Tuesday, December 30, 2008

ALHAMDULILLAH SYUKUR RAHMAT ALLAH
SEMPENA
kedatangan tahun baru Hijrah 1430 dan Masihi 2009 ini kami sekeluarga mengucap syukur ke hadrat Illahi kerana telah dikurniakan kesihatan yang baik, kejayaan dalam kerjaya serta dipelihara daripada sebarang musibah. Begitu juga terhadap adik beradik yang lain, seluruh keluarga kami. InsyaAllah hari-hari mendatang, akan diberi lebih kekuatan untuk terus menempuh kehidupan yang masih berbaki.

Antara yang manis untuk sehari dua ini apabila si bongsu berjaya ditukarkan dari sekolah Menengah di Seksyen 2 (lebih kurang 5km dari rumah dan kena naik bas) ke Sekolah Mengengah Seksyen 7 (berjalan kaki sahaja dari rumah). Dia Tingkatan 1 pada 2009 nanti.

Yang kedua, kejayaan anak sulung menjadi siswi di Universiti Industi Selangor (UNISEL) - cuma sepelaung sahaja dari rumah. Tidak perlu berulang-alik Kuala Lumpur - Kuala Terengganu lagi. Oleh kerana dekat dengan rumah, dia tidak mahu duduk di asrama. Maknanya akan ulang-alik dari rumah ke kampus dengan keretanya sendiri - lebih kurang lima minit saja perjalanan (saya kata jalan kaki pun boleh, untuk cepat kuruskan badan.)

Semalam pula anak kedua, Anas Iqbal berjaya mendapat 8A dalam ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi kesemua subjek yang dia ambil. Dia yang dulu menangis tidak mahu tinggal di asrama apabila mendapat 5A dalam UPSR, membuktikan dia boleh berjaya walaupun tidak duduk asrama (itu janji dia). Begitu juga anak abang dan anak kakak, result PMR mereka juga bagus.

Saya dan suami berhasrat mahu Anas tinggal di asrama untuk persediaan SPM. Tapi sekali lagi dia menolak. Alasan dia serupa. Entahlah... kalau boleh kami mahu memohon dia ke Maktab Rendah Sains Mara.

Ada sesiapa boleh bagi cadangan? Suami sudah buat survey khabarnya result SPM di MRSM Jasin bagus. Siapa pernah ada pengalaman di MRSM tolonglah kongsi idea.

Sunday, December 28, 2008

SALAM MAAL HIJRAH

Ya Allah Ya Tuhanku, di bulan Muharam yang berkat ini, muliakanlah dan sayangilah saudaraku yang sedang membaca entri ini. Bahagiakan keluarganya, sihatkan tubuh badannya, berkati rezekinya, kuatkan imannya dan berikan kenikmatan beribadah serta jauhkan fitnah ke atas dirinya. Suburkanlah benih kejujurannya dengan penuh rasa kasih sayang selamanya...

DOA AKHIR TAHUN


"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah yang memelihara dan mentadbir sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekelian sahabatnya. Ya, Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku banyak melakukan larangan Engkau, tetapi aku belum bertaubat, sedangkan Engkau tidak redha dan melupai perkara itu. Engkau menangguhkan azab Engkau sudah ditetapkan kepadaku. Engkau memerintahkan aku supaya bertaubat daripada kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku bertaubat dan memohon keampunan daripada Engkau, ampunilah aku. Apa aku lakukan pada tahun ini Engkau redhai dan Engkau janjikan pahala, maka aku memohon daripada Engkau, ya Allah, ya Karim, ya Zaljala liwal ikram, terimalah permohonan ini dan janganlah Engkau hampakan harapanku, wahai Tuhan Maha Mulia. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekelian sahabatnya. Segala puji bagi Allah memelihara dan mentadbir sekelian alam."


DOA AWAL TAHUN


"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah yang memelihara dan mentadbir sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekelian para sahabatnya. Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi, demi kelebihan Engkau yang Maha Agung dan kemurahan Engkau yang melimpah, sesungguhnya pada tahun baru ini aku memohon kepada engkau perlindungan daripada syaitan, konconya, tenteranya dan penolongnya. Dan aku memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan aku dengan perkara tidak berfaedah daripada mendekati diri kepada Engkau. Wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. Wahai Tuhan yang lebih penyayang daripada segala yang penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekelian para sahabatnya. Segala puji bagi Allah yang memelihara dan mentadbir sekelian alam."

Maal Hijrah atau Awal Muharram Ini adalah suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan berlaku penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Mekkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Lebih lanjut tentang Awal Muharam ( * Klik Sini)

Sempena kedatangan tahun baru Hijrah ini diharap akan membawa sinar baru yang gemilang untuk semua, dikurniakan kesihatan yang berkekalan dan dalam keimanan berpanjangan.

Doa ini dipetik dari blog * Seorang Rakan Lama

Saturday, December 27, 2008

AL FATIHAH
TAKZIAH
atas kemangkatan DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman. Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum.

Thursday, December 25, 2008

INI BUKAN SURATAN, INI BUKAN KEBETULAN
EKONOMI
di Amerika, Jepun dan Hong Kong makin merudum. Di Singapura juga. Kini di Malaysia, bahang itu kian terasa terutama bagi syarikat yang berpangkalan di luar negara.



Gergasi perbankan Lehman Brothers yang berusia beratus-ratus tahun itu pun sudah tumbang. Citibank juga sudah memberhentikan 18,000 pekerja. Dalam bidang pemotoran, Toyota telah menyatakan bahawa lebih ramai pekerjanya akan diberhentikan.

Pelbagai kaedah dicadangkan bagi mengelak pemberhentian pekerja. Antaranya seperti menghadkan kerja lebih masa, mengurangkan waktu kerja harian dan hari-hari bekerja di dalam seminggu.

Teori last come, first go ada kalanya jadi terbalik. Meski pemberhentian pekerja hanyalah langkah terakhir yang terpaksa diambil majikan, tetapi dalam keadaan nazak serba kemungkinan terpaksa dilakukan sekalipun menutup terus operasi syarikat.

Apa reaksi anda apabila datang ke pejabat pada 2 January 2009 nanti dan bos memberi surat penting yang isi kandungnya antara lain bermaksud syarikat sudah gawat dan anda antara yang terpaksa diberhentikan...

Menurut Kementerian Sumber Manusia, sehingga Nov tahun ini sebanyak 28,000 pekerja pelbagai sektor di Malaysia diberhentikan atas pelbagai sebab. Bagaimana dengan masa depan lebih 300,000 pekerja Malaysia di Singapura yang kini dilanda kemelesetan ekonomi? Adakah peluang pekerjaan untuk mereka di Malaysia?

Selain menghadkan kemasukan pekerja asing supaya peluang pekerjaan diberikan kepada rakyat tempatan, apalagi cadangan anda?

Sunday, December 21, 2008

SELAMAT PENGANTIN BARU
... saya suka warna hantaran ini. Cantik sangat.

Monday, December 15, 2008

"KASUT BERSAIZ 10"

SEORANG wartawan Iraq melemparkan kasut kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush ketika sidang media bersama Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki, bagaimanapun balingan itu tidak menepati sasaran. -fotoAP

BAGHDAD: Kunjungan Presiden George W. Bush semalam sepatutnya menjadi lawatan terakhir ke Iraq sebelum meninggalkan White House bulan depan.

Beliau tidak menerima `cenderamata penghargaan' daripada rakyat Iraq, sebaliknya menerima balingan kasut ketika mengadakan sidang media bersama Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki.

Seorang wartawan Iraq melemparkan dua kasut terhadap Bush tetapi tidak menepati sasaran kerana beliau sempat mengelak balingan. Kasut itu kemudian mengenai dinding belakang. Nouri bagaimanapun cuba menyelamatkan Bush walapun balingan itu tidak mengena.

"Ini ciuman perpisahan untuk anda, anda anjing!" jerit wartawan berkenaan dalam bahasa Arab.

Dia kemudian dikenali sebagai Muntadar al-Zeidi iaitu koresponden bagi saluran televisyen Iraq, Al-Baghdadia yang berpangkalan di Kaherah, Mesir.

Kemudian Bush bergurau: "Ia (kasut) bersaiz 10." Kunjungan itu diadakan 37 hari sebelum Bush meninggalkan White House. Bush akan digantikan Barack Obama pada 20 Januari ini.

Bush menggerakkan tindakan ketenteraan ke atas Iraq pada 2003 dalam usaha menggulingkan Saddam Hussein.

Ketika Saddam digulingkan, pentadbiran Bush disanjung tinggi. "Perang belum berakhir lagi," kata Bush sambil menambah, perang itu akan mencapai kemenangan kelak.

Selepas itu Bush berlepas ke Afghanistan yang turut diserang Amerika Syarikat atas nama peperangan ke atas pengganas pada tahun 2001.

* Jika anda wartawan dan menghadiri majlis sidang akhbar bersama Bush, anda hendak baling apa? Nak soal apa?

Friday, December 12, 2008

HARI INI JADI BOGEL ATAU TIDAK?
HARI ini
Jumaat, 12 Disember 2008 bersamaan 14 Zulhijah 1429. Ini bermakna sudah empat hari Aidiladha berlalu dan telah kita raikan dengan penuh rasa tanggungjawab dan kesedaran tentang erti pengorbanan. Semalam tamatnya hari Tasyrik iaitu hari yang dibenarkan kita melakukan ibadat korban Aidiladha dan sebelum tenggelamnya matahari pada petang berkenaan.

Adapun berpuasa pada hari Aidiladha (10 Zulhijah) dan hari-hari tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah) adalah diharamkan. Rasulullah SAW telah mengirimkan Abdullah Ibn Huzhaqah untuk mengumumkan di Mina: “Kamu dilarang berpuasa pada hari-hari ini (hari tasyrik). Ia adalah hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad). Jika ada yang berkemampuan dan ingin mengikut sunah Nabi Muhamad SAW, berpuasalah pada Ahad.

Jika dilihat pada kalendar biasa pula, maka hari ini tidak ada apa-apa hari penting untuk kita fikirkan. Semuanya berjalan seperti biasa. Ia sama seperti Jumaat sebelum ini.

Namun, masih ingatkah pada amaran 'perang bogel' bagi Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis)? Tarikh hari ini menjadi penentu sama ada perang yang mereka isytiharkan terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bakal menjadi satu realiti atau sebaliknya.

Hari ini adalah genap sebulan, daripada tarikh yang diberikan oleh pertubuhan NGO – pertubuhan bukan kerajaan itu kepada Abdul Khalid bagi berunding mengenai tuntutan mereka supaya kadar kenaikan sewa kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) dikaji.
Seperti amaran yang telah diberikan sebulan lalu, sekiranya tiada maklum balas selepas tarikh tersebut, maka skuad berani bogel Reformis akan ‘membuat kacau dan menyerang’ majlis-majlis yang dihadiri oleh Abdul Khalid.

Apa kata Reformis negeri lain? Bagi Sinar Harian Selangor, mereka sedang melihat-lihat, meneliti dan membahagi-bahagikan tugasan kepada semua Skuad untuk mengikut ke mana sahaja Abdul Khalid akan pergi, bersiap sedia untuk membuat laporan tentang 'perang bogel' pihak Reformis berkenaan.

Bukan amaran kosong. Kononnya pihak Reformis nekad bertelanjang bulat di tengah-tengah khalayak ramai. Mereka tidak akan berasa malu atau aib pada majlis-majlis tersebut bagi menunjukkan kemarahan yang teramat sangat terhadap Menteri Besar Selangor.

Sebelum ini pihak Reformis telah mengumumkan hasrat untuk mengadakan demonstrasi bogel di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam tetapi permohonan permit mereka tidak dilayan polis.

Siapakah yang bertanggungjawab mencipta idea ini? Semestinya Presiden Reformis, Ramlan Abu Bakar. Menurutnya tiada cara lain lagi boleh mereka lakukan bagi menyuarakan kekecewaan dan kekesalan mengenai keputusan kerajaan negeri yang dianggap melampau itu.

Tindakan ini ada kena mengena dengan kenaikan mendadak sewa PPR daripada RM124 kepada RM250 sebulan. Kenaikan itu dirasakan begitu membebankan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.

Ramlan masih berpegang pada manifesto pihak Pakatan Rakyat dan janji-janji Pilihan Raya Umum ke 12 untuk menjadikan negeri Selangor sebagai negeri berkebajikan dan membela rakyat. Ramlan memberitahu, sepatutnya kerajaan jangan bertindak zalim dan menindas rakyat. Sebaliknya adalah menjadi tanggungjawab sosial kerajaan negeri untuk menyediakan rumah berharga rendah kepada rakyat miskin.

Lebih tragik lagi apabila Ramlan mendakwa permohonan mereka untuk berjumpa dengan Abdul Khalid ditolak. Malah ada yang beranggapan kumpulan berani bogel ini telah ditaja oleh pihak tertentu dan disogok dengan wang ringgit.

Alangkah malunya hendak berbogel di khalayak... tetapi bagi pihak Reformis apalah yang hendak dimalukan (menanggalkan pakaian depan orang lain) kerana rasa malu sudah tidak difikirkan atau risiko ditahan polis tidak langsung mereka gentar.

Mungkin juga setelah ditangkap mereka akan disumbat ke lokap. Tapi menurut Reformis itu semua bukan halangan mereka untuk membela rakyat miskin dan teraniaya dengan janji pilihan raya.

Sinar Harian Selangor sebelum ini beberapa kali telah dimaklumkan oleh Abdul Khalid bahawa beliau sedikit pun tidak berasa gentar dengan amaran Reformis. Abdul Khalid mendakwa Reformis bukan penduduk jati PPR dan mereka tidak duduk di kediaman berkenaan tetapi orang luar yang ingin menjadi jaguh.

Malah, Abdul Khalid menanggap masalah tersebut sudah selesai kerana kerajaan negeri telah memutuskan bahawa penghuni PPR yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan boleh membayar sewa pada kadar lama iaitu RM124.

Baiklah, Jumaat pasti datang. Apakah hari ini akan menjadi Jumaat yang luar biasa bagi penduduk Selangor?

Apa pun kita tunggu dan lihat apakah yang bakal terjadi.

Saturday, December 6, 2008

BUMI MENANGIS LAGI...
LENA
saya awal pagi tadi dikejutkan dengan news alert - ada kejadian tanah runtuh, 14 banglo ranap, berpuluh terperangkap di Bukit Antarabangsa. Dengan mata terpisat-pisat, bingkas menelefon anak-anak buah - jenuh menunggu mereka angkat telefon - ialah waktu tengah sedap tidur!

Mereka segera dikerahkan ke dua lokasi. Satu di tempat kejadian. Satu grup lagi ke Hospital Kuala Lumpur. Saya juga mohon bilangan jurufoto ditambah. Mahu yang lense panjang sebab jalan masuk ke tempat kejadian telah ditutup. Sehingga awal petang, shif mereka bertukar, grup lain pula bergilir mencari, mengumpul, menaip dan menghantar berita. Tahniah atas kecekapan mereka...!

Pada pukul 12 tengahari saya dapat tahu bahawa salah seorang mangsa yang terlibat ialah kawan saya, Hassan Saad namanya. Macamana Kak Chik? Saya menelefon. Katanya isterinya, Akma selamat. Mereka sekarang menumpang di rumah saudara rapat mereka, Datuk K dan Datin Siti Nurhaliza yang kebetulan tinggal tidak jauh daripada kediaman mereka.

Hassan (berbaju kemeja T kuning) dan keluarga ketika dikunjungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib.

Seorang lagi petugas di Sinar Harian, Amsari Tan Sri Ismail turut selamat kerana kediaman keluarga mereka tidak terbabit dalam kejadian runtuhan walaupun berada berhampiran dengan lokasi kejadian. Alhamdulillah.





DATUK SHAH RUKH KHAN


MELAKA, 6 Dis -- Pelakon terkenal Bollywood Shah Rukh Khan yang dikurniakan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk mengaminkan doa selepas sesi khas Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Melaka kepada pelakon popular itu di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Anugerah disampaikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob sempena sambutan hari lahir beliau yang ke-70 pada 11 Oktober lepas.
Shah Rukh Khan yang dilahirkan di New Delhi pada 1965, merupakan antara 77 penerima yang dianugerahkan darjah itu.
--fotoBERNAMA HAKCIPTA TERPELIHARA

Saturday, November 29, 2008

TERIMA KASIH, SITI JURAIDAH
LAMA
sungguh saya berjanji hendak bercerita tentang Siti Juraidah Samad, si anak Jawa Sekinchan itu. Okeylah, selepas kami makan tengahari di Restoran Ulu Bernam itu, perjalanan diteruskan ke tempat kerja Siti di sebuah kedai serbaneka. Kawan saya Azlan, sebenarnya sudah menjalankan kerja-kerja siasatan tentang siapakah Siti ini kerana kebetulan dia orang Sekinchan. Tapi dia tak mahu cerita apapun tentang Siti apabila saya mahu tanya lebih lanjut. "Kau jumpa nanti, kau taulah..." katanya.


Ayam hutan goreng garing (kiri) dan udang galah goreng berempah (kanan)


Saya dan anak-anak bersama Azlan Sulong (bertopi)

Kami merancang hendak membuat kejutan di tempat kerja Siti. Jadi apabila sampai di depan kedai serbanika itu saya terintai-intailah, cuba bayangkan macamana rupa Siti. Tapi malang Siti tidak ada. Dia cuti hari itu. Saya duduk terkulat-kulat di dalam kereta. Kecewa. Daripada tauke kedai, kami dapat nombor telefon bimbit Siti dan Azlan menelefon, pura-pura bertanya dia di mana kerana ada urusan penting, kononnya.

Rupanya ketika itu Siti berada di restoran KFC di Pekan Sabak. Suami pun segera menghalakan perjalanan kami ke Pekan Sabak. Kira-kira 10 minit perjalanan, kami berada betul-betul di hadapan restoran KFC yang dimaksudkan. Ya, saya tak sabar hendak berjabat tangan dengan Siti. Azlan berjalan dulu diikuti saya, suami dan anak-anak. Dan tidak lama kemudian wajah Siti sudah berada di hadapan saya.

Kecil sahaja orangnya. Usianya 32 tahun. Masih bujang. Percakapannya laju dan keletah dengan dialek Jawa. Memang dia anak kampung, nampak polos, jujur dan ikhlas. Matanya menceritakan segalanya... Dia pun berceritalah pelbagai kisah yang dia tahu tentang saya dan tulisan-tulisan saya. Tanpa menyampuk, saya membiarkan sahaja dia bercakap, supaya dia puas bertanya itu ini. Kepuasan nampak jelas diwajahnya.

Dia kata dia ada novel-novel saya dan tahu semua kisahnya. Dia juga menyimpan novel penulis-penulis Alaf yang lain. Ingin sangat dia berjumpa dengan Ramlee Awang Murshid, Norzailina Nordin dan Anis Ayuni. Dia tanya bolehkah saya aturkan perjumpaan itu. Saya rasa no problem, Alaf FC mesti boleh tolong!

Beriya-iya dia mengajak ke rumahnya (depan surau Parit 9, Batu 49, Pasir Panjang) tetapi kerana kesuntukan masa saya berjanji akan datang lagi lain kali. Sambil berborak kami bergambar dan setelah menyampaikan buah tangan yang saya bawa khas untuk Siti, kami berpisah dengan peluk cium, pelbagai...

Kami anak beranak meneruskan perjalanan ke Haji Dorani Homestay (Inap Desa) yang mengadap laut. Lapan chaletnya terletak di dalam laut, luas mata memandang dengan wajah matahari hampir tenggelam. Kemudian dua Skuad Sabak Bernam, Neda dan Nomi turut serta di homestay berkenaan, bercerita hal kerja dan macam-macam hal lain.

Hampir Maghrib kami berangkat pulang ke Shah Alam dengan bekal keladi (yang sungguh empuk bila digoreng), mangga, jambu madu, jus mangga, kacang dan jagung rebus, termasuklah bekal kenangan yang amat manis bertemu Siti Juraidah...

Sampai hari ini Siti masih terus menghubungi saya, berbual di telefon atau menghantar sms, "semoga akak, abang dan anak-anak sihat. Akak tu, berhati-hati pandu kereta... " saya paling hafal sms itu yang dihantar di hujung setiap kali dia menghantar sms.

Paling terkejut semalam... apabila saya menerima sekotak pemberian daripada Siti. Nanti saya ceritakan lagi...

* Lupa nak tanya, Siti tahukah pasal blog ini?

Friday, November 28, 2008

AL - FATIHAH
SEMALAM saya sampai ke rumah agak lewat dari kebiasaan iaitu hampir 12.15 malam. Pada pukul 6.45 petang sudah mendapat info mengenai kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail. Editor Edisi Nasional (Laila) kena bersedia dengan lambakan news dari pelbagai sudut dan negeri. Editor Pahang (Ong) sudah diminta mengarahkan Skuad Bentong (Nor Farahah) untuk follow up mengenai perkembangan di Genting Highlands dan juga di Hospital Bentong.

Dalam masa yang sama Ketua Pemberita di Kuala Terengganu (Mat Lazim) telah diminta segera menugaskan Skuad Kuala Terengganu ke rumah arwah di Batu Burok dan mendapatkan story daripada keluarganya; isterinya, anak-anaknya, keluarganya dan rakan taulan.

Di Shah Alam pula, sub dan design untuk Edisi Utara berjalan serentak dengan kesibukan petugas lain mendapatkan info mengenai kematian Datuk Razali untuk persediaan Edisi Nasional first trip. Memandangkan Edisi Utara perlu disiapkan awal, maka news mengenai arwah hanya sempat untuk blurb hadapan sahaja. Selebihnya adalah untuk Edisi Nasional - second trip.

Malam tadi bos tak ada, saya bekerja dibantu Editor/Penolong Editor edisi-edisi negeri. Shah Alam yang menjadi pusat segala maklumat, sudah semakin sibuk menjelang 10.00 malam dengan Edisi Nasional, Edisi Melaka/N.S, Edisi Selangor/KL, Edisi Utara, Edisi Pahang, Edisi Kelantan dan Edisi Terengganu menghampiri deadline.

Dalam sibuk-sibuk petugas Edisi Terengganu mencari info, dapat pula berita kematian ibu kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di Kemaman. Sekali lagi harus menelefon Skuad Kemaman (Khairul) untuk membuat follow up.

Ohh, kena segera memberitahu prepress di Pengkalan Chepa mengenai kemungkinan lewat cetak Sinar Harian di sana untuk Edisi Kelantan dan Terengganu. Dalam sibuk-sibuk itu suami memberitahu arwah Datuk Razali ialah abang kepada kenalannya. Okey, bagus tu untuk follow up story.

Begitulah malam tadi...

Malam ini saya teringat kembali kenangan makan tengahari bersama arwah Datuk Razali di Dewan Makan Taman Sinar Harapan semasa kami mengadakan majlis hari raya dulu. Arwah tak lokek senyuman, seronok berbual bersamanya. Turut serta bersama kami hari itu ialah Datuk Nasir Ibrahim Fikri (Ahli Parlimen Kuala Nerus) dan beberapa pemimpin pembangkang dari Pas dan PKR.

Sesungguhnya kita hanya merancang, Allah yang menentukan... al Fatihah untuk arwah. Semoga keluarganya diberikan ketabahan dan keimanan menghadapi dugaan ini.

Wednesday, November 19, 2008

JALAN-JALAN CARI PEMINAT/ CARI MAKAN
PADA
15 November lalu saya betul-betul bebaskan diri daripada aktiviti rutin di pejabat dan di rumah. Kami sekeluarga ke Sekinchan dari pagi hingga malam. Disamping memenuhi rasa ingin tahu, saya juga membuat spot check dua orang anak buah yang bertugas di Sabak 1 dan Sabak 2. (Oh... masih tak boleh free seratus peratus).

Asal tujuan ialah mencari gadis bernama Siti yang rumahnya beralamat di hadapan surau Parit Sembilan, Sekinchan. Itu saja info yang saya dapat. Siapa Siti itu? Dia adalah peminat Sri Diah yang telah mengirim satu bundle keratan akhbar dan majalah mengenai saya. Ada antara keratan akhbar itu yang tidak ada dalam simpanan saya, tapi dia ada. Ianya dikirim beserta kad hari raya. Saya terima lagi dua hari nak raya.

Sudah lama tidak ke Sekinchan. Rakan lama Azlan Sulong (si tukang komik) menjadi jurupandu. Kami singgah makan tengahari masakan kampung dan ikan darat di Restoran Lembah Bernam (Tel: 019-6108355/019-3934521)di Jalan Main Canal, Tali Air 9, Pasir Panjang.

Memang betul selera kampung sejati. Anak-anak dan suami yang jarang merasa masakan kampung sungguh berselera menikmati hidangan tengahari dengan hujan buatan - ceh, makcik tertipu! Hidangan hari itu antaranya ialah ikan puyu goreng garing, ikan betuk masak lemak kecur, ikan baung cili padi, tilapia masak merah, ikan keli goreng garam kunyit tumbuk, ikan sembilang goreng lada, paceri terung, ulam-ulaman terung, bendi, peria, pucuk ubi, kubis, petai, jering, sambal tempoyak, sambal belacan dan telur masin.

Paling istimewa (dengan permintaan) ayam kampung goreng panas dan garing. Tambah dua menu lagi iaitu udang galah segar dan ayam hutan goreng berempah. Fuh... hingga menjilat jari. Menurut tuan punya kedai, jika menelefon awal boleh disediakan burung puyuh atau burung wak-wak (burung ayam-ayam), landak, pelanduk atau kancil. Belut pun boleh...!

Okey, jika ada yang berminat, hubungi nombor yang saya sertakan itu.
Tapi cerita tentang siapa Siti belum lagi... nantilah jika kelapangan saya sambung entri ini. Cukup sini dulu...

Friday, November 7, 2008


Air mata jantan

DIA HEBAT JIKA...
* Betullah
dia memang Presiden Amerika berkulit hitam yang pertama. Tapi kalau persepsinya tentang Islam sama saja seperti bekas Presiden Amerika yang lain, kalau definasinya tentang keganasan sama saja... atau pandangannya terhadap Zionis sama saja, saya tak nampak kenapa dia mesti kita kagumi. Paling baru, dia telah meletakkan bekas tentera Israel Rahm Emanuel ke dalam pentadbiran White House. Rahmn adalah `orang kita' (kata orang Israel). Oh, mungkin Obama juga akan jadi pro Israel akhirnya.

* Betullah dia hebat. Dua tahun dengan dua kisah peribadi (betulkah dua saja?) yang menggegar hati ramai isteri. Kalau anak dara, mesti sukakan dia sebab dia kacak. Kalau anak dara, mesti kata isteri dia tak pandai jaga laki. Kalau anak dara mesti kata, dia tu betul, boleh poligami. Tapi dia akan lebih hebat jika tidak berbohong dengan wartawan. Wartawan mesti tolong dia... tapi dia memilih mahu jadi hebat dengan skandalnya!

Thursday, November 6, 2008

EX-GRATIA RM10.5 JUTA KEPADA BEKAS HAKIM
KUALA LUMPUR
6 Nov. - Kerajaan membayar ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim kanan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, bayaran tersebut adalah:
- Tun Salleh berjumlah RM5 juta
- Tan Sri Azmi Kamaruddin RM2juta
- Tan Sri George Edward Seah Kim Seng RM2juta
- Tan Sri Wan Hamzah Mohd. Salleh - RM500,000
- Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer - RM500,000
- Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh - RM500,000

* Ya saya sekarang sedang memikir-mikir apa akan saya dapat jika....

Saturday, November 1, 2008

TERIMA KASIH

* HARGA beras dah turun harga pada purata 20 sen sekilogram di mana harga bagi beras tempatan 5 peratus hancur turun daripada RM2.80 kepada RM2.60 sekilogram. Manakala yang 10 peratus hancur juga turun daripada RM2.70 ke RM2.50 sen sekilogram. Bagaimanapun harga beras 15 peratus masih kekal pada RM1.80 kerana ini beras subsidi yang harga sebenarnya RM2.30 sekilogram.

* KERAJAAN mengumumkan penurunan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 15 sen seliter lagi berkuat semalam. Dengan penurunan itu, harga runcit petrol RON97 akan dijual pada RM2.15 seliter berbanding RM2.30 seliter sebelum ini manakala diesel dan petrol RON92 yang sebelum ini dijual pada RM2.20 seliter akan dijual pada harga RM2.05 seliter.

* MALAM tadi pukul 11.30 malam di kilang cetak Ultimate Print Sdn Bhd di Shah Alam, saya melambai, melepaskan pergi pemandu lori yang memandu membawa edisi pertama Sinar Harian Utara yang dijual RM1 mulai hari ini. Menurut laporan agen utara - Sinar Harian Utara dapat sambutan hebat hari ini.

* JIKA kelapangan singgahlah ke PESTA BUKU ALAF 21 di Shah Alam. ADa diskaun buku-buku baru dan sesi bertemu penulis.

Wednesday, October 29, 2008

PAPER UTARA DAH MAI...

DIAM tak diam, sibuk memang sibuk... malam tadi tepat pukul 10 malam, buat pertama kali dalam sejarah dunia persuratkhabaran di Malaysia, Akhbar Komuniti No. 1 Malaysia, Akhbar Sinar Harian Edisi Utara telah selamat dicetak. Hari ini di negeri utara sudah mula beredar di pasaran. Akhbar ini yang akan diberi percuma selama tiga hari. Mulai 1 November akan dijual dengan harga RM1 senaskhah.

Mulai sekarang warga Utara sudah boleh membaca akhbar mereka sendiri yang memaparkan segala aktiviti komuniti yang berlaku sekitar mereka. Kepada blogger di Utara (Cikgooden, Shahdan dan lain-lain) jika ada apa-apa maklumat atau cadangan mengenai Edisi Utara ini silalah emel Kak Sri.

Akhbar Edisi Utara dicetak di dua lokasi berbeza. Satu di Shah Alam dan satu lagi di Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Dengan menempuh laluan dua highway yang berbeza, akan terus menuju ke negeri-negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis hingga ke Pulau Langkawi. Terima kasih kepada semua yang menyokong kelahiran akhbar yang memaparkan berita yang telus dan berkecuali ini.

Wednesday, October 22, 2008

SINAR HARIAN KINI DI NEGERI UTARA
ALHAMDULILLAH
kini Akhbar Sinar Harian - akhbar komuniti nombor satu di Malaysia sudah pun berada di tujuh negeri - Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan. Sambutannya memang menggalakkan. Jumlah cetakan harian di tujuh negeri ini sahaja hampir 200,000 naskhah setiap hari. Terima kasih daun keladi kepada semua pembeli akhbar ini.

Pada 29hb Oktober ini satu lagi sejarah tercipta - Sinar Harian akan mula berada di pasaran negeri-negeri di utara - Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.


Rakan wartawan di ibu pejabat di Shah Alam mengucapkan selamat jalan kepada team Sinar Harian Edisi Utara.

Memang saya benar-benar sibuk dengan penerbitan Sinar Harian dari satu negeri ke satu negeri lain. Penentuan lokasi dan masa cetakan, pembahagian muka surat, pembahagian daerah-daerah mengikut Majlis Daerah atau PBT, meletakkan skuad, menyusun senarai isi kandungan, melipat gandakan promosi, perancangan konvoi dan sebagainya. Namun saya tidak bersendirian, jabatan lain turut membantu.

Kepada semua pembaca, saya amat mengharapkan sokongan anda semua. Semoga anda dapat menerima sebaiknya kehadiran Skuad Sinar Harian - wartawan yang berkereta Kancil di merata ceruk negeri yang akhbar ini diedarkan. Tolonglah bantu mereka untuk membantu menyiarkan berita-berita komuniti yang jarang mendapat tempat di akhbar arus perdana.

Doakan semoga semuanya dipermudahkan Allah. InsyaAllah.

Wednesday, October 15, 2008

LAPORAN TERTUNDA
AHAD pagi
- Dari rumah, tinggalkan kereta di Terminal Tiga Lapangan Terbang Subang (yang sedang diubah suai). Wakil dari HQ - lima orang teramsuk tauke dan isteri. Flight FY3312 jam 07.15 am. Daripada 70 tempat duduk, hanya dua sahaja kosong. Kapalterbang Firefly ternyata masih baru (kusyennya masih bau kedai). Hidangan muffin dan air orange. Selamat mendarat dengan bagusnya 08.15am (tahniah utk juruterbang - Ikhmal namanya). Staf yang menjemput di Lapanganterbang Sultan Mahmud (terima kasih MBA) sudah diberitahu sehari lebih awal - kami mahu sarapan nasi dagang. Lalu terus ke sebuah restoran di hadapan KUSTEM. Memang sedap nasi dagang di situ.


Melayan Aishah di Taman Sinar Harapan.

TENGAHARI - Dari pejabat Cawangan di Jalan Sultan Sulaiman, berangkat pula ke Taman Sinar Harapan di Bukit Besi, Kuala Trg. Di sinilah majls sebenarnya - sambutan Aidilfitri Cawangan Terengganu bersama YB, ADUN, Ahli Berhormat (Pas/UMNO/PKR), Penaja, anak-anak yatim, kanak-kanak spastik, warga emas, ibu tunggal. (Uhhh... majlis ini penuh dengan emosi).


Bos KKSB Datuk Hj Hussamuddin menyampaikan sumbangan Yayasan Nur kepada seorang ibu tunggal. Klik gambar ini untuk membesarkannya dan lihat parut pada muka anak beliau - apa kes? Rumah mereka dibakar oleh suami wanita berkenaan (lelaki Bangla). Ibu wanita itu dan anaknya cedera teruk.


PETANG - Selesai majlis, kembali ke pejabat cawangan. Meeting hingga pukul 6 petang. Janji dengan anak sulung masih lagi belum tercapai. Hendak ke Pasar Payang? Jangan haraplah - sudah tutup. Dengan kereta Skuad Cakna, kami ke Chendering ambil Kak Long, kemudian ke Losong sahaja. Kak Long yang baru tiga bulan di Kuala Terengganu tunjukkan jalan. Kami borong apa yang patut. Okey juga di sini. Tapi tak ada telur penyu di situ!


Bersama team Sinar Harian Kuala Terengganu.

MENJELANG MAGHRIB - Bila nak makan ICT? Mereka menunggu kami di Kampung Ketapang! Lokasinya dalam perjalanan ke airport. Sekali lagi Kak Long tunjukkan jalan. Nun, hujung di gigi pantai - Hidangan sedap menyelerakan. Segala jenis ikan ada - sambal cicahnya sedap. Ikannya segar. Hahaha... lebih sepuluh ekor kembung, selayang, udang, sotong saya makan. Bos yang bayar untuk semua, hampir 20 orang.


08.15 MALAM - Di kaunter Firefly sudah terpampang pengumuman - Penerbangan Firefly pada 08.15 Dibatalkan. Ha?

08.20 MALAM - Petugas kaunter MAS mengumumkan semua penumpang Firefly KT - KL membuat daftar masuk di kaunter MAS - Tukar kapalterbang! Sebabnya penumpang Firfly KT - KL malam itu hanya sepuluh orang, tak berbaloi nak fly ke KL. Lagipun MAS - Firyfly sepupu sepapat. Bagus juga sebab tambang Firefly tapi dapat fligh besar. Tapi MAS mendarat di KLIA. Masalahnya kereta yang ditinggalkan pagi tadi di Subang siapa nak jawab?

Bak kata Nabil: Lu pikirlah sendiri...

Saturday, October 11, 2008

KUALA TERENGGANU, AKU DATANG!
SUDAH lama tidak ke Kuala Terengganu (hehehe... rindu Pasar Payang!). Dendam pada batik, keropok lekor, telur penyu, ICT (ikan celup tepung di Batu Burok), ayam dara goreng panas dan juga nasi dagang kedai Kak Timah, mula menggoda.

Jadual 12 Oktober 2008 - Ahad
Awal Pagi - Lapangan terbang Subang
Pagi - Saya berada di Taman Sinar Harapan, Kuala Terengganu.
Tengahari - Majlis bersama Menteri Besar
Petang - Bersama Skuad Sinar Harian di pejabat cawangan
Lewat Petang - Jumpa anak sulong di Cendering
Malam - Balik Shah Alam

* First time naik Firefly, harap semua okey.
Nak jumpa di Kuala Terengganu? Emel saya ya.