Thursday, January 14, 2016
SISWA LAPAR?
Saya tidak tahulah penulis lain... tetapi saya ketika belajar, sangat selesa dengan duit bayaran honororium hasil penulisan saya.
Ketika berusia 18 tahun saya sudah mula menyimpan duit honororium daripada penulisan surat-surat pembaca, puisi, pantun dan berita pendek di akhbar-akhbar dan majalah ketika itu.
Bayaran surat pembaca, puisi, pantun atau cerpen tidaklah banyak. Namun apabila tersiar dalam beberapa majalah atau suratkhabar serentak dalam satu-satu masa, RM yang diterima dikira banyak.
Jika sebulan boleh dapat RM150 ke RM200 pada tahun 1980-an, itu sudah dikira mewah.
Kemudian apabila usia menginjak 20-an saya lagi ligat menulis. Ketika itu bayaran mula meningkat apabila tersiar dalam akhbar-akhbar mingguan yang berbeza, selang seminggu atau dua minggu.
Ketika itu ada banyak akhbar mingguan - antaranya Mingguan Tanahair, Mingguan Utara, Mingguan Timur, Mingguan Sukan, Mingguan Perdana, Watan dan beberapa akhbar lain selain akhbar utama, Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan Utusan Zaman.
Selepas itu saya juga sudah berani menerjah majalah-majalah yang bayarannya lebih tinggi berbanding akhbar mingguan.Jika mendapat slot novel bersiri di akhbar dan majalah arus perdana, itu sudah dikira bonus!
Ya, itu adalah pendapatan senyap. Dalam diam-diam saya mula menulis novel pula. Dengan menulis novel pendapatannya lebih lagi. Sejak itu, saya tidak menoleh... saya jalan terus!
RM itu sangat membantu perbelanjaan sehari-hari. Malah saya sudah boleh memberi pula sedikit kepada emak untuk kegunaan keluarga, padahal saya masih belajar ketika itu.
Ya, antara hendak dengan tidak! Siswa dan siswi tolong jangan manja.
Ada banyak cara untuk dapat duit. Yang penting jangan malas. Jangan banyak alasan!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment