Sunday, October 4, 2015

MELONTAR JAMRAH


MEMORI: MELONTAR DOSA DI TIGA JAMRAH 2010

Malam itu kami bermalam beratapkan langit terbuka di Muzdalifah. Tiada hujan. langit cerah. Saya berbaring atas pasir beralas tikar getah, memandang angkasa yang luas. Mengira bintang dan merenung bulan. 

Saya terlelap sebaik habis solat sunat. Saya asyik dengan mimpi semua cerita. saya pergi jauh ke masa silam. Ada cerita keluarga, cerita kawan-kawan dan cerita zaman kanak-kanak.

Terjaga dari lena saya berasa sangat puas dapat tidur dan bermimpi, mungkin setengah jam lamanya. Namun... sahabat jemaah kata saya tidak tidur! Saya hanya terlena dan terdiam dalam masa dua minit sahaja! Ya dua minit yang sangat cukup. Saya bingkas berwuduk kerana di padang ini, harus diisi dengan 80 peratus amal ibadat.

Selepas solat Subuh, sepanjang dalam bas yang panas dan bergerak sangat perlahan ke Mina saya genggam dalam uncang, 70 biji batu kecil yang telah saya pilih daripada billion batu kecil di padang malam tadi.




Bermalam dalam khemah sempit di Mina juga saya tidak lepaskan uncang 70 biji batu itu. Saya tidak mahu kehilangannya. Itu adalah senjata saya membuang kembali segala siap dan dosa yang terpalit pada tubuh, di ketiga-tiga Jamrah - Jamrah Sughra, kemudian Wusta dan Qubra (Aqabah).

Saya mahu lontar segala dosa dan khilaf, saya mahu campak semua yang jahat dalam diri. Saya mahu baling sekuat hati semua yang negatif ke tengah jamrah!


Balik ke Makkah dan menyempurnakan Tawaf Haji, Saie, bertahalul dan menanggalkan rukun ihram merupakan kemuncak segalanya... saya tahu saya telah bebas daripada segala rukun haji tamatuk ketika ini tetapi itu juga merupakan satu permulaan sebuah ujian lebih besar.

Ujian mempertahankan iman! Kini setiap hari, saat saya merasa kalah, saat saya merasa sakit hati, saat saya merasa ingin balas dendam, peristiwa Madinah - Makkah - Arafah - Mina sangat membantu saya menjadi lebih manusia...

Harapan saya buat semua jemaah yang telah pernah dipilih Allah menjadi tetamuNya, sentiasa ingat kepayahan dan keinsafan yang telah kita lalui. Alhamdulillah kita kuat.

Ya Allah Ya Rahman, Ya Rahim, segeralah sampaikan pula giliran kepada rakan-rakan yang lain untuk bersolat di rumahMU yang tenang, damai, sejuk dan wangi, untuk melalui ujian-ujian getir Arafah dan Mina dan nikmat mencampak dan membaling segala dosa ke Jamrah. Amin.

No comments: