut mereka lakukan. Tanpa SOP banyak keputusan akan tergantung-gantung, berdolak dalih, berlebih kurang dan dipengaruhi pelbagai sentimen peribadi.

 Standard cara kerja tidak 
membataskan perhubungan mesra sesama rakan sekerja.

Majlis-majlis yang akan menjadikan SOP satu kenyatan.

Standard prosedur akan tercapai dengan adanya 
rasa kebersamaan, rasa dihargai dan rasa selamat dalam kerjaya

Pelan Perlaksanaan 2012 telah ditetapkan. Kini kedatangan tahun baru bukan satu bayangan hitam. Saya dan semua karyawan saya telah pun memulakan langkah, malah kami sudahpun bersedia untuk berlari ke langit.

Friday, November 25, 2011

MENCURI ILMU
DATUK Haji Daud Che Ngah memang idola saya semasa dua tahun saya mengikuti kelas-kelas agama dan kursus-kursus haji terutamanya sebelum mendapat jemputan paling istimewa daripada ALLAH SWT untuk menunaikan haji pada tahun 2010 yang lalu. 

Syukukr Alhamdulillah, pekerjaan haji saya amat selesa. Saya dapat membuat segala yang rukun dan yang wajib dalam haji. Segalanya dipermudahkan olehaNYA. Lebih daripada itu saya bersara amat bersyukur kerana sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat semasa di Madinah dan di Makkah.

Semasa di Mina, khemah kami yang mengikuti rombongan muasasah, ditempatkan bersebelahan khemah dengan rombongan haji kelolaan swasta, yang turut dikendalikan oleh Ustaz Haji Daud. Saban masa selama tiga hari di Mina itu, saya kerap mencuri-curi mendengar syarahan yang diberikan oleh  beliau kepada jemaah swasta yang dikenalikannya itu.

Datuk Haji Daud Che Ngah ketika
 menandatangani buku tulisannya di PBAKL, di PWTC pada Mei 2011.

Apa hukumnya? Berdosakan saya mendengar syarahan secara curi-curi? Percuma pula, sedangkan jemaah swasta membayarnya dengan harga yang mahal?

"Tak mengapa, tak berdosa!" Itu sahaja jawapan ringkas beliau. "Saya ikhlas, saya tak halang siapa sahaja nak mendengar ceramah saya... saya menyebar ilmu dan ilmu itu jika dimanfaatkan dengan baik, pahala tetap berbalik kepada saya..." Katanya.

Alhamdulillah, buku tulisan beliau bersama Grup Buku Karangkraf yang kami bincangkan sebaik sahaja habis pekerjaan haji pada 2010 telah pun berada dalam pasaran. Semoga ilmu yang diberi, dibaca dan dimanfaatkan dengan penuh tawaduk... saya pun ingin menumpang pahala atas persetujuan Datuk Ustaz Daud menulis dengan kami.

Wednesday, November 23, 2011

SASTERA KANAK-KANAK DALAM TANGAN ORANG DEWASA
SETIAP penerbit mesti bertanggungjawab terhadap potensi kanak-kanak dan remaja. Buku-buku yang dihasilakan untuk mereka hendakklah mengekalkan ciri-ciri tempatan, cerita yang baik dan bahasa yang sesuai untuk kelompok sasaran.

Sekiranya ini diabaikan, penerbit harus berdepan dengan hukuman bahawa mereka telah merosakkan sebuah masa depan yang murni untuk kanak-kanak dan remaja masa depan warisi.


Berita dan gambar dari Berita Harian bertarikh 23 Nov 29011.
(Berita mengenai sastera kanak-kanak tempatan)
(selanjutnya di sini)

Dunia - Pejam Celik


Bergambar bersama Sophia Othman
 penulis Grup Buku Karangkraf di Lowen Hotel, Frankfurt

PULANG dari Frankfurt Book Fair (11 - 16 Oktober 2011) jadual saya terus sibuk. Memang betul kata ramai sahabat, apabila orang kreatif menjadi orang pengurusan, idea menulis jadi tepu. Saban hari penuh dengan kerja-kerja pengurusan.

Mesyuarat. Mengatur tugas pegawai seliaan. Menyusun jadual demi jadual perancangan kerja dan sebagainya... Subhanallah, saya tidak menyalahkan sesiapa... mungkin saya yang tidak pandai mengatur masa!
Bersama Datin Patimah Ismail, isteri Datuk Yusuf Haslam


Antara kesibukan saya dalam dua minggu;
* Festival Buku Kanak-Kanak di Perpustakaan Kuala Lumpur, Dataran Merdeka
* Karnival Buku Karangkraf di Plaza angsana, Johor Bharu
* MVVM (Mission, Value, Vision, Meaning) Untuk Pengurusan Karangkraf
* Majlis Jamuan Hari Raya Haji
* Mesyurat2 Presentation 2012
* Bengkel Penulisan al Fikrah
* Meeting Pustaka Mizan, Jakarta, Indonesia
* UITM Seri Iskandar, Perak
* Pelancaran Buku Fazley Yaakob
* Mesyuarat2 Karnival Karangkraf
* Mesyuarat2 Festival Penulis Karangkraf
* Presentation 2011 Grup Buku Karangkraf
* Sesi janji temu orang persaorangan, syarikat, Datuk2
* ... dan lain-lain lagi sama ada yang rasmi, tidak rasmi, urusan sahabat-sahabat dan kelaurga

Bersama salah seorang peminat di Mini Karnival Karangkraf 
di Plaza Angsana, Johor Bharu

Semoga hari-hari mendatang, senarai di atas atau tambahan-tambahan yang lain lagi tidak akan melemahkan semangat . Saya akur, sebagai pekerja semua tugas adalah terletak di atas batu jemala saya... Saya tidak menyesalinya. Itu tanggungjawab saya.

Bersama Asnidar Shafie, penulis Grup Buku Karangkraf 
di Bengkel Penulisan Kreatif anjuran Fikrah.net

 Di majlis sambutan ulangtahun kelahiran 
Mak Long dan Kak Long pada tarikh yang cantik 20-11-2011 


Oh ya pada 29 & 30 November 2011 nanti saya akan terbabit pula dengan satu projek besar bersama Perpustakaan Negara Malaysia.

Ya, saya memang dah tak sabar hendak bertentang mata (lagi dan lagi...) dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sunday, November 20, 2011

INI  ANAK-ANAK SAYA JUGA
SAYA rasa tidak cukup dengan hanya memiliki tiga orang anak sahaja. Sedangkan kasih saya saya mewah! Adalah wajar saya berbahagi kasih dengan yang lain... selain anak-anak yatim yang rumah perlindungan mereka selalu kami anak beranak singgahi apabila ada masa terluang, anak-anak berekor ini juga wajaar mendapat kasih dan sayang kami.

Cik Milla yang sopan

Saya bersama Datuk Karim

Ada 12 ekor kesemuanya daripada pelbagai jenis. Mereka menghilangkan stres saya yang dibawa balik dari pejabat. Mereka penghibur kami sekeluarga. Mereka teman kami dalam suka dan duka. Padahal mereka tidak boleh berkata-kata, mungkin tidak faham bahasa kita... tapi mereka amat baik dan memahami apa perasaan kami sehari-hari.

Dusty dan Laura berkongsi bekas tidur

Lihatlah mereka mahukan perhatian

Saya tidak faham mengapa ada manusia yang sanggup menyeksa binatang. Mereka sanggup memotong kaki kucing, sanggup membakar ekor kucing, sanggup mencanpakkan kucing ke atas jalanraya... bagaimana jika perkara itu berlaku kepada mereka? Kepada isteri atau suami mereka hatta kepada anak-anak mereka?

Buah hati  saya, Dusty

 
Tiga beradik jingga yang dicampak dari flat.

Tiga beradik ini telah diselamatkan dari sebuah flat di kawasan perumahan di Cheras. Mereka dicampak dari tingkat dua flat...! Biarlah Allah SWT sahaja yang membalas kekejaman yang telah dilakukan terhadap mereka. Semoga sahabat-sahabat saya yang membaca entri ini tidak bersikap begitu... kerana kucing ialah binatang kesayangan Nabi Muhamaad SAW.