Sunday, May 24, 2009



SINAR HARIAN RAIH ANUGERAH KALUNG PERPADUAN 2009
PUCHONG – Akhbar Sinar Harian diiktiraf sebagai media yang memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat apabila menerima Anugerah Kalung Perpaduan 2009 yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Turut menerima anugerah ialah Kelab Sukan SportUnite (kategori sukan), Datuk Thiagarajan K R Arumugam @ David Aru­mugam (seni), Zubedy (M) Sdn Bhd (Korporat) dan Dr Harun Pudin, Mathavan Sangaran serta Toh Eng Leong masing-masing menerima anugerah bagi kategori komuniti. Kesemua penerima anugerah menerima kalung perpaduan, sijil penghargaan dan wang tunai RM5,000.

Akhbar Sinar Harian diwakili Pengarang Kumpulan, Sri Diah Shaharuddin.
Pengiktirafan tersebut disampaikan pada majlis pelancaran Majlis Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan yang diadakan di IOI Mall, di sini, semalam.

Berkonsepkan ‘Suara Cakna Komuniti Anda’, Sinar Harian yang memaparkan berita-berita berbentuk komuniti, politik dan isu-isu semasa berjaya mendapat tempat di hati pembaca dengan jumlah edaran mencecah 150,000 naskhah sehari.

Penerbitan Sinar Harian bermula dengan edisi Kelantan/Terengganu pada tahun 2006 seterusnya berkembang ke Pahang, Selangor, edisi Melaka/Negeri Sembilan, Perak dan edisi Utara (Pulau Pinang, Kedah, Perlis). Sinar Harian juga bakal melebarkan penerbitan bagi edisi Johor tidak lama lagi.

No comments: