Wednesday, November 10, 2004

ANUGERAH
SEMALAM saya mengambil cuti untuk memberi sokongan moral kepada anak kedua saya, Anas Iqbal yang berjaya mengekalkan kecemerlangan tahun lalu. Di majlis Anugerah Cemerlang Pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Tasik, Anas dari Darjah 5 Zamrud mendapat:

- Hadiah tempat pertama dalam kelas.
- Hadiah subjek terbaik - Kajian Tempatan.
- Hadiah kedudukan no. 1 keseluruhan kelas Darjah 5.
- Sijil Pengawas.


Anas bersama piala dan sijil.

Sabtu lalu, Anas diumum mendapat tempat ke 2 dalam Kelas 5 Cempaka di Sekolah Rendah Agama Bandar Tun Razak. Dalam Anugerah Sukan Tahunan bulan lalu, Anas mengekalkan kejuaraan tiga tahun berturut-turut dalam sukan lontar peluru. Mintak-mintak tahun penentuan 2005, Anas akan terus cemerlang. Keputusan Kak Long juga sudah diumumkan. Dia mendapat tempat ke 3. Si bongsu, dia kata dia dapat sikit saja - 11. Dia kata lagi, kawan dia dapat banyak - 25. Nampaknya tahun hadapan memang tahun perjuangan bagi Anas & Kak Long. Sebagai emak, saya akan terus memberi dorongan semangat. Insya Allah.

Saturday, November 6, 2004

JUMAAT YANG PEDIH
SEMALAM memang suatu tragedi. Tersangkut dalam banjir kilat merupakan insiden yang tak pernah sekalipun saya lalu selama berpuluh tahun memandu. Tetapi segalanya terjadi semalam apabila saya tersangkut lebih tiga jam dari Kesas Highway, menuju ke Sungai Besi. Biasanya dari Shah Alam ke rumah saya mengambil masa hanya 40 minit sahaja untuk sampai, masih sempat untuk memasak hidangan berbuka puasa.

Hujan lebat mencurah turun di sepanjang jalan dari Shah Alam ke Sungai Besi, diselang-seli dengan kilat petir dan angin kuat. Dek kerana banjir kilat di stesen LRT Sungai Besi, Encik Polis menghalakan semua kereta ke Seri Kembangan. Khabarnya air naik hampir ke paras pinggang di tempat berkenaan. Memang pun, akhbar hari ini melaporkan, ramai yang terpaksa dipindahkan ke dewan orang ramai.

Fuyoooo.. sudahlah lenguh kaki kerana sesak di Kesas Highway terpaksa pula menukar laluan ke Seri Kembangan. Ini memanglah satu trauma. Dari Seri Kembangan terpaksa mematah hala balik semula ke Salak South bunyinya dekat saja tapi makan masa hampir satu jam. Sorry Encik Polis, semalam saya buat U Turn di tengah-tengah highway Besraya. Kebetulan ada tempat cilok. Saya fikir saya saja yang buat dajal tapi pemandu dua tiga kereta di belakang saya pun ikut sama. Ha hahaa... semalam memang kerja saya potong q sahaja!

Anak-anak di rumah berkali-kali telefon bila mama nak sampai, kami nak makan apa berbuka nanti? Sedihnya dengan suara di bongsu, 8 tahun merengek takutkan kilat dan petir. (Dia ni belum pernah tinggal sehari pun puasa.) Ok, saya suruh Kak Long goreng telur dulu, makan dengan kicap. Goreng papedom jugak, buat bukak selera makan. Kebetulan abahnya tak ada, ke Alor Setar.

Azan Maghrib bergema tatkala saya di Plaza Tol Seri Kembangan. Apa yang saya jamah ialah kuih raya kegemaran anak-anak - Tart Nanas dan London Almond yang dibeli daripada DJ RMKL, Irwan Shah. Habis jugak dua lapis! Tanpa air untuk minum, saya hampir tercekik. Alamak... air mata menitis sama lebatnya dengan air hujan yang mencurah di luar kereta...

Friday, November 5, 2004

PENGAKUAN 1 - TERKENANG SEMASA DULU
WAKTU kecil aku memang tak sabar menanti datangnya Ramadan. Pertama sebab ustazah kata kalau biasanya kita sembahyang dapat 10 pahala, di bulan Ramadan pahala jadi 100. Ah, itu gula-gula manis ustazah dan aku memang tergoda dengan gula-gula manis itu...

Cerita masa kecil di bulan puasa memang semuanya syok-syok belaka. Dari hal jadi hantu pocong, menakutkan makcik dan pakcik balik sembahyang terawih, sampailah ke peristiwa kena lempar dengan buah bacang. Sebabnya malam tujuh likur dalam satu tahun tu, aku dan kawan lain, dok mengintai Mak Limah Gayong tengah membuang atas batang kelapa kat sungai.

Hamdanlah punya pasal. Kalau tidak pompuan gemuk tu mesti tak tau yang kami tengah syok intai dia. Dia tau aku ni melatah, kemudian ada ke dia cucuk pinggang aku tengah-tengah kami dok syok mengendap tu? Apalagi aku pun melatah sakan. Siap tepuk tampar. Aleh-aleh aku tengok pompuan gemuk tu dah hempap aku kat atas rumput.

"Hey, kau pompuan kan? Tapi perangai sama macam jantan!" Dia menyinga.

Dia jeritkan aku. Lampu suluh dia tuju tepat-tepat ke muka aku. Masa tu aku bayangkan dia beruang panda, tengah menenyeh aku, si kucing siam yang keding, aku memang tak boleh nak meronta-ronta.

"Nanti aku report dengan mak bapak kau!" Air liur dia menyembur kena betul kat lubang hidung aku. Ada sikit-sikit bau sirih.

Kalaulah hal aku mengintai dia membuang tu sampai pada mak bapak aku, memang nahas.... sure esok aku dah tak boleh join si Radhi, si Jamal, si Harun dan si Hamdan keluar malam. Kawan pompuan yang ikut sama dengan aku ialah si Peah, tapi dia ni penakut. Tengok katak bobok pun dia boleh menjerit!

Ramadan juga mengingatkan aku tentang satu peristiwa sadis. Memang haru biru betul tahun tu. Akibatnya aku tak boleh pakai baju kurung dan selendang yang mak aku jahit. Bunga baju kurung tu warna merah, dasarnya warna kuning, memang sesuai dengan kulitku yang melepak (tu kata mak).

Aku jugak tak boleh makan rendang ayam. Tak boleh makan pucuk lemang yang lemak, favorite aku! Aku pun tak boleh nak jalan-jalan keliling kampung, kutip duit raya. (Jauh lagi dah menjerit, assalamualaikum makcik, pakcik... kami datang nak duit raya!) Sebabnya raya tahun tu aku kena masuk hospital! Puncanya aku terpijak kaca dalam perigi buta! Sudahnya aku tak raya langsung tahun tu, asyik menangis sahaja. Sedihlah pulak rasa bila tengok orang-orang yang datang melawat aku semuanya lawa-lawa belaka. Aku saja yang pakai uniform putih!

Semuanya tersengih, bukak bekal yang mereka bawa. Tapi semuanya mak dan abah aku yang sambar dulu. Aku terkebil-kebil memandang, sedapnya nak meleleh air liur! Tapi kata mak, "ayam ni kamu tak boleh makan, nanti gatal. Nanti luka kat kaki tu tak sembuh... Lemang ni kamu tak boleh makan, ada santan nanti luka lambat kering."

Sampai kan kuih bahulu yang jadi favorite aku pun aku tak boleh jamah. Eh tak boleh, kata bapa aku. Kenapa pulak? Buat bahulu mana ada guna santan? "Sebab bahulu ada telur, telur tu boleh buat luka gatal... nanti berair, lambatlah baiknya."

Muncung aku panjang... bak kata orang, sedepa. Aku hanya disua bubur nasi, tawar pulak tu. Lauknya ikan haruan masak sup. Ada lada hitam sikit. Rasa macam orang beranaklah pulak! Sebab aku pernah tengok kakak aku makan lauk macam tulah masa dia beranak dulu.

Kemudian bila depa berdua pergi sembahyang, masa tulah aku tala semua bekal yang dia orang bawa. Siap menjilat-jilat jari. Gatal ke, luka lambat baik ke, lantaklah! Bila mereka datang, aku kata tadi aku pelawa misi makan, kesian depa tak dapat beraya...

Kalau aku ada kuasa dan tahu undang-undang masa tu, memang aku nak saman Lebai Mat Gajah tu. Kenapa dia buat perigi buta yang baru tak bagi tau orang kampung? Biasanyalah orang kampung mesti bagu tau kalau dia ada buat perigi buta baru, takut budak-budak termasuk dalam tu. Satu lagi kenapa dia tak hadang perigi buta dia? Kalaulah kambing termasuk dalam tu, kalaulah lembu termasuk dalam tu, dan yang harunya aku pun termasuk dalam tu!

Mak Limah Gayong datang melawat aku masa petang. "Perangai macam jantan. Padan muka kamu!" Dia bawak ketupat nasi dengan kuah kacang. Kuah kacang Mak Limah memang istimewa. Lain daripada orang lain. Sebabnya kuah kacang tu ada ayam. Ah... memang favorite aku!

Jawapan lumrah jugak aku terima; TAK BOLEH MAKAN! NANTI GATAL!

Thursday, November 4, 2004

`KESIBUKAN BERSANGATAN'
NAMPAKNYA memang dah tak boleh mengelak lagi! Kesibukan mula merantai! Lagi nak dekat raya lagilah haru. Majalah yang mingguan paling teruk kerana perlu disiapkan sebulan lebih awal. Majalah yang bulanan semuanya mesti siap sebelum cuti hari raya. Inilah kesannya bila cuti melebihi seminggu. Tapi tak mengapalah, asalkan kerja dalam enjoy, tak stres. Senyum sentiasa di bibir apalagi bekerja dalam dendangan lagu-lagu hari raya. Suara P. Ramlee dengan Dendang Perantaunya amat syahdu di telinga!

Saya bersama anak-anak sedang dalam peringkat kompromi dengan suami - kalau boleh saya dan anak-anak nak berhari raya di Kuala Lumpur tahun ini. Hehehe, harap-harap proposal kami diterima oleh suami. Kah kah kah... bukan apa, sejak berkahwin baru dua kali merasa beraya dengan mak bapak saya di KL. Selebihnya saya wajib balik kampung suami di Alor Star.

Tu yang bila arwah mak mentua kata di pagi hari raya, di saat takbir raya bergema; "Janganlah menangis nuuu, sana mak sini pun mak jugak." Tapi bila dia cakap macam tu, lagilah saya meraung :-(

Wednesday, November 3, 2004

INGAT RAMADAN, INGAT ZAKAT
CUKUPLAH semalam saya menyentuh isu mengenai Sharifah Aini, hari ini kita tutuplah dulu kes berkenaan hingga pihak berkuasa menentukan status. Tak usahlah kita panjang-panjangkan lagi kes ini, apalagi di bulan Ramadan yang mulia ini. Sebabnya, walau terdetik sedikitpun niat tidak baik kita pada seseorang, apalagi membuat tuduhan dan sebagainya yang belum tentu sahih akan membuatkan pahala puasa kita cacat. Dahlah, seperti kata rakan-rakan - just wait and see.

Semalam wakil pungutan zakat Selangor datang ke pejabat membuka kaunter kepada staf yang ingin membayar zakat. Ya, bapa saya yang juga amil berkata, di mana kita mendapat rezeki di situlah kita membayar zakatnya. Tetapi ramai juga yang mendapat rezeki di Kuala Lumpur tetapi membayar zakat di kampung halaman dengan menyedari orang kampung lebih memerlukan.

"Jom pergi bayar zakat, kaunter dah bukak." Kata seorang kawan.
"Oh tak apalah, suami saya yang berhak bayak zakat saya anak beranak." Jawab saya.
"Aku ni macam nilah. Memang tiap-tiap tahun kena bayar zakat sendiri. Jangan haraplah suami aku nak bayarkan..." kata si kawan, serius. Kami yang mendengar serba salah nak gelak ke nak kerut dahi. Sebabnya si kawan itu belum lagi bersuami walau usianya sudah awal 40-an. Tapi akhirnya ketawa kami pecah berderai!

Nak tanya ni, mana wang zakat diagihkan? Sebenarnya asnaf yang lapan-fakir, miskin, amil, mualaf, hamba, orang yang berhutang, fisabilillah dan musafir-sentiasa mengharapkan sumbangan berkenaan. Mengapa masih ramai orang Islam yang miskin walaupun mereka layak menerima wang zakat? Berapa banyak wang yang benar-benar sampai kepada lapan asnaf atau golongan penerima zakat itu? Bagaimana pula Baitulmal menguruskan baki wang yang tidak diagihkan - dileburkan atau disimpan begitu sahaja?

Soalan ini berlegar dalam kepala kebanyakan kita terutama bila Ramadan. Tapi bila Syawal menjelma, kita bersuka ria maka soalan ini perlahan-lahan dilupakan, sampai tahun depan baru kita ingat semula. Dan kita terus hidup, mereka yang malang terus malang, menanti dan menanti hak mereka... Errr, anda dah bayar zakat fitrah ke belum?

Tuesday, November 2, 2004

`OFF RECORD'
MELANGKAH di lorong-lorong mewah menuju ke ballroom di Hotel Hilton KL Sentral boleh memeningkan kepala. Bagi saya yang baru pertama kali ke sana, agak haru jugak. Dari lif parking ke lif main hotel, mak datuk jauhnya. Hotel gah ini berkongsi parking pula dengan Hotel Le Meridean. Silap lorong, dah ke hotel sebelah satu lagi tu. Demi Fina, Pembantu Khas Menteri, dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mewakili Kak Ijat datang ke pejabat menjemput berbuka puasa bersama, saya gagahkan juga untuk hadir.

Malam itu kebetulan duduk di meja TKSU Kementerian dan wartawan akhbar lain. Saya bersebelahan dengan Ku Seman, jiran dekat rumah, jiran sama karier. Lagilah ligat kami berceloteh, apalagi turut serta sebelah kiri saya Aliya HM Jally dari TV3 (teman sejak di USM 20 th lalu) dan Ras Adiba Radzi. Dib cantik malam tu, mukanya putih bersih, langsung tanpa mekap. Rambut panjang lurus dilepaskan begitu sahaja. Dib amat berdikari. Saya nak ambilkan minuman dia tak benarkan. Dia boleh buat sendiri katanya. (Saya bayangkan sebelum itu Dib menempuh jalan sesak dari Bangsar, keluar dari kereta, mengusung turun kerusi roda dari keretanya, menolak ke lif, dari lif parking ke lif hotel. Agak jauh juga dari lif ke ballroom dan akhirnya duduk sama semeja dengan kami).

Ku Seman dihujani dengan kes sensasinya bersama Sharifah Aini pasal sms tu. Dib dengan kes sensasi jugak pasal kononnya dia buat-buat lumpuh. So macam-macam hal kami bualkan malam itu. Tetapi kata Ku Seman, kesimpulannya berani buat berani tanggung. Kata Dib pulak, "saya rela tanggung apa saja tanggapan orang. Yes, saya berani kerana kebenaran."

Ini cerita minggu lepas yang mana kata Ku Seman antaranya, "off record ya..." Tapi hari ini dah tak off record Ku!

Monday, November 1, 2004

TENTANG YVONNE RIDLEY
BERIKUT adalah tulisan bos saya, Fickry Yaacob tentang seorang wanita bernama Yvonne Ridley:

Ahad, 28/11/2004 jam 3.30 petang bertempat di Convention Centre, Berjaya Times Square, Bukit Bintang telah berlangsung satu majlis pertemuan bersama Sister Yvonne Ridley, seorang wartawan bekas tawanan Taliban. Tajuk talk show itu ialah 'From Convict to Convert'. Beliau ialah wartawan Sunday Express, UK dan pada bulan September 2001 beliau telah diseludupkan dari Pakistan ke perbatasan Afgahanistan.

Dalam majlis itu, beliau memberitahu sebagai wartawan akhbar mingguan, tugasnya lebih mencabar. Sudut tulisannya hendaklah lebih daripada apa yang terhidang oleh akhbar harian. Ia mesti berbentuk lebih eksklusif dan mendalam. Itulah yang mendorongnya masuk ke Afghan sungguhpun beberapa hari sebelum itu semua wartawan telah diusir oleh kerajaan Taliban kerana serangan Amerika amat ketara.

Rahsianya terbongkar apabila keldai yang ditunggannya membuat pergerakan melampau menyebabkan kameranya terdedah di hadapan seorang soldadu Taliban di Jalalbad. Sebelum itu beliau biasa menunggang kuda tetapi tidak bermasalah. Dengan senyum beliau berkata dia sebenarnya lebih yakin menaiki keldai berbanding kuda kerana keldai lebih kecil walaupun mempunyai kaki empat macam kuda.

Apabila askar itu mendekatinya, fikirannya menggambarkan betapa kacaknya lelaki muda bermata hijau yang berjanggut lebat itu. Tetapi, ia bertukar menjadi menggerunkan selepas itu. Dia bertemu kembali lelaki itu selepas beliau dibebaskan. Lelaki itu melambai kepadanya.

Dalam pertemuan pada Ahad itu, beliau menceritakan hari demi hari semasa beliau ditahan - bagaimana beliau merindui anak perempuannya yang berumur 9 tahun dan bagaimana permintaannya agar diberi peluang menghubungi anaknya melalui telefon tidak dilayan.

Pada hari pertama ditahan, beliau bertindak mogok lapar. Ketua tukang masak datang bertanyakan sebab: adakah kerana masakannya tidak sedap? Esoknya, beliau teruskan mogok itu. Mereka datang lagi menawarkan makanan sedap-sedap dari hotel kalau dia mahu. Dia berkata dia tidak akan makan walau bagaimana sedap pun makanan kecuali diberi telefon untuk menghubungi keluarganya. Mereka masih enggan. Yvonne bertindak marah lalu meludah pengawal.

Tindakan itu menyebab seorang pegawai wanita datang membawa sebiji telefon bimbit. Pegawai Wanita Taliban itu memberikan setiap orang peluang berhubung dengan orang yang dikehendaki kecuali Yvonne. Tindakan ini ialah untuk membalas perbuatannya meludah pegawai Taliban. Hatinya makin geram. Di dalam sel itu terdapat beberapa tawanan lain termasuklah tiga orang pendakwah Kristian.

Di dalam penjara Yvonne kehairanan kerana diberikan kunci selnya dan bebas bergerak di perkarangan penjara. Dia terfikir bagaimana dia mendapat layanan begitu dari sebuah kerajaan yang termundur dan paling ganas di dunia sedangkan di penjara Abu Gharib, tawanan Iraq dilayan seperti binatang oleh sebuah kerajaan paling maju dan bertemaddun di dunia? Dia juga terkenangkan layan ke atas tawanan di Guantanamao Bay, Cuba.

Setiap hari dia memerhatikan tiga orang tawanan Kristian menyanyi hymn (kalau kita nasyid) diiringi gitar yang dibekalkan Taliban. Kemudian dia mendapat tahu bahawa Taliban berbuat demikian kerana mereka adalah pengikut agama Ahli Kitab. Taliban mengamalkan kebebasan beragama. Mereka hanya ditegah dari memurtadkan orang Islam. Hatinya mula berubah sedikit terhadap Taliban.

Di dalam soal siasat seterusnya pada hari-hari berikut beliau telah ditanya tentang Islam. Hatinya berbelah bagi - kalau kutuk Islam, mungkin kepalanya dipancung. Dia ditanya berminatkah dia untuk masuk Islam? Dia dengan tegas menjawab tidak kerana dia tidak tahu apapun tentang Islam tetapi berjanji akan mengkaji al-Quran jika dibebaskan.

Dia menceritakan peristiwa pada suatu hari semasa dalam tahanan; dia membasuh baju-bajunya termasuklah seluar dalam dan menjemurnya. Perbuatannya mengundang kemarahan pengawal. Mereka meminta dia menurunkan seluar dalam yang dijemur itu. Pegawai Taliban berkata jemuran itu mengotorkan fikiran anggotanya. Dia enggan, lalu meminta mereka mengalihkan pandangan dari melihat seluar dalam itu selama beberapa jam sehinggalah dia menurunkannya apabila kering nanti.

Peristiwa itu menggemparkan penjara kerana Timbalan Menteri Dalam Negeri Afghanistan terpaksa turun mengarahkannya menurunkan jemuran itu atas alasan pegawainya terpaksa memantau pergerakan tahanan. Yvonne mengulas sehingga menggegarkan Dewan Convention Centre, Berjaya Times Square, dengan berkata seluar dalamnya bukanlah berbentuk seksi dan jarang tetapi suatu yang besar, tebal dan labuh. Katanya, sebuah negara yang sedang menghadapi ancaman dibom oleh sebuah negara termaju di dunia, tetapi menterinya lebih memikirkan masalah seluar dalamnya mengotori fikiran askar Taliban. Sepatutnya, kata Yvonne, Amerika hanya perlu mengebarkan seluar-seluar dalam sahaja untuk mengalahkan Taliban dan menawan Afghanistan. "Tentu tentera Taliban akan lari lintang-pukang melihat seluar dalam!" Jelas beliau.




Apabila beliau pulang ke tanahairnya, beliau terpegun apabila menyentuh al-Quran dan mendapati tidak setitik dakwat berbentuk koma atau noktah yang berubah dari teks asalnya. Ia tetap bersih dan murni dari sebarang pindaan selepas lebih dari 1,400 tahun.

Hatinya girang tetapi tindakannya mempelajari Islam tidak disenangi ramai di tempatnya. Ibunya, bagaimanapun riang sebab dia mula berhenti dari meminum arak. Untuk kali pertama semenjak gadis lagi, katanya dia menjadi tenang. Dia tidak memerlukan lelaki atau suami dan menunggu panggilan telefon dari lelaki-lelaki seperti yang diamalnya sebelum ini. Dia pernah berkahwin sebanyak tiga kali. Sekarang berupa seorang janda.

Namun, seorang lelaki, iaitu ulama Abu Hamzah al-Masri mengekori perkembangannya. "Selamat datang ke Islam," kata Abu Hamzah. "Aku belum masuk Islam lagi" jawab Yvonne. Mengikut Yvonne, Abu Hamzah memberitahunya agar memikir baik-baik dan memaklumkan bahawa jika dia memerlu bantuan pendapat, hubungilah mana-mana Muslimat. Dia akan memasuki sebuah keluarga yang terbesar di dunia. Abu Hamzah mengingatkan, "jika tidak, kalaulah esok kamu keluar rumah dan menemui kemalangan yang meragut nyawa kamu, kamu akan langsung ke Neraka!"

Yvonne terkejut kerana panggilan telefon dari Abu Hamzah seorang ulama Britain yang dianggap paling ganas dan mempunyai tangan bercangkuk besi. (Abu Hamzah sekarang berada di dalam tahanan kerajaan Britain di bawah Akta yang sama derngan ISA kita. "Sebenarnya, Abu Hamzah agak manis orangnya," beritahu Yvonne kepada hadhirin dan diikuti dengan gelak ketawa.

Beliau menerangkan bahawa semenjak mengkaji al-Quran beliau mengetahui lebih jelas tentang kedudukan wanita dalam Islam. "Apa yang diperjuang oleh orang barat tentang emansipasi wanita sebenarnya telah pun termaktub di dalam al quran semenjak 1,400 tahun lepas. Benar terdapat tekanan terhadap wanita di negara-negara Islam tetapi saya boleh membawa kamu ke mana-mana sudut di Tyneside dan menunjukkan bahawa di sana juga terdapat keadaan sperti itu. Tekanan adalah berbentuk budaya dan tidak Islamik. Islam menggariskan kedudukan yang amat jelas bahawa wanita mempunyai hak yang sama," jelas beliau kepada hadirin yang bilangan wanitanya dianggar lebih ramai berbanding lelaki.

* Yvonne Ridley dibawa ke Malaysia oleh Pertubuhan al Khadeem, sebuah pertubuhan kebajikan yang upayanya adalah untuk menyemarakkan al-Quran dan Sunnah. Pada hari Rabu ini Yvonne akan berada di pejabat al Khadeem, Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya utk khusus bertemu dengan para remaja.


RERAMA LUPA JALAN PULANG?


rerama pergi
melaung tak bererti
menung kembali

ADI, rakan suami yang menjadi doktor PC kami selama ini memberitahu dia memerlukan dua hari untuk membedah siasat CPU saya. Saya tak mahu melayan kebosanan, frust dan remuk jiwa Sabtu dan Ahad tanpa PC lalu mengajak suami dan anak-anak keluar ke KL dan menginap di hotel berhampiran tempat shopping. Fuhhh, dah selesai bab anak-anak. Hari ini balik ke rumah, dalam setengah jam Adi sampai dan memasang kembali CPU. Alhamdulilah semua organ dalaman berjaya diselamatkan oleh `Doktor Adi'. Novel pun ok, selamat. Kemudian membuka blog, rerama yang selalu berkepak indah pula dah hilang. Sabarlah...

Friday, October 29, 2004

PANDU TAK CERMAT JIWA KENA REMBAT


Haaa... ini dia antara equipment yang digunakan untuk speed trap. Selain En. Polis tu duduk bawah jejambat atau jambatan, pernah sekali tu saya lihat En. Polis duduk mencangkung di tengah-tengah pembahagi jalan... uhhh bahaya sungguh! So, berhati-hati bila nak balik kampung sempena Aidilfitri nanti. Semoga kepulangan kita ke kampung halaman tidak diiringi dengan air mata.

Thursday, October 28, 2004

YANG JANTAN...
SAYA suka staf saya aktif, ligat, lasak, brutal dan segalanya yang seerti. Ya ada yang ramai begitu. Mereka ini jenis yang masih muda, yang tengah rancak kejar karier, tengah mantapkan kerjaya. Bukan saja yang masih solo, malah yang dah berkahwin pun sama ligat.

Di sini kita nampak beza antara mereka yang bekerja kerana gaji dan mereka yang bekerja kerana gaji campur minat. Pendek kata, jenis yang tak berkira. Tapi yang tak berapa seronoknya, kebanyakannya perempuan, anak-anak dara orang, isteri orang...!

Semasa interview memang kuota untuk lelaki ada tapi mereka tak datang. Kalau pun datang, bukan lelaki seratus peratus, identiti yang bercampur... Tidak dinafikan. sekarang ni payah betul nak dapatkan lelaki yang macho, yang ganteng. Eh, risaunya akak...

Wednesday, October 27, 2004

TEPUK DADA TANYA NIAT
SEMASA saya masih solo dulu kedatangan Ramadan amat bererti bagi malam-malam yang selalunya senang dan lenang, tak ada anak, tak ada suami, komitment dengan keluarga pun kurang. Kebiasaannya undangan ke majlis berbuka puasa diterima oleh Editor dan listnya berderet-deret boleh dikatakan setiap malam. Apabila mendapat tugasan itu, ada yang muka berkerut dan ada yang senyum senang. Muka berkerut maknanya "habislah terawikh aku malam ni". Muka senyum senang maknanya "wow, ok no problem, aku pun dah jemu mengunyah nasi bungkus..."

Daripada awal pagi kebiasaannya PR company yang menjemput akan sibuk menelefon. Ada yang menelefon dua tiga kali mengingatkan, "datanglah bagi support, ini untuk anak yatim, kami sedekah untuk fakir miskin, untuk ibu tunggal jugak..." Kebiasaan soalan dan jawapan (dalam hati) ialah begini:

- Agak-agak berapa orang nak datang (buat coverage?)
Rasanya seorang saja dah memadai, boleh menulis untuk 10 majalah lain.

- Make sure ya ada cameraman...
Sebenarnya wartawan pun boleh jadi jurugambar.

- Agaknya bulan berapa news malam nanti nak terbit agaknya ya?
Ikut suka editorlah!

- Datanglah ya, kat hotel tu I gerenti makanannya sedap.
Eh, dia fikir aku ni hadap sangat ke nak makan?

Balik pada asalnya bersedekah pada anak yatim, fakir miskin dan ibu tunggal; perlukah diheboh-hebohkan? Mestikah dipublisitikan? Mestikah penyerahan cek (mockup saja) dihebah-hebah seolah mengatakan, lihatlah dunia... akulah penyumbang terbanyak untuk Ramadan tahun ini!

Tuesday, October 26, 2004

BERKAT DOA
TIDAK rugi memperbanyakkan doa. Disamping doa-doa biasa sepanjang Ramadan, di sini dipaparkan beberapa lagi doa yang sesuai untuk tambahan:

Doa Hari - 1
Ya Allah! Jadikanlah Puasaku Sebagai Puasa Orang-Orang Yang Benar-Benar berpuasa. Dan Ibadah Malamku Sebagai Ibadah Orang-Orang Yang Benar-Benar Melakukan Ibadah Malam. Dan Jagalah Aku Dari Tidurnya Orang-Orang Yang Lalai. Hapuskanlah Dosaku Wahai Tuhan Sekalian Alam! Dan Ampunilah Aku, Wahai Pengampun Para Pembuat Dosa.

Doa Hari - 2
Ya Allah! Dekatkanlah Aku Kepada KeredhaanMu Dan Jauhkanlah Aku Dari Kemurkaan Serta BalasanMu. Berilah Aku Kemampuan Untuk Membaca Ayat-AyatMu Dengan RahmatMu, Wahai Maha Pengasih Dari Semua Pengasih!!

Doa Hari - 3
Yaa Allah! Berikanlah Aku Rezeki Akal Dan Kewaspadaan Dan Jauhkanlah Aku dari Kebodohan Dan Kesesatan. Sediakanlah Bagian Untuk Ku Dari Segala Kebaikan Yang Kau Turunkan, Demi KemurahanMu, Wahai Zat Yang Maha Dermawan Dari Semua Dermawan!


Doa Hari - 4
Ya Allah! Berikanlah Kekuatan Kepadaku, Untuk Menegakkan Perintah-PerintahMu, Dan Berilah Aku Manisnya Berzikir MengingatMu. Berilah Aku Kekuatan Untuk Menunaikan Syukur KepadaMu, Dengan kemuliaanMu. Dan Jagalah Aku Dengan PenjagaanMu Dan PerlindunganMu, Wahai Zat Yang Maha Melihat.

Doa Hari - 5
Ya Allah! Jadikanlah Aku Diantara Orang-Orang Yang Memohon Ampunan, Dan Jadikanlah Aku Sebagai HambaMu Yang Soleh Dan Setia Serta Jadikanlah Aku Diantara AuliyaMu Yang Dekat DisisiMu, Dengan KelembutanMu, Wahai Dzat Yang Maha Pengasih Di Antara Semua Pengasih.

Doa Hari - 6
Ya Allah! Janganlah Engkau Hinakan Aku Karena Perbuatan Maksiat Terhadap-Mu, Dan Janganlah Engkau Pukul Aku Dengan Cambuk Balasan-Mu. Jauhkanlah Aku Dari Hal-Hal Yang Dapat Menyebabkan kemurkaan-Mu, Dengan Anugerah Dan Bantuan-Mu, Wahai Puncak Keinginan Orang-Orang Yang Berkeinginan!

Doa Hari - 7Ya Allah! Bantulah Aku Untuk Melaksanakan Puasanya, Dan Ibadah Malamnya. Jauhkanlah Aku Dari Kelalaian Dan Dosa-DosaNya. Dan Berikanlah Aku Dzikir Berupa Zikir MengingatMu Secara Berkesinambungan, Dengan TaufiqMu, Wahai Pemberi Petunjuk Orang-Orang Yang Sesat.

Doa Hari - 8
Yaa Allah! Berilah Aku Rezeki Berupa Kasih Sayang Terhadap Anak-Anak Yatim Dan Pemberian Makan, Serta Penyebaran Salam, Dan Pergaulan Dengan Orang-Orang Mulia, Dengan KemuliaanMu, Wahai Tempat Berlindung bagi Orang-Orang Yang Berharap

Doa Hari - 9
Ya Allah! Berikanlah Aku Petunjuk Kepada Ajaran-AjaranMu Yang Terang, Dan Bimbinglah Aku Menuju Kepada KerelaanMu Yang Penuh Dengan KecintaanMu, Wahai Harapan Orang-Orang Yang Rindu.

Doa Hari - 10
Ya Allah! Jadikanlah Aku Diantara Orang-Orang Yang Bertawakkal KepadaMu, Dan Jadikanlah Aku Diantara Orang- Orang Yang Menang DisisiMu, Dan Jadikanlah Aku Diantara Orang-Orang Yang Dekat Kepada-Mu Dengan IhsanMu, Wahai Tujuan Orang-Orang Yang Memohon.

Doa Hari - 11
Ya Allah! Tanamkanlah Dalam Diriku Kecintaan Kepada Perbuatan Baik, Dan Tanamkanlah Dalam Diriku Kebencian Terhadap Kemaksiatan Dan Kefasikan. Jauhkanlah Dariku KemurkaanMu Dan Api Neraka Dengan PertolonganMu, Wahai Penolong Orang-Orang Yang Meminta Pertolongan.

Doa Hari - 12
Ya Allah! Hiasilah Diriku Dengan Penutup Dan Kesucian. Tutupilah Diriku Dengan Pakaian Qana'ah Dan Kerelaan. Tempatkanlah Aku Di Atas Jalan Keadilan Dan Sikap Tulus. Amankanlah Diriku Dari Setiap Yang Aku Takuti Dengan PenjagaanMu, Wahai Penjaga Orang-Orang Yang Takut.

Doa Hari - 13
Ya Allah! Sucikanlah Diriku Dari Kekotoran Dan Kejelekan. Berilah kesabaran Padaku Untuk Menerima Segala Ketentuan. Dan Berilah Kemampuan Kepadaku Untuk Bertaqwa, Dan Bergaul Dengan Orang-Orang Yang Baik Dengan BantuanMu, Wahai Dambaan Orang-Orang Miskin.

Doa Hari - 14
Ya Allah! Janganlah. Engkau Hukum Aku, Karena Kekeliruan Yang Kulakukan. Dan Ampunilah Aku Dari Kesalahan-Kesalahan Dan Kebodohan. Janganlah Engkau Jadikan Diriku Sebagai Sasaran Bala' Dan Malapetaka dengan KemuliaanMu, Wahai Kemuliaan Kaum Muslimin.

Doa Hari - 15
Ya Allah! Berilah Aku Rezki Berupa Ketaatan Orang-Orang Yang Khusyuk Dan Lapangkanlah Dadaku Dengan Taubatnya Orang-Orang Yang Menyesal, Dengan KeamananMu, Wahai Keamanan Untuk Orang-Orang Yang Takut.

Doa Hari - 16
Ya Allah! Berilah Aku Kemampuan Untuk Hidup Sebagaimana Kehidupan Orang-Orang Yang Baik. Dan Jauhkanlah Aku Dari Kehidupan Bersama Orang-Orang Yang Jahat. Dan Naungilah Aku Dengan RahmatMu Hingga Sampai Kepada Alam Akhirat. Demi KetuhananMu Wahai Tuhan Seru Sekalian Alam.

Doa Hari - 17
Ya Allah! Tunjukkanlah Aku Kepada Amal Kebajikan Dan Penuhilah Hajat serta Cita-Cita Ku. Wahai Yang Maha Mengetahui Keperluan, Tanpa Pengungkapan Permohonan. Wahai Yang Maha Mengetahui Segala Yang Ada didalam Hati Seluruh Isi Alam. Selawat Atas Mohammad Dan Keluarganya Yang Suci.

Doa Hari - 18
Ya Allah! Sedarkanlah Aku Akan Berkat-BerkatMu Dan Sinarilah Hatiku Dengan Terang Cahayanya Dan Bimbinglah Aku Dan Seluruh Anggota Tubuhku Untuk Dapat Mengikuti Ajaran-Ajarannya, Demi CahayaMu Wahai Penerang Hati Para Arifin.

Doa Hari - 19
Ya Allah! Penuhilah Bagianku Dengan Berkah-Berkahnya, Dan Mudahkanlah Jalanku Menuju Kebaikan-Kebaikannya. Janganlah Kau Jauhkan Aku Dari Kebaikan- Kebaikannya, Wahai Pembed Petunjuk Kepada Kebenaran Yang Terang.

Doa Hari - 20
Ya Allah! Bukakanlah Bagiku Pintu-Pintu Syurga Dan Tutupkanlah Bagiku Pintu-Pintu Neraka, Dan Berikanlah Kemampuan Padaku Untuk Membaca Ai-Quran Wahai Penurun Ketenangan Di Dalam Hati Orang-Orang Mukmin.

Doa Hari - 21
Ya Allah! Berilah Aku Petunjuk Menuju Kepada KeredhaanMu. Dan Janganlah Engkau Benarkan Syaitan Untuk Menguasaiku. Jadikanlah Surga Bagiku Sebagai Tempat Tinggal Dan Peristirahatan, Wahai Pemenuh Keperluan Orang- Orang Yang Meminta.

Doa Hari - 22
Ya Allah! Bukakanlah Bagiku Pintu-Pintu KurniaMu, Turunkan Untukku Berkat-BerkatMu. Berilah Kemampuan Untukku Kepada Penyebab-Penyebab KeredaaanMu, Dan Tempatkanlah Aku Di Dalam SyurgaMu yang Luas.

Doa Hari - 23
Ya Allah! Sucikanlah Aku Dari Dosa-Dosa, Dan Bersihkanlah Diriku Dari Segala Aib. Tanamkanlah Ketaqwaan Di Dalam Hatiku, Wahai Penghapus Kesalahan Orang-Orang Yang Berdosa.

Doa Hari - 24
Ya Allah! Aku Memohon KepadaMu Hal-Hal Yang Mendatangkan KeredhaanMu, dan Aku Berlindung DenganMu Dan Hal-Hal Yang Mendatangkan KemarahanMu, Dan Aku Memohon KepadaMu Kemampuan Untuk MentaatiMu Serta Menghindari Kemaksiatan Terhadap-u, Wahai Pemberi Para Peminta.

Doa Hari - 25
Ya Allah! Jadikanlah Aku Orang-Orang Yang Menyintai AuliyaMu Dan memusuhi Musuh-MusuhMu. Jadikanlah Aku Pengikut Sunnah-Sunnah, Pengikut NabiMu, Wahai Penjaga Hati Para Nabi.

Doa Hari - 26
Ya Allah! Jadikanlah Usahaku Sebagai Usaha Yang Disyukuri, Dan dosa-Dosaku Diampuni, Amal PerbuatanKu Diterima, Dan Seluruh Aibku Ditutupi, Wahai Maha Pendengar Dari Semua Yang Mendengar.

Doa Hari - 27
Ya Allah! Rizkikanlah Kepadaku Keutamaan Lailatul Qadr, Dan Ubahlah Perkara-Perkaraku Yang Sulit Menjadi Mudah. Terimalah Permintaan Maafku, Dan Hapuskanlah Dosa Dan Kesalahanku, Wahai Yang Maha Penyayang Terhadap Hamba-HambaNya Yang Soleh.

Doa Hari - 28
Ya Allah! Penuhkanlah Hidupku Dengan Amalan-Amalan Sunnah, Dan muliakanlah Aku Dengan Terkabulnya Semua Permintaan. Dekatkanlah Perantaraanku KepadaMu Diantara Semua Perantara, Wahai Yang Tidak Tersibukkan Oleh Permintaan Orang-Orang Yang Meminta.

Doa Hari - 29
Ya Allah! Liputilah Aku Dengan Rahmat Dan Berikanlah Kepadaku Taufiq Dan Penjagaan. Sucikanlah Hatiku Dan Noda-Noda Fitnah Wahai Pengasih Terhadap Hamba- HambaNya Yang Mukmin.

Doa Hari - 30
Ya Allah! Jadikanlah Puasaku Disertai Dengan Syukur Dan Penerima DiAtas Jalan KeredhaanMu Dan Keredhaaan Rasul. Demi Kenabian Muhammad saw dan Keluarganya Yang Suci, Dan segala Puji Bagi Allah Tuhan Sekalian Alam.

Monday, October 25, 2004

PENGUMUMAN PENTING
PENGARAH Urusan telah mengedarkan memo ini: BAGI memberi kemudahan kepada kakitangan membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, pihak syarikat akan membuat pembayaran pendahuluan gaji bagi gaji November 2004 sebanyak 40% daripada gaji pokok dimana ianya akan dibayar pada 12/11/2004. Pembayaran ini adalah secara bersih dan belum ditolak semua jenis caruman termasuk EPF, SOCSO, cukai pendapatan dan lain-lain. Bakinya iaitu 60% daripada gaji pokok akan dibayar seperti biasa iaitu pada 1/12/2004 dimana ianya akan dikenakan kesemua jenis caruman (EPF, SOCSO, cukai pendapatan dan lain-lain).

Pembayaran pendahuluan gaji seperti di atas ini akan dilakukan secara automatik dan pekerja tidak perlu membuat permohonan. Semua pekerja yang telah mula bekerja sebelum 1/11/2004 adalah terlibat. Pekerja-pekerja yang mendapat komisen melebihi RM 500 sebulan dikecualikan.

Adalah diharapkan agar pendahuluan gaji ini dapat membantu semua pekerja meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh keceriaan. Walau bagaimanapun para pekerja haruslah merancang belanjawan masing-masing yang mencukupi bagi perbelanjaan sepanjang bulan Disember 2004. Sekian, harap maklum.

Hehehehe, kami tak dapat bonus bulan ini seperti mana orang gomen. Bonus kami ialah bulan *** setiap tahun.

Saturday, October 23, 2004

KEIKHLASAN
SUAMI pernah kata dia cemuih (rimas?) dengan perangai peminta-peminta sedekah sama ada yang datang ke rumah atau yang ditemui di pasar-pasar malam, di kaki-kaki lima atau di tepi-tepi masjid. Ya saya pun beranggapan yang sama. Muka mereka bukan muka orang kita, sahlah mereka orang luar dari Malaysia.

Pernah juga ajak bercakap dengan depa tapi depa buat do no saja. Anggap depa tak faham cakap kita dahlah! Di rumah terutama Sabtu atau Ahad, ada saja mereka ini terpacul memberi salam, hulur kertas yang dah lunyai tu dan sebelah tangan lagi menjemput jari, hala ke mulut... Situasi ini makin menjadi-jadi di ketika Ramadan dan hampir Syawal ini.

Sebak ada, sakit hati pun ada. Memang kita insaf dengan kepayahan mereka berbanding dengan apa yang kita ada. Tetapi memandangkan mereka ini sah-sah mangsa keadaan dan sindiket niat kita menghulurkan rm seperti tak ikhlas jadinya. MasyaAllah....! Pernah sekali saya tak hulurkan rm tapi saya bungkuskan makanan dan pakaian. Tapi, tahu apa jadi? Mereka menolak pemberian saya tu. Mereka tetap nak rm!

Friday, October 22, 2004

DAGU BERLAPIS
BERPUASA kerana suruhan Allah, berbeza dengan berpuasa kerana hendak kurus. Bunyinya kelakar... tapi ada juga perempuan (kawan-kawan saya?) macam tulah. Ada yang awal-awal lagi dah berniat (selain berniat puasa Ramadan) supaya menjelang Syawal nanti badan kurus sikit. Bolehlah pakai kebaya senteng...

Bukan tak boleh, boleh. Tapi macamana nak kurus kalau bajet makan di waktu siang tu dibawa ke waktu berbuka dengan tambahan dua kali malah tiga kali ganda. Makanan waktu berbuka, mewah-mewah. Apalagi kalau dapat jemputan berbuka puasa di hotel, lagilah rambang mata. Antara promosi hotel; 100 lauk pauk berbuka, 10 jenis nasi, 50 jenis pencuci mulut, 10 jenis minuman!

Macam kami, kalau diikutkan memang setiap hari ada peluang berbuka puasa di luar. Jemputan dari banyak pihak. Selain hotel sendiri, ramai client menjemput. Begitu juga jemputan daripada menteri, orang persaorangan, syariakt rakaman dan lain-lain agensi. Setakat boleh pergi kami pergi, kalau tidak dapat pergi, cuma call bagi tau terima kasih kerana menjemput.

Eh, ramai bloggers pun nak kurus jugakan?
Saya pun sama, muaaaahhh...

Thursday, October 21, 2004

KANTOI
SYUKUR, sudah tujuh hari kita semua melalui Ramadan Al-Mubarak ini. Puasa bukan sebarang puasa kerana ia adalah wajib bagi setiap muslim. Okey, mari kita refresh hal Rukun Islam ini:

i. Mengucap dua kalimah syahadat
ii. Menunaikan solat lima waktu sehari semalam
iii. Mengeluarkan zakat
iv. Berpuasa di bulan Ramadan
v. Menunaikan haji bagi yang mampu

Setakat ini si bongsu (8 tahun) belum le lagi tinggal puasa. Alhamdulillah. Dia nampaknya masih boleh bertahan. Mungkin sebab off on ke sekolah. Katanya buat apa ke sekolah, tak belajar, buat penat saja lagipun periksa dah habis dah. Oraitlah, dia lebih selamat di rumah.

Semalam dalam pukul 7.30 pagi di satu traffic light saya bersebelahan dengan seorang abang hensome yang terlewat sahur! Selamba saja dia hisap rokok. Muka seposen saja, minum air kotak pulak lepas tu. Mak datuk, terang-terang! Kot ia pun gastrik ke, boikot puasa ke atau lupa mandi wajib ke, sorok-soroklah! Memang tak ada rasa malu langsung, bayangkan kalau bangsa asing melihatnya...

Petang semalam waktu ke bazar Ramadan saya terserempak dengan seorang abang (yang kurang hensome) sedang makan tapau dalam van. Dia dengan dua kawannya jual murtabak. Lagilah saya hangin. Saya sound direct, "hari-hari ke macam ni?" Dengan selambanya dia kata, "iyalah kak, kalau tidak nanti inti termasin ke, tertawar ke, ke laut ke..." Ya Allah, dia boleh buat lawak pulak!

Wednesday, October 20, 2004

BAK BERDIRI DI RANTING
DI TENGAH-TENGAH kesibukan tugas seharian, saya selalu bayangkan kerja yang santai, yang basic dan melakukan perkara yang biasa-biasa sahaja setiap hari. Pergi kerja, balik kerja dengan rilek. Segalanya berjalan lancar, tidak bekerja dalam tekanan, tiada masalah yang datang tiba-tiba hingga semua yang dijadualkan terpaksa dirombak semula. Bayangkan... bayangkan...

Hakikatnya apabila sudah menandatangani perjanjian yang antara lain maknanya, 'saya sedia menjalankan amanah yang dipertanggungjawab pada saya tanpa banyak alasan. Saya sedia diletakkan di mana-mana jabatan mengikut budi bicara ketua. Saya sedia menjalankan tugas lebih masa jika diperlukan. Saya bersedia untuk menerima hukumannya jika prestasi kerja saya tidak membanggakan... bla bla bla...' semua yang sempoi itu terbang bersimpang siur! Notis diberhentikan 24 jam tu perkara biasa.

Hakikatnya tanggungjawab yang dipikul makin berat hari ke hari. Demand dari bos semakin tinggi. Harapan daripada orang bawah pun mesti dilaksana kerana mereka perlukan kita dan kita perlukan mereka. Seperti entri semalam, kerja swasta ni seperti berdiri diranting. Jika kita kuat, tabah dan ada kesanggupan kita akan stay di situ. Tapi kalau kita tak kuat (selalu sakit, selalu cuti, tak mencapai ekspetasi, tidak boleh berlebih kurang, tidak boleh memberi 10 apabila diminta 5), kita akan jatuh berdebuk terjelepuk.

Sekali lagi saya ulangi, tak kiralah siapa kita, kerja gomen atau swasta; bukan senang nak senang...

Tuesday, October 19, 2004

KERANA KAU DUIT...
MEMBACA luahan hati kawan-kawan pekerja gomen di blog masing-masing pasal exam PTK, saya terasa jugalah pedih perit jiwa mereka. Kebanyakannya tak suka. Rasa tak syok. Rasa amat tertekan. Khabarnya soalannya susah - dah tentulah jawapannya payah. Kalau tak lulus kena ambik semula. Sampai lulus. Dan yang lulus pun bukannya boleh lapang dada, sebab ada sekatan lain lagi.

Itulah yang saya, pekerja swasta ini dapat rasa pada `kekeluhan bersangatan' rakan-rakan pekerja gomen. Swasta? Tak ada exam. Tak perlu mengulangkaji buku-buku. Tak payah nak risau pening di bilik exam. Swasta dinilai dengan merit. Awak buat, awak dapat. Lagi banyak buat projek, lagi bagus. Lagi rajin dan kreatif lagilah bos pandang. Kalau bos okey dia rekomen bagus, lagi cepat naik gaji yang kaw kaw. Naik pangkat jugak. Lagi kukuhlah kedudukan. Tapi sepak terajang swasta ni lain sikit. Persaingan sengit. Hari ini tak okey, esok dapat warning letter. Cukup tiga kali kena tendang.

Pokoknya bukan senang nak senang...

Sunday, October 17, 2004

`LAUK TUNJUK'
SEMALAM saya membawa anak-anak ke Bazar Ramadan untuk membeli lauk pauk berbuka. Ada banyak alasan kenapa saya tidak memasak semalam. Saya sengaja `off dapur'. Pertama kerana urusan kerja, kedua kerana urusan penulisan dan ketiga kerana `chef' nak rehat. Sebenarnya nak try test berbaloi ke tidak RM dan masa dalam penyediaan makanan berbuka puasa (sahur memang kena masak) bagi wanita bekerja.

Juadah berbuka semalam (RM12.50):
2 ketul tenggiri goreng kicap = RM4.00
Pucuk paku goreng = RM2.00
Dalca = RM2.00
Seekor cencaru bakar = RM2.00
2 keping murtabak = RM1.50
3 ketul pulut panggang = RM1.00

Anggaran jika beli bahan mentah di pasar:
2 ketul tenggiri = RM4.00
Seekor cencaru = RM2.00
Seikat pucuk paku = RM0.50
Bahan untuk murtabak =RM3.00
Bahan untuk pulut panggang = RM3.00
Bahan untuk dalca = RM3.00
(Lebih kurang RM15.50)

Ok, dengan RM12.50 saya boleh dapat banyak jenis juadah. Dapur pun tidak berkecah, masa yang saya peruntukkan untuk memasak saya boleh buat perkara lain. Jika saya berbelanja RM15.50, saya perlu masa untuk membersihkan barang pasar, memasak, mengemas dapur dan tambahan satu lagi - letih. "Sebenarnya awak malas nak masak," kata suami. "Err... bukan malas, saya tengah bandingkan teori dan praktikal nie," jawab saya. Muaaahhh...!

(Semalam Mak Aji sebelah kanan rumah bagi sandwic sardin dan Zura jiran sebelah kiri rumah bagi sepiring mi hoon goreng. Hari ni saya kena pulangkan piring mereka semua dengan isinya.... apa ya?).

Saturday, October 16, 2004

DULU LAIN SEKARANG LAIN
PUASA hari pertama sudahpun selamat dilalui. Hari ini hari kedua berpuasa untuk tahun 1425. Ada 28 hari lagi yang akan ditempuhi. Sebenarnya sedar tak sedar yang selebihnya ini akan diharungi sekejap sahaja, tahu-tahu sahaja hari raya sudah menjelma. Begitulah perubahan masa. Bak kata suami, "tera tu tera ni dah pukui tujuh!" (Orang utara fahamlah ni kot...)

Ketika Ramadan ini saya selalu mengimbas indahnya malam-malam di bulan Ramadan semasa saya dialam kanak-kanak. Lampu panjut, obor dari daun kelapa kering, jadi hantu pocong, hantar menghantar kuih ke rumah jiran, sembahyang terawih, main bunga api, mercun, bakar meriam buluh dan macam-macam lagi. Semua itu tak dapat dirasai oleh anak-anak kini.

Macamana nak cakap ya... malam tadi team dari Majalah NUR meraikan anak-anak yatim dari Yayasan Anak Yatim Sungai Ujung, Lenggeng Negeri Sembilan dan anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Nurul Izzah, Kajang. Majlis diadakan di Hotel Radius (dulunya Park Inn Hotel) di Jalan Changkat Bukit Bintang. Dimulakan dengan sembahyang Maghrib, kemudian menikmati hidangan mewah, show artis dan persembahan badut. Diakhir majlis masing-masing mendapat sumbangan RM daripada tauke KKSB.

Ok, berbalik pada zaman saya dulu yang makanan ala kadar sahaja, yang pakaian pun biasa saja, yang hiburannya hanyalah alam sekeliling... hidup anak-anak yatim sekarang lebih mewah daripada apa yang saya rasai dulu. Dulu saya tak merasa nak makan ayam goreng selalu, makan aiskrim ataupun sate. Saya tak merasa nak pakai pakaian cantik selalu, apalagi pergi ke hotel, merasa dingin aircond, berjumpa artis secara dekat, dilayan bagai anak VIP dan dapat RM pula.

Untuk pujuk hati sendiri saya berkata - Oh ya, dulu saya miskin kebendaan tapi mewah kasih sayang emak dan bapa. Mereka anak yatim di hadapan saya malam tadi mewah kebendaan tapi miskin kasih sayang ayah dan ibu...