Thursday, August 11, 2011

MASA SILAM YANG TIDAK AKAN KEMBALI LAGI
SAYA tidak pasti orang lain, namun saya mempunyai banyak nama dalam senarai telefon yang sudah tiada lagi di dunia fana ini. Sebelum itu, maafkan saya kerana sudah dua minggu asyik menulis tentang isu ini. Sebenarnya saya selalu teringat ayat ini;

“Setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Dan sesungguhnya pahala kamu akan disempurnakan pada hari kiamat. Sesiapa yang dijauhkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka dia sesungguhnya telah beruntung. Kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdayakan” (Ali Imran : 185)

Ustaz dalam kelas agama selalu mengibaratkan nyawa ini seperti daun pokok yang rendang. Daun-daun ini akan gugur apabila tiba masanya; tidak kira hijau atau kuning, tua atau muda, ke bumi juga akan jatuhnya dan bersemadi dengan tanah.

Kemudian apabila kita mengalih pandangan kepada sepohon pokok, kebetulan ketika sehelai daun sedang gugur, alangkah tersentapnya hati… Adakah kita telah bersedia untuk menerima masa tersebut?

Ingatlah apabila tiba saat dicabutkan roh dari badan, pintu taubat telah tertutup. Jika kita dalam kalangan orang yang taat kepada Allah, maka kita adalah orang beruntung. Begitulah sebaliknya…

Berbalik kepada senarai rakan-rakan yang sudah meninggal dunia tetapi masih ada dalam senarai telefon, kini kita menghadapi satu lagi situasi apabila nama rakan-rakan yang sudah meninggal dunia masih lagi ada dalam akaun Facebook. Subhanallah. Gambar di sebelah adalah antara sahabat yang sudah arwah: Allahyarham Abdullah Tahir, Universiti Malaya.


Anda bagaimana? Apakah semua nama yang sudah arwah dalam telefon bimbit dipadamkan? Mengikut logik mestilah dipadamkan kerana jika kita menelefon sekali pun bukan orang berkenaan menjawabnya. Telefon itu mungkin sudah menjadi kegunaan anak beranak, isteri, suami atau orang lain.

Begitu juga yang sudah arwah tetapi namanya masih ada lagi dalam akaun Facebook kita. Mungkinkah anda sekat nama itu? Atau masih nostalgik dan terus membaca semua nota tulisannya, melihat gambar-gambarnya dan tersenyum-senyum dengan komen dan statusnya?

Masya-Allah, semoga roh mereka yang sedang terbayang-bayang dalam benak kita sepanjang isu ini kita fikirkan berada damai tenteram dalam kalangan mereka yang beriman di negara abadi. Sedekahkan Al-Fatihah untuk mereka dengan ingatan bahawa kita juga akan menemuinya di sana juga suatu hari nanti.

Saya sendiri tidak tergamak hendak memadam nama semua arwah dalam telefon bimbit. Selama bertahun-tahun saya menyimpan nama mereka dengan diedit sedikit menambah perkataan `Arwah’ pada pangkal nama mereka. Hakikatnya saya tidak sanggup atau seperti tidak mahu melupakan mereka.

Saya juga tidak sanggup menyekat nama semua arwah di dalam akaun Facebook. Seminggu dua selepas kematian mereka, saya masih lagi mengunjungi wall itu. Melihat banyaknya ucapan belasungkawa dan ucapan-ucapan doa kepada arwah.

Kemudian setelah berhari-hari berlalu dan apabila nama itu muncul pada sidebar supaya terus berhubung dengan arwah, saya juga akan klik untuk melihat wall itu, nota tulisannya dan gambar-gambarnya. Sekali lagi.

Sekitar dua minggu berlalu, seperti akaun lain juga, akaun kawan saya itu kerap muncul di wall Facebook di sebelah kanan yang menyarankan saya untuk tetap berhubung dengannya menerusi facebook, seperti menulis di wallnya atau mengirimnya pesanan.

Terus terang, kemunculan kawan yang sudah meninggal ini membuat perasaan sedih. Saya terfikir, seandainya saya menulis di wallnya, mungkin untuk satu dua minggu “dia” tidak akan muncul lagi di sidebar, bagaimana dengan minggu-minggu selanjutnya? Semua itu amat mengganggu emosi saya!

Saya sedar, masa silam tidak akan kembali semula. Masa silam sudah jadi sejarah. Masa silam jika diingat akan menjadikan jiwa kita semakin kacau. Nostalgia tidak kiralah yang manis atau pahit, akan hanya membuatkan kita karam dalam emosi.

Oleh kerana tidak mahu diburu masa silam, saya mengambil keputusan drastik. Kini semua nama dia yang sudah arwah di dalam telefon bimbit saya padam. Begitu juga nama dia yang sudah arwah di dalam akaun Facebook. Saya padam juga.

Lebih daripada itu, saya tidak mahu melihat gambar-gambar lama dia semasa dia belum menutup aurat. Walau itu dosa dia tetapi dosa saya juga kerana melihatnya. Semoga Allah SWT memaafkan arwah.

Baiklah, saya tidak akan menulis tentang isu yang telah dua minggu saya tulis ini pada minggu hadapan. Rasa seperti berdosa pula… oleh itu sempena Ramadan yang mulia ini, maafkan saya....

Tuesday, August 2, 2011

REZEKI RAMADAN & SYAWAL
MENJELANG Ramadan dan Syawal, bukan hanya tukang jahit atau pengusaha kuih-muih tidak menang tangan memenuhi tempahan, tetapi juga permintaan untuk buku mengenai agama dan kuih-muih serta lauk-pauk juga turut meningkat.

Pengurus Besar Penerbitan, Grup Buku Karangkraf, Kumpulan Media Karangkraf, Sri Diah Shaharuddin, mengakui bahawa meskipun sesetengah buku adalah kompilasi resipi kuih-muih tradisional yang sudah dikenali sejak zaman berzaman, tetapi ia masih mendapat sambutan.

“Walaupun umumnya resipi itu masih sama, tetapi permintaan terhadap buku berkenaan masih ada. Biasanya menjelang Ramadan kami akan bekerja keras memenuhi permintaan terhadap resipi biskut dan kuih muih tradisional, selain buku resipi kek dan biskut moden. Namun menjelang dua minggu sebelum Aidilfitri, pembaca akan cari buku hidangan lauk-pauk untuk rumah terbuka,” katanya.


Trend yang sama turut dipamerkan buku agama yang meskipun relevan sepanjang tahun, namun apabila menjelang Ramadan permintaan terhadapnya meningkat berkali ganda dan tidak terhad kepada isu puasa saja, sebaliknya persoalan seperti zakat dan motivasi juga meningkat jualannya.

“Sebenarnya Karangkraf sudah lama menerbitkan buku agama dan umum atas jenama Karya Bistari, namun jualannya tidak memberangsangkan. Hanya kebelakangan ini Karya Bistari adalah antara jenama dalam kumpulan media Karangkraf yang menyumbang 70 peratus keuntungan,” katanya.

Antaranya berpunca daripada penstrukturan semula jenama berkenaan, selain mengundang penulis yang bertepatan dengan konsep Karya Bistari dan disokong dengan minat membaca yang semakin meningkat di kalangan penduduk Malaysia.

“Senario ini rasanya bukan hanya berlaku di Karangkraf, sebaliknya hampir semua penerbit di Malaysia pun menyedari trend begini. Biasanya apabila menjelang Rejab, kami sudah tidak menang tangan memenuhi permintaan pembekal,” katanya.

Sri Diah turut mengakui bahawa bukan buku saja menerima tempias rezeki Ramadan, sebaliknya majalah terbitan Karangkraf juga demikian dan paling ketara ialah majalah berkaitan resipi, misalnya Rasa yang sejak Julai hingga September diterbitkan sebagai isu berganda.

“Mengendalikan majalah dan buku banyak bezanya. Majalah apabila sudah siap perlu merancang isu berikutnya, tetapi buku memiliki jangka hayat yang lama kerana buku orang simpan. Justeru pengisiannya perlu relevan sepanjang zaman,” katanya.

Monday, August 1, 2011

MADRASAH 1 RAMADAN
 TERASA sayunya hati. - Makam Bonda

 Terdetik sunyinya rasa... Makam Nenda

Akan ke mari lagi mengutip wangi kembojanya...

Menghimpun rindu yang masih bersisa
Damai abadilah kalian di sana

Sunday, July 31, 2011

Saturday, July 30, 2011

MADRASAH RAMADAN

SAYA suka memerhati sikap orang sekeliling. Meneliti peribadi, buat perbandingan antara mereka dan selalu berkomunikasi apa sahaja dengan pelbagai pendekatan. Ada serius, lucu dan ada yang tak masuk akal.

Sebelum itu saya ingin ucapkan berbanyak terima kasih kepada Allah SWT yang telah menjadikan saya seorang pendengar yang baik, tidak panas baran dan tidak suka bercakap banyak.

Allah itu adil kerana saya juga tidak suka menyerang orang lain atau meninggikan suara. Saya mudah lembut hati dan payah untuk berdendam.

Atas segala ciri ini memang sewajarnya saya mempunyai ramai kawan daripada pelbagai peringkat usia, pelbagai bangsa dan taraf hidup. Bak kata orang, saya boleh menjadi seperti span. Mudah menyerap dan mudah juga mengeluarkan apa telah saya serap. Alhamdulillah.

Ada kata itu kekurangan saya. Mereka kata saya tidak tegas, tidak garang. Saya rugi kerana tidak gunakan segala rasa yang ada, apalagi sebagai ketua.

Saya fikir kembali apakah kriteria untuk jadi ketua? Adakah mesti selalu meninggi suara? Haruskah berdendam, menyerang dan memberi stigma garang?

Oleh sebab itulah ada orang tidak suka berlawan dengan saya sebab saya suka diam. Mereka tidak mendapat apa-apa apabila mengata saya. Mereka tidak akan menerima reaksi balas saya. Kerana saya tetap saya dan tidak sama sekali akan berubah, lawan itu menjadi mati akal, stres.



Ada yang cedera jiwa kerana tidak mendapat apa mereka mahu. Saya akui inilah antara punca gangguan perasaan dan sakit jiwa kebanyakan insan di sekeliling saya. Penyakit ini mungkin akan sembuh jika dia faham saya. Sudah resmi saya begitu.

Oleh itu saya jatuh kasihan kepada mereka itu. Memang ramai manusia sakit jiwa akhir-akhir ini dan ia mengheret kita sama dalam masalahnya. Mujur saya cepat sedar kepincangan ini dan usaha pula membantu mereka. Namun saya tidak mahu mereka menjadi psikosis pula! Ini merupakan yang paling teruk.

Terdapat beberapa jenis penyakit jiwa, antaranya ialah kegelisahan (neurosis) iaitu rasa mudah naik darah - tidak boleh menumpukan perhatian, tidak dapat tidur, berasa takut atau fobia, resah, gentar, sejuk tangan dan gejala-gejala badan yang lain.

Bertolak daripada neurosis, akan muncul pula kepiluan (depression). Kadangkala mereka berasa sedih, tidak berminat dalam aktiviti-aktiviti biasa, lemah, sukar tidur dan tidak lalu makan, menangis tanpa sebab dan mungkin menyimpan rasa hendak bunuh diri terutama apabila mengalami kegagalan.

Dalam kes ini, mereka hilang perhubungan dengan alam nyata dan hidup di dalam alamnya yang tersendiri serta berkelakuan ganjil. Misalnya mendengar suara-suara yang tidak wujud, bersikap mundur atau bertutur tidak menentu. Biasanya pesakit tidak sedar bahawa dia sakit dan tidak mungkin mencari bantuan secara persendirian.

Inilah penyakit-penyakit manusia yang berada di sekeliling kita. Jika kita kasihan mereka, bantulah mereka. Kembalikan keriangan kepada mereka. Nasihatkan, jangan fikirkan orang lain, fikirkan diri sendiri. Jangan mengajak orang lain sama-sama keliru, cukuplah dia seorang yang gelisah dan sakit perasaan.

Semoga kita sudah benar-benar bersedia menanti kehadiran Ramadan dengan hati lapang, dengan dada yang terbuka. Madrasah Ramadan yang akan kita tempuhi selama sebulan nanti merupakan universiti yang penuh dengan dugaan dan cabaran.

Semoga kita semua kuat mengharunginya dan berjaya menggenggam ijazah kelas tertinggi pada Syawal nanti. Oleh itu jagalah peribadi. Peliharalah agama. Jangan rosakkan silaturahim. Ya, kita amat berbeza dan saya tetap saya. Salam.

Monday, July 18, 2011

SAYA MAHU, TAPI...
SAYA selalu membayangkan untuk duduk berehat-rehat sahaja di rumah sambil bermain dengan kucing-kucing kesayangan yang 12 ekor kesemuanya. 7 ekor kucing Parsi dan 5 ekor kucing kampung. Saya mahu membaca dengan banyaknya. Mahu melayan bunga-bunga di taman rumah saya yang akhir-akhir ini seakan-akan merajuk - sudah tidak mahu mengeluarkan bunga...



Kadang-kadang mahu berjalan-jalan, balik kampung. Saya mahu pergi tengok wayang. Saya mahu duduk lama-lama dalam bilik, mengadap kumputer. Saya mahu segera menyudahkan manuskrip saya yang tertangguh. Ada dua - satu tentang kerja haji dan satu lagi novel dewasa. Di samping itu ada tiga lagi tulisan eceran untuk antologi bersama penulis-penulis lain.

Namun gagal. Nampaknya saya belum boleh berehat-rehat. Saya kena tunaikan tanggungjawab untuk urusan-urusan lain. Jadi, bilakah saya boleh uruskan hal-hal untuk diri sendiri?

Oh... saya nak memasak makanan-makanan kegemaran keluarga saya.
Tapi tidak boleh, tidak ada masa melainkan hujung minggu :-(

Thursday, July 14, 2011

TIDAK JADI TALAK TIGA

Saya rindui masa senggang begini

Semenjak akhir-akhir ini kehidupan kita seharian ternyata jadi semakin sibuk. Jika dulu memang pun kita sibuk, namun sekarang ini semakin sibuk. Fikiran juga jadi bertambah berat.

Dunia teknologi juga menjadikan kerut muka kita kian menebal. Tidak hairan juga akhir-akhir ini kita kerap temui ramai lelaki yang botak semula jadi. Dahi semakin luas.

Fenomena tanpa batas dengan adanya Internet – inilah puncanya. Ada kalanya hal orang lain yang tiada kena-mengena dengan kita, apabila terbaca menjadikan kita stres. Membaca komen-komen orang lain, walaupun kita tidak mahu memberi komen, tetap menjadikan masalah kita bertambah.

Twitter, Facebook, blog, laman sesawang, video, gambar-gambar yang tertonton memang tidak dapat dielak sepanjang melayari Internet. Saya sendiri pernah memberi talak tiga kepada dunia Internet.

Setiap waktu menjalankan tugas, seperti ada ajakan yang mendesak supaya jangan layari laman sesawang tertentu, namun tidak boleh. Itu adalah sebahagian tugas hakiki saya. Jadi kesudahannya terpaksalah ‘rujuk’ semula tanpa ada proses ‘cina buta’,

Ada kawan-kawan yang sudah merajuk dengan dunia Internet. Mereka stres. Tidak dapat memberi tumpuan pada kerja kerana terlalu memikirkan berita di Internet. Jiwa menjadi haru-biru. Apabila perkara yang dilihat itu ada kena-mengena dengan kehidupannya, lagilah fikirannya bercelaru.

Suami atau isteri yang bercinta dengan orang lain di Internet, gambar tragis, berita palsu dan adu domba adalah antara inti pati yang dipertontonkan di laman maya. Ini membuatkan mereka yang tidak kuat iman dan kurang kawalan diri menjadi lebih terjerumus. Ada menghampiri dunia gila. Gila glamor, gila publisiti dan gila khabar angin.

Meski banyak laman web dan info yang bermanfaat, mendidik kehidupan, namun itu tidak kuat untuk menarik kebanyakan orang menjadi ketagih. Nafsu jahat, peranan syaitan tetap menang, mengalahkan kemurnian jiwa. Pergi balik, pergi balik, laman-laman songsang juga menjadi perhatian.

Sekiranya itu berlaku kepada orang muda, kita boleh katakan itu kerana jiwa muda sukakan sesuatu yang baru dalam hidup. Dunia orang muda mencari hiburan dan suka menyongsang arus.

Bagaimanapun cabaran ini banyak berlaku kepada mereka yang dewasa. Sehingga menjadikan internet sebagai sesuatu yang wajib. Sampai tergamak melewatkan waktu bertemu Tuhan. Jika ada pun perasaan malu-malu tapi hakikat tetap hakikat. Internet telah menjadi kerajaan paling berkuasa dalam diri.

Ada tiga kategori manusia dalam hidup ini. Pertama, belajar daripada pengalaman sendiri; mereka ini dikatakan bijak dan berpengalaman. Kedua, belajar daripada pengalaman orang lain; mereka dikatakan cerdik. Ketiga, tidak belajar daripada pengalaman sendiri mahupun orang lain; mereka inilah yang hanyut dengan kebodohan sendiri.

Anda dalam kelompok yang mana? Jika melayari Internet kerana mahu belajar daripada pengalaman orang lain, anda bijak. Namun ramai terjerumus, menjadi lalai dan hanyut dalam kebodohan diri sendiri.

Ada tiga perkara memberikan keselamatan kepada manusia, iaitu sentiasa menjaga tingkah laku kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Mendengar. Kedua, berlaku adil yang bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya tanpa diskriminasi dan beremosi. Ketiga, berjimat kerana ini akan menyelamatkan seseorang daripada menyesal kemudian hari.

Sementara itu, ada tiga perkara lain yang akan membinasakan manusia iaitu; pertama, mengikut telunjuk syaitan - sentiasa mendorong kepada kehendak hawa nafsu yang mengakibatkan kebinasaan diri. Kedua, bersifat kedekut ilmu dan ketiga, kagum dengan kelebihan diri sendiri sehingga menjadikan seseorang itu bersikap angkuh dan sombong. Ketika melayari internet, fikirlah hal ini.

Anda dalam kategori mana?

Monday, July 11, 2011

TERIMA KASIH
JAUH dari dasar hati , saya amat menghargai segala ucapan ultah untuk saya hari ini. Seungguhnya tidak terdaya saya hendak membalas semuanya. Setiap kata-kata yang dicatat di sini sungguh bermakna, bak menanam pokok, semoga rimbun persahabatan kita membawa manfaat bersama.
Hari ini, dua orang ini memotong kek yang tidak serupa 
di dua acara yang berbeza....

******
Terima kasih Tuhan, memilih, memberiku nyawa
Terima kasih keluarga, setia memberiku cinta
Terima kasih sahabat, jujur memberiku ceria
Terima kasih seteru, kerap memberiku pahala

Sunday, July 10, 2011

MEMANG SAYA BERBOHONG RASA TERHADAP BLOG INI

Saya cuba ketepikan. Saya cuba tolak kehendak jiwa kecil saya.
Sebenarnya saya amat sayangkan blog ini dan selalu teringat pada catatan-catatan di blog ini. Dua tahun lebih saya mengabaikan suara rasa dan gelodak jiwa di sini, juga rakan-rakan blog yang baik. (Rasanya rakan blog tak sama fikirannya dengan rakan FB).

Hakikatnya menulis di blog saya lebih jujur
Menulis di FB lebih kepada mengambil hati
Saya akui itu.

Berbulan-bulan saya pujuk hati untuk kembali ke sini yang selalu saya jenguk, tapi tidak ada rasa untuk mencoret. Akhirnya blog pun dah bersawang, pengunjung pun sudah berkurang. InsyaAllah saya akan cuba menampal semangat baru, saya akan cuba menulis semula di sini mengikut kelapangan masa.

Salam terima kasih atas ucapan selamat hari lahir saya hari ini, Syukran!
Insaflah hambaMu ini akan Allah 'Al-Adil' (Maha Adil), 'Al-Latif' (Maha Lembut), 'Al-Muqit' (Maha Penjaga), 'Al-Qahhar' (Maha Penakluk), 'Al-Jabbar' (Maha Pemaksa). Maka amat gembiralah seluruh jiwa saya atas ingatan ini. Wassalam.

Thursday, July 7, 2011

Baju yang saya pakai ini adalah baju arwah mak

4 SYAABAN - Sejak malam tadi teringatkan arwah mak lalu pagi ini menyarung baju kurung peninggalan arwah mak. Al Fatihah untuk arwah mak saya dan semua arwah yang pergi dahulu daripada kita. Semoga roh mereka aman dan damai sejahtera di negara Abadi.

Lagi tiga hari adalah tarikh lahir saya. Saya selalu menangis apabila teringat cerita arwah mak bagaimana cara saya dilahirkan. Saya lahir tidak cukup bulan (7 Bulan).

Emak terberanakkan saya ketika dia mencangkung di tepi longkang kerana emak batuk-batuk teruk apabila saat tiba kelahiran saya. Ditinggalkan dalam inkubator selama 3 bulan atas pengawasan jururawat. Ya Allah, terima kasih atas kelahiran ini, sungguh besar jasa mak...

Tuesday, July 5, 2011

Monday, September 14, 2009

MAKNA LEBARAN INI...
SUDAH
tiga tahun berhari raya saya tidak balik ke kampung suami di sebuah kampung yang dikelilingi sawah padi berhampiran pekan Alor Setar, Kedah. Apabila suami tidak beriya-iya hendak balik berhari raya di kampung, saya pun diamkan sahaja dan kami berhari raya di Kuala Lumpur sahaja.

Tahun ini saya sendiri meminta untuk balik ke kampung suami berhari raya. Setelah emak saya meninggal dunia awal Januari lalu, detik berhari raya tahun ini terasa tidak meriah langsung dan saya tidak mahu tenggelam dalam nostalgia. Terutama apabila mengingati nasi himpit dan sambal kuah kacang yang emak buat...

Adik beradik lain, mereka akan pulang ke `kampung' mereka di Kuala Lumpur ini. Saya biarlah membawa hati ke kampung suami, nun jauh di utara. Abah pula, dia cukup kuat. Tiada seorang anak ini... dia masih ada enam anak yang lain yang pasti akan menggembirakan dia.

Anak-anak saya tidak kisah, mereka setuju balik kampung abah mereka tapi dengan syarat tidak lama. Saya tahu mereka tentu seronok sakan naik basikal/naik motor keliling kampung, main sawah bendang, cari belalang, mengail dan menjala sepat di tali air, dapat main layang-layang atas batas padi dan macam-macam lagi permainan kampung.

Kepada semua, saya ucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri semoga kita semua sentiasa dilindungi Allah walau di mana sahaja kita berada. Ampun maaf saya pinta jika ada salah dan silap.

Saturday, August 29, 2009

TERINGAT... & SARUNG BAJU ARWAH MAK
HARI pertama berbuka puasa memang di rumah mak dan abah, itu kebiasaan sejak dahulu lagi. Tahun ini pun sama.

Bezanya tahun ini emak (nenek anak-anak yang dipanggil Nek Jah olehcucu-cucunya) telah tiada. Semua hidangan lengkap atas meja. Semuanya makanan kegemaran anak-anak kami.

Namun menu arwah mak tiada... ya tiada tauhu sumbat kegemaran kami. Kami pun langsung tidak terfikir untuk menyediakannya kerana saban tahun sudah tahu, pasti mak akan buat hidangan tu...
Esoknya apabila mahu ke pejabat, tiba-tiba teringat arwah. Blaus dan slack yang dipakai segera disalin.

Baju arwah mak yang saya sarung untuk ke pejabat... Semoga roh arwah mak ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan abadi bersemadi di Jannah... Amin.

Friday, August 28, 2009

JADI BALIK KAMPUNG?
DIAM
tak diam sudah masuk 7 hari kita berpuasa. Alhamdulillah. Anak-anak yang sudah besar pun tidak mendatangkan karenah, mereka sudah pandai bawa diri dan memelihara puasa masing-masing.

Nampaknya sampai hari ini belum ada sahur yang tertinggal. Waktu berbuka juga tidak mendatangkan masalah, masih sempat balik ke rumah untuk memasak, tahun ini memang tiada rekod `wajib' ke Bazar Ramadan.

Kalau hari saya bekerja, selepas solat Maghrib di rumah baru bergegas ke pejabat semula. Sempat solat Isyak dan diteruskan dengan solat Terawih. Kalau tidak, kenalah teruskan duty hingga 11.30 malam.

En Abang dan anak-anak sudah bertanya tentang cuti hari raya dan rancangan balik kampung. Jadi ke tidak? Eh, belum berani bagi jawapan. Wait and see...

Oh Alor Setar... lama sungguh tak jenguk sawah padi, makan sepat benua dan belut goreng garing.

Sebenarnya serba salah juga nak tinggalkan abah yang tahun ini pertama kali berhari raya tanpa mak... tentu dia sedih kalau anak-anak tak ada di rumah tu sambut Aidilfitri bersama dengan dia.

Saturday, August 22, 2009

ANTARA PETIKAN NOVEL INI:
* Aku insan kerdil yang tidak boleh melawan fitrahNya. Iskandar bukan untukku, aku tidak boleh menjadikan dia muhrimku. Antara kami ada syaitan dan iblis yang akan meruntun aku ke lembah dosa. Aku tahu Atib dan Ratib sentiasa ada di kiri dan kananku...

Saturday, August 15, 2009

MERAIKAN DOA BUAT SUAMIKU

TERIMA KASIH
dan rasa penghargaan saya tujukan kepada Salmah, seorang peminat tegar novel-novel saya yang datang jauh dari Singapura demi mendapatkan tandatangan dan berbual mesra dengan saya. Dia datang bersama buah cintanya, Nurain.

Dulu sewaktu Mahligai Cinta terbit, Salmah pun sanggup datang menemui saya sambil kami bertukar fikiran tentang dunia novel. Terima kasih Salmah, budi baikmu akan tetap saya kenang selamanya.

Ahad : 9 Ogos 2009
Waktu : 10 pagi
Lokasi: Uncle K, SACC MAll, Shah Alam.


Dalam pertemuan itu Sdr Roslan (kiri) dan Abang Long (tiada dalam gambar), orang kuat Alaf21 FC turut hadir.

p/s: Nak promosi sikit - Saya pakai tudung yang dibeli online daripada peminat novel-novel saya -
Zu Sazali (Klik Sini)

Friday, August 14, 2009

“Suatu hari nanti, walau di mana Isk berada, kalau terlihat bintang-bintang di langit, ingatlah yang Jun juga sedang melihat keindahan bintang-bintang yang sama,” tuturku perlahan.

Thursday, August 13, 2009


FRAGMEN: DOA BUAT SUAMIKU

Ini adalah ujian Allah dalam keadaan kami senang. Aku tak tahu, bagaimanakah ujian yang Allah akan turunkan pada ketika kami dilanda susah nanti? Mungkin juga aku akan jadi hilang akal agaknya…

Mungkinkah doa aku selama ini tidak diredhai malaikat? Mungkin doa aku berlaku dalam keadaan tubuh aku tidak betul-batul suci. Atau sebab aku jarang bersolat jemaah jadi memang malaikat tidak memberi berkatnya.

Kata Pak Ligisan, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikatNya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan." Sebab itulah agaknya… sebab aku jarang berjemaah. Sebab aku selalu payah untuk diajak oleh kawan-kawan untuk bermarhaban, berzanji memuji-muji nama Allah…

Rasulullah s.a.w bersabda lagi: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

MasyaAllah, selalunya aku bersembahyang tanpa saf. Aku mengadapMU bersendirian, bermunajat seorang diri dan langsung tidak dapat merasa pelukan kasih dan rahmat kawan-kawan untuk saling memaafkan.

Tapi aku sakit… aku tidak sihat. Ya Allah, kau ampunkan dosa-dosa aku. Bukan aku sengaja tidak mahu bersolat jemaah. Bukan aku engkar perintahMu, tapi aku tidak berdaya. Jika berjemaah di masjjid, kelak akan menyusahkan orang lain pua, mengusung aku mengambil wuduk.

“Aku baru saja pergi kaunseling.” Aku teringat kata-kata Maimun hari itu. “Aku tak malu, aku buat selamba saja. Di depan ustaz yang dah berumur itu aku lihat Jabar yang menggelabah,” katanya.


P/S: Untuk menghayati isi kandungan novel ini saya akan masuk sedikit demi sedikit catatan yang akan anda temui dalam novel ini.

Wednesday, August 12, 2009


DOA BUAT SUAMIKU KINI SUDAH TERBIT

Alhamdulillah dan Menakjubkan...
DikesibukanNYA yg luar biasa,
IA masih peduli pada keinginan-keinginginan kecil saya. Padahal saya hanyalah satu diantara jutaan makhlukNYA di dalam Bumi kecil diantara ribuan triliun Matahari & Bintang di angkasa... Dialah Allah Al Bashir.

Terimalah novel ini yang dicatat secara ikhlas untuk semua.

Tuesday, June 9, 2009

ENGLISH PASS A MUST IN SPM?
TIMBALAN
Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata sasterawan ulung Inggeris, William Shakespeare pernah berkata: "To be or not to be, that is the questions."

Muhyiddin dalam hal ini masih berkira-kira untuk menetapkan sama ada Bahasa Inggeris sebagai `wajib lulus' untuk mendapat sijil SPM. Katanya kalau ditetapkan, ini bermakna ramai pelajar akan gagal dalam SPM angkara tidak fasih berbahasa Inggeris.

Beliau masih keliru - ada sesiapa boleh bantu bagi idea?